Ibu kepada pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam tragedi di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama tampil menafikan dakwaan tular di media sosial, sambil mendedahkan bahawa anaknya sebenarnya ditikam kira-kira 200 kali, bukan 50 seperti yang disebarkan sebelum ini.

Wong Lee Ping berkata, maklumat itu diperoleh daripada laporan bedah siasat yang dijalankan oleh pihak patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dan beliau amat kecewa dengan pelbagai berita tidak sahih yang berlegar di media sosial sejak tragedi itu berlaku.
“Saya dapat tahu daripada pihak patologi bahawa anak saya ditikam 200 kali. Ada luka besar dan kecil di bahagian kanan badan, termasuk leher dan paru-paru,” katanya ketika sidang media di Nirvana Center Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Jeritan Terakhir Dalam Tandas Sekolah
Menurut laporan siasatan polis, suspek yang merupakan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dipercayai melompat dari bahagian atas tandas sebelum menikam mangsa yang berada dalam bilik tandas berkunci.
“Anak saya menjerit meminta tolong, tetapi pintu tandas terkunci. Bila cikgu pecahkan pintu, anak saya sudah tiada,” katanya dengan nada sebak.
Tragedi ini berlaku sekitar jam 9.30 pagi Selasa lalu, dan telah menggoncang perasaan ramai ibu bapa serta masyarakat, yang kini menuntut penjelasan lebih menyeluruh mengenai tahap keselamatan pelajar di sekolah.

Ibu Minta Henti Sebar Fitnah & Berita Palsu
Dalam sidang media sama, Lee Ping menegaskan bahawa anaknya tidak pernah mengenali suspek, dan menafikan dakwaan kononnya berlaku kejadian rogol atau hubungan antara keduanya.
“Anak saya telah menjadi mangsa. Saya harap orang ramai hentikan penyebaran berita tidak benar di media sosial. Anak saya tidak pernah berjumpa atau berhubung dengan suspek,” ujarnya.
Beliau turut memberi amaran mengenai penipuan kod QR palsu yang digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengutip derma atas nama keluarganya.

“Kalau ada yang ingin menderma, sila datang sendiri ke Nirvana Center. Jangan percaya pada kod QR yang berlegar di media sosial,” tegasnya.
Mangsa Dikenali Sebagai Pelajar Aktif & Berdisiplin
Menurut ibu mangsa, anak bongsunya itu seorang pelajar yang cerdik, aktif dan berdisiplin tinggi.
“Dia aktif dalam bola tampar dan badminton. Dua hari sebelum kejadian, dia baru menang tempat kedua dalam kejohanan badminton di Kuala Lumpur,” katanya sambil menahan sebak.
Rakan-rakan dan guru di sekolah turut menggambarkan mangsa sebagai seorang pelajar yang periang, ringan tulang dan disenangi ramai.
Polis Sahkan Tikaman Di Dada & Leher Jadi Punca Kematian
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, sebelum ini mengesahkan bahawa hasil bedah siasat di PPUM mendapati tikaman pada dada dan leher menjadi punca utama kematian pelajar terbabit.
Bedah siasat selesai pada jam 10.30 malam Rabu, dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan motif sebenar kejadian.
Tragedi Yang Wajar Jadi Amaran
Kes tragik ini membuka mata ramai pihak tentang isu keselamatan sekolah, kesihatan mental remaja, dan empati sosial dalam kalangan pelajar.
Pakar psikologi menyarankan agar pihak sekolah dan ibu bapa lebih peka terhadap perubahan tingkah laku pelajar, terutama yang menunjukkan tanda tekanan atau kemarahan ekstrem.
Anda mungkin berminat dengan
“Cukuplah Anak Saya Jadi Mangsa”
Mengakhiri sidang media, Lee Ping menyeru agar tragedi seperti ini tidak berulang dan dijadikan pengajaran untuk semua pihak.
“Cukuplah anak saya jadi mangsa. Jangan biarkan perkara ini terjadi lagi kepada anak orang lain,” katanya perlahan.
Remaja, Tolong Jaga Diri & Cari Bantuan Jika Perlu
Majalah Remaja menyeru semua pelajar dan remaja yang sedang berdepan tekanan emosi, marah atau perasaan tertekan supaya tidak memendam rasa sendirian.
Bantuan profesional tersedia melalui talian berikut:
- Talian HEAL KKM: 15555
- Befrienders KL: 03-7627 2929 (24 jam, percuma dan rahsia)
Sumber : Sinar Harian
∞
Berita baik buat Anak Pahang yang bekerja atau menetap di luar negeri! Kerajaan Negeri Pahang meneruskan lagi inisiatif khas sempena Aidilfitri menerusi pemberian Baucar Raya bernilai RM100 untuk membantu rakyatnya pulang beraya di kampung halaman.
Tawaran ini dibuka kepada 10,000 pemohon terawal yang memenuhi syarat ditetapkan. Usaha ini bukan sahaja bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Raya, malah menjadi platform untuk mengeratkan semula hubungan kekeluargaan yang mungkin terpisah dek tuntutan kerja dan kehidupan di perantauan.
Menurut syarat permohonan, baucar tersebut terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas, bergelar “Anak Pahang” yang kini bekerja atau menetap di luar negeri Pahang dan merancang untuk pulang beraya ke negeri itu pada musim perayaan ini.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi pautan Google Forms yang disediakan atau dengan mengimbas kod QR yang disenaraikan dalam kempen berkenaan. Tarikh tutup permohonan adalah pada 5 Mac 2026, dan hanya 10,000 individu pertama yang berjaya mendaftar akan layak menerima baucar tersebut.
Inisiatif ini turut dikongsikan di platform media sosial rasmi kerajaan negeri dengan kapsyen yang cukup sinonim, “Anak Pahang di perantauan, moh balik raya!” sambil menggalakkan mereka yang layak untuk segera membuat permohonan sebelum kuota penuh.
Kempen tahunan “Baucar Raya RM100” ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam menyokong mobiliti sosial serta kebajikan rakyat Pahang, khususnya golongan muda yang merantau mencari rezeki di luar negeri.
Jadi, buat Anak Pahang di luar sana, jangan tunggu lama-lama. Kalau dah rindu suasana kampung dan nak raya lebih bermakna tahun ini, inilah masanya untuk mohon sebelum terlambat!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Awani
∞
Pendaftaran murid Tahun 1 bagi sesi persekolahan 2027 kini dibuka kepada kanak-kanak warganegara Malaysia, termasuk mereka yang berada dalam kohort enam dan tujuh tahun.
Ibu bapa atau penjaga digalakkan membuat pendaftaran secara dalam talian bermula 15 Februari hingga 31 Mac bagi memastikan penempatan anak-anak mereka di sekolah rendah.

Kanak-kanak yang berumur lima tahun ke atas dan lahir di luar tempoh 2 Januari hingga 31 Disember 2021 layak mendaftar untuk kemasukan Tahun 1 pada tahun hadapan menerusi kohort enam tahun.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad menjelaskan bahawa kanak-kanak yang lahir antara 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021 pula boleh mendaftar melalui kohort tujuh tahun.
“Ketetapan ini dibuat selaras dengan keputusan kerajaan yang membolehkan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun 1 bermula 2027 secara sukarela, tanpa perlu melalui ujian saringan,” jelasnya.
Tambah beliau, pendaftaran terbuka kepada kanak-kanak warganegara Malaysia dalam kohort enam tahun (berusia lima tahun ke atas) dan kohort tujuh tahun (berusia enam tahun ke atas).

Pendaftaran boleh dilakukan menerusi Sistem Bersepadu Kementerian Pendidikan (MOEIS) di pautan https://idme.moe.gov.my.
Keputusan ini susulan pengumuman kerajaan bahawa ujian saringan diagnostik bagi menentukan kelayakan kemasukan murid Tahun 1 untuk kanak-kanak berusia enam tahun tidak akan dilaksanakan mulai sesi persekolahan 2027.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Korea Utara mungkin merupakan sebuah negara yang paling tertutup di dunia di mana masyarakat antarabangsa tidak begitu mengetahui serba-serbi mengenai sistem pemerintahan serta cara rakyatnya melalui kehidupan harian.
Justeru, apabila Korea Utara baru-baru merasmikan sebuah resort peranginan bertaraf antarabangsa di Pantai Wonsan Kalma yang terletak di pantai timur negara berkenaan; dunia terkejut dengan perkembangan terbaru itu memandangkan perspektif mereka kononnya Korea Utara bersifat ‘kuno’ dan tidak maju seperti negara-negara lain ternyata meleset.

Perasmian Wonsan Kalma Coastal Resort ini telah disempurnakan pada 24 Jun lalu oleh Kim Jong Un.
Pemimpin Korea Utara itu menyifatkannya sebagai salah satu kejayaan terbesar Korea Utara pada tahun ini dan bakal menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan negara itu.


REMAJA difahamkan pembinaan Wonsan Kalma Coastal Resort telah mengambil masa selama lebih sedekad dan ia merupakan salah satu visi Jong Un pada tahun 2013 untuk mengubah Wonsan daripada lokasi pelabuhan menjadi pusat peranginan budaya pelancong bertaraf dunia.
Ia merentasi sejauh empat kilometer dengan kemudahan seperti hotel, hostel asrama, restoran, pusat membeli-belah, pusat rekreasi dan suka serta taman tema air sepanjang garis pantai tersebut.



Sejak dibuka pada 1 Julai lalu, Wonsan Kalma Coastal Resort hanya menerima kunjungan penduduk tempatan terlebih dahulu.
Manakala untuk pelancong asing pula, tidak lama lagi ia akan dibuka kepada pelancongan dari Rusia yang boleh mendapat akses terhad untuk melawat ke beberapa kawasan di Korea Utara.

Kerajaan Korea Utara juga dijangka akan melonggarkan sekatan kepada pelancong asing dari negara lain secara berperingkat bermula daripada China yang mempunyai hubungan perdagangan dua hala dengan Korea Utara.
Apa pendapat korang, teringin tak nak melancong ke sini?
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞