Kini, penggunaan inai di jari kita tidak lagi tertakluk buat si pengantin sahaja. Ramai yang mula menggantikan penggunaan pengilat kuku atau pewarna kuku dengan inai dengan lambakan produk baharu berasaskan bahan organik yang boleh dibawa solat.

Malah, banyak pula jenama inai tempatan yang tak kurang popularnya yang menggunakan tagline ‘mesra wuduk dan telap air’ . Hal ini turut menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN : Neelofa Bukan Saja-Saja Pakai, Ini 5 Kelebihan Inai Pada Jari & Badan

Ragu-Ragu Hukum Inai ‘Mesra Wuduk’ Yang Tengah Viral. Ini Jawapan Mufti
Sumber Foto : Pexels (Mehndi Training)

Persoalan netizen yang sudah memakai inai-inai tersebut adalah sejauh mana pengesahan dakwaan yang mengatakan inai-inai jenama terkenal ini sah mesra solat dan pembuktian ianya telus air serta boleh dibawa ibadah.

Jom kita baca penjelasan mengenai isu panas ini oleh Jabatan Mufti Pulau Pinang.

[SOALAN]

Assalamualaikum wbt pihak SS Datuk Mufti dan pasukan kerja, maaf mengganggu.

Sebelum ini saya pernah menanyakan soalan yang sama, cuma maklumatnya kurang lengkap. InsyaAllah kali ini saya sudah mendapat maklumat yang lebih terperinci daripada pihak founder.

-Situasi-

Pada malam raya, saya telah memakai inai celup, yang kini viral dan menjadi pilihan wanita kerana sifatnya yang mudah dan segera. Waktu saya memakai inai celup tersebut, saya dalam keadaan haid. Saya juga memahami konsep inai celup yang cepat merah, dan cepat luntur juga warnanya, lebih-lebih lagi bila kita kerap bermain dengan air dan sabun.

Kemudian, selepas 2-3 hari, saya perasan bahawa apabila jari saya kena air dan sabun, warna inai luntur, tapi dalam bentuk lapisan warna. Ya, saya yakin inai ini membentuk coating layer pada jari saya, sekaligus menghalang air sampai ke kulit saya. Namun, coating layer ini hanya terbentuk pada kawasan jari sahaja. Di kawasan kuku, warnanya nampak sekata dan tidak tertanggal seperti yang berlaku di kulit jari. Ini menambahkan kemusykilan saya, adakah inai celup ini kalis air atau tidak?

[JAWAPAN MUFTI]

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Hiasan kecantikan yang merupakan fitrah wanita itu asalnya adalah baik dan mempunyai asas daripada syarak akan tetapi ia mestilah tidak melanggar apa yang telah dilarang oleh syarak secara jelas berkaitan dengan hukum berhias bagi wanita.

Ragu-Ragu Hukum Inai ‘Mesra Wuduk’ Yang Tengah Viral. Ini Jawapan Mufti

1. HUKUM MEMAKAI INAI

Umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagi mana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, jilid 3, hlm. 89-90]

Dalam sebuah hadith, diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha:

‎أَوْمَتِ امْرَأَةٌ مِنْ وَرَاءِ سِتْرٍ بِيَدِهَا كِتَابٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَبَضَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَدَهُ فَقَالَ: ‏ مَا أَدْرِي أَيَدُ رَجُلٍ أَمْ يَدُ امْرَأَةٍ‏.‏ قَالَتْ بَلِ امْرَأَةٌ‏.‏ قَالَ: لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً لَغَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ.‏ يَعْنِي بِالْحِنَّاءِ.

Maksudnya: Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir bagi menunjukkan pada tangannya ada surat untuk diberikan kepada Rasulullah SAW. Maka Nabi SAW menggenggam menutup tangannya lalu berkata: “Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?” Jawab perempuan tersebut: “Perempuan”. Lalu Baginda SAW berkata: “Jikalau kamu ini perempuan, nescaya akan lakukan perubahan pada kuku-kuku kamu (iaitu dengan inai)”.

(Riwayat Abu Daud, 4166)

(Namun, perbincangan lanjut tentang hukum wanita dan lelaki memakai inai boleh rujuk 👇
http://mufti.perak.gov.my/rakyat/koleksi-umum/artikel-khas/517-pemakaian-inai?start=1

Wanita di zaman Nabi SAW berurusan di sebalik tabir sehingga ada keperluan untuk membezakan. Juga kebanyakannya berada di rumah kecuali ada keperluan, dan memakai hijab yang tidak menampakkan perhiasan) – tambahan saya UAH.

Ragu-Ragu Hukum Inai ‘Mesra Wuduk’ Yang Tengah Viral. Ini Jawapan Mufti

2. HUKUM INAI YANG DIRAGUI

Adakah pemakaian inai boleh menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk atau mandi wajib?

Inai atau nama saintifiknya ‘Lawsonia Inermis’ berasal daripada perkataan Arab iaitu “Henna” yang bermaksud ubat. Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Baru, inai ialah sejenis tumbuhan (pokok kecil yang daunnya digunakan sebagai bahan pemerah kuku dan jari serta rambut). Namun begitu, dewasa ini kebanyakan pengeluar produk inai menggunakan bahan campuran dalam menghasilkan produk inai dan di datangkan dalam pelbagai jenis misalnya inai picit, inai celup dan lain-lain. Sebahagian pengeluar produk inai mengiktiraf bahawa produk mereka merupakan produk yang halal.

Walau bagaimanapun, harus difahami bahawa status kehalalan sesuatu produk itu bergantung kepada ramuan yang terkandung di dalamnya. Ia mestilah bersumberkan bahan-bahan halal, bebas kimia, bebas lemak khinzir dan bebas daripada bahan-bahan lain yang tidak halal menurut neraca hukum syarak. Adapun untuk menentukan pemakaian inai ini boleh dibawa solat atau dihukumkan sah ibadahnya, ia perlu dirujuk kepada jenis inai yang digunakan, sama ada ia bersifat kalis atau telap kepada air.

Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’ berkata: “Apabila adanya di atas sebahagian anggota lilin atau tepung atau inai dan seumpama dengannya yang mana ia menghalang ke anggota, maka tidak sah taharahnya, sama ada banyak atau sedikit. Jika berbaki di atas tangan dan selainnya kesan inai dan warnanya tanpa ‘ainnya (zatnya) atau kesan lemak cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota dan air juga mengalir di atasnya akan tetapi ia tidak melekat (iaitu air tidak melekat pada kesan minyak di atas tangan), maka sah taharahnya. [Lihat: al-Majmu’ jilid 1, hlm. 467]

Menurut Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi dalam fatwanya berkaitan hukum menghilangkan cat di kuku ketika berwuduk, beliau ditanya: “Adakah wajib bagi saya menghilangkan cat kuku ketika berwuduk? Maka Syeikh menjawab: “Ya! Sesungguhnya engkau telah pun mengatakan ia adalah cat yang menghalang air daripada sampai ke kulit maka wajib engkau menghilangkan ketika mengangkat hadas kecil atau besar. [Lihat: Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah, hlm. 198]

Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkaitan produk inai celup, iaitu pada menentukan kekalisan atau ketelapan air. Dalam hal ini hendaklah terlebih dahulu dilakukan ujian ke atas produk tersebut. Namun begitu, adalah disarankan jika sekiranya masih lagi wujud keraguan pada status kekalisan air pada produk tersebut adalah lebih baik dirujuk secara langsung kepada pihak Halal JAKIM.

Walau bagaimanapun, bersandarkan kepada perbincangan dan hujahan di atas, dapat disimpulkan; sekiranya di yakini bahawa setelah pemakaian produk inai yang dimaksudkan dan ia masih meninggalkan kesan berserta zatnya (selaput) pada mana-mana anggota wuduk dan mandi wajib khususnya kuku, maka dapatlah difahami bahawa sifat produk tersebut adalah kalis air. Iaitu ia menyebabkan air tidak dapat menyentuh atau menghalangi air daripada sampai kepada anggota yang wajib dibasuh. Justeru, tidak sah taharahnya sama ada wuduk atau mandi wajib.

Ragu-Ragu Hukum Inai ‘Mesra Wuduk’ Yang Tengah Viral. Ini Jawapan Mufti

3. STATUS IBADAH YANG DILAKUKAN SETELAH MEMAKAI INAI KALIS AIR

Umat Islam perlu memahami terlebih dahulu bahawa suci daripada hadas kecil dan besar merupakan syarat sah solat. Wuduk dan mandi wajib yang tidak sempurna akan menyebabkan solat tidak sah.

Antara buktinya Allah SWT telah mensyariatkan hukum bersuci seperti wuduk dan mandi wajib bagi mereka yang berhadas kecil dan besar untuk membolehkan seseorang itu melaksanakan sebahagian ibadah seperti solat dan membaca al-Quran. [Lihat: Syarah al-Yaqut al-Nafis hlm. 67]

Firman Allah SWT:

‎يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, kedua belah tangan kamu meliputi siku, sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

Allah SWT juga berfirman:

‎وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا

Maksudnya: Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.

[Surah al-Maidah: 6]

Antara rukun-rukun wuduk yang wajib dipatuhi ialah membasuh kedua belah tangan meliputi siku. Termasuk perkara penting yang perlu diberi perhatian bagi mendapatkan basuhan yang sah dan sempurna ialah memastikan tiada sebarang objek atau bahan yang boleh menghalang air untuk sampai ke seluruh bahagian kulit tangan termasuk celah-celah jari dan kuku.

Justeru, bagaimana pula status ibadah yang dilakukan setelah memakai inai yang sifatnya kalis air?

Kami berpendapat bahawa, jika sememangnya inai tersebut sifatnya kalis air dan masih berbaki zatnya walaupun setelah dilakukan usaha yang sepatutnya untuk menghilangkannya, maka anggota itu pada asasnya dikira sebagai terhalang daripada sampai air. Oleh itu, tidak sah wuduk dan mandi wajib yang dilakukan pada ketika itu.

Sehubungan dengan itu juga, tidak sah segala ibadat yang ada kaitan dengan taharah seperti solat yang telah dilakukan sebelum ini. Ini adalah kerana antara syarat sah solat ialah bergantung kepada sahnya wuduk dan mandi wajib. Justeru pemakai yang terlibat, wajib untuk mengqada’ solat-solat yang telah didirikan selama inai tersebut masih berada di kuku si pemakai.

Hal ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin ‘Amr R.A berkata:

‎رَجَعْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ حَتَّى إِذَا كُنَّا بِمَاءٍ بِالطَّرِيقِ تَعَجَّلَ قَوْمٌ عِنْدَ الْعَصْرِ فَتَوَضَّئُوا وَهُمْ عِجَالٌ فَانْتَهَيْنَا إِلَيْهِمْ وَأَعْقَابُهُمْ تَلُوحُ لَمْ يَمَسَّهَا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ

Maksudnya: “Kami pulang bersama-sama Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Apabila kami sampai ke kawasan air di pertengahan jalan, sekumpulan orang bergegas untuk bersolat Asar. Lalu, mereka berwuduk secara tergesa-gesa. Kami pun menghampiri mereka dan dapati buku lali mereka tidak dibasahi air. Lantas Rasulullah SAW bersabda: Celakalah buku lali mereka disebabkan oleh neraka! Oleh itu, berwuduklah kamu dengan sempurna.”

[Riwayat al-Bukhari 161 dan Muslim 241]

Hadis seterusnya:

‎أَنَّ رَجُلاً تَوَضَّأَ فَتَرَكَ مَوْضِعَ ظُفُرٍ عَلَى قَدَمِهِ فَأَبْصَرَهُ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ارْجِعْ فَأَحْسِنْ وُضُوءَكَ فَرَجَعَ ثُمَّ صَلَّى

Maksudnya: “Seorang lelaki berwuduk dan telah tertinggal basuhan pada kuku kakinya yang dilihat oleh Rasulullah SAW, lalu Baginda bersabda: Ulanglah semula dan berwuduklah dengan sempurna. Lalu dia terus mengulanginya dengan sempurna dan bersolat.”

[Riwayat Muslim 243]

4. INAI YANG DIRAGUI KESUCIANNYA JATUH SYUBHAH & PERLU DITINGGALKAN

Tuntasnya, kami menyarankan kepada semua pihak yang terlibat dalam isu ini agar berhati-hati dan meneliti terlebih dahulu produk yang ingin digunakan. Sekiranya produk tersebut diragui kesuciannya, menyebabkan syubhah dan khususnya membawa kepada terjejasnya hal ehwal ibadat, maka adalah lebih selamat untuk meninggalkannya. Sabda Rasulullah SAW:

‎عَنْ أَبِي عَبْدِ اللهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ: إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدْ اسْتَبْرَأَ لِدِيْنِهِ وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعىَ حَوْلَ الْحِمَى يُوْشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ، أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ

Maksudnya: Dari Abu Abdillah Nu’man bin Basyir r.a beliau berkata, Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak di ketahui oleh kebanyakan orang. Maka, siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang di haramkan. Sebagaimana penggembala yang menggembalakan haiwan ternakannya di sekitar (ladang) yang di larang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah SWT adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh: ketahuilah bahawa dia adalah hati”.

[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahu’aklam.

Sumber Rujukan :
http://ekemusykilan.penang.gov.my/bank_detail.php?id=743

**

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI