
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, akhirnya sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, selepas pasangan itu selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz pada pagi ini.

Majlis pernikahan yang berlangsung pada pukul 10.40 pagi itu diadakan di aras 118, Menara Merdeka Maybank, dengan kehadiran kira-kira 300 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, tetamu kehormat serta rakan-rakan terdekat.
Pasangan berkenaan dinikahkan oleh Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri dengan mas kahwin sebanyak RM500.

Meriah Dengan Kehadiran Keluarga, Kenalan Rapat & Pemimpin Politik
Majlis penuh bermakna itu turut menyaksikan kehadiran beberapa figura politik tempatan, termasuk bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri, selain bekas Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tidak ketinggalan, beberapa pemimpin politik dari Singapura turut hadir memeriahkan hari bahagia pasangan tersebut, antaranya bekas Ketua Pembangkang republik itu, Pritam Singh.
Kehadiran tetamu daripada pelbagai latar belakang ini turut menyerlahkan hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua figura berkenaan dalam bidang masing-masing.

Busana Serba Putih, Serlah Konsep Arab-Islamik
Menepati konsep perkahwinan berteraskan elemen Arab dan Islamik, rata-rata tetamu yang hadir tampil anggun dalam persalinan serba putih, selaras dengan permintaan keluarga.
Majlis tersebut turut diserikan dengan acara berbalas hantaran apabila pihak pengantin lelaki menyediakan tujuh dulang hantaran, manakala pihak pengantin perempuan membalas dengan sembilan dulang.

Penyatuan Syed Saddiq yang aktif dalam arena politik dan Bella yang membina nama dalam industri hiburan tanah air pastinya menjadi detik istimewa buat kedua-dua keluarga serta peminat yang mengikuti perjalanan mereka.
Bakal Adakan Resepsi & Kenduri Rakyat Di Tiga Lokasi
Dalam pada itu, majlis pernikahan hari ini bakal disusuli dengan majlis resepsi yang dijadualkan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 18 Oktober ini.
Pasangan tersebut turut merancang untuk meraikan hari bahagia mereka bersama masyarakat menerusi penganjuran Kenduri Rakyat di Muar, Johor pada 25 Oktober, sebelum meneruskan sambutan di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober ini.

Tahniah diucapkan buat Syed Saddiq dan Bella Astillah! Semoga ikatan perkahwinan yang dibina sentiasa diberkati dan berkekalan hingga ke akhir hayat.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!









