
Khabar gembira buat peminat filem popular, ‘Crazy Rich Asians’ apabila baru-baru ini HBO Max mengesahkan bahawa kisah keluarga elit Young bakal dihidupkan semula menerusi sebuah siri drama yang dijadualkan menemui penonton pada tahun 2027. Perkembangan ini pastinya mencetuskan keterujaan peminat yang menantikan kesinambungan kisah cinta dan konflik keluarga kaya raya tersebut sejak filem pertamanya ditayangkan pada 2018.
Lebih menarik lagi, tiga bintang utamanya iaitu Tan Sri Michelle Yeoh, Henry Golding dan Constance Wu bakal kembali membawakan watak asal masing-masing sebagai Eleanor Young, Nick Young dan Rachel Chu. Kehadiran semula barisan pelakon utama ini dijangka mengembalikan daya tarikan kisah yang pernah mencuri perhatian penonton menerusi gabungan elemen percintaan, kemewahan dan konflik dalam keluarga berpengaruh.
Difahamkan, siri yang turut menggunakan judul ‘Crazy Rich Asians’ itu bakal dimeriahkan menerusi lapan episod dengan durasi kira-kira satu jam bagi setiap episod. Pelakon Ronny Chieng juga dilaporkan akan kembali sebagai Eddie Cheng, sepupu Nick yang dikenali menerusi personaliti tersendiri serta kecenderungannya terhadap kehidupan mewah.

Walau bagaimanapun, HBO Max masih belum mendedahkan sinopsis rasmi bagi projek terbaharu ini. Memandangkan filem terdahulu berakhir dengan Rachel dan Nick meraikan pertunangan mereka selepas Eleanor memberikan restu, perkembangan hubungan pasangan itu serta dinamika keluarga Young berpotensi menjadi antara perkara yang dinantikan peminat.
Di sebalik penerbitan siri ini, Adele Lim yang merupakan penulis bersama filem pertama bakal mengetuai projek berkenaan sebagai ‘showrunner’ dan penerbit eksekutif. Beliau akan bergandingan dengan Kevin Kwan, penulis trilogi novel asal, selain Nina Jacobson, Brad Simpson dan Jon M. Chu yang turut terlibat dalam pasukan penerbitan.
Menurut Lim, adaptasi dalam format siri memberikan ruang lebih luas untuk meneroka watak-watak serta dunia yang dibangunkan Kwan menerusi novel asalnya. Pendekatan ini membolehkan jalan cerita dikembangkan dengan lebih terperinci berbanding filem, sekaligus membuka peluang untuk mengetengahkan sisi berbeza kehidupan keluarga elit Asia yang menjadi tarikan utama karya tersebut.


Untuk rekod, filem Crazy Rich Asians berjaya meraih kutipan hampir AS$239 juta (sekitar RM1.03 bilion) di seluruh dunia dengan anggaran bajet produksi sebanyak AS$30 juta (sekitar RM129 juta) ketika ditayangkan pada 2018. Filem berkenaan turut mencetuskan gerakan #GoldOpen, iaitu inisiatif komuniti yang membeli tiket tayangan secara beramai-ramai sebagai tanda sokongan terhadap filem Hollywood yang menampilkan barisan pelakon Asia sepenuhnya.
BACA: Tan Sri Michelle Yeoh Terima Penghormatan Berprestij, Dinobat ‘Tokoh Perfileman Asia’ Di BIFF 2026
Selain mengembangkan kisah daripada filem terdahulu, siri ini turut membuka peluang untuk meneroka jalan cerita berdasarkan dua novel susulan karya Kwan, iaitu ‘China Rich Girlfriend’ dan ‘Rich People Problems’. Walaupun hala tuju penceritaan masih belum diumumkan secara rasmi, kepulangan pelakon asal serta penglibatan pasukan kreatif terdahulu menjadikan adaptasi baharu ini antara projek yang dinantikan menjelang tayangannya pada 2027.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!









