Setelah memuat naik permohonan maaf di atas kekhilafan menjalin kerjasama dengan satu jenama pro-Israel pada hari Khamis, jenama kopi tempatan Zus Coffee tampil melakukan permohonaan maaf susulan pada hari Jumaat.
Ia setelah jenama tersebut menerima pelbagai bentuk kecaman terutamanya dalam kalangan pelanggan setia mereka yang meluahkan kekecewaan dek kolaborasi tersebut.
Ads
Foto Hiasan.
Menerusi hantaran terbaru di platform media sosial, Zus Coffee mengakui kenyataan pertama yang mereka keluarkan semalam gagal menjelaskan pendirian mereka terhadap isu pembunuhan rakyat Palestin beramai-ramai yang sedang berlaku di negara mereka sendiri.
Justeru, Zus Coffee ingin menegaskan bahawa mereka teguh menentang sebarang kezaliman yang berlaku di bumi Palestin dan menyokong perjuangan untuk mendapatkan semula kebebasan Palestin.
Ads
“Kami berjanji untuk lebih berwaspada dalam membuat keputusan di masa hadapan, memastikan ia sentiasa mencerminkan nilai-nilai kami sebagai jenama tempatan Malaysia,” catatnya.
Tinjauan REMAJA di ruanga komen mendapati majoriti netizen berterima kasih terhadap usaha Zus Coffee yang menetapkan pendirian dalam isu konflik yang sedang berlaku sekarang.
Mereka turut berharap ia tidak terjadi lagi di masa hadapan memandangkan Zus Coffee begitu digemari oleh pelanggan Malaysia dek kesedapan minuman yang ditawarkan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, satu kisah menyentuh hati mengenai seorang pelajar MRSM Pengkalan Chepa yang mendapat keputusan cemerlang 9A dalam SPM namun tidak dapat hadir mengambil slip keputusan akibat kekangan kewangan, telah mendapat perhatian Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, beliau meluahkan rasa pilu terhadap nasib pelajar tersebut dan berjanji bahawa MARA akan tampil membantu.
“Pilu mendengar kisah pelajar yatim dan miskin 9A MRSM Pengkalan Chepa tak pergi ambil keputusan SPM sebab kekangan wang.
“MARA akan tanggung pelajar ini sampai universiti hatta ke luar negara,” tulisnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan Ketua Pengarah MARA untuk segera mengumpulkan semua pelajar cemerlang MRSM dari seluruh Malaysia, termasuk penerima bantuan pendidikan MARA (BUDI) dalam kalangan pelajar miskin tegar yang memperoleh keputusan straight A’s.
“InsyaAllah, saya sudah arahkan Ketua Pengarah MARA untuk kumpulkan segera semua pelajar cemerlang MRSM seluruh Malaysia termasuklah penerima bantuan pendidikan MARA (BUDI).
“Dikalangan pelajar miskin tegar yang dapat staight As untuk saya bertemu dan diadakan satu program khas untuk menerangkan peluang-peluang yang MARA akan tawarkan dalam bidang-bidang strategik yang memenuhi keperluan kerjaya masa depan.
“Bagi pelajar-pelajar miskin yang cemerlang seperti ini, MARA akan bimbing mereka untuk sambung pengajian hingga ke luar negara. Sebagaimana yang selalu saya tekankan pada pelajar-pelajar HANYA ILMU SAHAJA BOLEH MERUBAH KEHIDUPAN diri, keluarga dan masyarakat,” coretnya.
Dr Asyraf turut menegaskan komitmen beliau untuk terus memperjuangkan nasib anak-anak bangsa yang kurang bernasib baik.
“InsyaAllah amanah ini akan saya galas untuk membela lebih ramai anak bangsa yang kurang bernasib baik sebelum ini,” katanya lagi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: FB Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol Krismas sebanyak 50 peratus daripada kadar biasa selama dua hari, iaitu pada 23 dan 24 Disember sempena sambutan Hari Krismas. Inisiatif ini sekali gus memberi kelegaan kepada rakyat yang merancang perjalanan pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama keluarga sepanjang musim perayaan.
Pemberian diskaun tol Krismas ini dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan dalam membantu mengurangkan kos perjalanan rakyat, terutamanya ketika tempoh cuti sekolah dan perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan aliran trafik di lebuh raya utama negara.
Siapa Yang Layak & Laluan Terlibat
Diskaun tol Krismas ini diberikan khusus kepada pengguna kenderaan persendirian Kelas 1 di hampir semua plaza tol di seluruh negara. Selain itu, pengguna kenderaan Kelas 2 yang melalui Jambatan Pulau Pinang turut menikmati kemudahan diskaun yang sama.
Walau bagaimanapun, terdapat dua lokasi plaza tol yang tidak terlibat dalam pemberian diskaun ini, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar di Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) serta Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (LINKEDUA).
Peluang Penjimatan Untuk Perjalanan Musim Perayaan
Bagi rakyat yang kerap menggunakan lebuh raya untuk urusan kerja, pulang ke kampung atau percutian keluarga, diskaun tol Krismas ini memberi peluang penjimatan yang signifikan, khususnya bagi perjalanan jarak jauh.
Ihsan Foto : BERNAMA
Kerajaan Tanggung Kos Pampasan RM20.65 Juta
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kerajaan akan menanggung implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM20.65 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat dalam pelaksanaan diskaun tol Krismas ini.
Beliau menjelaskan bahawa inisiatif tersebut bertujuan membantu meringankan kos perjalanan rakyat serta mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kebajikan semua lapisan masyarakat terus terpelihara tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan kepercayaan.
Kurangkan Kesesakan Trafik Musim Perayaan
Pemilihan tarikh pemberian diskaun tol ini juga dibuat bagi membantu menyuraikan aliran trafik sempena musim perayaan dan cuti sekolah. Langkah ini secara tidak langsung dapat mengoptimumkan operasi lebuh raya serta kemudahan hentian Rehat dan Rawat (R&R) di seluruh negara.
Dengan perancangan perjalanan yang lebih teratur, pengguna lebuh raya dapat mengelakkan kesesakan teruk di waktu puncak sekali gus menjadikan perjalanan lebih lancar dan selamat.
Nasihat Keselamatan & Perancangan Perjalanan
Pengguna lebuh raya dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan aplikasi TuJu Highway Navigation App LLM dan MyPLUS-TTA, selain mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA) yang disarankan.
Selain itu, semua pengguna jalan raya diingatkan untuk sentiasa mematuhi had laju, papan tanda serta peraturan jalan raya bagi memastikan keselamatan diri, keluarga dan pengguna lain. Maklumat terkini berkaitan status trafik dan sebarang insiden juga boleh disemak melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atau dengan menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM.
Perjalanan Lebih Jimat & Terancang
Secara keseluruhannya, diskaun tol Krismas ini diharap dapat memudahkan pergerakan rakyat, mengurangkan tekanan kos perjalanan serta menjadikan pengalaman memandu lebih selamat, lancar dan terancang sepanjang tempoh perayaan.
Rakyat disaran memanfaatkan peluang ini sebaiknya dengan merancang perjalanan secara bijak demi keselamatan dan keselesaan semua.
Dek konflik yang bergolak melibatkan serangan di antara negara Iran dan Israel, kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyatakan kesediaan mereka untuk memberi bantuan kepada pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Iran untuk pulang ke tanah air.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sewaktu ditemui media hujung minggu ini turut berkata, para pelajar berkenaan juga akan dibantu untuk menyambung pengajian mereka di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia berdasarkan kursus akademik masing-masing.
KPT kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Luar (KLN) untuk memantau keadaan pelajar Malaysia yang berada di Iran dan kebajikan mereka di sana khususnya ketika berlakunya sebarang krisis seperti yang sedang berlaku sekarang.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir
Usaha itu akan dipergiat meskipun ada segelintir daripada mereka yang tidak berdaftar dengan KPT.
“Mereka merupakan rakyat Malaysia dan dalam keadaan sebegini, adalah kewajipan kita untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan,” katanya.
Apabila ditanya mengenai laporan mengenai beberapa pelajar Malaysia di Iran yang enggan pulang ke tanah air, beliau berkata pihak KPT sudahpun berusaha untuk menghulurkan bantuan kepada mereka.
“KPT tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya pelajar tersebut memilih untuk tidak pulang. Namun, jika mereka berubah fikiran, kita bersedia membantu,” ujarnya lagi.
Sebagai info, seorang pelajar Malaysia yang berada di Iran dalam temubual bersama Astro AWANI Rabu lalu berkata, sebahagian daripada pelajar tempatan yang sedang melanjutkan pengajian di Iran memilih untuk terus kekal di sana.
Pelajar berusia 22 tahun itu memaklumkan keadaan di sana masih terkawal terutamanya di lokasi Qom biarpun talian telekomunikasi seperti internet dan telefon di sana sedikit terganggu akibat serangan yang berlaku.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
JALEN Star Chef 2 menyaksikan persaingan semakin sengit apabila peserta Taylor’s University berdepan cabaran masa, tekanan kamera dan kreativiti dalam menghasilkan hidangan terbaik menuju Grand Finale.