
Saingan Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) semakin sengit apabila Ratu dan pengurusnya, Linda Jasmine menjadi peserta terbaharu yang tersingkir pada minggu keenam program berkenaan, malam tadi.
Membawa tema Dua Tiga Kucing Berlari, Ratu tampil dengan persembahan lagu Oh! Carol yang pernah dipopularkan oleh Neil Sedaka. Namun, persembahan tersebut tidak cukup untuk membawa mereka mara ke minggu seterusnya.

Selain Ratu, dua lagi peserta yang berada dalam kelompok terbawah ialah Kim Khairii (Safura) dan Viviana (Ani Mayuni).

Dalam pada itu, pentas minggu keenam nyata menjadi milik Anggrek (Adira) apabila berjaya memikat hati juri menerusi persembahan bertenaga lagu Temberang bersama penyanyi, Mimi Fly.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Anggrek dan pengurusnya, Adira Suhaimi terus mengekalkan momentum cemerlang apabila menerima Anugerah Inspirasi Kasih Eskayvie buat kali keempat berturut-turut. Mereka turut membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta hamper.
Sementara itu, Anugerah Manager Paling Perform minggu ini menjadi milik Jamilulhayat selepas memperoleh undian tertinggi penonton menerusi laman web rasmi program.

Untuk minggu hadapan, para peserta bakal diuji menerusi tema Tergamaknya Kau yang dijangka menampilkan lebih banyak persembahan penuh emosi dan dramatik.
Program TTMM2 dihoskan oleh Datuk Aznil Nawawi bersama barisan juri tetap iaitu Che Puan Sarimah Ibrahim dan Datuk AC Mizal, manakala penyanyi dan penerbit teater terkenal Tiara Jacquelina tampil sebagai juri jemputan minggu ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!














