Pasangan kembar dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Auni Syamimi dan Nur Aina Syairah, yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian.
Lebih membanggakan, kedua-duanya yang merupakan penerima Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut berpeluang meraikan detik bersejarah itu bersama-sama setelah melalui perjalanan pendidikan yang hampir tidak pernah memisahkan mereka sejak kecil.
Di sebalik kegembiraan meraikan kejayaan tersebut, tersimpan perjalanan hidup sebuah keluarga yang terpaksa menempuh pelbagai cabaran sejak bapa mereka diserang strok.
Bapa Diserang Strok Ketika Bekerja, Ibu Galas Tanggungjawab Besar
Menurut pasangan kembar berkenaan, kehidupan keluarga mereka berubah apabila bapa diserang strok ketika bekerja, sekali gus menyebabkan beliau lumpuh sebelah badan dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda.
Keadaan tersebut menyebabkan ibu mereka mengambil tanggungjawab sebagai suri rumah sepenuh masa bagi menjaga suami serta membesarkan anak-anak.
Selama 16 tahun, keluarga ini menjalani kehidupan dengan keadaan kesihatan bapa yang memerlukan perhatian dan penjagaan.
Dalam masa sama, ibu mereka tetap memainkan peranan penting memastikan kedua-dua anak perempuan mendapat kasih sayang, perhatian dan peluang untuk meneruskan pelajaran.
Ads
“Bagi saya, pengorbanan ibu untuk membesarkan dua anak kembar sangat besar, sebab kami dua anak perempuan dalam keluarga,” luah salah seorang daripada mereka.
Sejak Sekolah Hingga Universiti, Tidak Pernah Berpisah
Menariknya, Syamimi dan Syairah juga tidak pernah berpisah sepanjang perjalanan pendidikan mereka apabila bersekolah di tempat yang sama sebelum melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi yang sama.
Malah, keputusan untuk terus belajar bersama turut memudahkan urusan ibu mereka yang selama ini memikul tanggungjawab besar menguruskan keluarga.
Daripada alam persekolahan sehinggalah melangkah ke menara gading, kedua-duanya terus melalui perjalanan pendidikan bersama-sama.
Akhirnya, usaha dan kesungguhan itu membuahkan hasil apabila mereka berpeluang meraikan kejayaan sebagai graduan di pentas konvokesyen yang sama.
Ads
“Daripada sekolah sampai sekarang, tak pernah berpisah lagi. Masuk sekolah yang sama, institusi yang sama, jadi dapat juga duduk di pentas yang sama, semestinya gembira,” katanya.
Abah Tak Dapat Hadir, Namun Sentiasa Beri Sokongan Dari Jauh
Dalam pada itu, mereka turut meluahkan rasa terharu mengenangkan sokongan bapa yang sentiasa memberikan kata-kata semangat meskipun keadaan kesihatan tidak mengizinkan beliau untuk hadir menyaksikan hari bersejarah tersebut.
Walaupun tidak berpeluang berada bersama anak-anak pada hari konvokesyen, sokongan seorang bapa tetap dirasai oleh kedua-dua graduan berkenaan.
“Abah saya pun banyak bagi sokongan walaupun tak dapat hantar atau tak dapat ada di sini, tapi sentiasa sokong daripada jauh,” katanya.
Bagi kedua-dua graduan ini, kejayaan menggenggam ijazah bukan sekadar pencapaian akademik, sebaliknya menjadi hadiah paling bermakna buat ibu bapa yang tidak pernah berhenti mendoakan masa depan mereka.
Di sebalik kegembiraan meraikan kejayaan, tersimpan pengorbanan seorang ibu yang menjaga keluarga serta sokongan seorang bapa yang tetap memberikan semangat meskipun berdepan masalah kesihatan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kisah ngeri yang dikongsikan oleh delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) Malaysia yang dijadikan tahanan tentera Zionis Israel cukup untuk membuatkan bulu roma meremang dan perasaan menjadi luluh.
Dalam pertemuan bersama Astro Awani yang berada di Istanbul, Turkiye; beberapa wakil delegasi berkongsi detik getir apabila badan menjadi lemah kerana dehidrasi sebelum masing-masing dipaksa untuk mendapatkan sumber minuman daripada mangkuk tandas di dalam sel penjara.
Delegasi adik-beradik, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi merasai pengalaman berkenaan dan biarpun diasak secara kejam oleh phak tentera, mereka tetap cekal untuk berdepan kezaliman berkenaan.
(Dari kiri): Hazwani Helmi dan Heliza Helmi.
“Keadaan di atas kapal dan di darat sangat-sangat berbeza. Tentera darat sangat dasyat dan kejam. Kami diikat tangan di belakang (taktik commando rest) entah berapa jam dan akhirnya, kami minum dan makan pada 1 Oktober.
“Selepas itu, kami tidak lagi dapat minum atau makan. Di dalam penjara itu sendiri, kami dah rasakan mungkin kami ini akan mati disebabkan tiada air. Saya bercakap dengan mereka untuk berikan kami air kerana kami dehydrated. Kami tiada pilihan dan kami minum air tandas.”
Bagi seorang delegasi lelaki iaitu Haikal Zulkefli yang merupakan aktivis tempatan di atas kapal Free Willy, pengalaman tersebut turut dirasainya dalam sel penjara lelaki.
Haikal Zulkefli (tengah) yang ditemui di KLIA sebelum memulakan misi Global Sumud Flotilla.
“Pengalaman dalam penjara bersama seorang lagi rakan dari Malaysia dan seorang lagi daripada negara lain. Sebelum masuk penjara, kami sudah lakukan hunger strike dengan tidak makan atau minum kerana kita juga ingin tahu perasaan rakyat Palestin yang tidak makan atau minum.
“Apabila kita minta air mineral, mereka tidak bagi dan meminta kami untuk minum air jamban sahaja. Hampir sehari lebih kita duduk di dalam penjara, kita minta air mineral kerana kita nampak ahli tentera dapat. Mereka katakan, ‘I don’t care, you must drink toilet water’.
“Disebabkan badan kita lemah dan dehydrated kerana tidak makan atau minum sejak interception berlaku. Lagipula perlu duduk di bawah matahari dan melakukan commando rest; jadi kami minum sahajalah air jamban itu,” katanya.
Sebagai konteks, misi Global Sumud Flotilla disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara, termasuk 23 rakyat Malaysia, yang belayar menuju Gaza untuk membawa bantuan kemanusiaan seperti makanan dan ubat-ubatan. Ia juga merupakan simbol solidariti dunia terhadap rakyat Palestin yang dizalimi.
Kesemua 23 aktivis Malaysia telahpun selamat tiba di Istanbul selepas dibebaskan hasil usaha diplomatik Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Keputusan SPM 2025 bakal diumumkan tidak lama lagi dan lebih 413,000 calon di seluruh negara kini menanti detik penting tersebut.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 akan diumumkan pada 31 Mac 2026 (Selasa).
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, seramai 413,299 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Bagi calon sekolah, keputusan boleh diperoleh di sekolah masing-masing mulai pukul 10.00 pagi pada tarikh pengumuman. Manakala calon persendirian pula boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.
Keputusan SPM 2025 Diumumkan Pada 31 Mac
Pengumuman keputusan SPM 2025 ini merupakan detik yang sangat dinanti-nantikan oleh para calon yang telah berusaha sepanjang tempoh persekolahan mereka.
Pihak sekolah juga diminta memastikan proses penyerahan keputusan kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur bagi melancarkan urusan pada hari pengumuman.
Langkah ini penting supaya semua calon dapat menerima keputusan mereka dengan lancar tanpa sebarang kesesakan atau kekeliruan pada hari tersebut.
Selain mendapatkan keputusan di sekolah, calon juga boleh membuat semakan keputusan SPM 2025 secara dalam talian.
Calon boleh melayari laman web myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan penuh bermula 10.00 pagi, 31 Mac 2026 sehingga 6.00 petang, 6 April 2026.
Kemudahan ini memudahkan calon yang tidak dapat hadir ke sekolah atau yang ingin menyemak keputusan dengan cepat melalui internet.
Semakan Keputusan SPM 2025 Melalui SMS
Selain semakan secara dalam talian, calon juga boleh menyemak keputusan SPM 2025 melalui sistem pesanan ringkas (SMS).
Calon hanya perlu menaip format berikut:
SPMNoKPAngkaGiliran
dan hantar ke 15888.
Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula 10.00 pagi, 31 Mac 2026 sehingga 6.00 petang, 6 April 2026.
Kaedah semakan ini memberi alternatif kepada calon yang mungkin menghadapi kesukaran untuk mengakses internet pada hari pengumuman keputusan.
Harapan KPM Kepada Calon
Kementerian Pendidikan Malaysia dalam kenyataan sama turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon SPM 2025.
KPM berharap kejayaan yang dicapai akan menjadi pemangkin kepada para calon untuk terus melakar kecemerlangan dalam bidang akademik serta masa depan mereka.
Pengumuman keputusan SPM 2025 ini juga menjadi titik permulaan kepada langkah seterusnya bagi pelajar dalam menentukan laluan pendidikan mereka selepas tamat persekolahan.
Sumber : Kementerian Pendidikan Malaysia
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Ubat antiviral influenza habis stok di beberapa farmasi di Lembah Klang sejak dua minggu lalu berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan influenza di Malaysia, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah.
Situasi ini menimbulkan kebimbangan orang ramai selepas beberapa farmasi mengesahkan bahawa ubat antiviral jenis oseltamivir, sama ada dalam bentuk sirap untuk kanak-kanak mahupun tablet untuk dewasa, kini kehabisan stok akibat permintaan tinggi terhadap ubat antiviral influenza.
Permintaan Ubat Antiviral Influenza Meningkat, Kesedaran Orang Ramai Bertambah
Menurut seorang juru farmasi yang ditemui, trend pembelian ubat antiviral influenza meningkat setiap tahun, namun kali ini lonjakannya jauh lebih ketara.
“Tahun ini ramai pelanggan datang dengan preskripsi doktor selepas disahkan positif influenza. Kesedaran masyarakat meningkat dan mereka tahu ubat antiviral perlu diambil awal selepas simptom muncul,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa setiap pembelian ubat antiviral influenza memerlukan preskripsi doktor, dan ia tidak boleh dijual secara bebas kerana melibatkan dos serta pemantauan perubatan yang ketat.
Harga Ubat Antiviral Influenza Kekal, Tiada Kenaikan Dikenakan
Berikutan peningkatan permintaan, timbul dakwaan bahawa harga ubat antiviral meningkat. Namun, jurufarmasi menafikan perkara itu dan menegaskan harga masih kekal seperti biasa.
Oseltamivir jenis sirap (100ml) dijual sekitar RM165 sebotol, manakala tablet untuk dewasa dijual sekitar RM190 bagi 10 biji.
“Harga masih sama seperti sebelum ini. Cuma stok sirap untuk kanak-kanak habis dahulu kerana ia paling banyak dicari. Ubat tablet untuk dewasa masih ada, tetapi juga semakin berkurangan,” katanya.
Seorang lagi juru farmasi turut memaklumkan bahawa ubat oseltamivir versi original boleh mencecah lebih RM100 bagi 10 tablet, manakala versi generik dijual pada harga puluhan ringgit bergantung kepada jenama dan pembekal.
Kes Influenza Meningkat di Sekolah, Permintaan Ubat Antiviral Influenza Terus Naik
Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini menunjukkan peningkatan ketara kes influenza di seluruh negara, terutamanya di institusi pendidikan.
Berdasarkan pemantauan Survelan Influenza-Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infections (SARI), kadar konsultasi pesakit meningkat daripada 7.38% kepada 9.22% antara Minggu Epidemiologi (ME) ke-40 dan ke-41 tahun ini.
Sehingga kini, lebih 530 kluster influenza direkodkan di seluruh Malaysia, dengan lebih 6,000 pelajar dan murid sekolah disahkan dijangkiti virus influenza setakat 13 Oktober lalu.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, turut memaklumkan bahawa beberapa sekolah telah diarahkan ditutup sementara atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah bagi membendung penularan jangkitan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan 6,000 murid di seluruh negara dijangkiti wabak influenza setakat ini. Gambar hiasan
Langkah Pencegahan Influenza untuk Remaja
Dengan peningkatan kes yang ketara dan kekurangan stok ubat antiviral influenza, penting untuk remaja mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan.
Antara langkah pencegahan yang disarankan ialah:
Dapatkan vaksin influenza setiap tahun, terutamanya bagi mereka yang sering bergaul di tempat ramai seperti sekolah dan universiti.
Cuci tangan dengan kerap menggunakan sabun atau hand sanitizer.
Pakai pelitup muka jika mengalami simptom seperti batuk, selesema atau demam.
Rehat di rumah dan elakkan ke sekolah jika tidak sihat bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain.
Amalkan gaya hidup sihat — tidur cukup, minum air banyak dan makan makanan berkhasiat untuk tingkatkan imun badan.
Walaupun ubat antiviral influenza habis stok di Lembah Klang, jangan panik. Bagi kes ringan, kebanyakan pesakit boleh pulih dengan rawatan sokongan seperti rehat yang mencukupi, hidrasi dan ubat demam biasa.
Namun, bagi remaja atau kanak-kanak yang berisiko tinggi, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera. Kesedaran dan tindakan awal boleh menyelamatkan nyawa serta mencegah penularan kepada orang lain.
Ingat: jaga kesihatan, amalkan kebersihan, dan lindungi diri serta orang sekeliling daripada wabak influenza yang semakin meningkat ini.