
Allah adalah sebaik-baik perancang. Kepada dia kita datang dan kepada dia kita kembali. Ternyata ajal maut, jodoh pertemuan sudah tertulis sejak di alam roh lagi.
Semalam warga kerja Les’ Copaque Production menerima berita sedih apabila pelukis papan cerita @ storyboard, Fairul Haida Abdul Rahim meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Arwah dikatakan dalam perjalanan bertemu keluarganya di penghujung Syawal namun ajal memisahkannya terlebih awal. Dalam satu kenyaataan di fb, pihak Les’ Copaque memaklumkan berita sedih ini. Malah rakan-rakan seperjuangan arwah turut memuat naik berita ini. Arwah juga sudah selamat dikebumikan selepas Zuhur semalam.
Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.
Pagi ini dikejutkan dengan berita kematian kawan sepejabat kami, Digigeng Taka AnimAffect / Fairul Haida Binti Abdul Rahim selepas terlibat dengan satu kemalangan berhampiran Sungai Bakap.
Rasa sangat terkesan dengan berita kematian beliau kerana kami hanya duduk sebelah menyebelah di pejabat, dan baru sahaja kami berborak semalam mengenai beberapa topik menarik. Tak sangka semalam adalah detik terakhir kami sepejabat dengan arwah.


Sesungguhnya kematian boleh hadir dalam keadaan yang kita tak sangka, dan jika kita tidak bersedia untuknya, kita berpotensi untuk tergolong di kalangan orang2 yang rugi. Maka hargai setiap detik kita bersama sesiapa sahaja. Kerana ianya mungkin boleh menjadi detik terakhir antara kita dan kawan2 kita!
Saya nak memohon jasa baik kawan2 saya di sini agar boleh meluangkan masa seketika mendoakan beliau dengan ucapan seperti di bawah.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنْهَا.
“Ya Allah. Engkau berilah keampunan baginya, dan limpahkan rahmat kepadanya, dan selamatkan dia dan dan maafkan kesalahannya."
Semoga ang tenang kat sana Fairul. Amin.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
BONGKAR : Port Mana Paling Panas Basikal oBike Curi DiSimpan?, Amaran Polis Boleh Kena Penjara 5 Tahun!

oBike! Ramai tahu atau tak mahu ambil tahu!. Tapi kalau sebut basikal berwarna kuning + kelabu yang banyak dilihat di beberapa lokasi spot di ibu kota, basikal ini disediakan bagi memudahkan rakyat Malaysia menggunakannya.
Sebelum boleh mengayuhnya, perlu pergi ke aplikasinya, muat turun dan ikut arahan diberi. Bagi orang dewasa perlu membayar cagaran RM129 manakala kanak-kanak RM79 yang akan dipulangkan semula. Chargenya, RM1 bersamaan 15 minit penggunaan.
Disebalik kemudahan diberikan, timbul isu vandalisme. Ada basikal ditemui dalam longkang, sudah dibaraikan dengan pelbagai kerosakan dan lain-lain masalah.


Ada yang begitu selamba merosakkan sistem pengesannya, GPS hanya mengetuknya dengan batu. Tak kurang juga ada lebih berani, memotong besi yang mengunci basikal.
Remaja membuat tinjauan di beberapa lokasi panas di ibu kota di mana basikal curi ini disimpan. Jangan terperanjat kerana beberapa perumahan yang diperuntukkan untuk golongan berpendapatan rendah menjadi port panas mereka menyimpannya dengan selamba sekalipun tahu basikal itu barangan curi.
Jika sebelum ini ramai yang mengutuk kurangnya kesedaran sivik tetapi hakikatnya, sebahagian masyarakat Malaysia belum bersedia untuk menanam sikap “hak orang hak orang sebaliknya kekal dengan sikap “hak orang hak aku”.
Siasatan yang dilakukan di beberapa lokasi antaranya Universiti Malaya, Amcorp Mall, Taman Dato Haron, Taman Medan, Jalan Klang Lama, Kampung Pasir Kiri, Kampung Pasir Kanan, PPR Cempaka, Kampung Dato Tatah, PPR Blok 100, Kampung Limau, PPR Kerinchi dan Kondo Rakyat Pantai Hill Park mendapati, basikal ini selamba dikayuh oleh sekumpulan remaja dan bila ditahan sebelum disoal, didapati sistem GSP basikal ini sudah dipecahkan dengan batu. Semudah itu saja! Patutlah mereka mengayuhnya dengan selamba.

Lebih pelik lagi, golongan dewasa yang sepatutnya menjadi pelindung atau perlu menegur, hanya memandang sepi dengan sebelah mata kerana bukan anak mereka mengayuhnya.
Remaja berjaya menjejaki sekumpulan remaja berusia di antara 15-16 tahun yang sudi menceritakan bagaimana mereka menemui basikal ini dan bagaimana mereka mencurinya. Jangan terkejut kerana pendedahan ini sebenarnya adalah realiti sebenar dunia remaja yang mungkin tidak memahami bahawa mereka sudah melakukan jenayah apabila menunggang basikal ini.
Sekumpulan remaja ini mengakui mereka menjumpai basikal ini di tepi jalan yang sudah pun rosak. Kata seorang darinya, mereka hanya perlu mengetuk batu berkali-kali di sistem GPS dan secara automatik, kunci basikal akan terbuka.

Jenayah ini banyak berlaku di PPR Kerinchi dan hasil perbualan Remaja bersama remaja ini, katanya orang dewasa yang merosakkannya terlebih dahulu.
“Banyak mereka simpan di bawah blok. Ada yang sorok, ada biarkan di lokasi terbuka,” kata seorang darinya.
Ditanya, ada takut ke tak menunggang basikal curi ini, ada jawapan ya. Sebahagian lagi mengatakan tidak.
Demi melengkapkan siasatan, Remaja memulakan penyiasatan di Universiti Malaya. Mungkin kerana sudah matang, basikal ini elok diletakkan di kawasan dikhaskan namun ada sebahagiannya bersepah. Namun itu tidak menjadi soal kerana polisi oBike sendiri membenarkan basikal ini diletakkan di mana-mana kemudahan.

Tinjauan di sekitar bandar Petaling Jaya mendapati tiada lagi basikal longgokan basikal ini kerana September lalu pihak Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) sudah menyita beratus basikal oBike kerana tidak memiliki lesen.
Tinjauan diteruskan ke LRT Amcorp Mall sebelum berpatah ke Taman Dato Haron dan Taman Medan, Petaling Jaya. Dalam satu temubual dengan seorang peniaga di situ, katanya minggu lalu dia ternampak sebiji basikal oBike di tempatnya berniaga tetapi kini sudah dibawa pergi oleh sebuah lori (berkemungkinan kontraktor yang dilantik mengutip basikal yang ditinggalkan oleh pengguna).

Tinjauan diteruskan sehinggalah Remaja singgah di PPR Cempaka dan kenyataan dari sebahagian kanak-kanak di situ cukup memeranjatkan.

Jika di PPR Kerinchi menggunakan batu untuk merosakkan sistem GPS, di PPR Cempaka pula menggunakan mesin untuk memotong besi yang mengunci basikal. Wow, kreatif betul dia orang niekan. Berlonggok basikal yang sudah rosak dibiarkan di taman permainan.
Di sebalik isu vandalisme dan memiliki barang curi, mungkin sebahagian remaja tidak mengetahui bentuk hukuman bakal mereka terima jika kes kecurian ini dilaporkan dan mereka tertangkap ketika sedang menunggangnya.

Temubual bersama Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak memaklumkan, di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan, mana-mana yang memiliki barang curi, hukuman penjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
“Nasihat saya, jangan memilki barang curi atau menyimpan barangan yang tidak diketahui dari mana puncanya. Kesalahan ini satu jenayah dan saya menasihati remaja, agar tidak menyimpan sebarang barangan dicurigai dari mana datangnya. Remaja seharusnya tahu adalah menjadi kesalahan kalau mereka menyimpan barang curi,”katanya penuh tegas
Apa yang dapat disimpulkan dalam isu basikal oBike ini, semua pihak harus bertanggungjawab dalam menasihati golongan remaja. Jika salah, nyatakan apa kesalahan mereka. Jangan pandang sebelah mata.
Kepada pihak oBike pula, mungkin boleh memperbaiki lagi sistem keselamatan di basikal kerana terlalu mudah dicuri oleh remaja dan kanak-kanak yang pemikirannya pun belum matang. Atau mungkin juga deposit RM129 untuk dewasa dan RM79 untuk kanak-kanak boleh dikurangkan lagi demi membolehkan semua kanak-kanak menikmatinya tanpa perlu membayar satu jumlah tinggi.
Sudah tentu mereka tiada wang dan perlu meminta kebenaran ibu bapa. Secara tak langsung, jika tiada bayaran cagaran, mungkin lebih ramai remaja boleh menikmatinya tanpa perlu melakukan jenayah vandalisme.
WAJIB TONTON VIDEO INI!
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
eCurve Bakal Tamatkan Operasi 31 Mac Ini?

Bagi yang membesar di kawasan Lembah Klang, pusat membeli belah eCurve pastinya memiliki nostalgia kepada diri masing-masing. Suatu ketika dahulu pusat membeli belah ini tidak pernah sunyi dengan kunjungan orang ramai terutamanya dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan.
Terbaru dalam sebuah hantaran di laman Facebook Malaysia Shopping Mall menerusi info yang diberikan oleh penyewa di dalam pusat membeli belah tersebut. “Sangat terkejut apabila menerima notis verbal dari pengurusan eCurve yang pusat membeli belah ini akan ditutup pada 31 Mac yang akan datang.

“Rakan-rakan yang suka mengunjungi dari satu bar ke satu bar yang lain tidak lagi memilih Curve Street sebagai lokasi pilihan selepas banyak lagi lokasi baru seperti Sunway Giva, Scott Garden, Trec KL dan banyak lagi lokasi untuk minum yang baru.
“Sekali lagi, semoga semua tuan kedai dan juga penyewa kuat. Masa yang sukar ini tidak akan kekal lama, jom kita kekal Bersatu dan kuat melawan masalah ini. Kami menunggu eCurve dibuka semula dan proses penjenamaan semula di lakukan dengan baik,” menurut kenyataan itu.

Walaupun tiada kenyataan rasmi dari mana-mana laman digital eCurve. Menerusi laporan KL Foodie, beberapa penyewa lain sudah mengesahkan penutupan ini seperti Ampang Superbowl yang mengumumkan perkara itu di laman Facebook rasmi mereka. Penyewa lain seperi The Northface dan Bratpack juga telah memuatnaik status yang mereka sedang mengadakan jualan pindah keluar.
***P/S – Banyak kenangan penulis di sini. Sebelum pandemik banyak acara media dilakukan di pusat membeli belah ini termasuklah sesi pra-tonton filem terbaru. Rindunya suasana sebelum pandemik Covid-19!
Sumber: Facebook Malaysia Shopping Mall & KL Foodie
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
10 Hari Bertarung Nyawa Di ICU, Isteri Lega Suami Sudah Sedar & Tunjuk Reaksi Positif

Tiada apa lebih menggembirakan apabila mendapat khabar berita, orang dikasihi mulai menunjukkan reaksi positif selepas lebih seminggu bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur akibat dijangkiti COVID-19.
Bagi Chef Suhaili Mohd Noor, jika 10 hari lalu dirinya begitu risau memikirkan keadaan suami, Herwin Bachtiar, 47 yang koma terbaring kaku, buah pinggang rosak yang perlu didialisis, keadaan paru-paru dijangkiti kuman dan lain-lain masalah serta paling menyedihkan tidak boleh melawat langsung suaminya, hari ini dirinya menerima khabar berita suaminya sudah sedar,, boleh bernafas sendiri dan doktor akan mencabut tiub saluran pernafasannya dalam tempoh terdekat.
REMAJA menghubungi Chef Suhaili untuk berkongsi bagaimana dirinya dan anak-anak mengharungi kehidupan yang memeritkan apabila suaminya yang juga seorang pemandu bas kenderaan awam disahkan positif COVID-19 pada hari pertama memulakan kerjanya selepas bercuti 14 hari. Malah mereka sekeluarga tidak ada menghadiri kenduri, menyertai sebarang perhimpunan atau keluar di khalayak. Malah sama ada suaminya terkena jangkitan dari penumpang bas juga masih menjadi tanda tanya kerana suaminya sememangnya sudah demam masuk hari ke tiga pada hari dia memulakan kerjanya pada hari Ahad 15 hb Mac itu.

Menurut Chef Suhaili, Doktor Liyana dari HKL ada menghubunginya tengahari tadi memaklumkan keadaan terkini suami. Malah kata doktor lagi, suaminya antara pesakit yang menunjukkan respon paling bagus berbanding pesakit di wad yang sama (ICU).
“Saya bersyukur di atas setiap doa yang diberikan orang ramai untuk penyembuhan suami. Harap esok ada berita yang lebih baik,” katanya memaklumkan memandangkan mereka sekeluarga dalam pengawasan dan kuarantin di rumah (PUI), doktor di wad akan memaklumkan keadaan suami dari masa ke semasa (setiap hari terutama bagi pesakit di dalam ICU).
“Bila baca berita ada pesakit yang meninggal dunia akibat wabak ini hati saya sebak. Ternanti-nanti bagaimana keadaan suami sejak 10 hari lalu. Alhamdulillah, suami sudah sedar. Buat masa ini ada kuman dalam darahnya dan saya meminta doa dari semua agar suami kembali pulih seperti sedia kala,” katanya yang tidak dapat menahan sebak sebaik dimaklumkan hal itu.
Kegembiraan berganda
Memandangkan mereka di bawah PUI selepas suaminya disahkan positif, kegembiraannya berganda apabila seorang anak lelakinya, Hadi Haidar, 7 tahun yang turut menjalani ujian saringan disahkan negetif keputusannya.
“Alhamdulillah, syukur pada Allah. Cuma tinggal keputusan saya dan dua lagi anak iaitu Sofea Elisa, 12 dan Hedi Haikal, 10 tahun. Doakan agar keputusan kami juga negatif,”katanya mengharap doa dari orang ramai buatnya sekeluarga.

Tidak tahu dijangkiti COVID-19 dari mana
Jika ramai yang ingin tahu dari mereka suaminya dijangkiti, jelas Chef Suhaili, suaminya yang juga seorang pemandu bas kenderaan awam mula bertugas pada 15 hb Mac.
“Dua minggu sebelum itu, suami tidak bekerja dan hanya duduk di rumah selepas digantung kerana terlibat dengan kemalangan kenderaan dibawanya. Dua hari sebelum mula bertugas iaitu pada 13 dan 14 hb, suami mula demam.
“Hari Ahad itu, 15hb Mac suami memulakan kerja pagi. Malam itu selepas selesai tugas, dia pulang ke rumah dan saya tengok demamnya semakin teruk.
“Esoknya 16 Mac suami cuti sakit kerana demamnya semakin teruk. Ketika saya melihatnya hati saya berdebar-debar sebab demamnya lain macam. Dia juga sukar bernafas dan bila dia tarik nafas macam orang lemas (tercungap-cungap). 17 hb Mac itu kami ke klinik kesihatan dan ditanya adakah ada kontak dengan tabligh, keluar negara atau sebagainya tapi memang tiada.Demamnya on off ketika itu dan tak terlalu tinggi ketika di Klinik Kesihatan itu dan dibenarkan balik. Suami hanya dibekalkan ubat demam sahaja.
“18 hb Mac itu keadaan suami nampak macam kritikal. Dia cakap abang rasa macam nak mati. Jadi saya bawa ke hospital swasta. Mulanya disyaki tapi malam itu disahkan positif dan esoknya terus dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan diletakkan di wad insolasi.
“Kali terakhir saya bercakap dengan suami pada 21 hb kerana hari itulah dia dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan terus tak sedarkan diri.
“Bayangkan perasaan saya. Nak jumpa atau ziarah tak boleh. Kami semua dalam PUI. Memang rasa nak menangis hari-hari tapi kami tidak putus harap, sentiasa mendoakannya dan meminta doa dari orang lain untuk kesembuhan suami.
“Jujurnya saya tidak tahu suami dijangkiti dari mana. Hendak kata dari penumpang dari bas dibawanya ada kemungkinan tapi tiada bukti kerana orang turun naik bas dan laluannya agak panjang. Masa yang sama suami baru hari pertama kerja selepas dua minggu duduk di rumah saja. Kami tak pergi kenduri kahwin pun, tak pergi perhimpunan pun tapi begitulah Allah menguji kami sekeluarga.
“Saya masih terus mengharapkan suami mampu bertarung dengan semua kesakitannya. Kita pun tidak tahu dari mana penyakit ini datang dan saya mengharapkan semua yang positif, Allah menyembuhkan mereka,” katanya berkongsi kisahnya dan mengharapkan orang ramai tidak memandang enteng soal jangan keluar rumah kerana ia boleh memberi kesan kepada orang lain seperti yang berlaku pada suaminya,” katanya mengakhiri perbualan.
Mungkin hari ini orang lain diuji dan nasib kita belum lagi. Bersamalah kita berdoa agar wabak ini segera berakhir, bagi pesakit yang positif diharapkan mereka sembuh dan dapat kembali pada keluarga. Paling penting, stay at home untuk memutuskan rantaian wabak ini dari berterusan. Walau dinyatakan akan berlaku gelombang ketiga, doakanlah agar kita bukan seorang darinya.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

