Home Blog Page 14

Bukan Sekadar Cipta Kandungan, Influencer ASIA2026 Jadi Duta Kecil Perkenal Malaysia

Persaingan merebut gelaran pempengaruh terbaik menerusi All Star Influencers Award (ASIA) 2026 semakin hangat apabila lebih 120 peserta dari 20 negara tampil dengan kandungan digital yang lebih kreatif, berkualiti dan menarik sepanjang program berlangsung.

Bukan sekadar bersaing untuk menghasilkan kandungan yang mampu mencuri perhatian pengguna media sosial, para peserta turut diberi peluang meneroka keunikan Malaysia melalui pengalaman mengenali destinasi pelancongan, menikmati kepelbagaian makanan tempatan serta mendalami budaya masyarakat di negara ini.

Pengalaman tersebut kemudiannya dikongsikan kepada pengikut masing-masing menerusi platform digital, sekali gus membuka peluang untuk memperkenalkan Malaysia kepada audiens antarabangsa.

Bukan Sekadar Cipta Kandungan, Influencer ASIA2026 Jadi Duta Kecil Perkenal Malaysia

Lebih 120 Influencer Dari 20 Negara Berentap

Edisi ASIA2026 menghimpunkan pempengaruh dari pelbagai latar belakang yang mewakili Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja, Rusia, Jepun, Uzbekistan, Kazakhstan, Vietnam, Pakistan, India, Arab Saudi, Filipina, Korea Selatan, Taiwan, Kyrgyzstan, Laos, Turkiye, China dan Singapura.

Kepelbagaian peserta tahun ini menjadikan persaingan lebih menarik, apatah lagi apabila pempengaruh baharu turut berpeluang menguji kemampuan mereka bersama nama yang sudah berpengalaman dalam menghasilkan kandungan digital.

Pengasas All Star Influencers Award, Dato Abd Rahman Soltan berkata, peningkatan mutu kandungan serta kesungguhan yang ditunjukkan peserta menyebabkan proses menentukan pemenang bagi setiap kategori semakin mencabar.

“Kalau kita lihat tahun ini, persaingan memang lebih sengit. Ramai influencer baharu yang pertama kali menyertai ASIA dan mereka bersaing bersama influencer yang sudah berpengalaman.

“Yang menariknya, kualiti video dan komitmen yang diberikan juga sangat bagus. Jadi, untuk menentukan pemenang bagi setiap kategori bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

13 Kategori Jadi Platform Ketengahkan Kreativiti

Sejak diperkenalkan pada 2023, ASIA telah menyaksikan pemenang dari negara berbeza bagi setiap edisi. Ahieb Reborn dari Indonesia muncul juara pada edisi pertama, sebelum gelaran tersebut menjadi milik Saal Haerid dari Indonesia pada 2024 dan Cindy dari Vietnam pada 2025.

Bagi edisi tahun ini, sebanyak 13 kategori dipertandingkan untuk memberi pengiktirafan kepada keunikan serta kebolehan peserta dalam menghasilkan kandungan yang bersesuaian dengan identiti masing-masing.

Antara kategori yang dipertandingkan termasuk Best Gourmet Story Award (Individual), Best Storyteller Award (Individual), Best New Mixed Dance Award (Group), The People’s Choice Award (Individual), Best Culture Curator Award (Group), Best Comedy Maestro Award (Individual) dan Best Mixed Language Award (Group).

Menurut Dato Abd Rahman, kepelbagaian kategori yang diperkenalkan membolehkan peserta menonjolkan kekuatan serta kreativiti mereka menerusi pendekatan kandungan yang berbeza.

Bukan Sekadar Cipta Kandungan, Influencer ASIA2026 Jadi Duta Kecil Perkenal Malaysia

Teroka Malaysia Menerusi Siri Perjalanan ASIA2026

Selain persaingan menghasilkan kandungan terbaik, program ASIA2026 turut memberi penekanan kepada usaha mempromosikan pelancongan tempatan melalui siri perjalanan ke beberapa destinasi di Malaysia.

Setakat ini, perjalanan peserta merangkumi Johor, Negeri Sembilan, Perak-Kuala Lumpur serta Terengganu-Pahang. Program berkenaan kemudiannya diteruskan ke Langkawi, Pulau Pinang dan Perlis sebelum peserta mengikuti trip terakhir di Sabah.

Menerusi pengalaman secara langsung ini, para peserta berpeluang mengenali tarikan setiap destinasi dengan lebih dekat dan menghasilkan kandungan berdasarkan perspektif serta pengalaman mereka sendiri.

“Program ini bukan sekadar pertandingan influencer. Kita mahu mereka mengenali Malaysia dengan lebih dekat melalui pengalaman sebenar, termasuk aktiviti, makanan dan kebudayaan yang ada di setiap destinasi.

“Semua pengalaman ini kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk kandungan digital untuk diperkenalkan kepada pengikut mereka di seluruh dunia,” katanya.

ASIA2026 turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia, khususnya bagi menyokong usaha mempromosikan negara bersempena kempen Visit Malaysia 2026.

Pendekatan ini membolehkan keunikan pelancongan Malaysia diketengahkan melalui sudut pandang berbeza, bergantung pada kreativiti peserta, latar belakang serta kelompok audiens yang mengikuti mereka.

Tanda Pagar ASIA2026 Cecah Lebih 500 Juta Tontonan

Usaha memperkenalkan Malaysia menerusi kandungan digital turut menunjukkan perkembangan positif apabila tanda pagar #AllStarInfluencersAward2026 dilaporkan telah mencatatkan lebih 500 juta tontonan di platform digital.

Pencapaian itu menjadi petunjuk kepada potensi kandungan yang dihasilkan peserta untuk menjangkau audiens lebih luas, termasuk di luar negara.

“Angka itu sangat positif dan kita menjangkakan jumlah tontonan digital akan terus meningkat dari semasa ke semasa sepanjang program ini berlangsung.

“Ini menunjukkan kandungan yang dihasilkan peserta bukan sahaja mendapat perhatian di Malaysia, tetapi turut membuka peluang untuk memperkenalkan destinasi dan pengalaman Malaysia kepada audiens antarabangsa,” katanya.

Bukan Sekadar Cipta Kandungan, Influencer ASIA2026 Jadi Duta Kecil Perkenal Malaysia

Siapa Bakal Dinobatkan Best Influencers ASIA2026?

Dengan hanya satu lagi perjalanan ke Sabah sebelum acara kemuncak, perhatian kini turut tertumpu kepada malam gala ASIA2026 yang dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober depan.

Persaingan dijangka terus memuncak, khususnya bagi kategori Best Influencers yang menilai konsistensi peserta sepanjang program, termasuk dari segi kreativiti, mutu kandungan dan komitmen yang diberikan.

“Masing-masing sudah memberikan yang terbaik. Jadi, pemilihan untuk setiap kategori, termasuk Best Influencers, dijangka sangat sengit.

“Kita tengok siapa yang benar-benar konsisten dari segi kandungan, kreativiti dan komitmen sepanjang program,” katanya.

Lebih menarik, pemenang kategori Best Influencers tahun ini bakal membawa pulang wang tunai sebanyak AS$10,000, selain pakej percutian ke luar negara.

Malam gala yang bakal berlangsung pada 18 Oktober itu pastinya menjadi detik penting buat semua peserta yang telah memberikan usaha terbaik sepanjang ASIA2026.

Lebih daripada sekadar merebut pengiktirafan, penyertaan mereka turut membawa misi memperkenalkan keunikan Malaysia kepada dunia menerusi kreativiti, pengaruh dan kekuatan kandungan digital.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

“Aku Dah Minta Maaf, Apa Lagi Kau Nak?” – Jep Sepahtu Luah Rasa Muak Dengan Isu Bersama Shuib

0

Pelawak dan penyampai radio popular, Jep Sepahtu mencuri perhatian apabila tampil meluahkan rasa kecewa terhadap bekas rakan seperjuangannya, Shuib, susulan dakwaan isu persahabatan mereka masih menjadi bahan perbualan dalam podcast.

Menerusi satu luahan panjang, Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin mendakwa dirinya sudah berusaha untuk menjernihkan keadaan, termasuk mengambil langkah memohon maaf meskipun mengakui kecewa dengan apa yang berlaku sebelum ini.

Bagaimanapun, Jep seolah-olah sudah hilang sabar apabila mendakwa isu berkenaan terus dibangkitkan sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap dirinya.

“Aku dah minta maaf walaupun macam-macam dah kau buat kat aku. Aku dah tersangat muak dengan isu ini.

“Aku tak kisah pun kau tak reply WhatsApp aku tapi janganlah depan public kau wayang kononnya kaulah yang terpaling mulia dalam bersahabat,” luahnya.

Jep Sepahtu Dakwa Isu Persahabatan Dijadikan Bahan Publisiti

Dalam pada itu, Jep turut mempersoalkan tindakan Shuib yang didakwanya masih memainkan sentimen persahabatan mereka secara terbuka.

Malah, pelawak berkenaan mengingatkan bahawa dirinya tidak pernah mengejar publisiti, apatah lagi mahu menjadikan konflik peribadi sebagai bahan untuk meraih perhatian masyarakat.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Jep Sepahtu (@jepsepahtu)

“Teringat dulu kau pernah cakap ‘bad publicity is still publicity’. Hari ini aku nak ingatkan kau, yang aku sama seperti dulu tak hamak benda-benda publicity ni.

“Sudah-sudahlah main sentimen persahabatan untuk kau punya marketing. Game apa sebenarnya yang kau nak main ni?” katanya lagi.

Luahan tersebut menunjukkan rasa tidak puas hati Jep terhadap cara isu persahabatan mereka didakwa terus diperkatakan kepada umum.

Bagaimanapun, kenyataan berkenaan merupakan dakwaan daripada pihak Jep dan tidak semestinya menggambarkan pendirian atau niat sebenar Shuib berhubung perkara tersebut.

Cabar Sebut Nama Berhubung Isu Bayaran

Tidak terhenti di situ, Jep turut menyentuh mengenai sebuah video podcast yang didakwanya membangkitkan persoalan berkaitan urusan bayaran ketika mereka masih bekerjasama.

Menurut Jep, sepanjang penglibatannya dalam kumpulan berkenaan, urusan pembayaran tidak pernah dibuat secara berkumpulan, sebaliknya melibatkan persetujuan bersama individu masing-masing.

“Lagi satu Rahim ada tunjuk aku video podcast kau cakap pasal payment. Kita tak pernah deal payment untuk kumpulan. Dari dulu semuanya deal individu.

“Kalau betul memang ada cerita pasal payment tu, gentle sebutlah nama, senang sikit aku nak hantar LOD.

“Jangan berkias-kias kat podcast dan try hard buat orang bersangka buruk untuk benci aku,” tegasnya.

Jep turut membangkitkan dakwaan berkaitan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang didakwanya telah dipotong tetapi tidak dibayar.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut belum dapat dipastikan kesahihannya dan memerlukan penjelasan daripada pihak yang dikaitkan.

Isu berkaitan bayaran dan caruman itu turut menjadi antara perkara yang dibangkitkan dalam luahan berkenaan. Namun, tiada dokumen atau bukti sokongan dikemukakan dalam artikel ini untuk mengesahkan dakwaan tersebut.

“Aku Dah Minta Maaf, Apa Lagi Kau Nak?” – Jep Sepahtu Luah Rasa Muak Dengan Isu Bersama Shuib

“Jangan Ganggu Aku Yang Tengah Sibuk Besarkan Dua Anak Syurga”

Mengakhiri luahannya, Jep menegaskan bahawa dia kini lebih selesa memberikan sepenuh perhatian terhadap kehidupan peribadi, khususnya tanggungjawab membesarkan dua anaknya.

Justeru, dia berharap agar konflik yang berlarutan itu tidak lagi mengganggu ketenangan hidupnya.

“Ya kau orang baik, aku orang jahat. Pergilah selamatkan diri kau.

“Pesanan terakhir aku jangan ganggu aku yang tengah sibuk beri perhatian besarkan dua anak syurga aku.

“Kalau hidup kau tak tenang itu kau punya pasal. Jangan ganggu hidup orang lain. Jangan asyik burukkan orang untuk tutup pekung kau,” katanya.

Luahan tersebut sekali gus memperlihatkan bahawa kemelut antara dua pelawak yang pernah mencipta nama bersama kumpulan Sepahtu itu masih belum menemui titik noktah.

Hubungan antara Jep Sepahtu dan Shuib kembali menjadi perhatian susulan kenyataan tersebut, khususnya apabila ia menyentuh soal persahabatan, urusan kerja serta kehidupan peribadi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

“Akak Saksi Perjalanan Hidup Adik…” – Raih Anugerah Pengetua MRSM Terendak, Muhammad Nor Azzim Buat Kakaknya Sebak

0

Kejayaan seorang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak, Melaka, Muhammad Nor Azzim Nordin menerima Anugerah Pengetua MRSM Terendak baru-baru ini mencuri perhatian warga maya selepas momen penuh emosi bersama kakak-kakaknya tular di media sosial.

Menerusi perkongsian video di TikTok, Siti Norsafia Nordin, 26, memaparkan momen dia bersama dua lagi kakaknya, Siti Nur Atiqah Nordin, 27, dan Siti Norazlina Nordin, 23, hadir meraikan kejayaan adik mereka pada majlis penganugerahan tersebut sehingga menyentuh hati warga maya.

Dalam perkongsian itu, Siti Norsafia meluahkan rasa sebak dan bangga melihat adik bongsunya berjaya menerima pengiktirafan berkenaan selepas melalui pelbagai cabaran dalam kehidupan, termasuk kehilangan kedua-dua ibu bapa tersayang.

“Adik, akak tak boleh move on lagi. Perjalanan hidup adik terlalu banyak luka, adik hadapi dengan penuh tabah.

“Terima kasih banggakan kakak dan abang dengan sikap kamu yang humble, jadi adik yang baik selalu, hormat orang.

“Akak doakan adik berjaya dunia akhirat. Akak simpan sini, nanti dah kerja berjaya, boleh imbas balik tentang ini,” tulisnya menerusi akaun TikTok @eytisafiaa.

Menurut Siti Norsafia, hanya mereka yang benar-benar mengenali Muhammad Nor Azzim mengetahui segala kepayahan yang pernah dilalui remaja tersebut.

“Akak Saksi Perjalanan Hidup Adik…” - Raih Anugerah Pengetua MRSM Terendak, Muhammad Nor Azzim Buat Kakaknya Sebak

Malah, dia turut menitipkan pesanan agar adiknya terus menjadi insan yang merendah diri, menjaga adab dan sentiasa berbuat baik kepada orang sekeliling biarpun sudah mengecapi kejayaan.

“Akak saksi perjalanan hidup adik. Cukup kita telan, cukup adik lalui. Jadi orang yang selalu menyenangkan. Selalu berbuat baik dengan orang sekeliling,” luahnya.

Sanggup Datang Dari Pahang & Terengganu Demi Raikan Kejayaan Adik

Dalam perkongsian sama, Siti Norsafia turut mendedahkan bahawa Muhammad Nor Azzim pada awalnya tidak mahu kakak-kakaknya menghadiri majlis penganugerahan berkenaan kerana bimbang menyusahkan mereka yang menetap jauh di Pahang dan Terengganu.

Bagaimanapun, mereka tetap mengambil keputusan untuk hadir bagi memberikan sokongan kepada adik tersayang pada hari istimewa itu.

Apa yang lebih menyentuh hati, Siti Norsafia mengakui sempat terfikir bagaimana perasaan adiknya sekiranya terpaksa naik ke pentas menerima anugerah tanpa kehadiran ahli keluarga.

“Bila di hari kejadian, akak terfikir kalau kami tak datang, takkan adik nak naik pentas tanpa tepukan daripada ahli keluarga.

“Montaj dekat skrin takkan adik nak tengok dengan kawan-kawan. Bukan semua orang faham kisah hidup kamu,” kongsinya.

Ternyata, keputusan mereka untuk hadir menjadi satu kenangan cukup bermakna apabila dapat menyaksikan sendiri kegembiraan luar biasa Muhammad Nor Azzim sebaik melihat kehadiran kakak-kakaknya.

“Akak Saksi Perjalanan Hidup Adik…” - Raih Anugerah Pengetua MRSM Terendak, Muhammad Nor Azzim Buat Kakaknya Sebak

Kehilangan Ibu Bapa, Kakak-Kakak Jadi Penguat Semangat

Di sebalik kejayaan tersebut, Muhammad Nor Azzim sebenarnya menyimpan kisah kehidupan yang cukup menyentuh hati apabila dia dan adik-beradiknya telah kehilangan kedua-dua ibu bapa.

Menurut laporan SinarPlus, remaja yang berasal dari Kuantan, Pahang itu kehilangan ibu bapanya masing-masing pada 25 Mac 2022 dan 14 Disember 2023.

Bagaimanapun, kehilangan dua insan tersayang itu tidak mematahkan semangat adik bongsu daripada 10 beradik tersebut untuk terus melakar kejayaan dalam bidang pendidikan.

Mengimbas kenangan sewaktu Muhammad Nor Azzim masih kecil, Siti Norsafia turut berkongsi bahawa dia bersama seorang lagi kakaknya sudah terbiasa menguruskan keperluan adik mereka ketika arwah ibu keluar bekerja.

“Kenapa akak dengan Kekka je panggil kamu ‘Adik’? Sebab kamu kecil-kecil dulu, Kak Ty, Kekka yang banyak uruskan kamu masa arwah mak kerja,” katanya.

Hubungan rapat antara mereka menjadikan kejayaan Muhammad Nor Azzim lebih bermakna, apatah lagi kakak-kakaknya dapat menyaksikan sendiri hasil usaha dan ketabahan adik tersayang.

Dalam pada itu, Muhammad Nor Azzim difahamkan turut menyimpan impian untuk bergelar seorang guru suatu hari nanti.

Justeru, keluarganya berharap remaja tersebut dapat terus mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, termasuk memperoleh keputusan membanggakan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Akak Saksi Perjalanan Hidup Adik…” - Raih Anugerah Pengetua MRSM Terendak, Muhammad Nor Azzim Buat Kakaknya Sebak

Turut Puji Akhlak Pelajar MRSM Terendak

Selain berkongsi kegembiraan adiknya, Siti Norsafia turut menzahirkan penghargaan kepada barisan pendidik MRSM Terendak yang banyak membimbing Muhammad Nor Azzim sepanjang berada di institusi berkenaan.

Dia juga tidak ketinggalan memuji sikap dan budi pekerti para pelajar yang disifatkan sangat menghormati tetamu.

“Semasa saya dekat sini, dari masuk pagar sampai ke dewan, anak-anak MRSM ini punya lah baik budi pekerti. Jumpa sesiapa akan senyum, tunduk hormat.

“Masya-Allah, tak silap langsung pilihan adik saya untuk masuk ke MRSM Terendak ini,” ujarnya.

Sumber : Tiktok Eytisafiaa

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Kuala Lumpur Kekal Rekod Udara Paling Tercemar Dunia, Cecah Bacaan AQI ‘Amat Tidak Sihat’

Ibu negara, Kuala Lumpur mencatatkan rekod indeks kualiti udara (AQI) paling tidak sihat setakat Khamis, 8 Oktober sekaligus menjadi bandaraya dengan keadaan udara paling tercemar di dunia.

Berdasarkan statistik World Air Quality Ranking pada jam 10 pagi ini, Kuala Lumpur menduduki tangga pertama dengan bacaan AQI 225, berbanding 199 yang dicatatkan pada 7 Oktober, semalam.

Bacaan itu meletakkan Kuala Lumpur di hadapan Lahore, Pakistan yang berada di tangga kedua dengan bacaan 207; diikuti oleh Kinshasa, Democratic Republic of the Congo dan Delhi, India yang masing-masing mencatatkan bacaan 193 dan 182.

Situasi ini cukup membimbangkan apabila bacaan AQI Kuala Lumpur sudahpun memasuki peringkat ‘Amat Tidak Sihat’ yang berada dalam anggaran bacaan AQI 201 hingga 300.

Kuala Lumpur Kekal Rekod Udara Paling Tercemar Dunia, Cecah Bacaan AQI 'Amat Tidak Sihat'
Tangkap layar laman web Switzerland IQAir.

Sebagai konteks, bacaan World Air Quality Ranking melaporkan secara langsung kualiti udara dari syarikat teknologi kualiti udara berpangkalan di Switzerland IQAir.

Dalam pada itu, negara lain dalam rantau Asia Tenggara juga tidak terlepas daripada berdepan isu pencemaran udara.

Hanoi, Vietnam berada di tangga kelapan dengan AQI 165, manakala Singapura dan Jakarta, Indonesia masing-masing mencatatkan AQI 152 dan 135.

Kuala Lumpur Kekal Rekod Udara Paling Tercemar Dunia, Cecah Bacaan AQI 'Amat Tidak Sihat'
Sumber Foto: Independent

Formula 1 Singapura Terganggu

Singapura yang sedang bersiap sedia untuk menganjurkan perlumbaan Grand Prix (GP) Singapura Formula 1 (FI) 2026 hujung minggu ini di Litar Marina Bay tentunya merasa terjejas dengan kualiti udara semasa.

Difahamkan, pihak penganjur sedang merangka pelan luar jangka sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya keadaan jerebu menjadi semakin kronik demi memastikan keselamatan pemandu, petugas dan penonton kekal terjamin.

Sejak bulan Ogos, kebakaran hutan yang berlaku di beberapa kawasan di Indonesia telah menyebabkan asap tebal merebak ke negara jiran terutamanya di rantau Asia Tenggara sekaligus mencetuskan kebimbangan mengenai kualiti udara di sini.

Kuala Lumpur Kekal Rekod Udara Paling Tercemar Dunia, Cecah Bacaan AQI 'Amat Tidak Sihat'
Sumber Foto: Klinik Anda Wangsa Melawati
Kuala Lumpur Kekal Rekod Udara Paling Tercemar Dunia, Cecah Bacaan AQI 'Amat Tidak Sihat'
Sumber Foto: Klinik Anda Wangsa Melawati

Keadaan ini memaksa sekolah, tadika dan taska ditutup seperti yang berlaku di Batu Pahat, Johor semalam selepas kawasan tersebut mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sejak Selasa.

BERNAMA turut melaporkan 37 kawasan lain yang turut mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat pada pagi ini termasuklah Segamat, Johor (187); Nilai, Negeri Sembilan (183); Seremban, Negeri Sembilan (182); Pasir Gudang, Johor (180) Johan Setia, Selangor (178); Rompin, Pahang (174); Bandaraya Melaka (171) dan Shah Alam, Selangor (170).

Panduan Berdepan Cuaca Jerebu

Sekiranya korang tidak mempunyai keperluan untuk keluar dari rumah, panduan terbaik bagi berdepan isu cuaca jerebu sekarang adalah untuk kekal berada di dalam rumah. Kurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan tidak mengizinkan.

Jika perlu keluar bagi tujuan bekerja atau rutin harian, sila pakai pelitup muka yang sesuai, minum air secukupnya dan elakkan aktiviti lasak di luar.

Apabila berdepan dengan simptom seperti batuk, sesak nafas, sakit tekak atau mata pedih pula, dapatkan pemeriksaan jika keadaan itu berterusan atau semakin teruk. Jangan sesekali abaikan simptom keadaan kesihatan yang merosot.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

“Asalkan Mereka Minta Maaf, Kita Boleh Move On” , Johan Ghazali Tetap Sokong Kahf Walaupun Dikecam

0

Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali tampil memberikan pandangannya berhubung kontroversi melibatkan jenama penjagaan diri lelaki dari Indonesia, Kahf yang hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu.

Johan atau lebih mesra disapa Jojo yang mempunyai kerjasama dengan jenama berkenaan memilih untuk tidak terburu-buru ‘menghukum’ Kahf susulan kontroversi hantaran “Hati-Hati Beda Level” yang mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya rakyat Malaysia.

Menerusi satu perkongsian di Threads, atlet berusia 19 tahun itu mengakui pasukan Kahf sememangnya telah melakukan kesilapan. Bagaimanapun, baginya kesilapan merupakan sesuatu yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja dan apa yang lebih penting adalah kesediaan untuk mengakuinya serta memohon maaf.

“Obviously Kahf’s team made a dumb mistake but so do we all. As long as they apologise, I have no problem with it,” tulisnya.

Malah, berdasarkan pengalamannya sepanjang bekerjasama dengan Kahf, Johan berkata dia tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan jenama tersebut.

“Asalkan Mereka Minta Maaf, Kita Boleh Move On” , Johan Ghazali Tetap Sokong Kahf Walaupun Dikecam

Atas sebab itu, Johan secara peribadi masih menganggap Kahf sebagai sebuah jenama yang wajar diberikan sokongan. Namun, dia menyerahkan kepada pengguna untuk menentukan sendiri pendirian masing-masing.

“I honestly still think Kahf is a brand worth supporting, but that’s up to you guys to decide. In all my years working with them, I’ve never had a problem,” katanya.

Tidak hanya itu, Johan turut sempat berseloroh mengenai dirinya yang pernah mengeluarkan kenyataan serta melakukan perkara yang jauh lebih ‘outlandish’, namun Kahf tidak pernah memulaukannya.

“Plus, I’ve said and done a lot more outlandish things and they’ve never boycotted me,” selorohnya.

Apa Sebenarnya Yang Berlaku?

Kontroversi berkenaan tercetus selepas akaun rasmi Kahf di Threads memuat naik satu hantaran berkaitan bola sepak yang memaparkan bendera Indonesia berada di bahagian atas garisan bertulis “Hati-Hati Beda Level”.

“Asalkan Mereka Minta Maaf, Kita Boleh Move On” , Johan Ghazali Tetap Sokong Kahf Walaupun Dikecam

Dalam grafik sama, bendera beberapa negara lain termasuk Malaysia, Thailand, Vietnam, Filipina, Singapura, Laos, Myanmar, Timor-Leste dan Australia pula diletakkan di bahagian bawah. Hantaran itu turut disertakan dengan kapsyen berbunyi, “Tutor cara masup Eropa dong warga”.

Hantaran berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejayaan Indonesia menjuarai Piala FIFA ASEAN Cup 2026 baru-baru ini. Namun, penggunaan akaun rasmi sebuah jenama untuk memuat naik kandungan berbentuk sindiran itu mengundang kritikan apabila ia dianggap memperlekehkan negara-negara lain.

Situasi itu kemudiannya mencetuskan reaksi dalam kalangan pengguna media sosial Malaysia dengan sebahagian daripada mereka menyeru agar produk Kahf diboikot. Malah, ada pengguna yang berkongsi tindakan membatalkan pesanan dan membuang produk jenama berkenaan.

Kahf Akui Kesilapan & Mohon Maaf

Susulan kecaman yang diterima, Kahf memadam hantaran tersebut sebelum tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

Dalam kenyataannya, Kahf mengakui hantaran itu tidak sepatutnya diterbitkan serta tidak mencerminkan nilai rasa hormat yang menjadi antara prinsip utama jenama berkenaan.

Kahf turut mengambil tanggungjawab terhadap perkara tersebut dan mengakui bahawa usaha membina semula kepercayaan pengguna memerlukan lebih daripada sekadar permohonan maaf. Jenama itu berjanji untuk membuktikannya menerusi tindakan dan melakukan yang lebih baik selepas ini.

Johan Ghazali Pilih Untuk Terus Sokong Kahf

Bagi Johan pula, permohonan maaf tersebut sudah cukup untuknya memilih jalan untuk terus bergerak ke hadapan.

“I remain loyal to Kahf. We all make mistakes. As long as we apologise, we can move on.

“It really isn’t that big of a deal, chill guys,” katanya.

Biarpun mengakui kesilapan tersebut tidak sepatutnya berlaku, pendirian Johan jelas manusia mahupun sesebuah organisasi tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan baginya, ruang untuk memperbaiki keadaan wajar diberikan apabila pihak terbabit sudah mengaku salah serta memohon maaf.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Genap 18 Tahun, Dihan Anak Istimewa Berjaya Tamatkan Half Marathon Bersama Ayah Di KLSCM 2026

0

KLSCM 2026 menjadi satu lagi perjalanan cukup bermakna buat Dihan apabila anak istimewa ini berjaya menamatkan Half Marathon bersama bapanya.

Lebih istimewa, Dihan kini sudah menginjak usia 18 tahun dan penyertaan kali ini turut berlangsung bersempena Hari Cerebral Palsy Sedunia yang disambut pada 6 Oktober setiap tahun.

Di sebalik cabaran yang perlu ditempuhi sepanjang perlumbaan, perjalanan Dihan bersama bapanya sekali lagi memperlihatkan bahawa pengalaman berada di garisan penamat bukan sekadar mengenai catatan masa, tetapi juga setiap usaha dan langkah yang dilalui bersama.

Usia Meningkat, Cabaran KLSCM 2026 Juga Bertambah

Genap 18 Tahun, Dihan Anak Istimewa Berjaya Tamatkan Half Marathon Bersama Ayah Di KLSCM 2026

Biarpun Dihan tidak mampu berlari seperti peserta lain, keterbatasan itu tidak menghalangnya untuk terus merasai pengalaman berada di tengah-tengah ribuan peserta KLSCM.

Menurut perkongsian bapanya, tahun ini merupakan kali kelima beliau menyertai KLSCM dan kali keempat membawa Dihan bersama.

Namun, apabila Dihan semakin meningkat dewasa, penjagaan sepanjang larian juga menjadi lebih mencabar.

Dihan tidak boleh makan dan minum sendiri. Justeru, bapanya perlu berhenti untuk menyuapkan air menggunakan syringe secara perlahan-lahan sehingga mencukupi sukatan diperlukan.

Malah, proses untuk Dihan minum sahaja boleh mengambil masa sekitar 20 hingga 30 minit.

“Alhamdulillah, kami dah biasa dengan rutin macam ni. Yang penting, kesihatan dan keselesaan Dihan terjaga,” kongsinya.

Keadaan jerebu ketika acara berlangsung turut menyebabkan pemakaian pelitup muka Dihan sentiasa dipantau, khususnya ketika dia perlu minum atau bergambar.

Semua perkara itu perlu diberikan perhatian sepanjang perjalanan mereka dalam KLSCM 2026. Bagi bapanya, memastikan keadaan Dihan sentiasa selesa dan selamat menjadi keutamaan meskipun mereka sedang berusaha menyelesaikan jarak Half Marathon.

Pelukan Ayah Di Garisan Penamat

Namun, antara momen paling menyentuh hati tentunya ketika pasangan anak-beranak ini akhirnya tiba di garisan penamat.

Menerusi video yang dikongsikan, Dihan dibawa bapanya sehingga ke penghujung perlumbaan. Sebaik sahaja mereka melintasi garisan penamat, bapanya terus memeluk dan mencium Dihan.

Tiada sorakan kemenangan yang berlebihan diperlukan. Pelukan itu sahaja sudah cukup untuk menggambarkan betapa bermaknanya perjalanan tersebut buat mereka berdua.

“Dalam pelukan dan ciuman ayah melintasi finishing line bersama,” tulisnya.

Momen itu terasa lebih istimewa apabila ia hadir selepas Dihan genap berusia 18 tahun; satu lagi fasa baharu dalam perjalanan hidup remaja istimewa berkenaan.

Half Marathon Ketiga Tahun Ini

Genap 18 Tahun, Dihan Anak Istimewa Berjaya Tamatkan Half Marathon Bersama Ayah Di KLSCM 2026

KLSCM 2026 juga bukan satu-satunya cabaran yang berjaya diselesaikan Dihan dan bapanya pada tahun ini.

Menurut perkongsian tersebut, ia merupakan Half Marathon ketiga mereka sepanjang 2026.

Perjalanan mereka turut dipermudahkan dengan kehadiran rakan-rakan yang membantu sepanjang perlumbaan, sama ada menolak, memantau keadaan Dihan mahupun menghulurkan bantuan apabila diperlukan.

Sokongan itu cukup penting memandangkan keperluan Dihan memerlukan perhatian sepanjang perjalanan. Dalam masa yang sama, penyertaan bersama-sama rakan menjadikan pengalaman Half Marathon ini satu perjalanan yang dikongsi dan diraikan bersama.

Bagi bapanya, kejayaan sesebuah larian juga tidak semestinya diukur melalui catatan masa atau siapa yang tiba terlebih dahulu.

“Tahniah buat semua kawan-kawan yang finisher, DNF mahupun DNS. Setiap kita ada fasa dan perjalanan larian masing-masing.

“Tak perlu bandingkan perjalanan kita dengan orang lain. Nikmati dan hargai setiap langkah dengan cara kita sendiri,” katanya.

KLSCM 2026 Jadi Satu Lagi Kemenangan Buat Dihan

Buat Dihan pula, garisan penamat mungkin dilalui dengan cara yang berbeza daripada kebanyakan peserta lain. Namun pada usia 18 tahun, dia terus membuktikan bahawa setiap orang mempunyai perjalanan dan bentuk kemenangan mereka sendiri.

Penyertaan dalam KLSCM 2026 bukan sahaja menyaksikan Dihan menamatkan satu lagi Half Marathon, malah menjadi kenangan istimewa selepas dia memasuki usia 18 tahun.

Lebih-lebih lagi apabila perjalanan kali ini berlangsung berdekatan sambutan Hari Cerebral Palsy Sedunia, menjadikan kisah Dihan dan bapanya membawa makna tersendiri.

Sumber : Instagram wiradihan_bikeisable

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Pameran Solo T.O.P Terpaksa Dibatalkan, Jumlah Peminat Menjunam Selepas Hubungan Dengan Nana Disahkan

Terbaru, sebuah pameran yang dianjurkan sempena pelancaran album solo pertama penyanyi terkenal, T.O.P dikhabarkan terpaksa dibatalkan susulan kejatuhan jumlah peminat secara mendadak yang membuat tempahan untuk menghadiri acara berkenaan.

Difahamkan, pembatalan tersebut terjadi selepas T.O.P dan pelakon Nana secara terbuka mengesahkan hubungan romantik mereka pada 2 Oktober lalu. Situasi itu sekaligus mencetuskan tanda tanya apabila jumlah peserta pameran dilaporkan merosot dengan ketara, selain terdapat peminat yang memilih untuk membatalkan tempahan mereka.

Menerusi media sosial rasmi peminat T.O.P yang dikenali sebagai CHOIDOT pada 4 Oktober lalu memaklumkan bahawa pameran ‘OFF GRID: NEW GROUND’ yang sepatutnya berlangsung selama dua hari, iaitu pada 31 Oktober hingga 1 November, tidak dapat diteruskan seperti dirancang.

“Jumlah kehadiran yang dijangkakan menurun kepada kira-kira 10 hingga 15 peratus daripada jumlah peserta harian yang dirancang pada asalnya,” jelas pihak berkenaan.

Pameran Solo T.O.P Terpaksa Dibatalkan, Jumlah Peminat Menjunam Selepas Hubungan Dengan Nana Disahkan

Pameran berkenaan diadakan bersempena album penuh solo pertama T.O.P, ‘Another Dimension’, dengan kesemua 11 lagu dalam album itu bakal diterjemahkan menerusi konsep ruang dan fotografi yang berbeza. Selain itu, beberapa aktiviti interaktif turut dirancang bagi memberikan peluang kepada peminat untuk mengambil bahagian sepanjang acara tersebut.

Pada asalnya, pihak penganjur menyasarkan kira-kira 300 peserta untuk hadir sepanjang dua hari pameran. Bagaimanapun, jumlah tempahan yang diterima selepas dibuka dilaporkan hanya sekitar 25 peratus daripada sasaran tersebut, menyebabkan pihak penganjur berdepan situasi sukar walaupun kontrak lokasi sudah ditandatangani dan bayaran deposit telah dibuat.

Menurut CHOIDOT, mereka pada awalnya tetap mahu meneruskan pameran demi menghormati peminat yang telah membuat tempahan, termasuk bersedia menanggung kemungkinan kerugian. Namun, keputusan itu terpaksa dinilai semula selepas semakin ramai pemegang tempahan mengemukakan permintaan pembatalan sehingga menyebabkan jumlah kehadiran dijangka terus menurun.

Pameran Solo T.O.P Terpaksa Dibatalkan, Jumlah Peminat Menjunam Selepas Hubungan Dengan Nana Disahkan

Keadaan itu turut menjadi lebih rumit kerana terdapat peminat dari luar Korea yang telah merancang perjalanan bagi menghadiri pameran berkenaan. “Kami memberikan notis secepat mungkin bagi meminimumkan kesulitan tambahan seperti urusan penerbangan dan penginapan,” kata pihak penganjur sambil memaklumkan semua bayaran tempahan akan dikembalikan sepenuhnya.

Terdahulu, hubungan T.O.P dan Nana mula mendapat perhatian selepas kedua-duanya dilaporkan semakin rapat ketika menjalani penggambaran muzik video lagu solo T.O.P, ‘Completely Crazy!’, pada Januari lalu sebelum hubungan mereka berkembang menjadi pasangan sekitar Jun. Kedua-dua agensi turut mengesahkan hubungan tersebut, manakala Nana menerusi platform komunikasi peminat meminta orang ramai memahami situasi berkenaan dan berharap mereka dapat menjalani hubungan secara baik.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

“Really Means A Lot” – Cik B Terharu Rita Rudaini Puji Adab & Kematangannya

0

Cik B meluahkan rasa terharu selepas menerima pujian daripada pelakon terkenal, Rita Rudaini yang menyifatkannya sebagai antara ikon Gen Z yang wajar dijadikan contoh oleh golongan muda.

Menerusi satu perkongsian di Threads, Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar berkongsi pengalamannya bertemu dan berbual bersama anak kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Vida itu baru-baru ini.

Apa yang menarik perhatian Rita bukanlah mengenai kejayaan mahupun kemewahan yang dimiliki Cik B, sebaliknya adab serta kematangan personaliti berusia 21 tahun itu ketika membawa diri.

Malah, pertemuan tersebut ternyata meninggalkan kesan mendalam buat Rita sehingga dia masih bercerita mengenai Cik B kepada anak-anaknya selepas pulang ke rumah.

“Really Means A Lot” – Cik B Terharu Rita Rudaini Puji Adab & Kematangannya

“Sampai rumah saya cerita dekat anak-anak saya pasal Cik B. Tak habis lagi, anak sulung saya call pukul 12.30 malam, saya sambung lagi cerita pasal Cik B.

“Kenapa sampai macam itu sekali? Sebab adab dia.

“Cik B mungkin ada segalanya, tapi apa yang paling menyerlah pada saya bukan apa yang dia miliki, tapi cara dia membawa diri,” tulisnya.

Rita Kagum Cara Cik B Berfikir

Menurut Rita, sepanjang perbualan mereka, Cik B memberikan respons terhadap setiap persoalan dengan cukup matang, tenang dan bersahaja.

Bukan itu sahaja, cara anak Datuk Seri Vida itu berkongsi mengenai hubungannya bersama ibu serta bagaimana dia mengendalikan situasi ketika ibunya sedang marah turut membuatkan Rita kagum dengan kematangan anak muda berkenaan.

“Saya dah jumpa ramai orang dalam hidup, tapi jarang saya jumpa anak muda seusia dia yang begitu matang, tenang dan tahu membawa diri.

“Patutlah Dato’ Vida selalu panggil dia, ‘Cik B, anak mama yang hebat’. Ya, saya akui. Dia memang anak yang hebat.

“Dan yang paling mahal pada dirinya ialah adab,” katanya.

Malah secara berseloroh, Rita turut mengibaratkan anak muda berkenaan sebagai ‘ChatGPT versi manusia’ kerana hampir setiap perkara yang dibualkan bersama mempunyai jawapan.

“Really Means A Lot” – Cik B Terharu Rita Rudaini Puji Adab & Kematangannya

Bagi pelakon itu, apa yang lebih mengagumkan adalah setiap pandangannya hadir dengan ketenangan dan pemikiran positif sehingga membuatkan individu yang lebih berusia turut sama berfikir.

Rita turut menyifatkan anak Datuk Seri Vida itu bukan sekadar seorang anak muda yang berjaya, malah antara figura Gen Z yang mempunyai nilai positif untuk dicontohi kerana sikapnya yang beradab, matang dan tahu membawa diri.

“Cik B Jadi Diri Sendiri Je…”

Tersentuh membaca perkongsian panjang tersebut, Cik B kemudian meninggalkan komen sebagai tanda penghargaan kepada Rita.

“Terima kasih Aunty Rita, Cik B tak sangka Cik B jadi diri sendiri je pun boleh tinggalkan impression macam ni.

“Terharu Cik B baca, really means a lot. Thank you juga sebab banyak mengajar dan berkongsi ilmu dengan Cik B semalam,” balasnya.

“Really Means A Lot” – Cik B Terharu Rita Rudaini Puji Adab & Kematangannya

Dalam pada itu, Rita turut menitipkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Vida yang menurutnya telah melalui pelbagai perjalanan hidup dalam membesarkan anaknya sehingga menjadi individu seperti hari ini.

Baginya, biarpun banyak perkara mampu dimiliki dengan wang ringgit, nilai seperti adab, kematangan dan cara seseorang membawa diri tetap menjadi ‘kekayaan’ sebenar yang tidak boleh dibeli.

Sumber : Threads ritrud727

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Pelajar Wanita 19 Tahun Ditemui Maut Di Bilik Sewa, Teman Lelaki Direman Tujuh Hari

0

Baru-baru ini, seorang pelajar wanita berusia 19 tahun ditemui maut di sebuah bilik sewa di Kuantan, Pahang, dalam kejadian yang dipercayai melibatkan teman lelakinya sendiri pada awal pagi Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihak polis menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4.32 pagi daripada seorang lelaki yang melaporkan berlaku pertengkaran antara dirinya dengan teman wanitanya.

“Suspek yang juga berusia 19 tahun sendiri menghubungi pihak polis dan melaporkan berlaku pergaduhan antara dia dengan teman wanitanya itu,” katanya.

 

Pelajar Wanita 19 Tahun Ditemui Maut Di Bilik Sewa, Teman Lelaki Direman Tujuh Hari

Difahamkan, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pihak polis menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil di sebuah bilik sewa di aras bawah rumah berkenaan.

Hasil pemeriksaan oleh Pakar Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mendapati terdapat kesan tekanan pada bahagian leher mangsa sebelum mangsa disahkan meninggal dunia. Selain itu, siasatan awal turut mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-dua individu terbabit.

Susulan itu, teman lelaki mangsa ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan. Suspek kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan dan direman selama tujuh hari bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pelajar Wanita 19 Tahun Ditemui Maut Di Bilik Sewa, Teman Lelaki Direman Tujuh Hari

Sementara itu, mayat mangsa pula dibawa ke Jabatan Forensik HTAA untuk menjalani proses bedah siasat bagi membantu pihak berkuasa melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.

Dalam pada itu, Ashari menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan mengenai kejadian tersebut kerana tindakan sedemikian dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan pihak polis.

Sumber: Sinar Harian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

26 Mahasiswa UPM Harumkan Nama Negara Di Turkiye, Raih Tempat Ketiga Dan Anugerah Reka Bentuk Asli Terbaik Di TEKNOFEST 2026

Baru-baru ini, beberapa wakil pelajar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencipta sejarah di Aksaray, Türkiye apabila merangkul tempat ketiga keseluruhan dalam Pertandingan Roket TEKNOFEST 2026, selain membawa pulang Anugerah Reka Bentuk Asli Terbaik. Pertandingan yang berlangsung dari 7 hingga 13 September lalu itu bukan sahaja membuktikan kemampuan mahasiswa tempatan dalam bidang kejuruteraan, malah mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Menerusi sebuah perkongsian yang dimuat naik di Facebook rasmi Fakulti Kejuruteraan UPM, kejayaan tersebut diraih menerusi penyertaan dua pasukan, iaitu UPM A dan UPM B. Kedua-dua pasukan mempamerkan kebolehan dalam aspek inovasi, reka bentuk dan pembangunan roket, termasuk integrasi sistem serta operasi pelancaran yang memerlukan ketelitian teknikal dan kerjasama erat antara ahli pasukan.

Pencapaian membanggakan itu turut mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga berupaya mengaplikasikan ilmu dalam situasi sebenar. Selain itu, Fakulti Kejuruteraan menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian kedua-dua pasukan yang telah menunjukkan kecemerlangan kejuruteraan, inovasi dan semangat berpasukan sepanjang pertandingan berlangsung.

26 Mahasiswa UPM Harumkan Nama Negara Di Turkiye, Raih Tempat Ketiga Dan Anugerah Reka Bentuk Asli Terbaik Di TEKNOFEST 2026 26 Mahasiswa UPM Harumkan Nama Negara Di Turkiye, Raih Tempat Ketiga Dan Anugerah Reka Bentuk Asli Terbaik Di TEKNOFEST 2026 26 Mahasiswa UPM Harumkan Nama Negara Di Turkiye, Raih Tempat Ketiga Dan Anugerah Reka Bentuk Asli Terbaik Di TEKNOFEST 2026

Difahamkan, bagi kategori anugerah yang dimenangi, UPM B berjaya menduduki tempat ketiga keseluruhan, manakala UPM A menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Reka Bentuk Asli Terbaik. Bagaimanapun, kejayaan tersebut menyerlahkan kekuatan kedua-dua pasukan dalam menghasilkan idea kreatif serta membangunkan penyelesaian kejuruteraan yang mampu bersaing dengan peserta dari pelbagai latar belakang di peringkat antarabangsa.

Di sebalik kejayaan berkenaan, bimbingan tenaga pengajar turut memainkan peranan penting dalam membantu pelajar merealisasikan potensi masing-masing. Dua pensyarah yang terlibat, Dr. Ezanee Gires dan Dr. Izzat Najmi Mohd Yaacob, menerima penghargaan atas tunjuk ajar serta sokongan berterusan yang diberikan sepanjang persiapan dan penyertaan pasukan dalam pertandingan tersebut.

Untuk makluman, pasukan UPM A dianggotai oleh Khisho Nathan A/L Pathma Nathan, Syed Sulaiman Syed Mohamad Ameer Ali, Ray Anselm Lim Hai Seng, Soo Ze Yang, Ananta Kumaar A/L Puspanathan, Satrio Arya Daniswara, Kavethrra A/P Kalai Selvam, Nayan Naimul Hoque, Mohd Zharfan Mohd Riduan, Muhammad Adil Danial Mohd Arafat, Arrish Prasaath Mani A/L Sivenesan, Sureintharaan Nathan dan Balqees Aqeelah Muhd Nithya Thyalen.

26 Mahasiswa UPM Harumkan Nama Negara Di Turkiye, Raih Tempat Ketiga Dan Anugerah Reka Bentuk Asli Terbaik Di TEKNOFEST 2026 26 Mahasiswa UPM Harumkan Nama Negara Di Turkiye, Raih Tempat Ketiga Dan Anugerah Reka Bentuk Asli Terbaik Di TEKNOFEST 2026 26 Mahasiswa UPM Harumkan Nama Negara Di Turkiye, Raih Tempat Ketiga Dan Anugerah Reka Bentuk Asli Terbaik Di TEKNOFEST 2026

Sementara itu, UPM B diwakili oleh Tee Ding Keat, Tang Jia Jun, Devesvar A/L Perumal, Muhammad Afiq Mohamad Sukeri, Sean Chong Zhin Swien, Pravin A/L A Ravichandran, Syed Wasiq Hussain, Mohamed Abdelmeneim Mohamed Buzayan, Nur Atiqah Azmiera Azmi, Nahimudin Ibrahim Hyder Ali, Alimin Zakhraf Yuslaimi, Nasuha Ezzayani Binti Elias dan Muhammad Harith Danish Zainal Abidin.

Kejayaan ini turut didorong oleh sokongan penaja, rakan industri, rakan kerjasama dan pelbagai pihak yang membantu sepanjang perjalanan kedua-dua pasukan. Kerjasama sedemikian membuktikan bahawa pencapaian dalam bidang sains dan teknologi bukan hanya bergantung pada kebolehan individu, sebaliknya memerlukan sokongan ekosistem yang kukuh bagi membolehkan bakat muda berkembang dan menghasilkan inovasi yang bermakna.

Sumber: UPM

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.