Baru-baru ini, jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly berjaya mengharumkan nama negara selepas berjaya menghadiahkan pingat emas kelima buat kontinjen Malaysia menerusi acara lompat jauh T20 lelaki di Sukan Komanwel Glasgow 2026. Lebih manis lagi, kejayaan itu juga melengkapkan sasaran lima pingat emas yang ditetapkan kontinjen negara pada temasya berprestij tersebut.
Difahamkan, atlet berusia 29 tahun itu tampil cemerlang dengan melakukan lompatan sejauh 7.17 meter (m) pada percubaan ketiga biarpun terpaksa beraksi dalam keadaan hujan lebat dan cuaca sejuk di Stadium Scotstoun, Glasgow. Keputusan itu sudah memadai untuk memastikan pingat emas menjadi miliknya, mengatasi atlet Kanada, Noah Vucsics yang meraih perak menerusi lompatan 6.66m, manakala seorang lagi wakil Malaysia, Eljoe Gotuoh melengkapkan podium dengan gangsa selepas mencatat 6.51m.
Sebelum pertandingan bermula, Abdul Latif memasang impian untuk memperbaharui rekod dunia miliknya sejauh 7.67m yang dicipta di New Delhi, India tahun lalu. Namun, keadaan cuaca yang tidak menentu memaksa beliau mengubah strategi dengan memberi fokus sepenuhnya kepada misi membawa pulang pingat emas buat negara.
Ads
Mengulas mengenai cabaran tersebut, Abdul Latif mengakui keadaan hujan serta suhu yang rendah menyukarkan pergerakannya sehingga memberi kesan kepada prestasi ketika melakukan larian untuk membuat lompatan.
“Memang betul saya mahu memecahkan rekod dunia, tetapi dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan dan hujan, agak sukar untuk melakukannya. Kalau cuaca terlalu sejuk memang susah,” katanya.
Walaupun catatan 7.17m masih belum dapat menandingi rekod dunia serta rekod peribadinya, kejayaan itu tetap cukup bermakna apabila menyempurnakan sasaran lima pingat emas kontinjen Malaysia di Glasgow 2026. Lebih istimewa, acara lompat jauh T20 lelaki turut dipertandingkan buat julung kalinya dalam sejarah Sukan Komanwel.
Pada masa yang sama, Abdul Latif mengakui beliau tidak menyangka menjadi atlet yang melengkapkan sasaran emas negara, apatah lagi diberi tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia pada temasya kali ini.
“Saya pun tak jangka dapat menyumbang pingat emas kelima untuk Malaysia. Ini rezeki saya,” jelasnya sambil menambah kejayaan tersebut menjadi lebih bermakna apabila disaksikan sendiri oleh isteri dan ahli keluarganya yang hadir memberikan sokongan di Stadium Scotstoun.
Untuk rekod, Malaysia telah mengumpul empat pingat emas menerusi acara angkat berat hasil kejayaan Mohamad Aniq Kasdan (60kg), Muhamad Aznil Bidin (65kg), Muhammad Erry Hidayat (79kg) dan Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg), sekali gus menjadikan kemenangan Abdul Latif sebagai pelengkap kepada pencapaian cemerlang kontinjen negara di Glasgow 2026.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Semalam dan hari ini dunia seni ‘kecoh’ dengan insiden Sissy Iman yang kelihatan menangis tersedu sedan apabila persembahannya dikritik oleh juri tetap rancangan Famili Duo, Mas Idayu.
Sissy yang bertanding bergandingan dengan sepupunya, Naim Daniel mendendangkan lagu lagu Jampi dalam genre keroncong dilihat tidak dapat menahan sebak apabila diminta untuk memberikan sepatah dua kata selepas dikritik.
Sissy kemudiannya dilihat memuat naik di laman Instagramnya meluah rasa seolah-olah dia sudah berputus asa dengan dunia muzik yang dicintainya sejak berusia lima tahun.
Memetik sebahagian tulisannya, “Saya tidak boleh melihat diri saya berhenti melakukan muzik tetapi malam ini saya rasa, sesuatu yang saya pelajari dan cintai sejak saya berumur 5 tahun, tidak menyayangi saya lagi.”
Walaupun begitu, ramai rakan selebriti meninggalkan komen positif dan penuh bersemangat kepadanya agar tidak berputus asa.
Artikel ini ditulis bukanlah untuk membahaskan soal kejadian yang menimpa Sissy Imann. Namun lebih kepada menonjolkan bahawa gadis berusia 27 tahun ini merupakan seorang pejuang sejati dalam dunia seni. Dia seorang yang berani dan berusaha keras, sebagai bukti dia mengembara sehingga ke London untuk merakamkan album di Abbey Road Studios.
Album Sissy Imann yang dirakam di Abbey Road Studios.
Tidak pernah kenal erti kalah, walaupun masih muda dia sebenarnya sudah lebih sedekad menghambakan dirinya sebagai anak seni. Dia mula merakam lagu pertama ketika berusia 17 tahun apabila bakatnya disedari oleh AG Coco yang menonton nyanyiannya di YouTube.
Selain bergelar seorang penyanyi, pemilik nama penuh Sissy Imann Mohd Kamal ini juga melebarkan sayapnya sebagai seorang pelakon dan pengacara. Dia berpengalaman menjadi pengacara untuk rancangan seperti Muzik-Muzik dan red carpet Anugerah Juara Lagu.
Aktif dalam dunia seni tidak bermakna pelajaran diabaikan. Sissy merupakan graduan lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) Ilmu Khas, Cheras dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Pendidikan Muzik). Lebih membanggakan, dia berjaya mendapat ijazah kelas pertama atas pencapaian cemerlang dalam akademik.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Atlet karate pekak negara, Yilamaran A/L Vispalingam mengharumkan nama negara hari ini apabila dia memperoleh pingat perak acara Kumite di Kejohanan Karate Deafliympic. Kojahanan antarabangsa yang sudah berlangsung sebanyak 24 kali itu dikhususkan khas untuk atlet-atlet yang memiliki masalah pendengaran.
Yilamaran menempah tiket ke peringkat akhir apabila dia berjaya menundukkan atlet dari Brazil dan Israel di peringkat suku akhir sebelum menumpaskan atlet Iran di peringat separuh akhir.
Di peringkat akhir pula, atlet kelahiran Johor Darul Takzim ini bertemu dengan atlet senior Ukraine, Makhno Oleksanr yang akhirnya muncul juara bagai kategori ini. Biarpun tidak berjaya memperoleh pingat emas, semangat juang yang ditonjolkan Yilamaran harus dipuji apatah lagi ini merupakan pingat perak pertama negara dalam kejohanan tersebut.
Seiring dengan kemenangannya, pemuda berusia 22 tahun ini menerima ucapan tahniah daripada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Dia juga bakal menerima wang imbuhan bernilai RM8,000.00 daripada kerajaan negeri Johor atas kejayaannya itu.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada atlet negara, Yilamaran a/l Vispalingam yang meraih pingat Perak acara Kumite bawah 84kg pada kejohanan Karate Deaflympic di Brazil. Atlet kelahiran Johor itu menempa sejarah tersendiri apatah lagi ini pertama kali negara mengambil bahagian acara itu di peringkat dunia dan merangkul pingat untuk kontinjen Malaysia.
“Sebagai tanda penghargaan, Kerajaan Negeri akan menghadiahkan RM8,000.00 atas kejayaan beliau mengharumkan nama Negeri dan Negara dipersada dunia. Kejayaan membanggakan itu tentunya menjadi pembakar semangat buat seluruh Bangsa Johor untuk sentiasa berusaha meraih kejayaan dalam apa jua yang kita lakukan,” tulis Datuk Onn Hafiz di laman Instagram beliau.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dalam era teknologi ini, muncul pelbagai jenis tanda atau simbol yang dapat membantu dalam penulisan. Antara tanda yang menjadi kelaziman dari segi penggunaan ialah huruf tebal yang dikenali sebagai bold dalam bahasa Inggeris. Penggunaan komputer membolehkan penulis menggunakan huruf tebal dalam penulisan, sama ada dalam penulisan surat, tesis ataupun dokumen rasmi yang lain.
Huruf tebal ialah huruf, perkataan, frasa, bahagian ayat ataupun ayat yang ditebalkan dengan tujuan atau maksud tertentu. Dalam konteks penggunaan huruf tebal, tiada format atau tatacara yang khusus dalam penulisan. Pada kebiasaannya, penulisan huruf tebal dipengaruhi oleh faktor gaya khas atau gaya organisasi (house sytle). Hal ini bermaksud bahawa penggunaan huruf tebal boleh menggunakan format atau tatacara yang ditetapkan oleh sesebuah institusi atau organisasi. Sungguhpun demikian, perkara penting yang perlu diberikan perhatian dalam penggunaan huruf tebal ialah tujuan menebalkan huruf, iaitu memberikan penekanan pada sesuatu huruf, perkataan, frasa, ayat atau maklumat.
Sehubungan dengan itu, huruf tebal boleh digunakan jika penulis ingin memberikan penekanan atau penegasan kepada sesuatu perkara atau maklumat. Dalam penulisan, apabila huruf tebal digunakan, penulis sebenarnya ingin menarik perhatian pembaca kepada bahagian yang ditebalkan huruf tersebut.
Contoh penggunaan huruf tebal boleh dilihat dalam pelbagai dokumen rasmi yang disediakan. Bahagian yang penting dan ingin diberikan penekanan oleh penulis boleh ditebalkan huruf. Misalnya, bahagian atau perkara yang perlu ditebalkan huruf dalam surat rasmi, kertas cadangan atau laporan dan minit mesyuarat adalah seperti yang berikut:
Surat rasmi
Nama penerima
Tajuk
Butiran program
Orang yang boleh dihubungi
Slogan
Nama pengirim selepas tandatangan
Kertas Cadangan/Laporan
Tajuk dan subtajuk
Minit Mesyuarat
Butiran awal mesyuarat – maklumat awal dan tajuk kehadiran
Struktur minit mesyuarat – tajuk perkara
Tindakan/makluman
Kesimpulannya, huruf tebal merupakan antara tanda baca moden yang boleh membantu penulis menyampaikan maklumat secara berkesan di samping memudahkan pembaca.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh PROF. MADYA DR. RAMALINGGAM
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!