
Pada usia 15 tahun, Loo Yie Bing selayaknya berbangga dengan pencapaiannya di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.
Ini setelah perenang dari Sabah itu mencatatkan kejayaan hatrik ppingat emas menerusi acara renang 100 meter gaya bebas wanita, 50 meter kuak kupu-kupu wanita dan 200 meter gaya bebas wanita; sekaligus mengenepikan saingan perenang yang jauh lebih berpengalaman daripadanya.

Menariknya, atlet kelahiran Kota Kinabalu ini mendedahkan kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil bahawa dirinya pernah menerima tawaran menyertai skuad renang kebangsaan sebanyak dua kali walaupun masih berusia belasan tahun.
“Kali pertama adalah pada tahun 2019. Dan kali kedua beberapa minggu lepas tapi saya tolak.
“Saya mahu fokus kepada pengajian dahulu dan jika berpeluang, (saya) mahu pergi sambung pengajian (dalam jurusan) veterinar di UK (United Kingdom), Australia atau US (Amerika Syarikat),” kata Yie Bing.
Minatnya dalam bidang veterinar ini tercetus setelah pemergian anjing peliharaannya yang diberi nama Chunky pada Jun 2021. Begitupun, Yie Bing tidak serik untuk terus beraksi dalam sukan renang dan akan terus memperbaiki catatan masanya dengan berlatih secara lebih gigih.

Bercakap mengenai pencapaian hatrik emas pada temasya kali ini, Yie Bing gembira apabila dapat menghadiahkan emas kepada negeri Sabah. Namun dia tetap menyimpan sedikit rasa kecewa kerana tidak berjaya memecahkan rekod kebangsaan untuk acara 100 meter gaya bebas wanita yang dilakukannya ketika Kejohanan Peringkat Umur Kebangsaan, Jun lalu.
“Saya rasa saya terlalu menarik nafas dan mengakibatkan pergerakan menjadi perlahan. Mungkin disebabkan saya juga terlalu gementar. Saya tahu saya mempu melakukannya dengan lebih baik,” tambahnya.
Yie Bing kini berbaki tiga lagi acara renang di SUKMA 2022 iaitu acara 50 meter gaya bebas wanita, 50 meter kuak dada wanita dan 100 meter kuak kupu-kupu wanita.
Mampukah Yie Bing untuk terus melakar kejayaan di kolam renang SUKMA ini? Sama-sama kita nantikan.
Sumber : BERNAMA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
”.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bertudung Labuh Bukan Penghalang Jadi Pereka Fesyen, Baiti Mohamed Terima Anugerah Gold UiTM Degree Show

Acara tahunan Pertunjukan UiTM Degree Fashion Show 2024 melabukan tirai baru-baru ini dengan menobatkan pelajar seni reka fesyen, Nur Baiti Mohamed sebagai pemenang anugerah Gold.
Baiti telah mengenepikan 51 orang pelajar lain yang turut menampilkan koleksi tiga rekaan lengkap masing-masing pada acara yang berlangsung di Shah Alam, tempoh hari. Anugerah Silver menjadi milik Muhammad Fikri Mahadi manakala Nur Nelisya Hazelya pula menyambar anugerah Bronze.

Koleksi Baiti telah diilhamkan daripada seni arca seramik ‘Comb Form’ rekaan artis Fenella Elms dan menampilkan kombinasi rona natural, pelbagai garisan serta pergerakan dengan menggunakan material seperti fabrik kanvas serta organza.
Kemenangan Baiti telah ditentukan oleh barisan juri terdiri daripada pengulas fesyen Zaihani; pereka fesyen/pensyarah Jasmi Rejab; pereka fesyen Rico Rinaldi dan pensyarah akademik, Muhammad Khalik.


Menariknya, bukan hanya koleksi Baiti yang mencuri perhatian warganet sejurus kemenangannya diumumkan. Malah, ramai juga tertarik dengan penampilan empunya badan sendiri yang berprinsipkan fesyen sederhana Muslimah sekaligus merobek stereotaip dunia fesyen yang acapkali sinonim dengan gaya pemakaian di luar kotak.
REMAJA menemubual Baiti bagi mendalami minat, usaha keras dan soal pemakaian baginya sebagai seorang pereka fesyen muda serta lebih utama, sebagai seorang remaja Muslimah.
REMAJA (REM): Bagaimana Baiti boleh tertarik untuk mengambil jurusan seni reka fesyen?
BAITI (B): Sebenarnya, saya minat menjahit baju-baju anak patung sejak umur 7 tahun. Mak ayah saya pun nampak minat dan kemahiran saya sehinggalah saya ambil subjek Ekonomi Rumah Tangga (ERT) di sekolah menengah.
Sesudah mengambil subjek sama untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya pun putuskan untuk ambil jurusun Rekaan Fesyen kerana bagi saya, bakat yang ada seperti melukis dan menjahit itu saya hendak bentukkan lagi.
REM: Bagaimana penerimaan keluarga apabila Baiti luahkan impian untuk mengambil jurusan ini?
B: Keluarga saya positif sahaja. Mak ayah saya pun tidak menghalang apa yang minati sekarang kerana mereka faham minat serta kemahiran yang saya ada sejak awal usia. Menginjak usia remaja, impian mereka hanyalah agar saya boleh menjadi seorang pereka fesyen muslimah yang berjaya.

REM: Siapakah inspirasi & idola Baiti dalam bidang fesyen dan mengapa?
B: Saya tiada mana-mana individu tertentu sebagai idola dalam bidang ini. Cuma saya tertarik mengikuti kisah & gaya artis-artis yang telahpun berhijrah seperti Neelofa dan Lisa Surihani. Mereka bagi saya merupakan contoh yang baik untuk anak-anak muda.
REM: Kongsikan persediaan bagi menyiapkan koleksi Degree Show kali ini di bawah bimbingan Encik Faizal Hamid.
B: Persediaan untuk menyiapkan koleksi Degree Fashion Show ini bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal tetapi juga mental. Tempoh persediaan terasa pendek (kerana) banyak cuti. Pensyarah juga menasihati agar kami memulakan rekaan pada cuti semester lagi demi menyiapkan empat pasang baju.
Ada pelajar yang sanggup tidak pulang ke kampung kerana memikirkan tidak sempat siap. Mentaliti kami hanya fikirkan kerja. Tidur itu pun memang tidak cukuplah tetapi kami enggan merungut kerana tahu, inilah pengorbanan untuk menempa kejayaan seperti yang pernah dilakukan oleh pensyarah kami sendiri serta alumni terdahulu. Saya jadikan itu sebagai motivasi diri.
Dari segi konsep di bawah bimbingan Encik Faizal Hamid, beliau sememangnya seorang yang banyak membantu malah mengambil berat terhadap setiap pelajar. Beliau akan selalu ingatkan sekuen model, idea yang banyak.. saya pun saya tidak tahu bagaimana untuk berterima kasih kepada beliau.
REM: Bagaimana Baiti haluan sebagai seorang pereka fesyen selepas menamatkan pengajian?
B: Dahulu, saya pun tidak pasti sekiranya saya benar-benar bersedia untuk menceburi bidang perniagaan fesyen. Ya, ia satu bentuk perniagaan dan itu bukan kemahiran saya. Begitulah saya, kadangkala overthinking kerana kita tidak mampu menilik masa depan.
Cuma saya tetap dengan niat saya untuk kekal dalam industri fesyen dan tidak ‘lari’ selepas menamatkan pengajian. Saya juga tetapkan niat untuk kekal dengan cara pemakaian saya sebegini. Jujurnya, sehingga sekarang tiada pula saya berdepan dengan komen-komen seperti minat tidak selari dengan cara pemakaian muslimah saya.
Saya ambil jurusan fesyen pun bermotif dan tidak melulu. Saya ingin membina nama dalam dunia modest fashion (fesyen sederhana) yang relevan dengan masyarakat di Malaysia malah di peringkat antarabangsa. Saya tiada masalah untuk menggayakan kelompok non-Muslim tetapi masih berpaksikan modest fashion.
REM: Rata-rata ramai tidak menyangka Baiti merupakan seorang fashion student, mungkin disebabkan imej Baiti yang dijaga penuh sopan. Adakah itu persepsi yang biasa diterima oleh Baiti?
B: Ramai sebenarnya tidak percaya. (Ketawa) Orang tanya ambil course apa, saya jawab fesyen lah. Orang tengok saya atas bawah dan berkata, “Lah fesyen? Ingat ambil Quran Sunah..”. Komen-komen itu sudah biasa saya terima. Saya pun dah malas nak jawab. (Ketawa) Jika ada yang bertanyakan soalan sama, saya jawab sahaja course Seni Reka.
Saya tidak malu pun untuk mengaku saya seorang pelajar jurusan Seni Reka Fesyen. Bagi saya, jangan kita hakimi seseorang dari segi pakaian. Kita sendiri lebih tahu diri sendiri dan minat sendiri. Pakaian itu melambangkan karakter peribadi sahaja, yang penting idea kena fresh. Bak kata Encik Faizal, “Idea tu jangan kampung sangat.” Cara pemakaian saya mungkin sebegini tetapi idea saya tetap berfikiran jauh selari dengan trend antarabangsa semasa.
Secara peribadi, tidak perlulah menggelar saya sebagai ‘pereka fesyen Muslimah’. Cukup sekadar digelar seorang pereka fesyen. Noktah.
ARTIKEL BERKAITAN: Konsert Filomuzika: Kaleidoscope 2024 Platform Danial Chuer Raikan Bakat Pelajar ‘Music Composition’ UiTM – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Berjaya Ikut Jejak Kakak, Graduan Ini Turut Dinobatkan Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja UPM

Setiap usaha pasti membuahkan hasil…
Menjadi salah seorang penerima anugerah istimewa yang diberikan universiti ketika majlis konvokesyen adalah impian setiap mahasiswa. Sama seperti gadis ini, hasrat empat tahun lepas untuk berdiri di atas pentas gah sewaktu bergraduasi menjadi kenyataan apabila dirinya menerima anugerah khas universiti.
Misha Nanthakumar, seorang graduan jurusan Pentadbiran Perniagaan ini telah dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Pelajaran DiRaja pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-46. Sememangnya ia adalah suatu detik terindah buat gadis ini sepanjang bergelar pelajar.

Mengikut jejak langkah kakak tercintanya, Dusha Nanthakumar, yang turut menjadi penerima anugerah tersebut pada Majlis Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tahun lalu, Misha menitipkan kesyukuran kerana dapat membuatkan kedua-dua ibu bapanya berbangga dengan pencapaian tertingginya itu.
Sehubungan itu, dia sempat merakamkan penghargaan buat semua yang terlibat dalam menyokong perjalanan sepanjang pengajiannya di universiti hebat itu sehingga meraih anugerah yang paling diimpikan setiap penuntut universiti berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua Graduan Berbeza Bangsa Kongsi Pentas Terima Anugerah Pelajaran DiRaja UM

“Saya amat bersyukur di atas keistimewaan menerima anugerah ini daripada DYMM Canselor DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Anugerah ini pastinya menggambarkan sentimen keluarga yang tinggi kepada saya kerana menjadi anak bongsu dalam keluarga menerima Anugerah Pendidikan Diraja, selepas kakak saya.
“Kedua, saya rasa rendah diri untuk berkongsi penghormatan dengan ibu bapa saya di atas pentas semasa menerima anugerah ini. Sebelum ini, ayah saya juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana di UPM . Oleh itu, detik-detik dia naik ke atas pentas bersama anak perempuannya, memberikan kebahagiaan kepada saya.
“Saya sangat bersyukur atas nikmat ini, terima kasih semesta! Dari lubuk hati saya, untuk pencapaian ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah ada untuk membimbing, memberi inspirasi serta menyokong sepanjang perjalanan saya. Ia sangat bermakna dan saya sangat menghargainya. Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan saya,” coretnya panjang Instagram.
Menerusi perkongsiannya yang lain, Misha turut berkongsi beberapa input yang diperoleh selain pelajaran sepanjang kehidupannya berada di universiti tersebut.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Misha Nantha
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
“Kesempurnaan Memerlukan Praktik, Bukan Sekadar Teori..” Kebolehan Berbahasa Melayu Jadikan Kimberly Chuah UNIK – Isu Digital Ogos 2023

Sudah tangan bertuah, mumbang ditanam tumbuh juga.
Ya, itulah pepatah yang sesuai bagi pemilik nama penuh Kimberly Chuah Ching Li; anak seni tempatan berbangsa Cina yang kian meningkat naik dalam industri seni hiburan. Berbekalkan minat, potensi dan semangat yang dimiliknya, tidak keterlaluan jika kami ramalkan Kimberly bakal berdiri sama tinggi, duduk sama rendah setanding dengan pelakon muda berkaliber yang kini mewarnai industri.
Bertatih perlahan-lahan, kehadirannya semakin dirasai langkah demi langkah selepas menamatkan perjalanannya dalam program pencarian Dewi Remaja 2022 pada kedudukan tempat ketiga. REMAJA raikan Kimberly Chuah sebagai salah seorang personaliti pilihan kempen Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2023.
penyelaras REMAJA arahan seni & penata gaya FZ AIMMAN pembantu penyelaras & rekaan grafik NORZIAH teks FATH ABU BAKAR jurufoto AKMAR AZIMI penerbit video MAYA DEEN & SURIA AMIRA solekan & dandanan AYANG KAMELL persalinan SUPERDRY penghargaan lokasi SEKOLAH SENI MALAYSIA KUALA LUMPUR
Kefasihan Kimberly dalam berbahasa Melayu boleh dikatakan merupakan salah satu keunikan dominan yang ada padanya sekali gus menjadi ‘punca’ rezeki buat Kimberly terus menyemai nama menerusi naskhah yang ditonton rata-rata oleh penonton berbangsa Melayu.
Menurut Kimberly, sejak kecil lagi dirinya sudah dibesarkan untuk fasih berbahasa Melayu dan secara tidak langsung dirinya sudah sinonim dengan persekitaran berbilang kaum. Kebolehan ini menjadi satu titik tolak untuknya terus memahat nama menerusi siri drama dan telefilem bersama pemain industri tempatan terkenal.
“Boleh dikatakan tiada masalah langsung kerana saya fasih berbahasa Melayu sejak kecil. Saya pula bersekolah kebangsaan di mana saya sudah biasa bergaul dengan semua kaum.
“Dulu tidak ramai (pelakon berbangsa Cina yang aktif memasuki industri seni berbahasa Melayu) tetapi kini semakin ramai pelakon bukan Melayu yang muncul. Jujurnya, kebolehan berbahasa Melayu ini adalah keunikan dan kelebihan bagi kami (selebriti berbangsa Cina di Malaysia). Bak kata orang, practice makes perfect. Kesempurnaan memerlukan kita untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajari. Jika sekadar teori sahaja yang mengisi ruang minda tanpa mempraktikkan bahasa kebangsaan kita, sayang sekali.
“Oleh itu, saya menganggap kebolehan bertutur dalam bahasa Melayu sebagai keunikan serta kekuatan pada diri. Bahkan, saya bangga apabila terus-menerus diberikan peluang berlakon dalam drama Melayu,” kata gadis kelahiran Kuala Lumpur ini.
Selain memainkan watak di depan kamera, siapa sangka Kimberly juga mempunyai bakat terpendam dan mampu melontarkan bait-bait lagu rap secara lancar dalam bahasa Melayu! Pernah suatu ketika sewaktu mengikuti uji bakat pencarian Dewi Remaja 2022 di Pulau Pinang, klip pendek yang dimuat naik oleh REMAJA bertukar tular apabila warganet terpegun dengan caranya mempersembahkan lagu bergenre rap.
Menurut Kimberly, bakat terpendam ini mungkin sekali diasah sewaktu di bangku sekolah apabila dia seringkali menyertai aktiviti di luar bilik darjah seperti berdebat.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak Kisah Dilaber Kolot, Cikgu Tari Tular Farees Asri Pertahankan Seni Budaya Menerusi Lensa Media Sosial

Kitalah Pengganti
Disoal apa yang difahaminya mengenai erti Saya #RemajaMalaysia bersempena kempen REMAJA yang sudahpun memasuki edisi kelimanya tahun ini, penulis amat tertarik dengan huraian milik Kimberly. Tentunya setiap orang mempunyai interpretasi berbeza di ruang fikiran masing-masing.
Bagi Kimberly yang mengambil berat soal pelapis yang bakal menggantikan tokoh-tokoh ternama di Malaysia dewasa kini, dia menyifatkan Remaja Malaysia adalah golongan yang bakal memberi idea bernas dalam memperjuang setiap pelbagai perkara mengikut peredaran zaman.
“Remaja adalah tonggak dan pelapis negara. Saya harus tekankan bahawa generasi maa kini wajar melatih diri untuk memperbaiki skil dan cara pemikiran agar mereka terus bangkit demi negara tercinta. Sekiranya ada yang musykil siapakah bakal menggantikan tempat duduk panas bagi memimpin negara, jawapannya adalah kita semua yang masih muda.
“Bukan bermakna jasa tokoh-tokoh negara sudah dilupakan tetapi saya percaya negara memerlukan idea dan generasi baharu untuk memperjuangkan setiap perkara yang baharu,” ujarnya lagi.

‘Minat muzik, tapi impian terbesar adalah berlakon’
Mengenali gadis ini sejak dia melangkah masuk ke pencarian Dewi Remaja 2022, Kimberly sama sekali tidak pernah gagal untuk melontarkan senyuman manisnya saat bertemu. Tidak pernah mendongak ke langit jadi rahsia dirinya disenangi orang di sekeliling.
Bukan sekadar berbakat menerusi lakonan, Kimberly juga hebat dalam menyampaikan lagu-lagu rap.
Kongsinya, jiwa anak seni yang perlu sentiasa bersedia untuk menghiburkan khalayak ramai sentiasa mengalir dalam dirinya. Biarpun dia secara peribadinya sentiasa menadah tangan dengan luas andai kata sudah tertulis rezekinya menceburi bidang baharu seperti muzik termasuklah genre rap; buat masa ini Kimberly selesa memahat nama sebagai seorang pelakon yang disegani terlebih dahulu
Benar, dunia digital dan media sosial membolehkan bakat-bakat baharu mengorak langkah ibarat tumbuhnya cendawan selepas hujan. Kendatipun, itu bukanlah cabaran utama Kimberly dalam melebarkan sayapnya lebih tinggi dalam arena seni tanah air, malah dia tetap positif dan percaya kepada rezeki.
“Kali pertama saya menjejakkan kaki dalam industri, matlamat saya hanya satu iaitu untuk melihat sejauh mana saya boleh teroka. Kita semua pun tidak tahu rezeki seluas mana dalam sesuatu bidang. Jadi mulai saat ini, saya akan terus berusaha agar mampu mencapai ke aras yang lebih tinggi.
“Saya turut berharap usaha yang saya semai bagi tahun-tahun berikutnya akan membuahkan hasilnya,” katanya sebagai penutup kalam.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

