Home Blog Page 13

Ratu Suthida Jadi Wanita Pertama Thailand Terbangkan Jet Pejuang Gripen Secara Solo

0

Permaisuri Thailand, Ratu Suthida mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama di negara itu yang berjaya menerbangkan jet pejuang Gripen secara solo buat kali pertama.

Pencapaian luar biasa itu diumumkan menerusi kenyataan rasmi istana pada Jumaat selepas baginda berjaya mengendalikan pesawat pejuang JAS 39C Gripen satu tempat duduk dari sebuah pangkalan udara tentera di wilayah Surat Thani, selatan Thailand, pada Khamis.

Lebih istimewa, detik bersejarah tersebut turut disaksikan oleh suami baginda, Raja Maha Vajiralongkorn yang sememangnya mempunyai minat mendalam terhadap bidang penerbangan.

Ratu Suthida Jalani Latihan Intensif Sebelum Penerbangan Solo

Menurut laporan media, kejayaan Permaisuri berusia 48 tahun itu bukanlah sesuatu yang dicapai dalam tempoh singkat. Sebaliknya, baginda terlebih dahulu menjalani latihan intensif menggunakan simulator penerbangan selama beberapa minggu di pangkalan udara berkenaan.

Ratu Suthida Jadi Wanita Pertama Thailand Terbangkan Jet Pejuang Gripen Secara Solo

Selain itu, baginda turut mengumpul kira-kira 10 jam pengalaman mengendalikan pesawat Gripen dua tempat duduk sebagai persediaan sebelum melakukan penerbangan solo tersebut.

Latihan berkenaan menjadi antara persediaan penting sebelum baginda diberi peluang mengendalikan sendiri pesawat pejuang yang memerlukan tahap kemahiran, ketelitian dan tumpuan tinggi ketika berada di udara.

Berbeza dengan pesawat penumpang biasa, jet pejuang seperti Gripen direka untuk melaksanakan pelbagai misi ketenteraan termasuk operasi pertahanan udara dan pemintasan pesawat.

Keupayaan mengendalikan pesawat seumpama itu memerlukan pemahaman terhadap sistem penerbangan, kawalan pesawat serta prosedur keselamatan yang ketat.

Pengalaman Luas Ratu Suthida Dalam Bidang Penerbangan

Menariknya, Ratu Suthida bukanlah individu asing dalam dunia penerbangan memandangkan baginda pernah berkhidmat sebagai pramugari Thai Airways sebelum mendirikan rumah tangga bersama Raja Maha Vajiralongkorn pada 2019, beberapa hari sebelum istiadat pertabalan baginda.

Malah, Ratu Suthida mula berkecimpung dalam bidang penerbangan sejak 2010 dan telah mengumpul hampir 1,190 jam pengalaman menerbangkan pesawat sepanjang tempoh tersebut.

Ratu Suthida Jadi Wanita Pertama Thailand Terbangkan Jet Pejuang Gripen Secara Solo

Baginda juga sering bertindak sebagai juruterbang pembantu kepada Raja Maha Vajiralongkorn dalam beberapa perjalanan rasmi diraja, termasuk ketika melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Paro, Bhutan yang terkenal sebagai antara lapangan terbang paling mencabar di dunia.

Lapangan terbang berkenaan terletak di kawasan pergunungan Himalaya dan mempunyai laluan pendekatan yang mencabar berikutan bentuk muka bumi serta keadaan geografi di sekitarnya.

Pengalaman penerbangan yang dikumpul selama bertahun-tahun itu memperlihatkan bahawa minat baginda terhadap dunia penerbangan bukan sekadar hobi, sebaliknya turut disertai latihan dan pengalaman praktikal.

Raja Thailand Raikan Kejayaan Bersejarah Permaisuri

Dalam pada itu, kejayaan Ratu Suthida turut diraikan dengan penuh bermakna apabila Raja Maha Vajiralongkorn menyambut kepulangan baginda selepas penerbangan tersebut dengan menghadiahkan sejambak bunga.

Baginda turut berkenan menyematkan lencana kehormatan Golden Gripen Order pada lengan kiri Ratu Suthida sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian bersejarah itu.

Detik tersebut menjadi simbol penghargaan terhadap usaha dan persediaan yang dilalui oleh Permaisuri Thailand sebelum berjaya melengkapkan penerbangan solo menggunakan pesawat pejuang berkenaan.

Lebih menarik, kejayaan itu turut memperlihatkan satu lagi sisi kehidupan kerabat diraja Thailand yang mempunyai hubungan rapat dengan dunia penerbangan, khususnya membabitkan Raja Maha Vajiralongkorn dan Permaisuri baginda.

Ratu Suthida Jadi Wanita Pertama Thailand Terbangkan Jet Pejuang Gripen Secara Solo

Jet Pejuang Gripen Dalam Perkhidmatan Tentera Udara Thailand

Untuk rekod, Thailand kini mengoperasikan satu skuadron jet pejuang Gripen C/D keluaran syarikat pertahanan Sweden, Saab.

Pada tahun lalu, negara berkenaan turut menandatangani perjanjian bernilai kira-kira AS$556 juta (RM2.27 bilion) bagi memperoleh tiga pesawat Gripen E dan sebuah Gripen F, dengan proses penghantaran dijadualkan selesai menjelang 2030.

Gripen merupakan pesawat pejuang pelbagai peranan yang dibangunkan untuk menjalankan operasi udara termasuk pertahanan ruang udara, pemantauan serta serangan terhadap sasaran tertentu.

Model Gripen C yang diterbangkan oleh Permaisuri Thailand merupakan varian satu tempat duduk, manakala Gripen D mempunyai dua tempat duduk yang turut digunakan bagi tujuan latihan dan operasi tertentu.

Sementara itu, Gripen E dan Gripen F merupakan varian lebih baharu yang menawarkan penambahbaikan dari segi teknologi, sistem avionik dan keupayaan operasi berbanding generasi terdahulu.

Sumber : Utusan Malaysia

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Buktikan Kemampuan Di Sebalik Populariti, 34 Pempengaruh Bakal Berentap Di ASC26

All Star Championship 2026 (ASC26) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform tinju pempengaruh menerusi penganjuran di Kuala Lumpur dan Dubai sebelum ini, sekali gus membuka peluang kepada pencipta kandungan untuk menguji kemampuan masing-masing dalam sukan tinju.

Pengasas All Star Championship 2026, Dato’ Abd. Rahman Soltan berkata, kritikan yang dilemparkan segelintir pihak di media sosial merupakan perkara biasa dalam usaha membangunkan platform sukan digital, namun pihaknya kekal fokus terhadap usaha membuktikan kredibiliti kejohanan berkenaan.

Menurutnya, kejayaan menganjurkan acara di Kuala Lumpur pada tahun lalu, diikuti penganjuran di Dubai, menjadi antara bukti kesungguhan pihaknya untuk mengembangkan jenama All Star ke peringkat antarabangsa.

“Kalau nak persoal kredibiliti atau apa-apa, itu hak masing-masing. Kita tidak boleh lari daripada haters dalam media sosial. Yang penting, apa yang kita buat, kita tunaikan.

“Malah penyertaan, kerjasama dan sokongan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Tourism Malaysia juga sudah cukup membuktikan,” katanya.

Buktikan Kemampuan Di Sebalik Populariti, 34 Pempengaruh Bakal Berentap Di ASC26

Kritikan Media Sosial Bukan Penghalang

Beliau berkata demikian ketika mengulas komen pada satu hantaran Instagram yang ditinggalkan seorang pempengaruh wanita, yang sebelum ini mempersoalkan kredibiliti serta ketelusan kejohanan yang bakal berlangsung Sabtu ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Abd. Rahman berpendapat terdapat kemungkinan segelintir pengkritik berasa kecewa kerana tidak berpeluang menyertai ASC26. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setiap individu berhak menyuarakan pandangan masing-masing.

“Mereka mungkin cemburu dan terkilan sebab tidak dapat menyertai ASC26. Nak masuk kejohanan tapi tidak layak, jadi hati manusia kan, macam-macam. Cuma seperti saya cakap, kita sudah buktikan kredibiliti,” ujarnya.

Himpunan Pengikut Cecah Lebih 20 Juta

Dalam pada itu, penyertaan pempengaruh dari pelbagai negara menjadi antara kelebihan ASC26, dengan jumlah keseluruhan pengikut mereka dianggarkan melebihi 20 juta di seluruh dunia.

Namun, Abd. Rahman menjelaskan bahawa jumlah pengikut dan populariti di media sosial bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan kemampuan seseorang peserta untuk beraksi di gelanggang.

Sebaliknya, setiap peserta yang telah menandatangani kontrak perlu memberikan komitmen terhadap latihan, termasuk menjalani sesi latihan antara dua hingga tiga kali seminggu bagi memastikan mereka mempunyai persediaan mencukupi sebelum bertanding.

Beliau turut mengambil contoh juara edisi terdahulu, Imranul Affendy, yang mempunyai latar belakang sebagai penari dan pelakon, tetapi tetap memberikan komitmen serius terhadap latihan selepas memilih untuk menceburi sukan tinju.

“Apabila mereka sudah membuat keputusan untuk bertarung, mereka akan berlatih bersungguh-sungguh. Kita membimbing dan memantau mereka kerana setiap peserta perlu diberikan peluang serta dorongan,” katanya.

Buktikan Kemampuan Di Sebalik Populariti, 34 Pempengaruh Bakal Berentap Di ASC26

34 Pempengaruh Bakal Berentap Dalam 17 Perlawanan

Menurut Abd. Rahman, persiapan bagi ASC26 telah dimulakan kira-kira tiga bulan lalu bagi memberikan ruang kepada semua peserta untuk menjalani latihan secara konsisten dan membina keyakinan sebelum berentap di gelanggang.

Kejohanan yang bakal berlangsung di Flamingo Hotel, Kuala Lumpur, pada 17 Oktober ini menghimpunkan seramai 34 pempengaruh dari sembilan negara yang akan beraksi dalam 17 perlawanan.

Menariknya, orang ramai berpeluang menyaksikan pertandingan tersebut secara langsung tanpa dikenakan bayaran kemasukan.

Bagi penonton yang ingin mengikuti aksi kejohanan dari mana-mana lokasi di seluruh dunia, siaran eksklusif turut disediakan menerusi platform penstriman Tonton pada harga RM10 bagi setiap tontonan bayar setiap tontonan (pay-per-view).

Buktikan Kemampuan Di Sebalik Populariti, 34 Pempengaruh Bakal Berentap Di ASC26

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Berkat Bimbingan Bapa Sejak Kecil, Nur Syakura Kini Genggam Gelaran Johan Qariah Antarabangsa

Selepas lebih dua dekad menimba ilmu al-Quran, segala usaha dan pengorbanan Nur Syakura Mohamad Musam, 31, akhirnya membuahkan hasil apabila beliau dinobatkan sebagai johan qariah pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-66.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu mula mengenali dan mempelajari al-Quran menerusi bimbingan bapanya sejak berusia tujuh tahun. Perjalanan panjang yang dilaluinya sejak kecil kini menjadi antara detik paling bermakna apabila berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Bagi Nur Syakura, kejayaan tersebut bukanlah hasil usaha dirinya semata-mata, sebaliknya turut didorong oleh bimbingan guru, sokongan keluarga serta doa masyarakat yang sentiasa memberikan semangat sepanjang perjalanannya.

Berkat Bimbingan Bapa Sejak Kecil, Nur Syakura Kini Genggam Gelaran Johan Qariah Antarabangsa

Akui Sokongan Ayah, Guru dan Keluarga Jadi Pembakar Semangat

Mengulas mengenai pencapaiannya, Nur Syakura menzahirkan rasa syukur dan menghargai jasa semua pihak yang membantunya sehingga berjaya mencapai tahap tersebut.

“Kejayaan ini tak mungkin dapat dicapai tanpa bimbingan daripada ayah dan guru yang mencurahkan ilmu dan sokongan keluarga serta rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Sarawak.

“Alhamdulillah, perjalanan untuk sampai ke tahap ini bukan mudah, semuanya adalah rezeki daripada Allah SWT,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan dan penganugerahan hadiah MTHQA Ke-66.

Pengiktirafan itu pastinya menjadi kenangan istimewa buat Nur Syakura yang telah menghabiskan sebahagian besar kehidupannya mendalami ilmu al-Quran, selain membuktikan bahawa kesungguhan dan usaha berterusan mampu membuahkan hasil.

Jaga Kesihatan Fizikal dan Mental Sepanjang Persiapan

Di sebalik kejayaan yang diraih, Nur Syakura turut berdepan cabaran tersendiri sepanjang membuat persiapan bagi menghadapi pertandingan berprestij itu.

Menurutnya, tempoh dua bulan sebelum pertandingan memberi tumpuan khusus kepada penjagaan kesihatan fizikal dan mental bagi memastikan mutu bacaannya berada pada tahap terbaik ketika berada di pentas.

Beliau yang merupakan lepasan diploma Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) turut menjelaskan bahawa kawalan suara menjadi antara aspek penting yang perlu diberikan perhatian, terutama ketika berhadapan dengan situasi pertandingan sebenar.

Berkat Bimbingan Bapa Sejak Kecil, Nur Syakura Kini Genggam Gelaran Johan Qariah Antarabangsa

Tidak Memaksa Suara Capai Tahap Maksimum

Bagi memastikan persembahannya berjalan lancar, Nur Syakura memilih untuk memahami kemampuan suara sendiri dan tidak memaksakan diri mencapai tahap maksimum ketika membaca ayat suci al-Quran.

“Apabila berada di atas pentas, kita tidak dapat mengawal semua perkara. Jadi, saya membuat persediaan dengan beberapa perancangan.

“Kita tidak boleh memaksa suara mencapai tahap terlalu tinggi atau maksimum. Sebaliknya, saya memilih untuk membaca dengan selamat mengikut kemampuan suara,” katanya.

Pendekatan tersebut memperlihatkan kepentingan persediaan rapi serta kebijaksanaan mengawal kemampuan diri dalam menghadapi pertandingan di peringkat antarabangsa.

Kejayaan Nur Syakura bukan sahaja menjadi pencapaian peribadi yang membanggakan, malah turut menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mendalami ilmu al-Quran dan berusaha mengembangkan potensi diri dalam bidang yang diceburi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: BH Online

‘Crazy Rich Asians’ Kembali Sebagai Siri Drama, Tan Sri Michelle Yeoh & Henry Golding Antara Bintang Utama!

0

Khabar gembira buat peminat filem popular, ‘Crazy Rich Asians’ apabila baru-baru ini HBO Max mengesahkan bahawa kisah keluarga elit Young bakal dihidupkan semula menerusi sebuah siri drama yang dijadualkan menemui penonton pada tahun 2027. Perkembangan ini pastinya mencetuskan keterujaan peminat yang menantikan kesinambungan kisah cinta dan konflik keluarga kaya raya tersebut sejak filem pertamanya ditayangkan pada 2018.

Lebih menarik lagi, tiga bintang utamanya iaitu Tan Sri Michelle Yeoh, Henry Golding dan Constance Wu bakal kembali membawakan watak asal masing-masing sebagai Eleanor Young, Nick Young dan Rachel Chu. Kehadiran semula barisan pelakon utama ini dijangka mengembalikan daya tarikan kisah yang pernah mencuri perhatian penonton menerusi gabungan elemen percintaan, kemewahan dan konflik dalam keluarga berpengaruh.

Difahamkan, siri yang turut menggunakan judul ‘Crazy Rich Asians’ itu bakal dimeriahkan menerusi lapan episod dengan durasi kira-kira satu jam bagi setiap episod. Pelakon Ronny Chieng juga dilaporkan akan kembali sebagai Eddie Cheng, sepupu Nick yang dikenali menerusi personaliti tersendiri serta kecenderungannya terhadap kehidupan mewah.

‘Crazy Rich Asians’ Kembali Sebagai Siri Drama, Tan Sri Michelle Yeoh & Henry Golding Antara Bintang Utama! ‘Crazy Rich Asians’ Kembali Sebagai Siri Drama, Tan Sri Michelle Yeoh & Henry Golding Antara Bintang Utama!

Walau bagaimanapun, HBO Max masih belum mendedahkan sinopsis rasmi bagi projek terbaharu ini. Memandangkan filem terdahulu berakhir dengan Rachel dan Nick meraikan pertunangan mereka selepas Eleanor memberikan restu, perkembangan hubungan pasangan itu serta dinamika keluarga Young berpotensi menjadi antara perkara yang dinantikan peminat.

Di sebalik penerbitan siri ini, Adele Lim yang merupakan penulis bersama filem pertama bakal mengetuai projek berkenaan sebagai ‘showrunner’ dan penerbit eksekutif. Beliau akan bergandingan dengan Kevin Kwan, penulis trilogi novel asal, selain Nina Jacobson, Brad Simpson dan Jon M. Chu yang turut terlibat dalam pasukan penerbitan.

Menurut Lim, adaptasi dalam format siri memberikan ruang lebih luas untuk meneroka watak-watak serta dunia yang dibangunkan Kwan menerusi novel asalnya. Pendekatan ini membolehkan jalan cerita dikembangkan dengan lebih terperinci berbanding filem, sekaligus membuka peluang untuk mengetengahkan sisi berbeza kehidupan keluarga elit Asia yang menjadi tarikan utama karya tersebut.

‘Crazy Rich Asians’ Kembali Sebagai Siri Drama, Tan Sri Michelle Yeoh & Henry Golding Antara Bintang Utama!

‘Crazy Rich Asians’ Kembali Sebagai Siri Drama, Tan Sri Michelle Yeoh & Henry Golding Antara Bintang Utama!

Untuk rekod, filem Crazy Rich Asians berjaya meraih kutipan hampir AS$239 juta (sekitar RM1.03 bilion) di seluruh dunia dengan anggaran bajet produksi sebanyak AS$30 juta (sekitar RM129 juta) ketika ditayangkan pada 2018. Filem berkenaan turut mencetuskan gerakan #GoldOpen, iaitu inisiatif komuniti yang membeli tiket tayangan secara beramai-ramai sebagai tanda sokongan terhadap filem Hollywood yang menampilkan barisan pelakon Asia sepenuhnya.

BACA: Tan Sri Michelle Yeoh Terima Penghormatan Berprestij, Dinobat ‘Tokoh Perfileman Asia’ Di BIFF 2026

Selain mengembangkan kisah daripada filem terdahulu, siri ini turut membuka peluang untuk meneroka jalan cerita berdasarkan dua novel susulan karya Kwan, iaitu ‘China Rich Girlfriend’ dan ‘Rich People Problems’. Walaupun hala tuju penceritaan masih belum diumumkan secara rasmi, kepulangan pelakon asal serta penglibatan pasukan kreatif terdahulu menjadikan adaptasi baharu ini antara projek yang dinantikan menjelang tayangannya pada 2027.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

“Ini Bukan AI!” Shindong Super Junior Turun 37 kilogram, Penampilan Terbaru Buatkan Peminat Kagum

Shindong daripada kumpulan popular, Super Junior baru-baru ini kembali meraih perhatian peminat apabila penampilan terbaru beliau yang kelihatan semakin tirus dan sihat mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat (ELF).

Perubahan tersebut menjadi bualan selepas penyanyi berusia 41 tahun itu berkongsi beberapa keping gambar menerusi media sosial ketika berada di Tokyo, Jepun. Menerusi perkongsian berkenaan, Shindong atau nama penuhnya Shin Dong-hee dilihat tampil dengan penampilan yang jauh berbeza berbanding sebelum ini.

Lebih menarik, penampilan terbaru anggota Super Junior itu sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat yang menyangka gambar berkenaan mungkin dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Ini Bukan AI!” Shindong Super Junior Turun 37 kilogram, Penampilan Terbaru Buatkan Peminat Kagum “Ini Bukan AI!” Shindong Super Junior Turun 37 kilogram, Penampilan Terbaru Buatkan Peminat Kagum

Menyedari perkara tersebut, Shindong secara berseloroh menjelaskan bahawa perkongsian gambar berkenaan adalah asli dan bukannya hasil janaan AI. Beliau turut mengajak peminat mengundi foto kegemaran mereka, sekaligus mencetuskan interaksi mesra bersama pengikutnya di media sosial.

Untuk rekod, Shindong sebelum ini pernah mempunyai berat badan mencecah 116 kilogram sebelum berjaya menurunkan sebanyak 37 kilogram dalam tempoh lima bulan. Hasil perubahan itu, berat badannya kini dilaporkan berada pada 79 kilogram.

Menurut laporan, penurunan berat badan tersebut dicapai menerusi perubahan kepada amalan gaya hidup yang lebih mampan selepas beliau berhenti menggunakan ‘Wegovy’, iaitu ubat yang digunakan untuk membantu pengurusan berat badan.

“Ini Bukan AI!” Shindong Super Junior Turun 37 kilogram, Penampilan Terbaru Buatkan Peminat Kagum

Usaha Shindong mengubah gaya hidupnya itu nyata menarik perhatian ramai, lebih-lebih lagi apabila beliau terus aktif dalam industri hiburan. Selain menjalankan aktiviti bersama Super Junior, penyanyi itu turut terlibat dalam pelbagai program hiburan dan rancangan variasi.

Dalam pada itu, penampilan terbaru Shindong sekali lagi membuktikan bahawa perubahan dirinya terus menjadi perhatian peminat. Beliau juga kekal aktif dalam industri hiburan, sekaligus menunjukkan komitmennya terhadap kerjaya seni bersama Super Junior dan pelbagai program hiburan yang disertainya.

Sumber: Instagram Shindong

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Syed Saddiq & Bella Astillah Sah Bergelar Suami Isteri, Selamat Diijabkabulkan Dengan Sekali Lafaz!

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, akhirnya sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, selepas pasangan itu selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz pada pagi ini.

Syed Saddiq & Bella Astillah Sah Bergelar Suami Isteri, Selamat Diijabkabulkan Dengan Sekali Lafaz!

Majlis pernikahan yang berlangsung pada pukul 10.40 pagi itu diadakan di aras 118, Menara Merdeka Maybank, dengan kehadiran kira-kira 300 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, tetamu kehormat serta rakan-rakan terdekat.

Pasangan berkenaan dinikahkan oleh Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri dengan mas kahwin sebanyak RM500.

Syed Saddiq & Bella Astillah Sah Bergelar Suami Isteri, Selamat Diijabkabulkan Dengan Sekali Lafaz!

Meriah Dengan Kehadiran Keluarga, Kenalan Rapat & Pemimpin Politik

Majlis penuh bermakna itu turut menyaksikan kehadiran beberapa figura politik tempatan, termasuk bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri, selain bekas Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Tidak ketinggalan, beberapa pemimpin politik dari Singapura turut hadir memeriahkan hari bahagia pasangan tersebut, antaranya bekas Ketua Pembangkang republik itu, Pritam Singh.

Kehadiran tetamu daripada pelbagai latar belakang ini turut menyerlahkan hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua figura berkenaan dalam bidang masing-masing.

Syed Saddiq & Bella Astillah Sah Bergelar Suami Isteri, Selamat Diijabkabulkan Dengan Sekali Lafaz!

Busana Serba Putih, Serlah Konsep Arab-Islamik

Menepati konsep perkahwinan berteraskan elemen Arab dan Islamik, rata-rata tetamu yang hadir tampil anggun dalam persalinan serba putih, selaras dengan permintaan keluarga.

Majlis tersebut turut diserikan dengan acara berbalas hantaran apabila pihak pengantin lelaki menyediakan tujuh dulang hantaran, manakala pihak pengantin perempuan membalas dengan sembilan dulang.

Syed Saddiq & Bella Astillah Sah Bergelar Suami Isteri, Selamat Diijabkabulkan Dengan Sekali Lafaz!

Penyatuan Syed Saddiq yang aktif dalam arena politik dan Bella yang membina nama dalam industri hiburan tanah air pastinya menjadi detik istimewa buat kedua-dua keluarga serta peminat yang mengikuti perjalanan mereka.

Bakal Adakan Resepsi & Kenduri Rakyat Di Tiga Lokasi

Dalam pada itu, majlis pernikahan hari ini bakal disusuli dengan majlis resepsi yang dijadualkan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 18 Oktober ini.

Pasangan tersebut turut merancang untuk meraikan hari bahagia mereka bersama masyarakat menerusi penganjuran Kenduri Rakyat di Muar, Johor pada 25 Oktober, sebelum meneruskan sambutan di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober ini.

Syed Saddiq & Bella Astillah Sah Bergelar Suami Isteri, Selamat Diijabkabulkan Dengan Sekali Lafaz!

Tahniah diucapkan buat Syed Saddiq dan Bella Astillah! Semoga ikatan perkahwinan yang dibina sentiasa diberkati dan berkekalan hingga ke akhir hayat.

Syed Saddiq & Bella Astillah Sah Bergelar Suami Isteri, Selamat Diijabkabulkan Dengan Sekali Lafaz!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Gaji Minimum Naik Kepada RM2,000 Mulai Jun Tahun Depan, Graduan Pula RM2,500!

0

Berita baik buat golongan pekerja, khususnya anak muda yang bakal melangkah ke alam pekerjaan!

Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, menerusi pembentangan Belanjawan 2027.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan berkenaan di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Menurut beliau, langkah itu bertujuan merapatkan jurang antara produktiviti dan kadar upah pekerja, selain membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Lebih menarik, kenaikan sebanyak RM300 itu dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja di seluruh negara.

Bagaimanapun, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mencatatkan hasil jualan di bawah RM50 juta diberikan pengecualian bagi membolehkan mereka menyesuaikan model perniagaan masing-masing.

Gaji Minimum Naik Kepada RM2,000 Mulai Jun Tahun Depan, Graduan Pula RM2,500!

Gaji Minimum RM2,000 Mulai Jun 2027

Pelaksanaan kadar baharu ini dijangka menjadi antara langkah penting dalam usaha meningkatkan pendapatan golongan pekerja, khususnya mereka yang menerima gaji pada paras terendah.

Dengan kenaikan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan, pekerja yang terlibat bakal menikmati tambahan pendapatan sebanyak RM300 setiap bulan.

Jika dikira untuk tempoh setahun penuh, peningkatan tersebut bersamaan tambahan RM3,600 dalam pendapatan kasar tahunan, sekiranya pekerja menerima kadar baharu sepanjang 12 bulan.

Bagaimanapun, kesan sebenar pelaksanaan dasar ini bergantung kepada kelayakan pekerja, pengecualian yang ditetapkan serta peraturan pelaksanaan yang diumumkan kerajaan.

Gaji Permulaan Graduan Ditetapkan RM2,500

Dalam perkembangan sama, kerajaan turut mengumumkan perancangan memperkenalkan kerangka pendapatan pekerja baharu dengan menetapkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.

Langkah ini dilihat sebagai usaha menangani isu kadar gaji pekerja berkelayakan yang masih belum setimpal dengan tahap pendidikan serta kemahiran dimiliki.

Menurut Anwar, penetapan gaji minimum semata-mata tidak mencukupi kerana ia hanya berfungsi sebagai paras pendapatan terendah, sedangkan pekerja mahir juga perlu menerima bayaran yang lebih setimpal.

Perancangan ini turut memberi perhatian kepada golongan graduan baharu yang bakal memasuki pasaran pekerjaan dan memulakan kerjaya masing-masing.

Penetapan kadar permulaan RM2,500 dilihat mampu menjadi penanda aras pendapatan yang lebih baik, terutama bagi pekerjaan yang memerlukan kelayakan akademik atau kemahiran tertentu.

Namun begitu, butiran lanjut mengenai kategori pekerjaan, syarat kelayakan dan kaedah pelaksanaan kerangka pendapatan baharu tersebut masih perlu diperincikan.

Gaji Minimum Naik Kepada RM2,000 Mulai Jun Tahun Depan, Graduan Pula RM2,500!

Gaji Sara Hidup GLC & GLIC Pula Naik Kepada RM3,400

Bukan itu sahaja, kerajaan turut menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meningkatkan penanda aras gaji sara hidup daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan.

Inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 230,000 pekerja.

Sehubungan itu, Perdana Menteri turut menggalakkan majikan sektor swasta mengikuti langkah sama dengan menawarkan kadar gaji yang lebih munasabah dan bersesuaian dengan kos sara hidup semasa.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa majikan dalam sektor utama, termasuk perbankan serta minyak dan gas, telah mengambil inisiatif menawarkan kadar upah yang lebih baik.

Dalam masa sama, kerajaan akan memperketat syarat tuntutan potongan cukai bagi perbelanjaan gaji syarikat selain PMKS, dengan mewajibkan pembayaran melalui akaun bank mengikut saluran yang dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955.

Peningkatan kadar pendapatan ini dijangka memberi kelegaan kepada golongan pekerja yang berdepan dengan kenaikan perbelanjaan harian, termasuk kos makanan, pengangkutan, sewa rumah dan keperluan asas.

Bagi golongan muda yang baru memulakan pekerjaan pula, kadar pendapatan yang lebih tinggi boleh membantu mereka mengurus komitmen bulanan dengan lebih baik.

Walaupun begitu, peningkatan pendapatan juga perlu dilihat bersama faktor lain seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kemampuan majikan untuk menyesuaikan struktur pembayaran gaji.

Dalam hal ini, pelaksanaan dasar secara berperingkat serta penjelasan mengenai syarat yang terpakai kepada majikan dan pekerja menjadi antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian.

Secara keseluruhannya, pengumuman Belanjawan 2027 ini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat, khususnya golongan pekerja muda dan graduan yang bakal memasuki pasaran pekerjaan.

Sumber : Astro Awani

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Cinta Ditolak Dipercayai Jadi Motif Pembunuhan Pelajar Perempuan 16 Tahun Di Batu Pahat

0

Perasaan dendam selepas cinta ditolak dipercayai menjadi motif utama pembunuhan pelajar perempuan berusia 16 tahun, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, yang ditemukan meninggal dunia di dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor pada 3 Oktober lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, perkara itu dikenal pasti hasil siasatan lanjut dan risikan pihak polis terhadap suspek lelaki berusia 16 tahun yang juga merupakan rakan sekelas mangsa.

Menurutnya, suspek dipercayai menyimpan perasaan dendam terhadap Irene selepas cintanya ditolak, selain mangsa dikatakan menjalin hubungan dengan kawan baik suspek sendiri.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa motif berkenaan masih dalam penelitian pihak polis bagi memastikan segala aspek kejadian disiasat secara menyeluruh.

“Siasatan kes ini sudah hampir dilengkapkan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri hari ini untuk arahan dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Hasil Bedah Siasat Kes Pembunuhan Pelajar Perempuan Di Batu Pahat

Dalam perkembangan sama, Ab Rahaman memaklumkan bahawa hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala selepas dipercayai dipukul menggunakan objek keras.

Cinta Ditolak Dipercayai Jadi Motif Pembunuhan Pelajar Perempuan 16 Tahun Di Batu Pahat

Pemeriksaan turut menemukan kesan kecederaan pada tangan dan tubuh mangsa, termasuk kesan mempertahankan diri (self-defense) yang menunjukkan kemungkinan berlaku pergelutan sebelum kejadian pembunuhan tersebut.

Keadaan di lokasi kejadian yang menemukan pasu pecah serta meja dan kerusi terbalik turut menguatkan kemungkinan berlakunya pergelutan antara mangsa dengan suspek.

Suspek dipercayai memukul mangsa beberapa kali menggunakan sebatang besi sepanjang 96 sentimeter yang dibalut dengan tali leher bagi memudahkan pegangan. Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan cubaan rogol terhadap mangsa.

Polis Rampas Barangan Berkaitan Siasatan Pembunuhan

Sementara itu, sepanjang tempoh siasatan bermula 4 Oktober hingga semalam, pihak polis telah menjalankan beberapa siri rampasan barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.

Antara barangan yang dirampas termasuk sebuah telefon bimbit iPhone, pakaian sukan, seluar panjang, selipar, satu set dekoder, batang besi serta beberapa pakaian yang mempunyai kesan dipercayai darah.

Polis turut merampas beg sekolah yang mengandungi buku Matematik Tambahan dan kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tertera nama mangsa, selain alat tulis, cermin mata, kunci motosikal, botol minuman, kalkulator serta beberapa dokumen berkaitan kehadiran pelajar.

Cinta Ditolak Dipercayai Jadi Motif Pembunuhan Pelajar Perempuan 16 Tahun Di Batu Pahat

Suspek Pembunuhan Pelajar Perempuan Tiada Rekod Disiplin

Mengulas mengenai latar belakang suspek, Ab Rahaman menjelaskan bahawa remaja lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod masalah disiplin di sekolah sebelum kejadian tersebut.

Dalam pada itu, sebarang penilaian berkaitan tahap kesihatan mental suspek akan bergantung kepada budi bicara mahkamah sekiranya terdapat keperluan untuk merujuknya kepada pakar psikiatri selepas pertuduhan dibuat.

Beliau turut memaklumkan bahawa perincian mengenai pergerakan suspek dan kronologi penuh kejadian belum dapat didedahkan kepada umum kerana siasatan masih berjalan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan, selain mengalu-alukan mana-mana individu yang mempunyai maklumat tambahan untuk tampil membantu pihak berkuasa.

Terdahulu, suspek lelaki berusia 16 tahun itu direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Tempoh reman yang berakhir hari ini bagaimanapun telah dilanjutkan selama enam hari lagi sehingga Khamis depan.

Sumber : Harian Metro & Facebook Polis Johor

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Beto Kusyairy Dinobat Pelakon Lelaki Terbaik AACA 2026, Bakal Wakili Malaysia Ke Peringkat Asia

0

Satu lagi pencapaian membanggakan buat industri seni tanah air apabila pelakon berbakat besar, Beto Kusyairy diumumkan sebagai Pemenang Kebangsaan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Peranan Utama (Best Actor in a Leading Role) di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2026.

Pengiktirafan berprestij itu diraih menerusi lakonan mantapnya dalam drama bersiri Good Boys Go to Heaven, sekali gus membuktikan kehebatan Beto dalam menghidupkan karakter yang penuh emosi dan kompleks.

Menerusi naskhah berkenaan, aktor berusia 46 tahun itu membawakan watak Yasser yang berjaya mencuri perhatian sehingga melayakkannya menerima pengiktirafan di peringkat kebangsaan.

Kejayaan tersebut bukan sahaja menjadi satu lagi pencapaian bermakna dalam perjalanan karier seninya, malah turut mengukuhkan kedudukan Beto sebagai antara pelakon lelaki terbaik yang dimiliki Malaysia.

Pengiktirafan yang diterima Beto Kusyairy di AACA 2026 ini juga memperlihatkan kemampuan bakat tempatan untuk terus menyerlah menerusi karya berkualiti yang mendapat perhatian di peringkat serantau.

Beto Kusyairy Dinobat Pelakon Lelaki Terbaik AACA 2026, Bakal Wakili Malaysia Ke Peringkat Asia

Beto Kusyairy Bakal Bersaing Dengan Pelakon Terbaik Asia

Lebih membanggakan, kemenangan di peringkat kebangsaan ini membuka laluan buat Beto untuk membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.

Beliau dijadualkan berentap dengan barisan pelakon terbaik dari negara-negara Asia lain pada acara kemuncak Grand Gala Final AACA 2026 yang bakal berlangsung di Singapura pada 3 Disember depan.

Pada peringkat tersebut, Beto akan bersaing bagi merebut trofi emas kategori Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Peranan Utama, sekali gus berpeluang mencipta satu lagi sejarah manis buat industri hiburan tempatan.

Penyertaan Beto Kusyairy dalam saingan akhir AACA 2026 pastinya menjadi antara detik yang dinantikan peminat seni tanah air, lebih-lebih lagi apabila beliau bakal membawa nama Malaysia bersama barisan bakat terbaik dari seluruh Asia.

Persaingan di pentas antarabangsa itu turut memberi peluang kepada Beto untuk memperlihatkan mutu lakonannya kepada khalayak yang lebih luas, selain menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan karier seninya.

Beto Kusyairy Dinobat Pelakon Lelaki Terbaik AACA 2026, Bakal Wakili Malaysia Ke Peringkat Asia

Good Boys Go to Heaven Turut Raih Pengiktirafan

Dalam pada itu, kejayaan Beto bukanlah satu-satunya pencapaian yang diraih menerusi drama bersiri Good Boys Go to Heaven.

Naskhah berkenaan turut mencatatkan kejayaan membanggakan apabila diumumkan sebagai Pemenang Kebangsaan bagi empat lagi kategori, iaitu Drama Bersiri Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penyuntingan Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Pengiktirafan terhadap Beto Kusyairy dan pasukan produksi Good Boys Go to Heaven sekali gus menjadi satu pencapaian yang cukup bermakna buat industri drama tempatan.

Untuk rekod, AACA merupakan platform pengiktirafan yang meraikan kecemerlangan karya dan bakat kreatif dalam industri kandungan serta hiburan di rantau Asia Pasifik.

Anugerah ini memberi pengiktirafan kepada pelbagai aspek penerbitan dan persembahan kreatif, sekali gus membuka ruang kepada penggiat industri untuk mengetengahkan hasil karya masing-masing di peringkat lebih tinggi.

Bagi industri hiburan Malaysia, kejayaan meraih pengiktirafan di peringkat kebangsaan sebelum melangkah ke pentas akhir serantau merupakan satu perkembangan positif yang memperlihatkan potensi karya tempatan untuk terus bersaing.

Dengan kejayaan ini, pastinya ramai yang menantikan kemunculan Beto di pentas akhir AACA 2026, selain berharap aktor kesayangan ramai itu mampu membawa pulang trofi emas buat Malaysia.

Tahniah Beto Kusyairy! Semoga kejayaan terus mengiringi perjalanan seni anda dan mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Sumber : Facebook Asian Academy Creative Awards

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Aina Abdul Pertaruh ‘Bluest Sky’ Ke Eurovision Asia 2026, Power Ballad Sarat Emosi

Selepas diumumkan sebagai wakil rasmi Malaysia ke Eurovision Asia 2026 menerusi pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) pada Ogos lalu, penyanyi versatil Aina Abdul akhirnya mendedahkan karya yang bakal dipertaruhkan di pentas antarabangsa itu menerusi lagu terbaharunya, Bluest Sky.

Istimewanya, lagu balada berkenaan merupakan hasil ciptaan Aina sendiri dan menjadi sebahagian daripada lembaran baharu perjalanan muziknya bersama TV3. Dengan gabungan vokal bertenaga serta susunan muzik berskala besar, karya ini diharapkan mampu memperkenalkan identiti muzik Aina kepada pendengar di peringkat global.

Aina Abdul Pertaruh ‘Bluest Sky’ Ke Eurovision Asia 2026, Power Ballad Sarat Emosi

‘Bluest Sky’ Gabung Susunan Muzik Megah, Kisah Cinta Penuh Ketidakpastian

Dihasilkan dengan susunan muzik eksklusif oleh pengubah muzik terkenal, Mac Chew, Bluest Skymengetengahkan konsep power ballad yang dibina menerusi ratusan trek instrumen bagi menghasilkan bunyi yang lebih dramatik dan menyeluruh.

Namun, di sebalik kemegahan susunan muziknya, lagu ini menyimpan kisah yang cukup dekat dengan emosi manusia, khususnya tentang cinta, kesedihan dan ketidakpastian yang menyelubungi sesebuah hubungan.

Pada masa sama, karya tersebut turut membawa mesej bahawa kesedihan bukanlah sesuatu yang akan berpanjangan, sebaliknya masih ada ruang untuk harapan walaupun seseorang sedang melalui fasa sukar dalam kehidupan.

Aina Abdul Pertaruh ‘Bluest Sky’ Ke Eurovision Asia 2026, Power Ballad Sarat Emosi

Aina Abdul Akui ‘Bluest Sky’ Antara Lagu Paling Mencabar

Bagi Aina, penghasilan Bluest Sky membawa kepuasan tersendiri apabila impiannya untuk menghasilkan sebuah power ballad yang besar dengan susunan instrumen yang kompleks akhirnya menjadi kenyataan.

Malah, penyanyi itu meluahkan rasa bangga ketika pertama kali mendengar versi akhir atau master lagu berkenaan, yang berjaya merealisasikan gambaran muzik yang diinginkannya sejak awal.

Bagaimanapun, proses rakaman lagu tersebut bukanlah sesuatu yang mudah, terutama apabila Aina perlu menyampaikan pelbagai lapisan emosi dalam tempoh yang singkat.

“Lagu ini antara yang paling mencabar untuk dirakamkan, terutamanya dari sudut emosi. Dalam masa seminit sahaja, saya perlu menyampaikan pelbagai rasa daripada cinta, duka dan keliru sehinggalah rasa penat. Melalui pendedahan di pentas antarabangsa kelak, saya berharap Bluest Sky dapat memperkenalkan siapa sebenarnya Aina Abdul dan menempatkan muzik kita di persada dunia,” katanya.

Kenyataan itu sekali gus menggambarkan cabaran yang perlu ditempuhi Aina dalam memastikan setiap emosi yang terkandung dalam lagu berkenaan dapat disampaikan dengan berkesan kepada pendengar.

Aina Abdul Pertaruh ‘Bluest Sky’ Ke Eurovision Asia 2026, Power Ballad Sarat Emosi

Sesi Pendengaran Eksklusif Himpunkan Media Dan Peminat

Bagi meraikan pelancaran Bluest Sky, satu sesi pendengaran eksklusif telah berlangsung pada 8 Oktober 2026 di Rex KL, Petaling Street.

Acara tersebut menghimpunkan pihak media serta peminat terdekat untuk menjadi antara individu terawal yang berpeluang mendengar karya yang bakal mewakili Malaysia ke Eurovision Asia 2026.

Mengangkat konsep suasana di awan, sesi berkenaan turut menawarkan pengalaman audio visual yang intim. Ia juga menjadi ruang buat Aina berkongsi cerita di sebalik pembikinan lagu tersebut, selain mendedahkan serba sedikit mengenai persiapannya menjelang pertandingan antarabangsa itu.

Dengan pelancaran Bluest Sky, Aina kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya dalam perjalanan seninya, membawa keunikan vokal serta identiti muzik tempatan ke pentas dunia.

Aina Abdul Pertaruh ‘Bluest Sky’ Ke Eurovision Asia 2026, Power Ballad Sarat Emosi

Ikuti Persiapan Aina Menerusi ‘Malaysia Memburu Impian Bersama Aina Abdul’

Buat peminat yang ingin mengetahui perkembangan terkini perjalanan Aina menuju Eurovision Asia 2026, TV3 turut membawakan siri kapsul khas berjudul Malaysia Memburu Impian bersama Aina Abdul.

Menerusi siri dokumentari ringkas itu, penonton berpeluang mengikuti perjalanan serta persiapan Aina dalam menghadapi cabaran di pentas antarabangsa menerusi kapsul berdurasi dua minit yang disiarkan setiap minggu dalam program Melodi di TV3.

Selain siaran televisyen, siri berkenaan turut dimuat naik menerusi platform media sosial rasmi Instagram @meloditv3, TikTok @TV3malaysia dan @meloditerhangat.

Mampukah Bluest Sky membawa nama Malaysia lebih jauh di persada muzik antarabangsa? Sama-sama kita nantikan perjalanan Aina Abdul dalam merealisasikan impian tersebut menerusi Eurovision Asia 2026.

Aina Abdul Pertaruh ‘Bluest Sky’ Ke Eurovision Asia 2026, Power Ballad Sarat Emosi

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.