Usahawan dan pempengaruh media sosial, Ojen Aiwah, mengesahkan bahawa beliau bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang jurulatih kecergasan dikenali sebagai Tareq Fit.
Perkara tersebut didedahkan menerusi satu hantaran panjang di media sosial yang kini mencuri perhatian ramai.
Isu Ojen Aiwah ambil tindakan undang-undang ini dipercayai berpunca daripada dakwaan fitnah yang menurutnya telah berlarutan sejak tahun lalu dan memberi kesan besar terhadap reputasi diri serta perniagaan yang dibina.
Dari Teguran Bertukar Jadi Serangan Terbuka
Menurut Ojen, segalanya bermula dengan apa yang disifatkan sebagai teguran. Namun, keadaan berubah apabila teguran tersebut bertukar menjadi serangan terbuka, khususnya apabila ia melibatkan produk jualannya, Kunafa Aiwahhh.
Beliau mendakwa Tareq telah mengkritik dessert tersebut dengan mengatakan ia menggunakan coklat serta topping murah, selain melabelkan produk berkenaan sebagai tidak berkhasiat dan tidak sesuai untuk dimakan.
“Aku bukan saman sebab isu personal. Aku saman sebab dia sentuh Kunafa Aiwahhh. Dari teguran, jadi defamation,” tegas Ojen.
Ojen turut meluahkan rasa kecewa apabila kritikan tersebut mengundang kecaman melampau daripada netizen sehingga melibatkan dirinya serta ahli keluarga yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu berkenaan.
Keadaan ini disifatkan sebagai melampaui batas kerana menurutnya, individu yang tidak pernah menyakiti atau melakukan kesalahan terhadap sesiapa tidak sepatutnya menjadi sasaran kebencian.
Dalam konteks ini, isu Ojen Aiwah ambil tindakan undang-undang bukan sekadar konflik antara dua individu, sebaliknya melibatkan maruah, emosi serta keselamatan keluarga.
Tidak Bertindak Terburu-Buru


Tambah Ojen lagi, beliau tidak bertindak secara melulu. Sebaliknya, sejak tahun lalu, beliau memilih untuk berdiam diri bagi mengumpul bukti yang mencukupi sebelum menyerahkan perkara tersebut kepada peguam serta pihak berkuasa.
Langkah ini diambil bagi memastikan sebarang tindakan yang dibuat berlandaskan fakta dan undang-undang, bukan sekadar reaksi emosi atau tekanan daripada orang ramai.
Dalam hantaran sama, Ojen turut menyelar sikap Tareq yang didakwa sering menyerang pelbagai pihak atas nama “teguran” dan “agama”.
Antara yang didakwa menjadi sasaran termasuk artis, pempengaruh media sosial, usahawan makanan serta komuniti gimnasium.
Menurut Ojen, tindakan tersebut dilihat bercanggah apabila pada masa sama individu berkenaan turut mempromosikan produk digital sendiri.
“Kononnya nak bantu rakyat Malaysia, tapi semua orang dihentam. Real food konon, rupanya nak jual e-book,” katanya lagi.
Dalam nada lebih tenang, Ojen turut mengambil kesempatan untuk menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam berkata-kata di media sosial.
Beliau menegaskan bahawa masyarakat tidak seharusnya mudah terikut-ikut untuk mencampuri urusan yang tidak ada kena mengena dengan diri sendiri, apatah lagi membenci individu yang tidak pernah berbuat salah atau menyakiti kita serta keluarga.
“Berhati-hati bila berkata-kata. Jauhilah orang macam ni. Tak ada kena mengena, jangan ikut masuk campur komen. Macam mana orang yang tak pernah buat salah dengan kita atau keluarga pun boleh kita benci. Pelik manusia sekarang,” luahnya.
Teguran Diterima, Fitnah Tidak Diterima
Ojen menegaskan bahawa dirinya sentiasa menerima teguran dengan hati terbuka dan cuba memperbaiki diri secara perlahan-lahan.
Anda mungkin berminat dengan
Namun, apabila teguran bertukar menjadi fitnah serta menjejaskan reputasi perniagaan yang dibina bertahun-tahun, beliau tidak lagi boleh berdiam diri.
Menutup kenyataannya, Ojen memberi amaran keras bahawa perkara ini telah melangkaui batas kesabaran.
“Nasi dah jadi bubur. See you in court!” tegasnya, sekali gus mengesahkan bahawa kes ini bakal dibawa ke peringkat mahkamah dan berkemungkinan mendapat perhatian lebih luas.
Sumber : Instagram ojennaiwahhh_
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Kematian tragis pelajar sekolah agama, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, terus mencetuskan rasa marah, sedih dan kecewa dalam kalangan masyarakat. Kes ini bukan sekadar satu lagi statistik, tetapi kisah seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dipercayai menjadi mangsa buli sehingga meragut nyawanya.
Dalam arus suara rakyat Malaysia yang menuntut keadilan, pelakon Mimi Lana turut tampil bersuara dengan penuh ketegasan dan keikhlasan.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Mimi Lana atau nama penuhnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, meluahkan kemarahannya terhadap sistem yang didakwa gagal melindungi Zara walaupun mangsa sudah beberapa kali memberi petanda bahawa dirinya dalam bahaya.
“Kita perlu keadilan untuk adik Zara, SEKARANG!” tegasnya.
Zara Dah Bersuara, Tapi Tak Didengari
Menurut laporan, Allahyarham Zara Qairina yang menuntut di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, dikatakan pernah menyebut nama pelajar-pelajar yang membuli dan menyeksanya secara fizikal dan mental.
Namun, luahan hatinya tidak diambil tindakan segera. Sehinggalah pada pagi 16 Julai lalu, Zara ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di hospital.
Mimi meluahkan rasa terkilan yang mendalam apabila suara mangsa seperti Zara tidak pernah benar-benar didengari.
“Dia dah minta tolong, dia dah bagi petunjuk, tapi suara dia tak pernah benar-benar didengari sehingga dia akhirnya ‘pergi’.”
‘Sampai Bila Nak Diam?’
Dalam hantaran penuh emosi, pelakon The Experts ini mempersoalkan kelambatan tindakan terhadap budaya buli yang sudah lama berakar dalam institusi pendidikan.
“Sama ada dia dibunuh atau tidak, faktanya adalah dia dibuli. Dan pembuli-pembuli itu masih bebas di luar sana. Apa lagi yang kita tunggu? Sampai ada lagi budak yang terkorban baru nak bertindak?”
Bagi Mimi, budaya buli bukan isu kecil. Ia adalah barah sosial yang boleh membunuh harapan dan kini, telah membunuh nyawa.
“Benda ni dah jadi barah dalam masyarakat. Budaya buli di sekolah bukan hal biasa. Ia bunuh jiwa, bunuh harapan, dan kali ini, ia bunuh nyawa.”
Suara Remaja Perlu Didengar
Majalah Remaja menyeru semua pihak, terutamanya golongan muda, agar lebih peka dan berani bersuara apabila berlaku ketidakadilan. Kes Zara Qairina adalah bukti bahawa tindakan lewat boleh membawa penyesalan seumur hidup. Kita tidak boleh normalisasikan budaya buli di sekolah atau mana-mana institusi.
Sama seperti Mimi Lana, kamu juga boleh bersuara demi Zara dan semua mangsa yang mungkin masih bertarung dalam diam.
Jika anda atau rakan menjadi mangsa buli atau penderaan, hubungi Talian Kasih 15999 atau WhatsApp ke 019-2615999. Jangan tunggu sehingga segalanya sudah terlambat.
Sumber: Instagram Mimi Lana
BACA LAGI : ‘Saya Mahu Kubur Zara Digali…’ – Ibu Zara Qairina Tuntut Kubur Digali Selepas Dua Minggu
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Pelakon Amyza Aznan meluahkan rasa syukur apabila impiannya bersama anak keduanya, Adrian Adam, untuk menunaikan ibadah umrah akhirnya menjadi kenyataan selepas menerima tajaan daripada seorang individu yang memilih untuk merahsiakan identitinya.
Berita menggembirakan itu hadir pada waktu yang cukup bermakna buat keluarga mereka, sekali gus disifatkan Amyza sebagai satu rezeki yang sangat istimewa dan tidak pernah dijangka.
Memetik laporan media tempatan, Amyza menyifatkan peluang tersebut sebagai hadiah paling bermakna sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
“Ini berita manis sempena Hari Raya Haji. Hadiah ini rasanya lebih mahal daripada yang lain,” katanya.

Hadir Selepas Perkongsian Di Media Sosial
Menurut Amyza, tawaran untuk menunaikan umrah itu datang daripada pemilik sebuah syarikat pelancongan yang menghubunginya selepas melihat satu hantaran di media sosial.
Hantaran tersebut dimuat naik oleh seorang jurusolek yang berkongsi mengenai impian Amyza dan anaknya untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Difahamkan, pemilik syarikat berkenaan tersentuh selepas membaca perkongsian tersebut dan berhasrat untuk menjadi asbab merealisasikan impian mereka.
Amyza mengakui dirinya tidak menyangka perkongsian yang dibuat akhirnya membawa kepada berita gembira yang cukup bermakna buat mereka sekeluarga.

Impian Adrian Sejak Awal Diagnosis
Dalam pada itu, Amyza turut berkongsi bahawa anaknya, Adrian Adam, sudah lama menyimpan hasrat untuk menunaikan umrah, lebih-lebih lagi selepas disahkan menghidap kanser tulang sebelum ini.
Menurutnya, Adrian pernah meluahkan keinginan itu ketika berada di fasa awal menerima diagnosis penyakit tersebut.
“Adrian memang teringin sangat nak pergi umrah. Dia pernah cakap perkara itu ketika awal dia didiagnos, dia nak berdoa di sana.
“Tapi dia tak pernah kongsi di media sosial, hanya dalam kalangan keluarga sahaja,” jelasnya.

Doa Yang Akhirnya Dimakbulkan
Tambah Amyza lagi, jurusolek berkenaan dipercayai mengetahui tentang hasrat Adrian selepas melihat anaknya menunaikan solat di rumah.
Daripada situ, kisah tersebut kemudian sampai kepada pengetahuan pemilik syarikat pelancongan yang akhirnya menawarkan tajaan umrah kepada mereka.
Perkongsian Amyza itu turut menyentuh hati ramai, apatah lagi apabila impian yang disimpan lama akhirnya dimakbulkan dengan cara yang tidak disangka-sangka.
Ia sekali gus menjadi momen penuh syukur buat Amyza dan Adrian, lebih-lebih lagi apabila peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci hadir sebagai hadiah Aidiladha yang cukup bermakna.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: BH Online
∞
Musim cuti bukan saja dihabiskan pergi melancong, tapi ramai juga yang mengambil peluang ini untuk melakukan aktiviti bersukan.
Sebelum tu, perkara pertama yang korang kena sediakan adalah sepasang sport shoes yang sesuai dan bukan itu saja, rekaan kasut pun mestilah kena ada gaya kan?
Nah, ada empat jenis kasut yang sesuai untuk korang gayakan sewaktu beriadah, rugi kalau tak dapatkan sepasang.
1. Puma RS-0

Jenama Puma telah meneruskan inovasi dalam reka bentuk dan teknologi gaya dalam rekaan running shoes terbaru mereka. Model pengenalan RS-0 ini tampil dengan warna hijau bertemakan futuristik. Smart kan?
2. Reebok CrossFit Nano 8

Kasut keluaran Reebok ini menampilkan ciri-ciri seperti tapak yang selamat dan tahan lasak. Ia juga sangat selesa dipakai dan mempunyai rekaan asas yang kuat. Pendek kata, lenjan la macam mana pun, kasut ni memang padu beb!
3. Larrie Blue Cut-out Sporty Sandal

Sesuai untuk mereka yang mencari keselesaan untuk melakukan aktiviti riadah, kasut ini mempunyai reka bentuk cut-out dab tab tali di bahagian hadapan. Ia juga sesuai digayakan untuk aktiviti santai seperti ketika berada di pantai atau pun di kawasan berair.
4. Koleksi LiteRide, Crocs


Foam LiteRide menggabungkan ciri-ciri kesukanan, gaya trend terkini dan keselesaan maksima buat si pemakai. Koleksi ini adalah 40 peratus lebih lembut dan 25 peratus lebih ringan berbanding rekaan sebelum ini.
So apa lagi guys, cepat grab empat koleksi sport shoes ini di pasaran sekarang. Kalau tak beli, korang jugak yang rugi. Hiks!
∞