Atlet karate pekak negara, Yilamaran A/L Vispalingam mengharumkan nama negara hari ini apabila dia memperoleh pingat perak acara Kumite di Kejohanan Karate Deafliympic. Kojahanan antarabangsa yang sudah berlangsung sebanyak 24 kali itu dikhususkan khas untuk atlet-atlet yang memiliki masalah pendengaran.
Yilamaran menempah tiket ke peringkat akhir apabila dia berjaya menundukkan atlet dari Brazil dan Israel di peringkat suku akhir sebelum menumpaskan atlet Iran di peringat separuh akhir.
Di peringkat akhir pula, atlet kelahiran Johor Darul Takzim ini bertemu dengan atlet senior Ukraine, Makhno Oleksanr yang akhirnya muncul juara bagai kategori ini. Biarpun tidak berjaya memperoleh pingat emas, semangat juang yang ditonjolkan Yilamaran harus dipuji apatah lagi ini merupakan pingat perak pertama negara dalam kejohanan tersebut.
Seiring dengan kemenangannya, pemuda berusia 22 tahun ini menerima ucapan tahniah daripada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Dia juga bakal menerima wang imbuhan bernilai RM8,000.00 daripada kerajaan negeri Johor atas kejayaannya itu.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada atlet negara, Yilamaran a/l Vispalingam yang meraih pingat Perak acara Kumite bawah 84kg pada kejohanan Karate Deaflympic di Brazil. Atlet kelahiran Johor itu menempa sejarah tersendiri apatah lagi ini pertama kali negara mengambil bahagian acara itu di peringkat dunia dan merangkul pingat untuk kontinjen Malaysia.
Ads
“Sebagai tanda penghargaan, Kerajaan Negeri akan menghadiahkan RM8,000.00 atas kejayaan beliau mengharumkan nama Negeri dan Negara dipersada dunia. Kejayaan membanggakan itu tentunya menjadi pembakar semangat buat seluruh Bangsa Johor untuk sentiasa berusaha meraih kejayaan dalam apa jua yang kita lakukan,” tulis Datuk Onn Hafiz di laman Instagram beliau.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ads
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Keadaan hidup mengajar seseorang untuk menjadi lebih berjaya dan gigih mencapai cita-cita tanpa kenal erti lelah. Tiada apa yang mustahil jika ketekunan dan usaha mengiringi setiap langkah. Inilah yang sesuai penulis gambarkan mengenai kejayaan Dr. Mohamad Hafifi Jamri yang berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada usia 30 tahun.
Bukanlah pelajar ‘straight A’ dari peringkat awal pendidikan, beliau hanya memperoleh 4A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Walau bagaimanapun, beliau sentiasa berusaha untuk memajukan diri dari semasa ke semasa menerusi penglibatannya dalam aktiviti akademik dan kokurikulum seperti program kepimpinan dan peningkatan diri ketika di bangku persekolahan dan universiti.
Sebagai anak tunggal, Dr. Mohamad Hafifi menjadikan misi untuk membantu kedua orang tuanya sebagai satu gol di dalam kehidupan. Bukan berasal dari keluarga yang senang, ibunya bekerja sebagai operator pengeluaran kilang manakala ayahnya pula hanyalah pemandu bas henti-henti.
Tekad untuk menyambung pelajaran secara terus menerus, lelaki yang baru melangsungkan perkahwinan ini memasuki USM pada tahun 2011 sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda dan kemudiannya meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana sehinggalah berjaya menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah pada 2021.
Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media di Universiti Teknologi MARA Cawangan Alor Gajah, Dr. Mohamad Hafifi menjadikan perjalanannya sebagai satu pembelajaran hidup penuh berharga. Sepanjang pengajian dia bukan hanya belajar tetapi turut melakukan kerja-kerja sampingan bagi mendapat duit poket untuk menampung kehidupan.
Ujarnya, “Saya pernah menjadi Juruwang di Esso, Jurutol Sambilan di Plaza Tol Sungai Dua Pulau Pinang serta beberapa pekerjaan secara separuh masa dalam universiti misalnya Pembantu Penyelidik Siswazah dan Eksekutif Acara. Malah, sebelum diterima bekerja di UiTM, saya turut pernah bekerja sebagai Assistant Person in-Charge di kedai dua ringgit, pembanci serta proofreaders.”
Dr. Mohamad Hafifi bersama kedua orang tuanya dan isteri.
Pengalaman sememangnya menjadi guru terbaik namun dalam kehidupan langit tidak semestinya cerah sampai ke petang. Segala onak dan duri harus ditempuhi demi sebuah kemanisan.
Sepanjang 10 tahun pengajian, terdapat peristiwa-peristiwa meruntun hati jejaka ini. Kongsinya, “Dalam tempoh pengajian di USM, saya diuji dengan keadaan yang amat berat iaitu kematian nenek tersayang saya pada tahun 2013. Ketika saya baru memasuki tahun akhir pengajian Sarjana Muda. Pada waktu itu, saya merasakan bahawa satu kunci doa saya telah hilang.
“Semasa menjalani pengajian PhD pula, saya diuji dengan kesakitan bapa saya yang mana dia disahkan dijangkiti pneumonia pada 13 Mac 2019. Dari tempoh tersebut sehingga 13 Mei 2019 iaitu genap dua bulan, saya dan ibu berulang alik ke hospital iaitu bermula dari Hospital Bukit Mertajam ke Hospital Seberang Jaya dan kemudiannya ke Hospital Pulau Pinang.
“Tempoh tersebut adalah tempoh yang amat sukar bagi diri saya. Saya boleh katakan bahawa keluarga lebih penting daripada segala-galanya dan saya ketepikan pengajian dahulu untuk sementara. Syukurlah, ketiga-tiga penyelia saya amat memahami. Selepas bapa saya kembali pulih, barulah saya berusaha mendapatkan semula momentum pengajian yang tertunda.”
Mengakhiri temubual kami, Dr. Mohamad Hafifi mengakui yang tempoh masa 10 tahun di USM ternyata memberikan pelbagai pengalaman kepada beliau berkenaan kesukaran dalam keseronokan menjadi seorang pelajar pra-siswazah dan pasca-siswazah. Walau bagaimanapun, perkara yang lebih penting adalah pengalaman yang diraih dalam tempoh menjadi pelajar, baik di peringkat universiti, latihan industri serta melalui pengalaman yang dikongsikan oleh para pensyarah, penyelia, penyelidik serta pakar-pakar bidang yang ditemui.
Beliau berpandangan bahawa tidak rugi untuk merendahkan diri dalam mencari ilmu serta kembali semula memberikan sumbangan ilmu melalui aktiviti perkongsian dengan rakan-rakan serta anggota masyarakat. Bak kata pepatah, ibarat resmi padi semakin semakin berisi semakin tunduk.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kem terjun negara di Sukan SEA 2022 Hanoi terus memutikkan senyuman dalam kalangan rakyat Malaysia apabila meneruskan kecemerlangan mereka meraih pingat emas dalam acara-acara yang dipertandingkan.
Daripada empat pingat emas yang telah mereka perolehi setakat ini, salah satunya hadir daripada acara 3m papan anjal seirama menerusi atlet terjun lelaki negara, Ooi Tze Liang dan Chew Yi Wei, lewat Ahad lalu. Tze Liang meneruskan rentak cemerlang apabila sekali lagi meraih pingat emas menerusi acara 1 meter papan anjal individu semalam.
Ooi Tze Liang (tengah) bersama pemenang pingat perak dari Singapura, Avvir Tham Pac Lun yang mengutip 286.40 mata dan wakil negara Vietnam, Betrand Rhodict Anak Lises yang pulang dengan pingat sulungnya sebagai pemenang pingat gangsa.
Beliau mempersembahkan enam terjunan kemas dan mengumpul 377.70 mata bagi mengenepikan enam saingan yang lain.
Kejayaan semalam sekaligus mencatatkan rekod dalam karier Tze Liang apabila ia juga merangkap pingat emas Sukan SEA yang ke-13 peribadinya sejak dia menyertai kejohanan dwitahunan ini bermula edisi 2013. Kata Tze Liang kepada rakan media yang berada di Pusat Akuatik My Dinh, Hanoi; perasaan gembira tentunya dirasainya setelah dia berjaya menyempurnakan misinya untuk edisi kali ini.
Atlet terjun lelaki negara, Ooi Tze Liang dan Chew Yi Wei meraih kejayaan mereka dalam acara 3m papan anjal seirama kelmarin.
“Selama penyertaan dalam Sukan SEA, ini adalah pingat emas 1m pertama saya dan pingat emas ke -13 (keseluruhan). Saya rasakan misi saya telah tercapai. Saya juga rasakan saya penerjun pertama yang dapat semua pingat, daripada acara platform ke papan anjal, papan anjal individu ke seirama. (sepanjang pernyertaannya di kejohanan Sukan SEA)
“Jadi dah boleh kata lagenda lah kot,” seloroh penerjun berusia 28 tahun itu.
Setelah episod wabak COVID-19 yang melanda dunia selama dua tahun lalu mengehadkan penyertaan kem terjun negara di pertandingan peringkat antarabangsa, ia secara tidak langsung menerbitkan cabaran buat para atlet kerana perlu terus meneruskan konsistensi aksi biarpun telah lama tidak mendapat momentum dari satu pertandingan ke pertandingan seterusnya.
Tahniah Tze Liang!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Jaguh silat negara terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila Muhammad Khairi Adib Azhar berjaya muncul juara dan merangkul pingat emas dalam acara Senior Male C (55kg-60kg) di Islamic Solidarity Games 2025 yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.
Difahamkan, aksi cemerlang Muhammad Khairi Adib menewaskan wakil Yemen, Ahmad Al-Baadani di perlawanan akhir untuk memastikan pingat emas menjadi milik Malaysia. Kejayaan ini bukan sahaja menambah koleksi pingat negara, tetapi turut membuktikan kekuatan kontinjen silat Malaysia dalam arena seni bela diri tradisional ini.
Kejayaan Silat Malaysia di Islamic Solidarity Games 2025
Bagi kategori wanita pula, Nor Ainun Mokhtar turut mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya membawa pulang pingat perak bagi acara Senior Female D (60kg-65kg). Walaupun tewas di tangan pesilat Mesir, Reem Rida di perlawanan akhir, aksi Ainun tetap dianggap luar biasa setelah berjaya menewaskan beberapa pencabar kuat dari rantau Asia Barat dan Asia Tengah.
Pingat gangsa acara tersebut dimenangi oleh Binazira Mustafakulova dari Uzbekistan.
Dominasi Silat Malaysia Terus Kukuh
Pencapaian dua atlet negara ini menunjukkan bahawa silat Malaysia masih berada pada landasan kukuh di peringkat dunia, dengan barisan pesilat muda yang semakin menyerlah dan bersedia mengambil alih tanggungjawab sebagai penerus legasi kejayaan terdahulu.
Kejayaan Muhammad Khairi Adib dan Ainun juga menjadi bukti komitmen tinggi jurulatih serta pasukan kejurulatihan dalam memastikan prestasi atlet kekal konsisten sepanjang musim pertandingan. Ia memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara kuasa besar dalam arena silat dunia.
Persiapan Menuju Kejohanan Dunia Silat & Sukan SEA
Menerusi prestasi cemerlang yang dipamerkan di Riyadh, kontinjen silat Malaysia kini dilihat semakin bersedia menghadapi kejohanan besar akan datang termasuk Kejohanan Dunia Silat dan Sukan SEA. Kejayaan ini juga diharap dapat menjadi inspirasi kepada atlet muda negara untuk terus berjuang mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi perkongsian di laman sosial rasmi turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kedua-dua pesilat negara atas semangat juang tinggi yang ditunjukkan serta kejayaan mereka mengibarkan Jalur Gemilang di bumi Arab Saudi. Ia sekali gus menegaskan semangat perpaduan dan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia terhadap pencapaian luar biasa ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!