Kejayaan Ahmad Nur Iman Ahmad Fauzi, 19, meraih tempat ketiga dunia dalam peperiksaan Merekod Transaksi Kewangan FA1 anjuran ACCA (Association of Chartered Certified Accountants) bagi sesi Mac lalu menjadi bukti jelas bahawa setiap kejayaan besar bermula dengan langkah kecil yang dipenuhi usaha, doa dan keazaman yang tidak pernah pudar.
Bukan sekadar membanggakan diri sendiri, kejayaan luar biasa ini turut mengharumkan nama ibu bapa, pensyarah, universiti dan negeri kelahirannya, Terengganu.
Gambar dari Universiti Teknologi MARA -Terengganu
Anak Sulung, Harapan Keluarga
Sebagai anak sulung daripada empat beradik, Ahmad Nur Iman membuktikan tiada yang mustahil jika seseorang itu benar-benar bersungguh-sungguh mengejar cita-cita.
Berasal dari Kampung Telaga, Hulu Terengganu, beliau kini menuntut di UiTM Dungun dalam program Asasi Perakaunan. Siapa sangka, impian kecil untuk belajar bersungguh-sungguh telah melonjakkan namanya ke persada dunia, mengharumkan nama Malaysia.
“Masa terima keputusan melalui e-mel ACCA, saya baca berkali-kali. Takut tersalah faham. Bila dah pasti, saya rasa syukur dan bangga sangat,” kongsinya penuh teruja.
Dari Minat Matematik ke Kejayaan Global
Sejak kecil, Ahmad Nur Iman menunjukkan minat mendalam terhadap subjek berkaitan pengiraan seperti Matematik dan Matematik Tambahan. Keputusan cemerlang 9A dalam SPM menjadi pembakar semangat untuk terus melangkah dalam bidang perakaunan.
Tidak cukup dengan itu, beliau terus melengkapkan diri dengan kelayakan profesional ACCA, antara sijil perakaunan paling berprestij di dunia.
Kunci kejayaan? Menurut Iman, ia terletak pada disiplin diri, pengurusan masa yang baik, membuat nota ringkas, konsisten ulangkaji, dan berani bertanya jika tidak faham.
Ads
Beliau turut berkongsi, latihan berterusan menggunakan soalan tahun-tahun lepas banyak membantu dirinya lebih bersedia.
“Jangan lupa juga doa dan tawakal. Itu senjata utama saya sebagai seorang Muslim,” tambahnya.
Impian Besar, Sumbang Kepada Negara
Bukan sekadar mahu bergelar akauntan bertauliah, Ahmad Nur Iman turut memasang impian untuk memiliki firma perakaunan sendiri suatu hari nanti.
Lebih membanggakan, penerima biasiswa Yayasan Terengganu ini mahu membantu graduan baharu mendapatkan pekerjaan, selain menyumbang kepakaran dalam pembangunan ekonomi negara.
“Saya mahu berkhidmat di firma audit antarabangsa atau syarikat korporat besar dulu. Selepas ada pengalaman, impian saya adalah buka firma sendiri,” jelasnya penuh yakin.
ACCA, Kelayakan Bertaraf Global
Sebagai makluman, ACCA merupakan kelayakan profesional bertaraf antarabangsa yang diiktiraf di lebih 180 negara. Di Malaysia, ACCA setara dengan tahap ijazah sarjana muda, manakala di United Kingdom, ia diiktiraf setara dengan kelayakan peringkat sarjana.
Ads
Walaupun tidak membawa gelaran ijazah, individu yang menamatkan semua kertas dan pengalaman kerja layak bergelar Chartered Certified Accountant dan boleh menggunakan huruf ‘ACCA’ di belakang nama mereka.
Bagi Ahmad Nur Iman, kelayakan ini adalah tiket untuk memperluaskan peluang kerjaya ke peringkat global.
Pesanan Buat Rakan Remaja
Menutup perbualan, beliau sempat menitipkan pesanan buat mahasiswa dan rakan remaja seluruh negara.
“Jangan takut mencuba perkara baharu. Gunakan peluang belajar sebaiknya, aktifkan diri dalam kokurikulum dan bina jaringan sosial. Itu semua akan jadi kelebihan di masa depan,” katanya penuh bermotivasi.
Ads
Majalah Remaja mengucapkan tahniah buat Ahmad Nur Iman. Semoga kejayaan beliau menjadi inspirasi buat remaja Malaysia untuk terus berusaha, mengejar impian dan tidak pernah berhenti percaya pada potensi diri.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Genap 10 tahun melayari bahtera rumah tangga, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin diraikan sempena ulang tahun perkahwinan mereka pada 31 Ogos, semalam.
Menerusi sebuah perkongsian di media sosial rasmi Selangor Royal, pasangan diraja berkenaan menerima ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena ulang tahun perkahwinan ke-10 yang turut disertai doa agar kedua-dua baginda sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT.
“Dengan segala hormat dan takzimnya, patik-patik sekalian merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat sempena Ulang Tahun Perkahwinan ke-10, DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin,” titip perkongsian tersebut.
“Patik-patik sekalian sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan Duli-Duli Tuanku serta sentiasa berada dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala, bersemayam di takhta kebesaran dengan penuh kemuliaan dan kedaulatan,” tambahnya lagi.
Sepuluh tahun yang dilalui bersama pastinya menyimpan pelbagai kenangan serta pengalaman buat Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin, sekaligus menjadikan ulang tahun kali ini satu detik cukup bermakna buat pasangan diraja berkenaan.
Lebih istimewa, tarikh 31 Ogos bukan sahaja menjadi hari penting dalam kalendar negara menerusi sambutan Hari Kebangsaan ke-69, malah turut mempunyai nilai sentimental tersendiri buat kehidupan berumah tangga kedua-dua baginda.
Sepanjang sedekad perkahwinan, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor sering menjadi perhatian menerusi pelbagai program serta acara rasmi yang dihadiri bersama, selain komitmen masing-masing dalam menjalankan tanggungjawab kepada rakyat dan negeri Selangor.
Sempena ulang tahun istimewa Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor, ucapan tahniah dan doa turut mengiringi perjalanan rumah tangga pasangan diraja berkenaan agar terus dikurniakan kebahagiaan, kesihatan serta kesejahteraan dalam kehidupan mendatang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Orang kata duit boleh ‘membeli’ kegembiraan sejati.
Namun dalam kes ini, duitlah yang menjadi punca lelaki keempat paling kaya di dunia dibenci!
Pengasas dan pemilik Amazon, Jeff Bezos pada hujung minggu lalu selamat bergelar suami kepada wanita pilihan yang juga seorang personaliti televisyen Amerika Syarikat, Lauren Sanchez dalam sebuah majlis gilang-gemilang.
Dihadiri oleh selebriti dan orang kenamaan dunia termasuklah Permaisuri Rania dari Jordan, keluarga Kardashian & Jenner termasuklah Kim, Kris, Khloe, Kendall dan Kylie, Usher, Leonardo DiCaprio, Orlando Bloom, Tom Brady, Bill Gates, Ivanka Trump dan hampir 200 tetamu yang lain, festival tidak berkesudahan selama tiga hari berturut-turut itu berlangsung di kota romantik, Venice.
Keluarga Kardashian & Jenner.Oprah WinfreyOrlando BloomPermaisuri Rania
Biarpun ia sepatutnya menjadi hujung minggu bahagia buat Jeff dan Lauren, penduduk Venice berpendapat sebaliknya apabila pasangan itu menjadi sasaran sentimen kebencian beramai-ramai.
Ini kerana kota Venice telahpun ‘disewa’ oleh Jeff untuk menyempurnakan majlis berkenaan selama tiga hari sehinggakan warga lokal sana tidak boleh meneruskan rutin harian mereka disebabkan ketiadaan pelancong baharu ke kota tersebut.
Penduduk juga berang dengan tindakan pihak Datuk Bandar Luigi Brugnaro yang membenarkan kelompok kaya seperti Jeff Bezos melakukan apa sahaja di Venice hanya kerana beliau berwang sedangkan kondisi kota mereka itu kita semakin merundum dan berdepan amaran tenggelam sepenuhnya.
Lapor media, ratusan orang ramai berarak di sekitar Venice untuk menolak acara perkahwinan tersebut dengan sepanduk berbunyi, ‘Kisses Yes, Bezos No’ dan ‘No Bezos, No War’.
Satu lagi sepanduk berbaur sinikal ‘The Planet Is Burning But Don’t Worry. Here’s The List Of 27 Dresses of Lauren Sanchez’ turut dibawa berarak. Di dataran St Mark pula, penduduk tidak teragak-agak memaparkan kain rentang berbunyi, ‘If You Can Rent Venice For Your Wedding You Can Pay More Tax’.
Difahamkan, penduduk Venice bukannya membenci acara perkahwinan pasangan tersebut tetapi mereka menolak cara konglomerat seperti Jeff Bezos yang gemar mengeksploitasi kota yang mereka cintai itu demi keinginan peribadi dan tidak memikirkan nasib ekonomi penduduk di sana.
Macam-macam ya!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kes buli yang meragut nyawa pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, terus menjadi perhatian seluruh negara. Walaupun kes ini menimbulkan pelbagai persoalan dan emosi, pihak berkuasa mengesahkan bahawa lima remaja perempuan bawah 18 tahun yang terlibat tetap akan didakwa esok di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan berkata, pendakwaan akan dijalankan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan (Pindaan 2025). Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menurut Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar, pendakwaan ini tetap diteruskan walaupun peguam keluarga arwah memohon penangguhan kerana menganggap pertuduhan terlalu ringan serta bimbang wujudnya isu double jeopardy. Namun, AGC menjelaskan bahawa dakwaan tersebut tidak akan mengganggu proses inkues yang sedang berlangsung bagi menyiasat punca kematian arwah.
Kesemua lima remaja itu akan dituduh atas kesalahan mengugut dengan menggunakan perkataan atau komunikasi yang bersifat mengancam, menghina atau mengaibkan sehingga menyebabkan tekanan emosi kepada mangsa. Kes ini sekaligus memberi mesej tegas bahawa perlakuan buli, sama ada secara fizikal mahupun lisan, bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan.
Untuk rekod, arwah Zara Qairina merupakan pelajar tingkatan satu di SMKA Tun Datu Mustapha, Sabah. Beliau meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah. Tragedi ini meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, rakan-rakan, malah seluruh masyarakat yang mengharapkan keadilan ditegakkan.
Kes Zara Qairina menjadi titik penting dalam usaha membanteras buli di sekolah. Remaja perlu sedar bahawa setiap perbuatan, sama ada kata-kata atau tindakan, mampu memberi kesan besar kepada orang lain. Buli tidak menjadikan seseorang lebih hebat, sebaliknya merosakkan masa depan – baik mangsa mahupun pelaku.
Sebagai generasi muda, marilah kita mengambil pengajaran daripada tragedi ini. Jadikan rakan sebagai sokongan, bukan tekanan. Hormat, empati dan kasih sayang harus menjadi budaya kita bersama agar tragedi seumpama ini tidak berulang lagi.