
Terbaru, pasukan sepak takraw negara berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara acara kuadran selepas menewaskan India 2-0 pada aksi final Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, malam tadi.
Skuad negara yang dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali (34), Muhammad Shahalril Aiman Halim (24), Amirul Zazwan Amir (31) dan Aidil Aiman Azwawi (29) tampil penuh semangat dengan sorakan hampir 3,000 penyokong yang membanjiri gelanggang keramat yang dikenali sebagai ‘Home of Sepak Takraw’.
Dalam pada itu, anak buah Ahmad Jais Baharun bagaimanapun tidak bermula dengan mudah apabila beberapa kesilapan awal memberi ruang buat India mendahului 4-0 pada set pertama. Namun, skuad negara berjaya bangkit memperkemaskan permainan sebelum mengikat kedudukan 5-5.

Momentum perlawanan terus memuncak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas rejaman dan kutipan mata sehingga kedudukan terikat 15-15. Malaysia akhirnya berjaya mengekalkan ketenangan untuk menutup set pertama dengan kemenangan tipis 17-15.
Memasuki set kedua, skuad negara tampil lebih agresif dan tersusun apabila mendahului 10-7 untuk memberi tekanan kepada barisan pemain India yang dibarisi Ram Kumar Sharma, Yunam Akash, Bobby Kumar dan Sorokhaibam Malemnganba Singh sebelum menamatkan aksi dengan kemenangan 15-10.
Kejayaan itu sekaligus menyaksikan Malaysia dinobatkan sebagai juara dunia acara kuadran buat kali pertama dalam sejarah kejohanan berprestij tersebut dan menghadiahkan trofi sulung buat kem negara di hadapan penyokong sendiri.

Menurut kapten pasukan, Amirul Zazwan mengakui perjalanan Malaysia sepanjang kejohanan bukan sesuatu yang mudah apabila mereka terpaksa berdepan tekanan sejak aksi peringkat kumpulan lagi.
“Saya rasa saingan tahun lepas tidak sekuat saingan tahun ini. Jadi, tahun ini sangat-sangat mencabar bagi diri saya. Kami memang tertekan, sejak awal kami lawan dengan Singapura, permainan kami tak keluar habis,” katanya.
Sementara itu, Thailand turut menamatkan kempen Piala Dunia dengan bergaya apabila muncul juara acara regu selepas menewaskan Myanmar 2-1 dalam aksi final yang berlangsung sengit sehingga ke set penentuan.
Sumber: Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!








