Bunyi cengkerik yang bersahutan, kicauan burung dari celah kanopi hutan dan desiran dedaun yang ditiup angin menjadi ‘playlist’ pertama yang menyambut ketibaan Remaja sebaik sahaja menjejakkan kaki ke jeti Mutiara Taman Negara.
Dalam sekelip mata, bunyi hon kenderaan, notifikasi telefon dan kesibukan kota seakan-akan lenyap. Yang tinggal hanyalah ketenangan hutan hujan tropika berusia jutaan tahun yang mengelilingi setiap sudut.
Udara yang segar bersama aroma tanah basah dan kehijauan hutan memberikan satu pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Berdiri di tengah-tengah landskap purba ini membuatkan kita sedar bahawa alam semula jadi mempunyai kisah yang jauh lebih panjang daripada kehidupan manusia.
Walaupun membesar dalam negara yang kaya dengan kehijauan, Mutiara Taman Negara memperlihatkan sisi Malaysia yang mungkin selama ini kita terlepas pandang. Sebuah destinasi yang bukan sahaja kaya dengan biodiversiti, malah menyimpan sejarah alam, budaya dan pengembaraan yang sukar ditemui di tempat lain.
Gerbang Ke Khazanah Alam Tertua Malaysia
Terletak di dalam Taman Negara, taman negara terbesar di Semenanjung Malaysia, Mutiara Taman Negara menjadi pintu masuk kepada pelbagai aktiviti pengembaraan, penerokaan hidupan liar dan pengalaman budaya yang menjadikan destinasi ini antara khazanah alam paling bernilai di negara ini.
Perjalanan ke resort bermula dengan pemanduan kira-kira tiga jam dari Kuala Lumpur sebelum diteruskan dengan menyeberangi Sungai Tembeling menaiki bot. Dari detik itu, suasana berubah sepenuhnya apabila panorama bandar digantikan dengan kehijauan hutan yang seolah-olah tiada penghujung.
Bagi memudahkan perjalanan, pihak resort turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan darat supaya tetamu dapat tiba dengan lebih selesa sebelum memulakan pengembaraan mereka.
Mutiara Taman Negara menawarkan sebanyak 87 unit penginapan yang terdiri daripada Chalet, Chalet Quad, One-Bedroom Chalet serta sebuah banglo.
Rekaan dalaman berkonsepkan kayu bersama balkoni peribadi melengkapkan pengalaman menginap di tengah-tengah alam semula jadi. Sebahagian unit menghadap kanopi hutan hujan dan Sungai Tembeling, manakala selebihnya menawarkan pemandangan taman resort yang menghijau.
Bayangkan selepas seharian meredah hutan atau menyusuri sungai, anda hanya perlu duduk di balkoni sambil menikmati secawan kopi dengan bunyi alam sebagai peneman. Mungkin inilah definisi sebenar ‘healing’.
Setiap unit berkeluasan antara 42 hingga 62 meter persegi dan mampu memuatkan sehingga empat orang tetamu. Bagi keluarga yang lebih besar, banglo dua tingkat lengkap dengan dua bilik tidur, dua bilik air serta ruang tamu berasingan turut disediakan.
Kalau Dah Sampai, Ini Aktiviti Yang Wajib Dicuba
Percutian di Mutiara Taman Negara sememangnya tidak lengkap tanpa mencuba pelbagai aktiviti yang menjadi tarikan utama destinasi ini.
Ads
Bagi pencinta cabaran, pengalaman menyusuri Canopy Walk, jambatan gantung antara kanopi hutan yang terkenal di dunia, pastinya memberikan debaran tersendiri sambil menikmati panorama hutan dari aras yang berbeza.
Bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak pula, pengalaman Rapid Shooting menyusuri Sungai Tembeling antara yang paling dinanti-nantikan. Bot akan merentasi beberapa jeram dengan percikan air yang cukup mengujakan dan pastinya membuatkan setiap penumpang ketawa serta menjerit sepanjang perjalanan.
Pengunjung juga boleh menyertai aktiviti Night Jungle Walk untuk menyaksikan sendiri kehidupan hutan selepas matahari terbenam. Dengan bantuan renjer berpengalaman, anda berpeluang melihat serangga unik, reptilia dan hidupan nokturnal yang hanya aktif pada waktu malam.
Tidak kurang menariknya, aktiviti trekking ke Bukit Teresek menawarkan panorama memukau hutan hujan tropika dari puncak, manakala lawatan ke perkampungan Orang Asli memberi peluang kepada pengunjung mengenali budaya, cara hidup dan kemahiran survival masyarakat Bateq yang begitu akrab dengan alam.
Bagi yang mahukan pengalaman lebih santai, pelayaran menyusuri Sungai Tembeling sambil menikmati keindahan alam semula jadi juga sudah cukup membuatkan anda jatuh cinta dengan Taman Negara.
Musim Kurang Sibuk, Pengalaman Lebih Bermakna
Menurut Pengurus Resort Mutiara Taman Negara, Lex Lam, tempoh antara Oktober hingga Januari sering dianggap sebagai musim kurang sibuk. Namun, beliau berpandangan waktu inilah sebenarnya memberikan pengalaman yang jauh lebih eksklusif kepada pengunjung.
“Ramai beranggapan musim kurang sibuk bukanlah waktu terbaik untuk berkunjung, namun hakikatnya ia menawarkan pengalaman yang berbeza.
Ads
“Apabila jumlah pengunjung lebih sedikit, tetamu dapat menikmati suasana yang lebih tenang dan benar-benar menghayati kedamaian hutan hujan,” katanya kepada Remaja.
Suasana yang lebih damai membolehkan pengunjung benar-benar menikmati bunyi alam, menghirup udara segar dan merasai pengalaman berada di tengah-tengah hutan tanpa gangguan orang ramai.
Hidangan Tradisional Jadi Kegemaran Pelancong Antarabangsa
Bukan sahaja kaya dengan pengalaman alam semula jadi, Mutiara Taman Negara turut menawarkan pelbagai hidangan tempatan dan antarabangsa yang memenuhi cita rasa pelancong dari seluruh dunia.
Menurut Lam, kira-kira 60 peratus tetamu resort terdiri daripada pelancong antarabangsa, manakala selebihnya ialah rakyat Malaysia dan pelawat dari negara-negara Asia.
Antara menu yang paling mendapat sambutan ialah patin tempoyak, patin sambal belado, asam rong dan rendang daging yang berjaya memperkenalkan keunikan citarasa Malaysia kepada pelancong luar negara.
Selain itu, resort turut menghasilkan sendiri pelbagai jenis roti, kek, pencuci mulut dan kuih tradisional, selain mengutamakan penggunaan bahan mentah daripada pengusaha tempatan sebagai usaha menyokong ekonomi komuniti setempat.
Bersama Orang Asli, Belajar Menghargai Alam
Keistimewaan Mutiara Taman Negara bukan sekadar terletak pada keindahan alamnya, malah turut terserlah menerusi komitmennya terhadap komuniti setempat.
Ads
Berkongsi mengenai hubungan resort dengan masyarakat Orang Asli, khususnya suku Bateq, Lam menjelaskan pihaknya memilih untuk menghormati cara hidup tradisional mereka berbanding menggaji mereka secara tetap.
Sebaliknya, resort menjalinkan kerjasama dengan persatuan tempatan termasuk pengusaha bot yang bekerjasama dengan komuniti Orang Asli. Bagi aktiviti tertentu, khidmat pemandu Orang Asli turut digunakan bagi berkongsi kemahiran survival, pengetahuan mendalam mengenai hutan serta pengalaman hidup mereka yang begitu sinonim dengan alam semula jadi.
“Pengalaman bersama komuniti Orang Asli sememangnya sangat mengagumkan.
“Kemahiran survival mereka luar biasa, manakala cara mereka mencari sumber makanan dan memahami hutan adalah sesuatu yang benar-benar saya kagumi,” tambahnya.
Pengalaman Yang Tak Boleh Dimuat Turun
Dalam dunia yang semakin dipenuhi pengalaman digital, Taman Negara menawarkan sesuatu yang mustahil boleh digantikan oleh mana-mana skrin.
Keindahan kabus yang menyelubungi pepohon purba, aliran Sungai Tembeling yang tenang, bunyi unggas dari kejauhan dan rasa kagum berdiri di tengah-tengah hutan berusia jutaan tahun merupakan pengalaman yang perlu dirasai sendiri.
Lebih daripada sekadar destinasi percutian, Taman Negara ialah khazanah biodiversiti, warisan alam dan pengetahuan masyarakat pribumi yang wajar terus dipelihara.
Sepanjang berada di Mutiara Taman Negara, satu perkara yang paling jelas ialah tarikan sebenar destinasi ini bukan sekadar aktiviti lasak atau penginapan di tengah hutan.
Sebaliknya, ia memberi ruang untuk kita berhenti seketika daripada kehidupan yang terlalu pantas, meletakkan telefon di tepi dan kembali menghargai apa yang ada di sekeliling.
Bagi generasi muda yang sentiasa memburu pengalaman baharu, Mutiara Taman Negara membuktikan masih ada memori yang tidak boleh dimuat turun, tidak boleh ditapis dan tidak mampu dicipta semula di media sosial.
Sebaliknya, ia perlu dirasai sendiri. Dan mungkin itulah sebab sebenar mengapa destinasi ini wajar berada dalam bucket list setiap pencinta alam.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Media sosial amat sinonim dengan generasi muda yang gemar memanifestasi diri kepada umum. Kini, media sosial bukan hanya dilihat sebagai satu platform untuk berhubungan dan meraih perhatian sahaja, bahkan ia merupakan satu medium untuk menjana pendapatan yang lumayan.
Berbicara soal media sosial, TikTok merupakan sebuah aplikasi yang sohor kini. Ramai individu termasuk golongan selebriti sehinggalah ahli politik yang memanfaatkan aplikasi yang berasal dari China ini. Untuk berbicara soal penggunaan TikTok, Remaja menemubual pereka fesyen, Rico Rinaldi yang aktif dengan penghasilan kandungan menarik serta lucu bagi menarik perhatian pengikutnya di platform tersebut.
Berkongsi cerita, pada permulaan penglibatannya menggunakan aplikasi tersebut, ada segelintir individu yang mempertikaikan kononnya dia akan hilang eksklusiviti sebagai seorang pereka fesyen yang dikenali ramai.
“Pada mulanya ada yang mempertikaikan, bukan memandang sinis tetapi rakan-rakan terdekat yang meluahkan rasa bahawa mereka tidak lagi melihat saya seperti yang dulu. Luah mereka, saya patut menjaga standard dan mengekalkan eksklusiviti. Namun kini mereka sudah melihat dari sudut berbeza, mereka sudah nampak hasilnya dan mereka sedar yang TikTok merupakan platform yang paling bagus.
“Sebab apa, sebagai contoh dalam industri perkahwinan, pelanggan yang datang adalah one-off customer yang mana mereka tidak akan datang kembali, melainkan mereka membeli koleksi ready-to-wear. Pelanggan-pelanggan eksklusif pula sudah tidak lagi menempah baju kerana sekarang sudah tiada majlis, jadi tiada keperluan. Oleh itu saya perlu mendekati lapisan generasi baru dan muda, jadi TikTok merupakan platform yang sangat bagus.
“Saya tidak kisah apa orang cakap. Kerana ini adalah strategi untuk dikenali, sebab orang selalu ingat pereka fesyen ini sombong, diva ataupun tidak mudah di dekati. Menerusi video-video yang kelakar dengan suntikan kandungan yang melucukan, para pengikut akan rasa kita mudah di dekati sekaligus mereka akan tertarik dan tidak takut untuk melihat apa yang ditawarkan dalam perniagaan,” kongsinya panjang lebar tentang isu ini.
KEPENTINGAN MEDIA SOSIAL
Menganggap media sosial tidak penting adalah satu pemikiran yang mundur sebenarnya. Dunia kini sudah berputar sekitar revolusi internet yang pantas menghubungkan manusia dengan kadar yang sangat cepat. Buktinya, Remaja kini yang dahulunya berpaksi kepada majalah percetakan sudah jauh melebarkan sayap ke laman sesawang dan media sosial seperti Instagram, Twittter dan TikTok.
Bagi Rico Rinaldi sendiri dia bersetuju dengan perkara ini kerana baginya dunia sudah berubah dan cara untuk berbisnes juga sudah berubah. Ujarnya, “Bagi saya, semua pemilik bisnes bukan hanya fesyen perlu memanfaatkan media sosial secara keseluruhan. Ini merupakan langkah pemasaran yang paling murah untuk kekal dalam industri fesyen. Penghasilan video-video yang menarik perhatian merupakan salah satu inisiatif untuk jenama saya dikenali. Kita tidak perlu malu kerana capaian sosial media sangat luas, daripada orang muda ke tua, yang bujang ke yang dah berkahwin semuanya ada di media sosial.”
***P/S- Korang jangan lupa follow TikTok Remaja. Follow this link and show some love!
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Seorang bapa mencuri perhatian warganet apabila meluahkan rasa bangga terhadap puteri sulungnya yang berjaya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, baru-baru ini.
Coretan panjang yang dimuat naik di Instagram itu bukan sahaja menyentuh emosi, malah menjadi inspirasi apabila berkongsi perjalanan hidup penuh cabaran yang dilalui keluarganya.
Dari Tepi Jalan, Penuh Air Mata & Pengorbanan
Menceritakan detik sukar yang pernah dilalui, bapa berkenaan mengimbau kehidupan mereka yang serba sederhana, hanya bergantung kepada usaha mencari rezeki di tepi jalan.
“Di bawah panas terik… di tepi jalan, orang nampak rojak… tapi tak nampak air mata.
“Keluarga kami bukan siapa-siapa, hanya Abah yang penat bekerja, Mama yang diam-diam berdoa,” katanya.
Perkongsian itu jelas menggambarkan realiti kehidupan mereka yang penuh pengorbanan, namun tetap tabah menghadapi segala ujian.
Luka Dihina Jadi Kekuatan
Menurutnya lagi, anak perempuannya yang mesra dipanggil Kaklong pernah berdepan dengan kata-kata sinis daripada orang sekeliling, namun menjadikan penghinaan itu sebagai pembakar semangat untuk berjaya.
“Pernah dihina… “anak penjual rojak je..” tapi Kaklong simpan luka itu jadi kekuatan.
“Malam belajar dengan air mata, siang lihat pengorbanan Abah Mama,” coretnya lagi.
Ketabahan dan kekuatan mental itulah yang akhirnya membentuk kejayaan yang diraih hari ini.
Air Mata Syukur, Bukan Lagi Duka
Mengulas tentang keputusan SPM yang diperoleh, si ayah tidak dapat menahan rasa sebak apabila segala usaha dan doa akhirnya dimakbulkan.
“Hari ini… Allah jawab segalanya. SPM 2025 cemerlang. Air mata yang jatuh… bukan lagi sedih, tapi syukur.
Tambahnya lagi, kejayaan tersebut bukan sekadar keputusan peperiksaan semata-mata, tetapi lambang kebangkitan sebuah keluarga yang pernah dipandang rendah.
“Dari keluarga yang dipandang rendah… hari ini kami berdiri dengan maruah”
“Syukur Alhamdulilah, tahniah Kaklong buat abah dan mama bangga untuk SPM 2025,” tambahnya lagi.
Warganet Tumpang Bangga & Ucap Tahniah
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet turut tersentuh dengan kisah penuh inspirasi itu. Ramai yang menzahirkan rasa bangga selain mengucapkan tahniah atas kejayaan cemerlang yang diraih oleh anak perempuan kesayangannya.
Tidak kurang juga yang menjadikan kisah tersebut sebagai sumber motivasi, khususnya buat pelajar lain agar tidak mudah berputus asa walau datang daripada latar belakang sederhana.
Semoga kejayaan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak pencapaian hebat pada masa akan datang. Tahniah!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Umum mengetahui bekas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq telah menubuhkan kan Parti MUDA ataupun nama panjangnya Malaysian United Democratic Alliance pada September 2020. Tujuan utama parti ini dilihat sebagai satu platform yang boleh disertai oleh rakyat pelbagai kaum dengan memberi fokus kepada golongan anak muda.
Menurut Syed Saddiq di dalam laporan Astro Awani pada 25 Ogos 2020, sudah tiba masanya Malaysia memiliki sesebuah gerakan yang terdiri dari anak muda, ia bagi memastikan suara belia tidak dipandang enteng di dalam parlimen mahupun di luar parlimen. Namun sehingga kini parti yang diasaskan oleh ahli parlimen Muar ini masih belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malysia.
Disebabkan hal ini, parti tersebut telah melantik bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dan bekas Presiden Badan Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan untuk mengendalikan isu ini sekiranya pendaftaran yang telah dilakukan masih belum selesai.
Dalam satu kenyataan pada Isnin oleh MUDA di laman Instagram parti tersebut, proses pendaftran parti MUDA sebagai sebuah parti politik yang sah telah mula dibuat pada 17 September 2020. Namun sehingga 21 Disember 2020, barisan Penaja MUDA masih belum menerima apa-apa perkembangan terkini berkenaan pendaftaran yang telah dilakukan.
Sebelum ini Perikatan Nasional hanya mengambil masa tiga hari sahaja di bawah kerajaan hari ini manakala pada era kerajaan lama ‘Barisan Nasional’ pendaftaran Parti Pribumi BERSATU Malaysia mengambil masa 30 hari.
Sementara itu di Instagram peribadi, Syed Saddiq berkata, “Di parlimen panggil kami “budak-budak”, tetapi selepas 3 bulan masih takut nak luluskan MUDA yang dikendalikan “Budak-budak”. Kalau betul kami “lemah”, “picisan”, “budak2”, Luluskan MUDA dan biar rakyat tentukan masa depan kami. In 7 days time if MUDA is not registered, we will be represented in court by Former AG Tan Sri Tommy Thomas & Former Bar council President Dato’ Ambiga. Uphold Malaysian Democracy & Federal Constitution by approving MUDA.
***P/S – Semoga segala urusan dipermudahkan dan parti MUDA benar-benar menjadi wadah perubahan dalam gelora ombak politik di Malaysia.
K.O.I mencipta kejutan gemilang apabila lagu Tiwikarma dinobatkan sebagai juara AJL 40, sekali gus membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM100,000.