Acara tahunan Pertunjukan UiTM Degree Fashion Show 2024 melabukan tirai baru-baru ini dengan menobatkan pelajar seni reka fesyen, Nur Baiti Mohamed sebagai pemenang anugerah Gold.
Baiti telah mengenepikan 51 orang pelajar lain yang turut menampilkan koleksi tiga rekaan lengkap masing-masing pada acara yang berlangsung di Shah Alam, tempoh hari. Anugerah Silver menjadi milik Muhammad Fikri Mahadi manakala Nur Nelisya Hazelya pula menyambar anugerah Bronze.
Nur Baiti Mohamed diapit oleh model dalam pertunjukan fesyen koleksinya.
Koleksi Baiti telah diilhamkan daripada seni arca seramik ‘Comb Form’ rekaan artis Fenella Elms dan menampilkan kombinasi rona natural, pelbagai garisan serta pergerakan dengan menggunakan material seperti fabrik kanvas serta organza.
Kemenangan Baiti telah ditentukan oleh barisan juri terdiri daripada pengulas fesyen Zaihani; pereka fesyen/pensyarah Jasmi Rejab; pereka fesyen Rico Rinaldi dan pensyarah akademik, Muhammad Khalik.
Menariknya, bukan hanya koleksi Baiti yang mencuri perhatian warganet sejurus kemenangannya diumumkan. Malah, ramai juga tertarik dengan penampilan empunya badan sendiri yang berprinsipkan fesyen sederhana Muslimah sekaligus merobek stereotaip dunia fesyen yang acapkali sinonim dengan gaya pemakaian di luar kotak.
REMAJA menemubual Baiti bagi mendalami minat, usaha keras dan soal pemakaian baginya sebagai seorang pereka fesyen muda serta lebih utama, sebagai seorang remaja Muslimah.
REMAJA(REM): Bagaimana Baiti boleh tertarik untuk mengambil jurusan seni reka fesyen?
BAITI (B): Sebenarnya, saya minat menjahit baju-baju anak patung sejak umur 7 tahun. Mak ayah saya pun nampak minat dan kemahiran saya sehinggalah saya ambil subjek Ekonomi Rumah Tangga (ERT) di sekolah menengah.
Sesudah mengambil subjek sama untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya pun putuskan untuk ambil jurusun Rekaan Fesyen kerana bagi saya, bakat yang ada seperti melukis dan menjahit itu saya hendak bentukkan lagi.
Ads
REM:Bagaimana penerimaan keluarga apabila Baiti luahkan impian untuk mengambil jurusan ini?
B: Keluarga saya positif sahaja. Mak ayah saya pun tidak menghalang apa yang minati sekarang kerana mereka faham minat serta kemahiran yang saya ada sejak awal usia. Menginjak usia remaja, impian mereka hanyalah agar saya boleh menjadi seorang pereka fesyen muslimah yang berjaya.
Baiti menerima Anugerah Gold di acara peragaan UiTM Degree Fashion Show 2024 sekaligus mengenepikan 51 orang pelajar lain.
REM: Siapakah inspirasi & idola Baiti dalam bidang fesyen dan mengapa?
B: Saya tiada mana-mana individu tertentu sebagai idola dalam bidang ini. Cuma saya tertarik mengikuti kisah & gaya artis-artis yang telahpun berhijrah seperti Neelofa dan Lisa Surihani. Mereka bagi saya merupakan contoh yang baik untuk anak-anak muda.
REM: Kongsikan persediaan bagi menyiapkan koleksi Degree Show kali ini di bawah bimbingan Encik Faizal Hamid.
B: Persediaan untuk menyiapkan koleksi Degree Fashion Show ini bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal tetapi juga mental. Tempoh persediaan terasa pendek (kerana) banyak cuti. Pensyarah juga menasihati agar kami memulakan rekaan pada cuti semester lagi demi menyiapkan empat pasang baju.
Ads
Ada pelajar yang sanggup tidak pulang ke kampung kerana memikirkan tidak sempat siap. Mentaliti kami hanya fikirkan kerja. Tidur itu pun memang tidak cukuplah tetapi kami enggan merungut kerana tahu, inilah pengorbanan untuk menempa kejayaan seperti yang pernah dilakukan oleh pensyarah kami sendiri serta alumni terdahulu. Saya jadikan itu sebagai motivasi diri.
Dari segi konsep di bawah bimbingan Encik Faizal Hamid, beliau sememangnya seorang yang banyak membantu malah mengambil berat terhadap setiap pelajar. Beliau akan selalu ingatkan sekuen model, idea yang banyak.. saya pun saya tidak tahu bagaimana untuk berterima kasih kepada beliau.
REM: Bagaimana Baiti haluan sebagai seorang pereka fesyen selepas menamatkan pengajian?
B: Dahulu, saya pun tidak pasti sekiranya saya benar-benar bersedia untuk menceburi bidang perniagaan fesyen. Ya, ia satu bentuk perniagaan dan itu bukan kemahiran saya. Begitulah saya, kadangkala overthinking kerana kita tidak mampu menilik masa depan.
Cuma saya tetap dengan niat saya untuk kekal dalam industri fesyen dan tidak ‘lari’ selepas menamatkan pengajian. Saya juga tetapkan niat untuk kekal dengan cara pemakaian saya sebegini. Jujurnya, sehingga sekarang tiada pula saya berdepan dengan komen-komen seperti minat tidak selari dengan cara pemakaian muslimah saya.
Ads
Saya ambil jurusan fesyen pun bermotif dan tidak melulu. Saya ingin membina nama dalam dunia modest fashion (fesyen sederhana) yang relevan dengan masyarakat di Malaysia malah di peringkat antarabangsa. Saya tiada masalah untuk menggayakan kelompok non-Muslim tetapi masih berpaksikan modest fashion.
REM: Rata-rata ramai tidak menyangka Baiti merupakan seorang fashion student, mungkin disebabkan imej Baiti yang dijaga penuh sopan. Adakah itu persepsi yang biasa diterima oleh Baiti?
B: Ramai sebenarnya tidak percaya. (Ketawa) Orang tanya ambil course apa, saya jawab fesyen lah. Orang tengok saya atas bawah dan berkata, “Lah fesyen? Ingat ambil Quran Sunah..”. Komen-komen itu sudah biasa saya terima. Saya pun dah malas nak jawab. (Ketawa) Jika ada yang bertanyakan soalan sama, saya jawab sahaja course Seni Reka.
Saya tidak malu pun untuk mengaku saya seorang pelajar jurusan Seni Reka Fesyen. Bagi saya, jangan kita hakimi seseorang dari segi pakaian. Kita sendiri lebih tahu diri sendiri dan minat sendiri. Pakaian itu melambangkan karakter peribadi sahaja, yang penting idea kena fresh. Bak kata Encik Faizal, “Idea tu jangan kampung sangat.” Cara pemakaian saya mungkin sebegini tetapi idea saya tetap berfikiran jauh selari dengan trend antarabangsa semasa.
Secara peribadi, tidak perlulah menggelar saya sebagai ‘pereka fesyen Muslimah’. Cukup sekadar digelar seorang pereka fesyen. Noktah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Malaysia memulakan kempen Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 dengan langkah positif selepas menuai dua pingat gangsa pada hari pertama saingan yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway pada Selasa.
Kilauan gangsa itu disumbangkan masing-masing dua atlet yang membuat debut iaitu Ethan Damian Goh dalam acara individu lelaki dan Qurratu’ain Izdihar Mohd Pozi bagi kategori individu wanita.
Ethan hampir mencipta kejutan apabila menampilkan aksi konsisten dengan melakar 224, 225, 202, 226 dan 245 mata untuk merampas kedudukan pendahulu selepas lima permainan.
Kredit: Bernama
Walau bagaimanapun, atlet berusia 14 tahun itu gagal meneruskan rentak pada permainan terakhir apabila sekadar meraih 186 mata sekali gus terpaksa akur mengakhiri saingan di tempat ketiga dengan keseluruhan 1,308 jatuhan pin.
“Saya sangat gembira dan juga teruja, terima kasih kepada semua yang menyokong dan membantu saya. Saya memang sedih sedikit (hilang kedudukan pertama) tetapi tak mengapa dapat tempat ketiga, sekurang-kurangnya tiga terbaik” – Ethan
Pada masa sama, Ethan yang akan beraksi dalam acara beregu pada Rabu dan berpasukan pada Khamis mengakui saingan dihadapinya sangat sengit dan perlu lebih bijak dalam membuat keputusan pertukaran bola dalam baki saingan selepas ini.
Dalam pada itu, wakil Singapura A Nura Salsabila Zulkifli mendominasi saingan wanita apabila menggondol pingat emas selepas mengumpul keseluruhan 1,395 jatuhan pin.
Tempat kedua menjadi milik atlet Singapura B Ella Tan (1,322) dan ketiga Qurratu’ain Izdihar (1,274) yang mewakili Malaysia B.
“Pada mulanya saya tidak sangka mampu menang sebab saya berusaha keras pada tiga perlawanan pertama dan selepas perlawanan ketiga saya membuat keputusan untuk tukar bola dan ia beri saya impak yang baik seterusnya mengekalkan guna bola yang sama,” kata Qurratu’ain Izdihar yang berusia 16 tahun dan turut akan beraksi dalam acara beregu dan berpasukan.
Sementara itu, menurut jurulatih kebangsaan Azidi Ameran, kedua pemain itu adalah pemain baru dan jarang dikeluarkan untuk bersaing. Jadi pencapaian mereka dengan membawa pulang dua (2) gangsa itu cukup baik dan membanggakan.
Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-23 dari 16 hingga 23 Jun ini disertai 14 pasukan antaranya Malaysia, Australia, Singapura, China, Indonesia, Kuwait, Qatar, Arab Saudi, Macau dan Pakistan.
Sumber: BERNAMA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bagaikan srikandi menjulang nama negara ke peringkat tertinggi…
Empat pelajar Sekolah Menenangah Kebangsaan (Agama) Kuala Selangor berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila mereka meraih pingat emas dan juga Anugerah Khas Produk Inovasi Terbaik Keseluruhan Untuk Kategori Pencipta Muda Hadiah Bandaraya Nuremberg di Pameran Perdagangan Antarabangsa, Penciptaan Produk dan Idea Baharu (IENA) 2022.
Ahli pasukan SMKA Kuala Selangor terdiri daripada para pelajar berusia 16 tahun iaitu Athirah Ahmad Hisshamuddin, Raja Dhia Nazneen Insyirah Raja Mohd Aman Shah, Nur Damia Bisyara Muhammad Imran dan Sarah Ardinie Khairul Faizi. Mereka dibimbing oleh guru berpengalaman iaitu Mohd Ridzuan Mohammad dan Mohd Zulhelmi Mansor.
Kejayaan sekolah ini di arena antarabangsa menarik perhatian Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri. Dalam satu hantaran di Facebook, Perdana Menteri Malaysia kesembilan itu menitip kata semangat dan rasa bangganya terhadap para pelajar.
“Tahniah pasukan Master- H ECS dari Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Kuala Selangor kerana berjaya meraih pingat emas dan Anugerah Khas Produk Inovasi Terbaik Keseluruhan Untuk Kategori Pencipta Muda Hadiah Bandaraya Nuremberg di Nuremberg, Jerman, semalam.
“Tahniah kepada ahli-ahli pasukan terdiri daripada Athirah Ahmad Hisshamuddin, Raja Dhia Nazneen Insyirah Raja Mohd Aman Shah, Nur Damia Bisyara Muhammad Imran dan Sarah Ardinie Khairul Faizi.
“Saya difahamkan pasukan ini telah menewaskan 490 pasukan dari 250 sekolah di seluruh dunia dalam Pameran Perdagangan Antarabangsa, Penciptaan Produk dan Idea Baharu (iENA) 2022 ini. Syabas saya ucapkan!
“Semoga kejayaan pasukan SMK (A) Kuala Selangor ini akan menjadi penyuntik semangat kepada pelajar-pelajar lain untuk turut terlibat dalam inovasi dan rekacipta sehingga menggapai kejayaan,” ujarnya panjang menerusi hantaran tersebut
Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, IENA ialah pameran inovasi tertua di dunia yang dipertandingkan sejak lebih 70 tahun lalu bersempena pameran perdagangan yang mengetengahkan pelbagai ciptaan dan inovasi baharu terbesar di dunia.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Siapa sangka, anak Malaysia berusia 13 tahun kini menjadi perhatian dunia selepas menamatkan musim perlumbaan ESBK Talent 2025 dengan penuh bergaya di Litar Estoril, Portugal minggu lalu.
Nama Qabil Irfan Azlan mungkin pernah dikenali hanya dalam kalangan kecil peminat MiniGP dua tahun lalu, tetapi hari ini podium nombor satu sudah jadi ‘rumah keduanya’. Bahkan lebih manis, gelaran juara keseluruhan ESBK Talent 2025 hadir lebih awal daripada jangkaan!
Dengan enam kemenangan musim ini dan kutipan 252 mata, Qabil meninggalkan pencabar Eropah jauh ke belakang. Sekaligus membuktikan pelumba muda Malaysia bukan sahaja mampu bersaing, malah mendominasi di bumi orang.
“Sejak Qabil berusia empat tahun lagi saya nampak bakatnya. Dari hari itu, saya nekad buat apa saja untuk bantu dia. Kadang-kadang terpaksa berkorban apa yang ada,”
– Lan Jawa, ayah Qabil.
Kisah Pengorbanan Seorang Ayah
Di sebalik kehebatan Qabil di atas litar, ada seorang ayah yang menjadi tulang belakang sejak hari pertama. Azlan Abdul Rahman atau mesra disapa Lan Jawa, bukan sekadar penyokong. Beliau sanggup menjual dua kereta kesayangannya demi memastikan perjalanan anaknya tidak terhenti separuh jalan.
Dia adalah jurulatih, mentor dan sahabat kepada Qabil. Setiap kali anaknya terjatuh, dialah yang menghulur tangan. Setiap kali Qabil kecewa, dialah yang meniup semangat untuk bangkit kembali.
“Saya bersyukur pada Allah kerana memberi rezeki ini. Terima kasih semua yang mendoakan Qabil, terima kasih pada sahabat yang menyokong daripada awal. Alhamdulillah, saya lega melihat hasilnya hari ini,”
– Lan Jawa.
Bukan Sekadar Kejuaraan
Bagi Qabil sendiri, setiap piala bukan sekadar miliknya, tetapi milik ayah dan semua yang percaya sejak langkah pertamanya. Dan buat Lan Jawa, kemenangan anaknya lebih besar daripada sekadar kejuaraan — ia adalah tanda bahawa setiap titik peluh dan pengorbanan tidak sia-sia.
“Dua minggu itu hanya tentang dia. Masak bersama, buat aktiviti bersama… semua dilakukan bersama untuk kurangkan tekanan. Saya beri fokus sepenuhnya pada dia,” jelas Lan Jawa tentang rutin mereka di Eropah.
Kini, nama Qabil Irfan bukan sahaja harum di tanah air, tetapi sudah menggegarkan dunia. Di balik sorakan kemenangan, kisah kasih sayang seorang ayah dan pengorbanannya akan terus jadi inspirasi buat remaja Malaysia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik. SUMBER: Harian Metro
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!