Home Blog Page 8

Baru Tingkatan Satu, Anak Sheikh Muszaphar Raih Anugerah Murid Harapan 2026, Aktif Sukan & Inovasi!

Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian anak keduanya, Sophea Natasha, 13, yang berjaya meraih Anugerah Murid Harapan 2026.

Lebih dikenali sebagai Tasha, remaja itu baru sahaja memulakan alam persekolahan menengah di Kolej Tunku Kurshiah (TKC) pada tahun ini. Namun, dia sudah memperlihatkan semangat yang tinggi apabila aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti merangkumi bidang sukan, akademik dan inovasi.

Baru Tingkatan Satu, Anak Sheikh Muszaphar Raih Anugerah Murid Harapan 2026, Aktif Sukan & Inovasi!

Aktif Sertai Pelbagai Aktiviti, Berani Cabar Diri

Menerusi perkongsian di media sosial, Dr Sheikh Muszaphar berkongsi keterujaannya melihat kesungguhan Tasha yang sentiasa terbuka untuk mencuba pengalaman baharu, selain tidak takut menguji kemampuan diri dalam pelbagai bidang.

Menurutnya, anaknya itu bukan sahaja menyertai aktiviti merentas desa di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), malah turut melibatkan diri dalam olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan (MSSNS), ragbi dan pengakap.

Tasha juga aktif dalam pertandingan Matematik, Sains serta inovasi, sekali gus membuktikan minatnya untuk meneroka pelbagai cabang ilmu di luar bilik darjah.

“Tasha Tingkatan Satu Di TKC. Sentiasa Aktif, Sentiasa Mencuba Perkara Baharu Dan Sentiasa Mencabar Diri Untuk Menjadi Yang Terbaik.

“Menyertai Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan (MSSNS), ragbi, pengakap, pertandingan Matematik dan Sains serta pertandingan inovasi.

“Bagus apabila dia sentiasa mengisi masa dengan pelbagai aktiviti, mencuba segala-galanya dan mencabar diri sendiri untuk melihat sejauh mana kemampuan yang boleh dicapai,” kongsinya.

Baru Tingkatan Satu, Anak Sheikh Muszaphar Raih Anugerah Murid Harapan 2026, Aktif Sukan & Inovasi!

Sekolah Berasrama Jadi Ruang Kenali Potensi Diri

Dalam perkongsian sama, Dr Sheikh Muszaphar turut menyentuh tentang pengalaman menuntut ilmu di sekolah berasrama penuh yang disifatkannya sebagai peluang untuk anak-anak mengenali diri sendiri, membina identiti serta meneroka minat dan kebolehan masing-masing.

Baginya, fasa persekolahan tersebut memberi ruang kepada pelajar untuk mencuba perkara di luar kebiasaan, sekali gus mendorong mereka menetapkan hala tuju dan berusaha mencapai potensi terbaik.

“Mencari Hala Tuju Dan Identiti, Mencuba Bidang Baharu, Untuk Menjadi Yang Terbaik, Itulah Kehidupan Di Sekolah Berasrama Penuh.

“Tahniah Tasha atas pencapaian ini. Untuk 2026, Daddy is proud of you,” titipnya.

Baru Tingkatan Satu, Anak Sheikh Muszaphar Raih Anugerah Murid Harapan 2026, Aktif Sukan & Inovasi!

Bukan Akademik Sahaja, Keberanian Mencuba Turut Bermakna

Pencapaian Tasha menerusi Anugerah Murid Harapan 2026 menjadi satu lagi detik membanggakan buat keluarga apabila dia berjaya menunjukkan perkembangan positif sejak melangkah ke alam persekolahan menengah.

Lebih daripada sekadar pencapaian akademik, penglibatannya dalam pelbagai aktiviti turut memperlihatkan kepentingan disiplin, keberanian mencuba dan kesungguhan dalam mengembangkan bakat diri.

Bagi Dr Sheikh Muszaphar, melihat anaknya berani meneroka perkara baharu dan mencabar kemampuan sendiri pastinya menjadi antara perkara yang paling membanggakan sebagai seorang bapa.

Baru Tingkatan Satu, Anak Sheikh Muszaphar Raih Anugerah Murid Harapan 2026, Aktif Sukan & Inovasi!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Wakili Malaysia Di Sepanyol, ‘Ayshah Sakeenah Kini Dalam Kelompok Lima Terbaik Catur Dunia Bawah 9 Tahun

0

Siapa sangka, pada usia yang masih muda, seorang murid sekolah rendah dari Malaysia mampu memberikan saingan hebat kepada pemain catur antarabangsa di pentas dunia!

Itulah pencapaian membanggakan yang ditampilkan oleh ‘Ayshah Sakeenah Binti Abdullah Khairi, murid Sekolah Rendah Sri Al-Amin Cyberjaya (SRIAAC), yang kini sedang membawa cabaran Malaysia dalam kejohanan catur berprestij, FIDE World U7–U17 Championships 2026 di Roquetas de Mar, Sepanyol.

Kejohanan yang berlangsung dari 12 hingga 22 Oktober 2026 itu menyaksikan ‘Ayshah Sakeenah berentap dalam kategori Bawah 9 Tahun (U9) bersama pemain muda berbakat dari pelbagai negara.

Lebih membanggakan, ‘Ayshah Sakeenah berjaya menduduki tangga kelima daripada 40 peserta selepas menamatkan lapan daripada keseluruhan 11 pusingan pertandingan.

Setakat pusingan kelapan, pemain catur cilik negara itu telah mengumpul 5.5 mata hasil lima kemenangan, satu keputusan seri dan dua kekalahan.

Wakili Malaysia Di Sepanyol, 'Ayshah Sakeenah Kini Dalam Kelompok Lima Terbaik Catur Dunia Bawah 9 Tahun

Pencapaian tersebut sekali gus membuktikan kemampuan ‘Ayshah Sakeenah untuk bersaing dengan pemain antarabangsa, meskipun masih berada pada usia yang begitu muda.

‘Ayshah Sakeenah Buktikan Kehebatan Dalam Kejohanan Catur Dunia

Berada dalam kelompok lima terbaik selepas lapan pusingan bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila perlu berdepan dengan pemain muda yang turut memiliki kemahiran dan pengalaman dalam pertandingan catur.

Setiap perlawanan menuntut tumpuan tinggi, kesabaran serta kebolehan merancang strategi dengan teliti bagi memastikan setiap langkah yang diambil mampu memberikan kelebihan kepada pemain.

Dengan lima kemenangan yang telah dicatatkan, pencapaian pemain muda negara ini pastinya memberikan suntikan semangat untuk terus memberikan persembahan terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.

Wakili Malaysia Di Sepanyol, 'Ayshah Sakeenah Kini Dalam Kelompok Lima Terbaik Catur Dunia Bawah 9 Tahun

Lebih menarik, penyertaan dalam pertandingan bertaraf antarabangsa seperti ini turut memberikan peluang kepada pemain muda untuk menimba pengalaman berharga ketika berdepan dengan pelbagai corak permainan dan strategi daripada peserta negara lain.

Dalam pada itu, pihak SRIAAC menerusi perkongsian di media sosial meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian murid berkenaan yang bukan sahaja mengharumkan nama sekolah, malah turut membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Pihak sekolah turut mengajak orang ramai untuk memberikan sokongan dan mendoakan agar ‘Ayshah Sakeenah terus diberikan ketenangan, keyakinan serta ketajaman pemikiran dalam menghadapi baki tiga pusingan pertandingan.

Masih Berpeluang Memperbaiki Kedudukan Dalam Baki Tiga Pusingan

Dengan persaingan yang masih berbaki, peluang buat ‘Ayshah Sakeenah untuk memperbaiki kedudukan dalam kelompok pemain terbaik kejohanan masih terbuka.

Wakili Malaysia Di Sepanyol, 'Ayshah Sakeenah Kini Dalam Kelompok Lima Terbaik Catur Dunia Bawah 9 Tahun

Baki tiga pusingan pastinya menjadi cabaran penting kerana setiap keputusan perlawanan berpotensi memberikan perubahan kepada kedudukan peserta dalam carta pertandingan.

Walaupun persaingan dijangka terus sengit, pengalaman yang diperoleh sepanjang lapan pusingan terdahulu boleh menjadi bekalan berguna untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

Semoga penyertaan pemain catur cilik negara ini membuka lebih banyak ruang kepada generasi muda untuk meneroka bidang yang diminati dan tidak gentar mencabar kemampuan diri sendiri.

Syabas, ‘Ayshah Sakeenah! Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai kanak-kanak Malaysia untuk berani mengejar impian dan mengembangkan bakat masing-masing hingga ke peringkat antarabangsa.

Sumber : Facebook Sekolah Sri Al-Amin Cyberjaya

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Bapa Terlantar 16 Tahun Akibat Strok, Dua Beradik Kembar Graduan UMT Hadiahkan Kejayaan Buat Ibu

0

Pasangan kembar dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Auni Syamimi dan Nur Aina Syairah, yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian.

Lebih membanggakan, kedua-duanya yang merupakan penerima Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut berpeluang meraikan detik bersejarah itu bersama-sama setelah melalui perjalanan pendidikan yang hampir tidak pernah memisahkan mereka sejak kecil.

Di sebalik kegembiraan meraikan kejayaan tersebut, tersimpan perjalanan hidup sebuah keluarga yang terpaksa menempuh pelbagai cabaran sejak bapa mereka diserang strok.

Bapa Diserang Strok Ketika Bekerja, Ibu Galas Tanggungjawab Besar

Menurut pasangan kembar berkenaan, kehidupan keluarga mereka berubah apabila bapa diserang strok ketika bekerja, sekali gus menyebabkan beliau lumpuh sebelah badan dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda.

Keadaan tersebut menyebabkan ibu mereka mengambil tanggungjawab sebagai suri rumah sepenuh masa bagi menjaga suami serta membesarkan anak-anak.

Selama 16 tahun, keluarga ini menjalani kehidupan dengan keadaan kesihatan bapa yang memerlukan perhatian dan penjagaan.

Dalam masa sama, ibu mereka tetap memainkan peranan penting memastikan kedua-dua anak perempuan mendapat kasih sayang, perhatian dan peluang untuk meneruskan pelajaran.

Bapa Terlantar 16 Tahun Akibat Strok, Dua Beradik Kembar Graduan UMT Hadiahkan Kejayaan Buat Ibu

“Bagi saya, pengorbanan ibu untuk membesarkan dua anak kembar sangat besar, sebab kami dua anak perempuan dalam keluarga,” luah salah seorang daripada mereka.

Sejak Sekolah Hingga Universiti, Tidak Pernah Berpisah

Menariknya, Syamimi dan Syairah juga tidak pernah berpisah sepanjang perjalanan pendidikan mereka apabila bersekolah di tempat yang sama sebelum melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi yang sama.

Malah, keputusan untuk terus belajar bersama turut memudahkan urusan ibu mereka yang selama ini memikul tanggungjawab besar menguruskan keluarga.

Daripada alam persekolahan sehinggalah melangkah ke menara gading, kedua-duanya terus melalui perjalanan pendidikan bersama-sama.

Akhirnya, usaha dan kesungguhan itu membuahkan hasil apabila mereka berpeluang meraikan kejayaan sebagai graduan di pentas konvokesyen yang sama.

“Daripada sekolah sampai sekarang, tak pernah berpisah lagi. Masuk sekolah yang sama, institusi yang sama, jadi dapat juga duduk di pentas yang sama, semestinya gembira,” katanya.

Abah Tak Dapat Hadir, Namun Sentiasa Beri Sokongan Dari Jauh

Dalam pada itu, mereka turut meluahkan rasa terharu mengenangkan sokongan bapa yang sentiasa memberikan kata-kata semangat meskipun keadaan kesihatan tidak mengizinkan beliau untuk hadir menyaksikan hari bersejarah tersebut.

Walaupun tidak berpeluang berada bersama anak-anak pada hari konvokesyen, sokongan seorang bapa tetap dirasai oleh kedua-dua graduan berkenaan.

“Abah saya pun banyak bagi sokongan walaupun tak dapat hantar atau tak dapat ada di sini, tapi sentiasa sokong daripada jauh,” katanya.

Bagi kedua-dua graduan ini, kejayaan menggenggam ijazah bukan sekadar pencapaian akademik, sebaliknya menjadi hadiah paling bermakna buat ibu bapa yang tidak pernah berhenti mendoakan masa depan mereka.

Di sebalik kegembiraan meraikan kejayaan, tersimpan pengorbanan seorang ibu yang menjaga keluarga serta sokongan seorang bapa yang tetap memberikan semangat meskipun berdepan masalah kesihatan.

Kejayaan dua beradik kembar graduan UMT ini juga membuktikan bahawa ujian kehidupan bukanlah alasan untuk seseorang berhenti mengejar impian.

Sebaliknya, segala kesukaran yang dilalui mampu menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha dan membina masa depan yang lebih baik.

Sumber : Facebook UMT – Universiti Malaysia Terengganu

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Datuk Abdul Latif Romly Kekal Dominasi Lompat Jauh T20, Sumbang Emas Ketiga Malaysia Di Sukan Para Asia 2026

Baru-baru ini, jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly meraih perhatian apabila sekali lagi membuktikan kehebatannya dengan mempertahankan pingat emas acara lompat jauh T20 lelaki pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026. Kejayaan itu sekaligus mengukuhkan kedudukan beliau sebagai antara atlet para terbaik negara di pentas antarabangsa.

Difahamkan, atlet berusia 29 tahun itu tampil cemerlang menerusi lompatan sejauh 7.39 meter untuk mengesahkan kejuaraan di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium. Pencapaian tersebut menyaksikan beliau mengekalkan dominasi dalam acara berkenaan sejak edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Kemenangan kali ini menyaksikan Abdul Latif meneruskan rentetan kejayaan yang turut dicatat pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang dan 2022 di Hangzhou. Konsistensi tersebut membuktikan keupayaannya untuk terus bersaing di peringkat tertinggi meskipun berdepan cabaran daripada atlet negara lain.

Datuk Abdul Latif Romly Kekal Dominasi Lompat Jauh T20, Sumbang Emas Ketiga Malaysia Di Sukan Para Asia 2026

Dalam saingan itu, atlet Arab Saudi, Hassan Dawshi meraih pingat perak dengan lompatan 7.03 meter, manakala wakil tuan rumah, Kanta Kokubo membawa pulang gangsa menerusi catatan 6.98 meter. Abdul Latif yang juga pemegang rekod dunia dengan jarak 7.67 meter membuktikan bahawa beliau masih menjadi pencabar utama dalam acara tersebut.

Pada masa sama, dua lagi atlet Malaysia turut beraksi dalam acara berkenaan apabila Eljoe Gotuoh menamatkan saingan di tempat keempat dengan lompatan 6.91 meter. Nik Mohamad Rahmat Mohd Zahari pula menduduki tempat ketujuh selepas mencatat jarak 6.42 meter.

BACA: Datuk Abdul Latif Romly Sumbang Emas Kelima Malaysia, Akui Cuaca Jejas Misi Pecah Rekod Dunia

Sementara itu, kejayaan beliau bukan sekadar pencapaian peribadi, malah menjadi suntikan semangat buat kontinjen negara yang sedang berjuang mengharumkan nama Malaysia. Semangat juang dan kesungguhannya boleh menjadi inspirasi kepada atlet muda untuk terus berusaha mencapai impian meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Datuk Abdul Latif Romly Kekal Dominasi Lompat Jauh T20, Sumbang Emas Ketiga Malaysia Di Sukan Para Asia 2026

Lebih membanggakan, pingat emas yang diraih itu turut menyumbang kepada pungutan emas ketiga Malaysia pada temasya berkenaan. Sebelum ini, jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin turut mencipta kejayaan selepas menjuarai kategori 72 kilogram lelaki.

Kejayaan Abdul Latif mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut membuktikan bahawa disiplin, ketekunan dan semangat tidak mudah mengalah merupakan antara kunci kejayaan seorang atlet. Pencapaian membanggakan itu diharap dapat menyemarakkan lagi sokongan rakyat terhadap sukan para negara serta membuka inspirasi kepada lebih ramai bakat baharu untuk melakar kejayaan di pentas dunia.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Siti Nurhaliza Harap Isu Izara Aishah & Lesti Kejora Tidak Dipanjangkan -“Yang Sudah Berdamai, Jangan Kita Nyalakan Kembali Apinya”

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, berpandangan perselisihan antara menantunya, Izara Aishah dan penyanyi Indonesia, Lesti Kejora, seharusnya berakhir selepas kedua-dua pihak tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

Menerusi perkongsian di Instagram Story (IGs), penyanyi tersohor itu menegaskan bahawa tindakan memohon maaf bukanlah tanda kelemahan. Begitu juga dengan sikap memaafkan yang tidak bermaksud seseorang itu tewas dalam sesuatu perselisihan.

Sebaliknya, beliau mengingatkan orang ramai agar menghormati keputusan kedua-dua pihak untuk berdamai dan tidak terus memanjangkan isu berkenaan.

“Setiap manusia ada khilaf. Ada waktunya emosi mendahului pertimbangan, dan sebuah hubungan diuji dengan salah faham.

“Namun, apabila dua insan yang berselisih (faham) sudah memilih untuk saling memaafkan, di situlah seharusnya cerita itu berhenti, bukan terus dipanjangkan oleh mereka yang berada di luar,” tulisnya.

Siti Nurhaliza Harap Isu Izara Aishah & Lesti Kejora Tidak Dipanjangkan -“Yang Sudah Berdamai, Jangan Kita Nyalakan Kembali Apinya”

Kongsi Peringatan Daripada Al-Quran & Hadis

Dalam perkongsian yang sama, Siti Nurhaliza turut mengingatkan umat Islam mengenai kepentingan memelihara hubungan persaudaraan seperti yang terkandung dalam Surah Al-Hujurat, yang menyeru orang-orang mukmin supaya hidup bersaudara dan mendamaikan pihak yang berselisih.

Beliau turut berkongsi hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim mengenai teguran Rasulullah SAW bahawa seseorang Muslim tidak halal memutuskan hubungan dengan saudaranya melebihi tiga malam, manakala individu yang terbaik antara kedua-duanya ialah mereka yang terlebih dahulu memulakan salam.

Menerusi perkongsian itu, pelantun lagu Cindai berkenaan menekankan bahawa Islam tidak mendidik umatnya untuk mencari siapa yang menang atau kalah apabila berdepan perselisihan.

Sebaliknya, jalan perdamaian dan kebesaran hati untuk saling memaafkan merupakan perkara yang lebih utama.

“Kita diajar untuk mencari jalan kembali kepada perdamaian. Meminta maaf tidak menjadikan seseorang itu rendah. Memaafkan pula tidak menjadikan seseorang itu kalah. Kedua-duanya memerlukan keberanian dan kebesaran hati.

“Dan apabila mereka yang terlibat sendiri sudah berdamai, mungkin tugas kita bukan lagi untuk menghakimi, mengungkit atau memilih pihak.

“Cukuplah kita mendoakan agar yang keruh kembali jernih, yang terluka kembali sembuh dan silaturahim yang pernah diuji menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

“Kita juga tidak pernah tahu bila kita sendiri akan berada dalam keadaan yang sama – tersalah kata, tersalah faham, kemudian berharap diberi ruang untuk memperbaiki keadaan,” katanya.

Siti Nurhaliza Harap Isu Izara Aishah & Lesti Kejora Tidak Dipanjangkan -“Yang Sudah Berdamai, Jangan Kita Nyalakan Kembali Apinya”

Minta Orang Ramai Tidak Terus Mengapi-apikan Keadaan

Pada masa sama, Siti Nurhaliza berharap agar kedua-dua pihak yang sudah saling bermaafan tidak lagi menjadi sasaran provokasi, selain mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga tutur kata.

Menurutnya, apabila sesuatu perselisihan sudah menemui jalan penyelesaian, tiada keperluan untuk mana-mana pihak kembali membangkitkan perkara yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Yang sudah bermaafan, jangan kita adu-adukan lagi. Yang sudah berdamai, jangan kita nyalakan kembali apinya. Semoga Allah menjaga tutur kata kita, melembutkan hati kita dan memelihara persaudaraan sesama kita.

“Kerana akhirnya menjaga silaturahim jauh lebih indah daripada menenangkan sebuah perselisihan,” katanya.

Siti Nurhaliza Harap Isu Izara Aishah & Lesti Kejora Tidak Dipanjangkan -“Yang Sudah Berdamai, Jangan Kita Nyalakan Kembali Apinya”

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

“Saya Tidak Akan Memohon Maaf” –Ummi Umairah Tegas Pertahan Kenyataan Isu Derma Untuk Najib Razak

Pelajar Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit, tetap dengan pendiriannya berhubung kenyataan yang dibuatnya mengenai tindakan orang ramai mengumpul dana bagi membantu golongan elit yang disabitkan kes rasuah.

Malah, beliau menegaskan tidak akan memohon maaf atas pandangan yang dilontarkan ketika Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa di Kuala Lumpur baru-baru ini, meskipun kenyataannya itu mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat.

Menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya hari ini, Ummi Umairah berkata beliau berharap lebih ramai individu berani menyuarakan pandangan mengenai isu rasuah dan integriti tanpa dibayangi rasa takut.

“Saya tetap mempertahankan soalan yang dikemukakan dan tidak akan memohon maaf.

“Saya berharap lebih ramai orang mendapat keberanian untuk bersuara mengenai rasuah dan integriti tanpa rasa takut,” katanya.

“Saya Tidak Akan Memohon Maaf” –Ummi Umairah Tegas Pertahan Kenyataan Isu Derma Untuk Najib Razak

Persoal Tindakan Kumpul Dana Bantu Bekas Perdana Menteri

Sebelum ini, Ummi Umairah mengundang perhatian apabila mempersoalkan tindakan orang ramai menderma wang hasil titik peluh mereka bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melunaskan denda mahkamah berjumlah RM50 juta.

Perkara itu dibangkitkan ketika beliau menyertai sebuah forum terbuka yang turut menampilkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai panel.

Kenyataan mahasiswa berkenaan kemudiannya mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, termasuk kritikan serta komen berbaur ugutan yang ditujukan kepadanya.

Tegas Dengan Prinsip Integriti Dan Keadilan

Mengulas lanjut, Ummi Umairah menegaskan pendiriannya bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya selari dengan prinsip yang dipegangnya selama ini, khususnya berkaitan integriti, kesaksamaan, keadilan dan usaha menentang rasuah.

Beliau turut menjelaskan bahawa dirinya tidak pernah memilih isu tertentu untuk diperjuangkan, malah pernah menyuarakan pandangan mengenai beberapa perkara yang dianggap penting kepada masyarakat.

“Saya tidak pernah memilih isu untuk diperjuangkan. Saya hadir dalam demonstrasi (bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri) Azam Baki.

“Saya juga pernah bersuara mengenai ketidaksamaan peluang di universiti saya. Sejak hari pertama, saya konsisten menyuarakan pendirian saya,” katanya.

“Saya Tidak Akan Memohon Maaf” –Ummi Umairah Tegas Pertahan Kenyataan Isu Derma Untuk Najib Razak

Kesal Dengan Buli Siber Dan Salah Faham Terhadap Kenyataannya

Dalam masa sama, Ummi Umairah meluahkan rasa kecewa terhadap reaksi segelintir masyarakat yang menurutnya dipengaruhi budaya buli siber, obsesi politik serta mentaliti feudal.

Beliau turut mempertahankan penggunaan perkataan ‘bodoh’ dalam kenyataannya sebelum ini, sambil menjelaskan bahawa ungkapan tersebut ditujukan kepada sesuatu perbuatan dan bukannya individu secara peribadi.

“Menyifatkan sesuatu perbuatan sebagai bodoh bukanlah suatu kesalahan di sisi undang-undang. Ia merupakan ungkapan tegas untuk menggambarkan sesuatu perbuatan yang sukar dipercayai atau tidak masuk akal.

“Pemikiran kritis semakin terhakis. Orang ramai membaca, tetapi tidak berfikir, membuat penyelidikan atau memahami perkara yang dibaca. Konteks diputarbelitkan.

“Menyifatkan sesuatu perbuatan sebagai bodoh tidak sama dengan memanggil seseorang itu bodoh,” katanya.

“Saya Tidak Akan Memohon Maaf” –Ummi Umairah Tegas Pertahan Kenyataan Isu Derma Untuk Najib Razak

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: BH Online

Bonnie Bunyau Gustin Pertahan Emas Powerlifting, Sumbang Emas Kedua Negara Di Sukan Para Asia 2026

Badang kerdil negara, Bonnie Bunyau Gustin baru-baru ini membuktikan keperkasaannya di pentas antarabangsa sekali lagi selepas berjaya mempertahankan pingat emas acara powerlifting kategori 72 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun. Kejayaan itu turut menyumbang pingat emas kedua buat kontinjen Malaysia dalam temasya berkenaan.

Difahamkan, menerusi aksi yang berlangsung di Nagoya City Trade & Industry Center, Bonnie mencatatkan angkatan terbaik seberat 225kg untuk muncul juara. Pencapaian itu menyaksikan beliau berjaya mempertahankan gelaran yang dimenangi pada edisi 2022 di Hangzhou, China.

Atlet berusia 27 tahun itu memulakan saingan dengan angkatan 216kg sebelum meningkatkan catatan kepada 225kg pada percubaan kedua. Bagaimanapun, percubaan terakhir untuk mengangkat beban 231kg tidak berjaya, menjadikan 225kg sebagai catatan terbaiknya.

Bonnie Bunyau Gustin Pertahan Emas Powerlifting, Sumbang Emas Kedua Negara Di Sukan Para Asia 2026 Bonnie Bunyau Gustin Pertahan Emas Powerlifting, Sumbang Emas Kedua Negara Di Sukan Para Asia 2026

Sementara itu, atlet China, Zhang Pingkang meraih pingat perak dengan angkatan 212kg, manakala wakil Iran, Mohsen Bakhtiar membawa pulang gangsa selepas mencatatkan 208kg. Keputusan itu mengesahkan keunggulan Bonnie dalam persaingan kategori berkenaan.

Lebih membanggakan, Bonnie turut hadir ke kejohanan itu dengan reputasi sebagai juara Paralimpik dua kali serta pemegang rekod dunia 232kg, rekod Asia 231kg dan rekod temasya 230kg. Pencapaian tersebut mengukuhkan kedudukannya sebagai antara atlet powerlifting para terbaik negara.

Kemenangan di Jepun itu juga menjadi peluang buat Bonnie untuk bangkit selepas gagal mempertahankan pingat emas pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, Julai lalu. Beliau ketika itu meraih pingat gangsa dalam kategori lightweight lelaki.

Bonnie Bunyau Gustin Pertahan Emas Powerlifting, Sumbang Emas Kedua Negara Di Sukan Para Asia 2026

Kejayaan tersebut membuktikan semangat juang Bonnie untuk kembali bersaing di peringkat tertinggi selepas berdepan kekecewaan. Kesungguhannya mempertahankan gelaran turut menjadi inspirasi kepada atlet lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan.

BACA: Lakar Sejarah! Zuhairie Raih Emas Sulung Negara, Lebur Rekod Sukan Para Asia 2026

Terdahulu, pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 disumbangkan oleh pelumba berbasikal trek para negara, Zuhairie Ahmad Tarmizi, menerusi acara 1,000 meter ujian masa kategori C4-C5 lelaki. Kejayaan Bonnie menyusul selepas itu sekaligus menambah koleksi emas negara dalam temasya berkenaan.

Sumber: Bernama

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Zeppo Youngsterz Harumkan Nama Malaysia, Rangkul Gelaran Juara Di Haru Dance 2026, Tahniah!

Baru-baru ini, pasukan penari terkenal negara, Zeppo Youngsterz meraih perhatian selepas berjaya dinobatkan sebagai juara Haru Dance 2026 di Seoul, Korea Selatan. Kejayaan itu sekaligus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Menerusi beberapa perkongsian di Instagram, Zeppo Youngsterz meluahkan rasa syukur atas pencapaian membanggakan tersebut. Mereka turut menyifatkan pengalaman mewakili negara sebagai satu kenangan berharga yang akan terus terpahat dalam ingatan.

Difahamkan, Haru Dance merupakan pertandingan tarian yang menghimpunkan krew dari pelbagai negara untuk bersaing dan menampilkan bakat masing-masing. Zeppo Youngsterz pula dikenali menerusi keunikan gaya tarian mereka yang menggabungkan elemen tradisional Melayu dengan ‘street dance’, khususnya ‘hip-hop’.

Berkongsi perasaan mereka selepas meraih kemenangan, Zeppo Youngsterz menyifatkan peluang mewakili Malaysia sebagai satu penghormatan yang cukup bermakna. Mereka turut meluahkan rasa bangga kerana dapat membawa nama negara ke pentas berkenaan.

Zeppo Youngsterz Harumkan Nama Malaysia, Rangkul Gelaran Juara Di Haru Dance 2026, Tahniah!

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HARU | 하루 (@harudance.kr)

“Alhamdulillah untuk Malaysia. Satu detik yang akan terus terpahat dalam ingatan kita untuk tempoh yang lama”

“Di sebalik keputusan yang dicapai, perjalanan ini telah mengingatkan kita tentang kekuatan usaha gigih, kepercayaan, serta insan-insan yang berdiri di sisi kita,” tulisnya.

Mereka juga menegaskan bahawa kejayaan itu bukan sekadar tentang keputusan pertandingan, sebaliknya menjadi bukti pentingnya usaha keras, kepercayaan sesama anggota dan sokongan daripada orang sekeliling. Segala pengalaman sepanjang perjalanan tersebut menjadikan kemenangan itu lebih bermakna buat mereka.

Dalam perkongsian sama, Zeppo Youngsterz turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur Haru Dance atas peluang dan pengalaman berharga yang diberikan. Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada peminat serta penyokong yang sentiasa memberikan dorongan sepanjang perjalanan mereka.

Zeppo Youngsterz Harumkan Nama Malaysia, Rangkul Gelaran Juara Di Haru Dance 2026, Tahniah!

Lebih membanggakan, kejayaan ini turut memberi peluang kepada Zeppo Youngsterz untuk memperkenalkan keunikan budaya Malaysia kepada masyarakat antarabangsa. Gabungan unsur tradisional dan moden dalam setiap persembahan mereka membuktikan bahawa warisan tempatan boleh terus diketengahkan melalui kreativiti generasi muda.

Bagi mereka, pencapaian tersebut bukan sekadar satu kemenangan, malah menjadi kenangan istimewa yang akan disimpan untuk jangka masa panjang. Sokongan daripada mereka yang sentiasa percaya kepada kemampuan pasukan itu juga menjadi antara perkara yang menjadikan perjalanan berkenaan begitu bermakna.

Kejayaan Zeppo Youngsterz di Korea Selatan diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Malaysia untuk berani mengetengahkan bakat dan merebut peluang di peringkat antarabangsa. Pencapaian ini membuktikan bahawa usaha gigih, kreativiti dan semangat berpasukan mampu membawa nama negara lebih jauh di persada dunia.

Sumber: Instagram Zeppo Youngsterz

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Dinda Anwar Muncul Juara All Star Influencers Award (ASIA) 2026, Ketepikan 109 Pempengaruh Dari 20 Negara

Pempengaruh dari Indonesia, Dinda Anwar mengenepikan saingan 109 peserta lain dari 20 negara untuk membawa pulang anugerah utama All Star Influencers Award (ASIA) 2026 dan wang tunai  US$10,000 Ahad lalu.

ASIA 2026 yang memasuki penganjuran keempat tahun ini merupakan pertandingan yang mengumpulkan pempengaruh dari benua Asia ke Malaysia bagi mempromosikan destinasi pelancongan serta kebudayaan tempatan di platform Instagram & TikTok masing-masing.

Bagi edisi kali ini, skala penganjuran ASIA bertambah meriah dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia bagi menyokong kempen Visit Malaysia 2026/2027.

Dinda Anwar Muncul Juara All Star Influencers Award (ASIA) 2026, Ketepikan 109 Pempengaruh Dari 20 Negara

Sepanjang ASIA 2026, 110 pempengaruh dari negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, India, Pakistan, Kazakhstan, Uzbekistan, Kemboja, Rusia, Filipina, Arab Saudi, Thailand dan ramai lagi diterbangkan ke beberapa zon dari seluruh negara.

Ini termasuklah menjelajah ke zon Tengah (Perak & Kuala Lumpur), zon Utara (Pulau Pinang & Langkai), zon Pantai Timur (Terengganu & Pahang) dan zon Malaysia Timur (Sabah).

Sewaktu berada di lokasi, masing-masing memperkenalkan keunikan negara seperti budaya tarian, pakaian tradisi, makanan tempatan dan destinasi pelancongan negara kepada followers antarabangsa mereka menerusi hantaran video di media sosial.

Dinda Anwar Muncul Juara All Star Influencers Award (ASIA) 2026, Ketepikan 109 Pempengaruh Dari 20 Negara
Pempengaruh Indonesia dan pemenang Best Influencer Award di All Star Influencers Award 2026, Dinda Anwar.

Dinda Anwar Dinobatkan Best Influencer ASIA 2026

Ternyata, Dinda mempunyai aura, kreativiti dan pengaruh yang tepat untuk dinobatkan sebagai Best Influencer bagi edisi 2026.  Dinda yang merupakan pencipta kandungan popular di Indonesia turut memenangi kategori Best Culture Curator sekaligus memenangi trofi dan wang tunai US$1,000.

Tempat kedua menjadi milik Zulqarnain dari Pakistan sekaligus membawa pulang trofi dan wang tunai US$5,000. Sementara itu, Duc Koi dari Vietnam berada di kedudukan tempat ketiga dan memenangi trofi serta wang tunai US$3,000.

Berikut merupakan senarai penuh pemenang mengikut kategori yang diperkenalkan.

BEST INFLUENCER AWARD: Dinda Anwar (Indonesia)

TEMPAT KEDUA: Zulqarnain (Pakistan)

TEMPAT KETIGA: Duc Koi (Vietnam)

BEST GOURMET STORY: Zulqarnain (Pakistan)

BEST NEW MIXED DANCE: Grup B (Perak & Kuala Lumpur)

BEST CULTURE CURATOR: Dinda Anwar (Indonesia)

BEST STORYTELLER: Duc Koi (Vietnam)

BEST MIXED LANGUAGE: Grup A (Johor & Negeri Sembilan)

BEST COMEDY MAESTRO: Grup E (Perak & Kuala Lumpur)

BEST TRANSITION: Herony (Filipina)

BEST DEDICATION AWARD: Haikal Irfan (Malaysia)

BEST COMPILATION:

i. Johor – Negeri Sembilan: Aikah (Malaysia)
ii. Perak – Kuala Lumpur: Felicia (Indonesia)
iii. Terengganu – Pahang: Durdona (Uzbekistan)
iv. Langkawi – Pulau Pinang: Haikal Equino (Indonesia)
v. Sabah: Raymart (Filipina)

Dinda Anwar Muncul Juara All Star Influencers Award (ASIA) 2026, Ketepikan 109 Pempengaruh Dari 20 Negara
DARI KIRI: Duc Koi (Vietnam), Pengasas ASIA, Dato’ Abd Rahman Soltan; Dinda Anwar (Indonesia); Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim; dan Zulqarnain (Pakistan).

ASIA Catat 3.8 Bilion Tontonan Digital Sejak 2023

Bercakap kepada media selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang, Pengasas All Star Influencers Awards (ASIA) iaitu Dato’ Abd Rahman Soltan berkata, sejak dianjurkan pada tahun 2023, ASIA telahpun mencatatkan 3.8 bilion tontonan digital menerusi para peserta antarabangsannya sekaligus berjaya mempromosikan Malaysia menerusi kandungan digital.

“Kita membawa mereka menerokai pelbagai destinasi di Malaysia dan mereka berkongsi pengalaman tersebut melalui kandungan media sosial.

“Pendekatan ini membolehkan keindahan lokasi pelancongan, keunikan budaya serta makanan tempatan diperkenalkan kepada jutaan penonton di seluruh dunia.

“Kami mahu ASIA mengiktiraf bukan hanya berdasarkan populariti tetapi juga kreativiti, kualiti penceritaan dan keupayaan menghasilkan kandungan yang memberi impak kepada audiens,” katanya yang menyampaikan hadiah bersama-sama Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.

Pencapaian ASIA 2026 memperlihatkan bagaimana penglibatan pempengaruh antarabangsa mampu membantu memperkenalkan destinasi pelancongan, warisan budaya dan keunikan Malaysia kepada audiens dari pelbagai negara.

Penganjurannya juga dilihat memberi ruang kepada pencipta kandungan dari pelbagai negara untuk mengetengahkan kreativiti melalui pendekatan penceritaan, tarian, komedi, bahasa dan suntingan video yang berbeza.

FOTO: All Star Influencers Awards

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

“Saya Tidak Akan Sesekali Mohon Maaf” – Pelajar UM, Ummi Pertahan Kenyataan Isu Derma Kepada Najib

0

Pelajar UM yang mencetuskan perdebatan berhubung isu derma kepada Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa beliau tidak akan sesekali memohon maaf atas kenyataan yang dibuatnya sebelum ini.

Mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang dikenali sebagai Ummi menegaskan bahawa beliau tidak akan memohon maaf berhubung kenyataannya yang mengkritik tindakan individu menderma wang kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pendirian itu disuarakan menerusi satu kenyataan terbaharu selepas persoalan yang dibangkitkannya ketika International Young Future Leaders Summit mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat, khususnya di media sosial.

Menurut Ummi, maklum balas yang diterimanya sejak membangkitkan persoalan tersebut amat luar biasa sehingga mencetuskan perbincangan pada peringkat nasional.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pendiriannya tidak pernah berubah, malah akan terus memperjuangkan prinsip integriti, kesaksamaan, keadilan serta menentang amalan rasuah.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by @ummiiumairh

 Ummi Pelajar UM Nafi Bersikap Selektif Dalam Isu Rasuah

Dalam pada itu, Ummi turut menafikan dakwaan bahawa beliau bersikap selektif dalam menyuarakan pandangan terhadap isu tertentu.

Jelasnya, beliau sebelum ini pernah menyertai demonstrasi membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, selain lantang membangkitkan isu ketidaksamaan peluang di universiti.

Penjelasan tersebut dibuat bagi menjawab tanggapan sesetengah pihak terhadap pendiriannya dalam isu yang melibatkan tokoh tertentu.

Melalui kenyataan berkenaan, beliau cuba menjelaskan bahawa perjuangannya berkaitan integriti dan keadilan tidak tertumpu kepada satu individu atau isu semata-mata.

Kecewa Dengan Kecaman Dan Buli Siber

Pada masa sama, Ummi meluahkan rasa kecewa terhadap kecaman dan buli siber yang diterimanya, selain menyifatkan sesetengah reaksi masyarakat sebagai terlalu dipengaruhi sentimen politik serta kesetiaan membuta tuli terhadap individu tertentu.

Menurutnya, ramai yang hanya memberikan perhatian terhadap penggunaan perkataan ‘stupidest’ dan nama Najib Razak, sedangkan isu lebih besar yang cuba diketengahkannya seperti feudalisme, rasuah, fakta dan data seolah-olah diketepikan.

“Menggelar sesuatu perbuatan sebagai bodoh tidak sama dengan menggelar seseorang itu bodoh,” jelasnya.

Ummi turut mempertahankan penggunaan perkataan tersebut dengan menegaskan bahawa kritikan keras terhadap sesuatu tindakan tidak seharusnya disalah tafsir sebagai penghinaan peribadi.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap tahap pemikiran kritis dalam masyarakat apabila sesuatu kenyataan didakwa sering dipetik di luar konteks tanpa penelitian terhadap maksud sebenar.

Isu yang dibangkitkan oleh Ummi pelajar UM itu turut memperlihatkan perbezaan pandangan dalam kalangan masyarakat mengenai batas kritikan, kebebasan bersuara dan cara sesuatu kenyataan ditafsirkan.

“Saya Tidak Akan Sesekali Mohon Maaf” – Pelajar UM, Ummi Pertahan Kenyataan Isu Derma Kepada Najib

Pertahan Kritikan Terhadap Budaya Feudal Dan Rasuah

Tambahnya, budaya pemikiran feudal dan hujah yang tidak berasaskan fakta hanya akan menyukarkan masyarakat untuk membincangkan isu lebih penting, khususnya berkaitan integriti dan rasuah.

“Saya tetap mempertahankan persoalan saya. Saya tidak akan sesekali memohon maaf. Kerana menderma wang hasil titik peluh sendiri kepada golongan elit adalah tindakan paling bodoh dan tidak bermoral,” tegasnya.

Kenyataan tersebut sekali lagi memperlihatkan pendirian tegas beliau terhadap tindakan menderma wang kepada golongan elit, yang menurut pandangannya wajar dipersoalkan dari sudut moral dan prinsip.

Bagaimanapun, pendirian itu merupakan pandangan yang disuarakan oleh Ummi sendiri dan terus menjadi sebahagian daripada perdebatan masyarakat mengenai isu berkenaan.

Perbincangan tersebut bukan sahaja berkisar tentang tindakan memberikan sumbangan, malah turut menyentuh persoalan mengenai budaya politik, integriti dan tanggungjawab masyarakat dalam menilai sesuatu tindakan.

Ummi Pelajar UM Mahu Masyarakat Berani Bersuara

Mengakhiri kenyataan, Ummi berharap lebih ramai individu berani menyuarakan pandangan mengenai isu rasuah dan integriti tanpa dibelenggu rasa takut terhadap kecaman masyarakat.

Harapan tersebut selari dengan pendiriannya yang mahu perbincangan mengenai isu berkepentingan awam diberikan perhatian berdasarkan fakta, bukannya semata-mata dipengaruhi sentimen terhadap individu tertentu.

Terdahulu, kenyataan Ummi ketika International Young Future Leaders Summit berhubung tindakan individu yang menyumbangkan wang kepada Najib telah mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk kritikan terhadap pemilihan perkataan yang digunakannya.

Bagaimanapun, Ummi tetap mempertahankan pendiriannya bahawa kritikan tersebut ditujukan terhadap sesuatu tindakan, bukannya bertujuan menghina individu secara peribadi.

Kontroversi membabitkan Ummi pelajar UM itu turut membuka ruang perbincangan mengenai peranan mahasiswa dalam menyuarakan pandangan kritis terhadap isu politik dan sosial yang mendapat perhatian masyarakat.

Walaupun berdepan kecaman, beliau tetap berpegang pada pendiriannya bahawa persoalan mengenai integriti, keadilan dan rasuah perlu terus dibincangkan secara terbuka.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.