Setiap kali tibanya musim umrah, bukan hanya mereka yang berangkat ke Tanah Suci diuji dengan pelbagai persiapan, tetapi juga ahli keluarga yang ditinggalkan. Di sebalik senyuman dan doa yang diiringi, terselit rasa sayu yang sukar diungkap dengan kata-kata.
Baru-baru ini, tular satu perkongsian menyentuh hati apabila seorang anak berkongsi momen dirinya menyediakan nota kecil buat ibunya yang bakal berangkat menunaikan ibadah umrah buat pertama kali.
Momen itu kelihatan sederhana, namun penuh dengan makna yang mendalam. Apa yang ditulis bukan sekadar pesanan biasa, tetapi luahan hati seorang anak yang sukar untuk melepaskan insan tersayang pergi jauh.
Anak tersebut mengakui bahawa menulis nota untuk ibu pergi umrah bukanlah sesuatu yang mudah. Setiap ayat yang ingin ditulis terasa berat, seolah-olah menahan perasaan sendiri yang tidak mampu digambarkan.
Ada ketika dia terhenti lama, cuba menyusun kata agar tidak terlalu emosional. Namun hakikatnya, setiap perkataan tetap sarat dengan rasa rindu, risau dan kasih sayang yang mendalam.
“Nak tulis sikit je pun dah rasa sebak,” kongsinya ringkas, tetapi cukup untuk menggambarkan betapa beratnya perasaan saat itu.
Pesanan Ringkas Yang Sarat Makna
Walaupun hanya sebuah nota kecil, isi yang disampaikan sangat bermakna. Ia bukan sahaja mengandungi pesanan untuk menjaga diri, tetapi juga doa agar ibu sentiasa dilindungi sepanjang berada di Tanah Suci.
Ads
Malah, nota tersebut juga menjadi pengganti kehadiran anak yang tidak dapat bersama sepanjang perjalanan itu.
Perasaan bercampur baur antara bangga dan risau sering bermain di fikiran. Dalam satu sudut, anak berasa gembira kerana ibu diberi peluang menjadi tetamu Allah. Namun dalam sudut lain, ada rasa kosong yang sukar dijelaskan.
Nota untuk ibu pergi umrah itu akhirnya menjadi satu cara untuk meluahkan apa yang tidak terucap secara lisan.
Ia juga menjadi kenangan kecil yang mungkin akan dibaca berulang kali oleh si ibu ketika berada jauh dari keluarga.
Perkongsian tersebut nyata menyentuh hati ramai. Ruangan komen dipenuhi dengan kata-kata semangat dan doa daripada netizen yang memahami situasi tersebut.
Ads
Ramai yang mengakui pernah melalui pengalaman sama menyediakan pesanan ringkas, memeluk ibu di lapangan terbang, dan menahan air mata saat perpisahan.
Ada juga yang berkongsi bahawa nota kecil seperti ini sering menjadi peneman emosi kepada ibu bapa sepanjang berada di Tanah Suci.
Hakikatnya, perjalanan umrah bukan sekadar ibadah fizikal, tetapi juga perjalanan emosi yang melibatkan seluruh ahli keluarga.
Bagi anak-anak, melepaskan ibu pergi menunaikan ibadah adalah satu bentuk pengorbanan kecil yang penuh makna. Ia mengajar tentang keikhlasan, kesabaran dan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah.
Ads
Nota untuk ibu pergi umrah yang ditulis itu mungkin kecil pada zahirnya, tetapi besar nilainya dari sudut emosi dan kasih sayang.
Dan dalam setiap doa yang dikirimkan dari jauh, tersimpan satu harapan agar ibu pulang dengan selamat, membawa bersama ketenangan dan keberkatan dari Tanah Suci.
Semoga setiap ibu yang menunaikan umrah dilindungi dan dipermudahkan segala urusan, dan setiap anak diberikan ketenangan dalam menanti kepulangan insan tersayang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bagi golongan perempuan, mungkin ada yang tertanya-tanya adakah dibolehkan seorang wanita itu memotong kuku atau menggunting rambut ketika mereka berada dalam hadas besar seperti haid dan nifas?
Nah, mungkin kita sering mendengar kata-kata orang yang mengatakan haram bagi seorang wanita memotong kuku atau rambutnya ketika datang haid, namun persoalannya adakah ia memang benar-benar haram?
Gambar hiasan
Tidak dinafikan sedari kecil, kami juga menyangka bahawa perbuatan ini haram dilakukan ketika haid. Jadi, bila dah dewasa timbul pula rasa keliru kerana ada yang kata haram dan ada pula yang berkata tidak haram.
Menyentuh tentang isu ini, jom kita baca kupasan daripada PU Azman yang pernah dikongsi di laman Instagramnya.
Foto: Instagram PU Azman
Menurutnya, tiada dalil yang melarang wanita yang sedang dalam haid, nifas atau hadas besar, junub untuk memotong kuku, rambut dan bulu. Dan mereka juga tidak perlu membawa semua yang dah dipotong ketika mandi wajib kerana tiada dalil yang mewajibkannya.
Sebelum ini mungkin korang juga pernah mendengar bahawa setiap kuku atau rambut yang dipotong ketika haid perlu dibawa bersama ketika mandi wajib atau ditanam, tapi PU Azman telah pun menerangkan bahawa ia sebenarnya tidak perlu.
Katanya lagi, tidak ada kaitan langsung kuku atau bulu yang tak dimandikan sekali akan memberi kesan buruk di akhirat kerana tiada dalil tentang itu. Disebabkan ini membuatkan perempuan takut untuk memotong kuku ketika haid.
Kredit foto: The Guardian
Terdapat sebuah hadis ketika Aisyah, isteri Nabi SAW menunaikan haji Wada’ bersama Nabi dan ketika itu Aisyah sedang dalam haid dan Nabi memintanya untuk mandi dan bersisir.
Maksud hadis: “Uraikan rambutmu dan bersikatlah. Serta berihlal (talbiyah) dengan haji dan tinggalkan umrah,” (Bukhari Muslim).
Daripada hadis ini, kita semua sedia maklum bahawa bersikat akan mengundang risiko menggugurkan rambut sedangkan Nabi tidak langsung mengingatkan Aisyah tentang rambut gugur yang mesti dibawa ketika mandi wajib nanti.
Jadi kesimpulannya, korang BOLEH/HARUS potong rambut dan kuku ketika haid atau dalam hadas besar. Tidak wajib tanam kuku atau bulu atau rambut yang sudah dipotong. Buang sahaja dengan baik, disamping menjaga kebersihan. Kalau nak tanam, terpulang. Tapi, kalau nak tanam dengan kepercayaan tertentu, maka khurafat.
Maka dengan pencerahan ini diharap dapat memberikan keterangan yang jelas untuk golongan perempuan yang mungkin selama ini keliru tentang isu tersebut. Jadi, tak perlulah lagi kita nak sampaikan info-info yang tidak betul dan menggelirukan orang ramai.
Selepas tiga tahun bergelar pelajar di luar negara, personaliti media sosial popular, Kasih Iris Leonaakhirnya menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan di University of Bath, United Kingdom.
Kejayaan itu turut dikongsi oleh bapanya yang juga pelakon terkenal, Azhar Sulaiman yang hadir bersama keluarga untuk meraikan detik bermakna tersebut di majlis graduasi Leona baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Azhar menzahirkan rasa bangganya terhadap anak bongsunya itu dengan ucapan puitis yang menyentuh hati.
“Twinkle twinkle my little star. Now you can fly further from where you are. Sehari di hari graduasi Leona di University of Bath, United Kingdom,” tulisnya.
Apa yang mencuri perhatian ramai adalah penampilan Leona yang tampil anggun mengenakan kebaya merah jambu, warna kegemarannya.
Menambah kemeriahan suasana, ahli keluarganya juga tampil sedondon dengan tema warna sama sebagai tanda sokongan buat Leona.
Screenshot
Azhar turut berkongsi beberapa video pendek sepanjang majlis berlangsung yang memperlihatkan momen anak gadisnya itu menerima skrol di atas pentas.
Untuk rekod, Leona telah memulakan pengajiannya di salah sebuah universiti terbaik di United Kingdom itu pada September 2022.
Sebelum ini, Azhar pernah menyatakan bahawa tempoh tiga tahun bukanlah satu masa yang lama, namun cukup bermakna untuk menyaksikan transformasi anaknya menjadi seorang insan yang lebih matang dan berdikari.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bekas juara qariah Tilawah Al-Quran Antarabangsa termuda, Farhatul Fairuzah baru-baru ini muncul sekali lagi menjadi inspirasi buat anak muda di luar sana apabila menerima tauliah mengajar sekaligus menjadikan beliau pendakwah dan penceramah pada usia 24 tahun.
Menerusi perkongsian di Instagram, Farhatul atau nama sebenar Nor Farhatul Fairuzah Panut meluahkan rasa syukur kerana akhirnya memenuhi kehendak Jawatankuasa untuk mengajar di Wilayah-Wilayah Persekutuan dalam bidang al-Quran bagi kategori Kanak-Kanak dan Dewasa.
“Alhamdulillah baru sempat menghadiri Muzakarah Tauliah Mengajar, setelah beberapa kali tertunda disebabkan beberapa hal yang tidak dapat dielakkan. Terima kasih kepada para penceramah yang hebat dan juga Timbalan-timbalan Pengarah Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.”
“Dengan adanya majlis dan tauliah sebegini, ajaran agama Islam itu dapat dipantau dan diiktiraf. Semoga usaha ini sentiasa diberkati dan dapat melahirkan lebih ramai pendakwah untuk meluaskan dan menyebarkan lagi ilmu agama islam,” ujarnya menerusi perkongsian yang sama.
Tambahnya lagi, beliau berharap agar dirinya dan orang ramai boleh belajar dan mampu menyampaikan walaupun dari satu ayat serta sempat menyelitkan salah satu sabda hadis Nabi Muhammad SAW,
“Sebaik-baik kalian adalah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya” – Hadis Riwayat Al-Bukhari.
Dalam pada itu, anak kelahiran Selangor itu juga aktif menggunakan media sosial sebagai platform dakwahnya, Farhatul yang juga pelajar jurusan Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), terdahulu menjuarai Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan untuk empat tahun berturut-turut (2014 hingga 2017).
Kredit: Instagram @farhatulfairuzah
Selain itu, beliau juga pernah dinobatkan sebagai juara pada Tilawah Sekolah Rendah Pulau Pinang pada tahun 2011 dan terpilih sebagai Tokoh Kokurikulum Sekolah Peringkat Negeri dan Kebangsaan.
Sekadar info, Farhatul mula belajar al-Quran dan taranum pada usia lima tahun dan menyertai pertandingan tilawah pada usia tujuh dan mendapat didikan awal daripada bapanya, Allahyarham Panut Markum pernah menjadi Qari sekitar tahun 1990-an. Manakala ibu, Jaliah Simin pernah bergelar Qariah pada 2004. Tidak hanya Farhatul, kelima-lima adik beradiknya celik Al-Quran dan aktif menyertai pertandingan tilawah.
Kredit: Instagram @farhatulfairuzah
Fakta menarik mengenai Farhatul, gadis yang bercita-cita menjadi pensyarah dalam bidang al-Quran ini juga pernah menerima darjah kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS) pada tahun 2022 dan muncul antara penerima termuda sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-77 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
MasyaAllah! Hebat sungguh pencapaian yang diraih oleh Farhatul! Kami di Remaja mendoakan yang terbaik dan semoga setiap kerja dakwah beliau tentang Al-Quran pada masa akan datang lebih meluas dan dipermudahkan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!