Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, berpandangan perselisihan antara menantunya, Izara Aishah dan penyanyi Indonesia, Lesti Kejora, seharusnya berakhir selepas kedua-dua pihak tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

Menerusi perkongsian di Instagram Story (IGs), penyanyi tersohor itu menegaskan bahawa tindakan memohon maaf bukanlah tanda kelemahan. Begitu juga dengan sikap memaafkan yang tidak bermaksud seseorang itu tewas dalam sesuatu perselisihan.

Sebaliknya, beliau mengingatkan orang ramai agar menghormati keputusan kedua-dua pihak untuk berdamai dan tidak terus memanjangkan isu berkenaan.

“Setiap manusia ada khilaf. Ada waktunya emosi mendahului pertimbangan, dan sebuah hubungan diuji dengan salah faham.

“Namun, apabila dua insan yang berselisih (faham) sudah memilih untuk saling memaafkan, di situlah seharusnya cerita itu berhenti, bukan terus dipanjangkan oleh mereka yang berada di luar,” tulisnya.

Siti Nurhaliza Harap Isu Izara Aishah & Lesti Kejora Tidak Dipanjangkan -“Yang Sudah Berdamai, Jangan Kita Nyalakan Kembali Apinya”

Kongsi Peringatan Daripada Al-Quran & Hadis

Dalam perkongsian yang sama, Siti Nurhaliza turut mengingatkan umat Islam mengenai kepentingan memelihara hubungan persaudaraan seperti yang terkandung dalam Surah Al-Hujurat, yang menyeru orang-orang mukmin supaya hidup bersaudara dan mendamaikan pihak yang berselisih.

Ads

Beliau turut berkongsi hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim mengenai teguran Rasulullah SAW bahawa seseorang Muslim tidak halal memutuskan hubungan dengan saudaranya melebihi tiga malam, manakala individu yang terbaik antara kedua-duanya ialah mereka yang terlebih dahulu memulakan salam.

Menerusi perkongsian itu, pelantun lagu Cindai berkenaan menekankan bahawa Islam tidak mendidik umatnya untuk mencari siapa yang menang atau kalah apabila berdepan perselisihan.

Sebaliknya, jalan perdamaian dan kebesaran hati untuk saling memaafkan merupakan perkara yang lebih utama.

“Kita diajar untuk mencari jalan kembali kepada perdamaian. Meminta maaf tidak menjadikan seseorang itu rendah. Memaafkan pula tidak menjadikan seseorang itu kalah. Kedua-duanya memerlukan keberanian dan kebesaran hati.

Ads

“Dan apabila mereka yang terlibat sendiri sudah berdamai, mungkin tugas kita bukan lagi untuk menghakimi, mengungkit atau memilih pihak.

“Cukuplah kita mendoakan agar yang keruh kembali jernih, yang terluka kembali sembuh dan silaturahim yang pernah diuji menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

“Kita juga tidak pernah tahu bila kita sendiri akan berada dalam keadaan yang sama – tersalah kata, tersalah faham, kemudian berharap diberi ruang untuk memperbaiki keadaan,” katanya.

Siti Nurhaliza Harap Isu Izara Aishah & Lesti Kejora Tidak Dipanjangkan -“Yang Sudah Berdamai, Jangan Kita Nyalakan Kembali Apinya”

Ads

Minta Orang Ramai Tidak Terus Mengapi-apikan Keadaan

Pada masa sama, Siti Nurhaliza berharap agar kedua-dua pihak yang sudah saling bermaafan tidak lagi menjadi sasaran provokasi, selain mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga tutur kata.

Menurutnya, apabila sesuatu perselisihan sudah menemui jalan penyelesaian, tiada keperluan untuk mana-mana pihak kembali membangkitkan perkara yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Yang sudah bermaafan, jangan kita adu-adukan lagi. Yang sudah berdamai, jangan kita nyalakan kembali apinya. Semoga Allah menjaga tutur kata kita, melembutkan hati kita dan memelihara persaudaraan sesama kita.

“Kerana akhirnya menjaga silaturahim jauh lebih indah daripada menenangkan sebuah perselisihan,” katanya.

Siti Nurhaliza Harap Isu Izara Aishah & Lesti Kejora Tidak Dipanjangkan -“Yang Sudah Berdamai, Jangan Kita Nyalakan Kembali Apinya”

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di
Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads