Minum teh bersama hidangan utama seperti nasi berlauk ayam, daging atau sayur-sayuran berdaun hijau sering dianggap perkara biasa dalam kehidupan seharian. Bagi sesetengah orang, hidangan terasa tidak lengkap tanpa secawan teh panas atau ais di sisi. Namun tanpa disedari, tabiat ini sebenarnya boleh memberi kesan kepada penyerapan nutrien penting dalam badan, khususnya zat besi.
Menerusi perkongsian oleh Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, dijelaskan bahawa teh mengandungi sebatian semula jadi dikenali sebagai tanin yang berupaya mengganggu proses penyerapan zat besi jika diambil serentak dengan makanan. Fakta ini penting untuk difahami kerana zat besi memainkan peranan besar dalam kesihatan darah dan tenaga harian seseorang.
Poster perkongsian PHM di Facebook.
Tanin Dalam Teh Halang Penyerapan Zat Besi
Menurut PHM, tanin yang terdapat dalam teh akan mengikat zat besi daripada makanan seperti ayam, daging merah dan sayur-sayuran berdaun hijau. Apabila zat besi ini diikat, usus tidak dapat menyerapnya dengan baik.
“Apabila zat besi diikat oleh tanin, usus kita tidak dapat menyerap zat tersebut. Akhirnya, makanan yang dimakan keluar semula sebagai najis tanpa sempat memberi manfaat kepada darah,” jelas PHM.
Keadaan ini menyebabkan tubuh gagal memperoleh zat besi walaupun makanan yang diambil sebenarnya kaya dengan nutrien penting. Inilah sebab utama mengapa amalan minum teh selepas makan perlu diberi perhatian, terutamanya bagi individu yang sering mengalami keletihan.
Risiko Anemia Jika Diamalkan Berterusan
PHM turut menegaskan bahawa zat besi sangat penting untuk pembentukan sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh badan. Jika penyerapan zat besi terganggu secara berpanjangan akibat tabiat minum teh selepas makan, seseorang boleh mengalami pelbagai masalah kesihatan.
Antara simptom yang sering dikaitkan dengan kekurangan zat besi ialah mudah letih dan lesu walaupun tidak melakukan aktiviti berat, wajah kelihatan pucat, cepat mengah ketika bergerak, rambut mudah gugur serta kesukaran untuk fokus.
Ads
Situasi ini juga dikenal pasti sebagai antara punca utama anemia defisiensi zat besi, terutamanya dalam kalangan wanita, ibu hamil dan remaja perempuan yang sedang mengalami perubahan hormon dan pertumbuhan pesat.
Kenapa Wanita Lebih Berisiko?
Wanita kehilangan darah setiap bulan melalui kitaran haid, sekali gus meningkatkan keperluan zat besi harian. Jika tabiat minum teh selepas makan diamalkan secara konsisten, risiko kekurangan zat besi menjadi lebih tinggi tanpa disedari.
Bagi remaja pula, keperluan nutrien yang mencukupi amat penting untuk menyokong pertumbuhan fizikal, tahap tenaga dan keupayaan fokus ketika belajar. Kekurangan zat besi boleh memberi kesan jangka panjang terhadap prestasi harian mereka.
Ads
Teh Ada Khasiat, Tapi Kena Pandai Pilih Masa
Walaupun begitu, PHM menjelaskan bahawa teh tidak perlu dielakkan sepenuhnya. Minuman ini sebenarnya kaya dengan antioksidan yang membantu melawan radikal bebas dan menyokong kesihatan jantung.
Apa yang penting ialah waktu pengambilannya. Orang ramai disarankan mengamalkan peraturan satu hingga dua jam, iaitu menjarakkan pengambilan teh selepas menikmati hidangan berat yang kaya dengan zat besi.
Ads
“Teh ada khasiat antioksidan yang bagus, cuma kena pandai pilih masa. Kalau makan lauk berat yang kaya zat besi, minumlah air kosong atau jus buah terlebih dahulu. Tunggu sejam atau dua jam selepas makan, barulah minum teh kesukaan anda,” kata PHM.
Alternatif Minuman Yang Lebih Selamat
Jika anda sukar meninggalkan tabiat minum bersama hidangan, air kosong adalah pilihan terbaik. Jus buah yang kaya dengan vitamin C juga boleh membantu meningkatkan penyerapan zat besi daripada makanan.
Vitamin C bertindak meningkatkan kebolehan tubuh menyerap zat besi, sekali gus mengimbangi nutrien yang diperlukan oleh badan.
Kesimpulan
Minum teh bukanlah satu kesalahan, namun tabiat minum teh selepas makan bersama hidangan berat boleh menjejaskan penyerapan zat besi dalam badan. Dengan hanya menjarakkan satu hingga dua jam selepas makan, anda masih boleh menikmati teh kegemaran tanpa menjejaskan kesihatan.
Amalan kecil seperti ini sangat penting untuk memastikan tubuh mendapat nutrien secukupnya, terutamanya bagi wanita dan remaja yang sedang membesar serta memerlukan tenaga dan fokus optimum setiap hari.
Penyanyi yang pernah mencipta nama menerusi Akademi Fantasia, Nubhan, kembali menjadi tumpuan bukan kerana lagu terbaru, tetapi kerana kejayaan luar biasanya dalam bidang pertanian dan keusahawanan makanan tradisional.
Menerusi satu perkongsian video di TikTok, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 40, mendedahkan bahawa beliau kini memiliki ladang seluas empat ekar khas untuk penghasilan produk jenamanya, Sambal Tempoyak Daun Kayu, yang diusahakan bersama ibunya, Mak Jenny.
Hadiah Istimewa Buat Ibu Tersayang
Dalam video tersebut, Nubhan berkongsi momen menyentuh hati apabila beliau membawa ibunya meninjau ladang tersebut yang akhirnya siap dibangunkan setelah hampir dua tahun usaha berterusan.
“Akhirnya Mak Jenny ada ladang sendiri untuk buat Sambal Tempoyak Daun Kayu,” ujar Nubhan sambil memaparkan wajah ibunya yang tersenyum bangga.
Menurutnya, pembukaan ladang tersebut bukanlah suatu proses yang mudah. Pelbagai cabaran termasuk isu tanaman mati dan serangan virus perlu diatasi sebelum mereka benar-benar bersedia menghasilkan sambal secara besar-besaran.
“Saya buat ladang ini sebab kita susah nak dapat daun-daun ini. Jadi kita tanam sendiri. Nak tanam pokok pun kena belajar, pokok mati, pokok kena virus. Tapi sekarang Alhamdulillah, semua cukup untuk pengeluaran produk,” jelasnya lagi.
Akhirnya Mak Jenny dah ada Ladang Sendiri!! Demi utk menghasilkan Sambal Tempoyak Daun Kayu!! 🥰 Jgn lupa masuk live sabtu ni 19hb july jam 8pm ok!! Limited stock tau🙈🙈🙈
Tidak mengambil masa lama, hantaran tersebut mendapat reaksi positif daripada warganet yang rata-rata bangga dan terharu melihat kejayaan anak Melayu yang berjaya mengusahakan sesuatu yang unik dan beridentitikan warisan tempatan.
Ada juga yang menyamakan usaha Nubhan dengan tokoh usahawan muda terkenal, Khairul Aming, yang berjaya membina empayar sambal sendiri.
Inspirasi Untuk Anak Muda
Kejayaan Nubhan ini menjadi satu lagi contoh bahawa anak muda tidak harus takut untuk mencuba bidang baharu, apatah lagi yang berkait rapat dengan warisan makanan dan hasil bumi tempatan.
Dalam era moden yang semakin menghargai kelestarian dan produk organik, pendekatan Nubhan untuk menanam sendiri bahan mentah bagi menghasilkan produk makanan adalah satu langkah bijak dan strategik.
Lebih menarik, beliau bukan sahaja menjaga warisan masakan tradisi seperti Sambal Tempoyak Daun Kayu, malah turut memberi nilai sentimental apabila melibatkan ibu tersayang dalam perjalanan ini.
Anak muda, jangan malu turun ke bendang. Dari tanah, boleh tumbuh impian.
Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang, Pahang baru-baru ini mencipta nama apabila diumumkan sebagai pemenang bagi Kategori Kreatif Junior (Technic) di International Robot Olympiad ke-26 di Busan, Korea Selatan.
Pertandingan peringkat antarabangsa yang berlangsung selama dua hari bermula 18 Januari itu, memberikan peluang kepada para peserta untuk bekerjasama menyelesaikan masalah dunia sebenar menerusi robotik.
Ia sekaligus membentuk generasi pemimpin masa depan yang peka akan perkembangan industri dan teknologi.
Dalam pada itu, pelajar SK Permatang Keledang, Matthew Jambai (12) berkongsi keterujaan menerusi pertandingan itu yang mengangkat nama sekolahnya sekaligus negara Malaysia.
“Melalui bengkel dan program ini, saya telah belajar membina dan mengawal robot, dan pengalaman ini sangat menyeronokkan. Saya juga bangga kerana dapat bertanding di pertandingan ini dan saya ingin menjadi seorang guru pada masa depan untuk memberi inspirasi kepada orang lain dalam bidang robotik,” katanya.
Sementara itu, guru pengiring, Mohd Zulkhairi berkata, kejohanan seperti ini membantu dalam memberikan inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk meminati pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Terima kasih kepada Petrosains kerana menganjurkan program Petrosains Tech4All untuk pelajar Orang Asli. Saya dapat menyaksikan peningkatan yang luar biasa dari segi keyakinan dan kemahiran pelajar dalam pembelajaran robotik,” katanya.
Pada masa yang sama, International Robot Olympiad ke-26 menyaksikan dua lagi penyertaan pasukan dari Malaysia yang diwakili pelajar SK Kampong Layau, Johor dan SK Sri Permai, Kelantan.
Seramai sembilan pelajar Orang Asli bersaing dalam Kategori Kreatif Junior yang mana mereka ditugaskan mencipta dan membentangkan penyelesaian robotik bagi menangani cabaran dunia sebenar.
Selain itu, menurut pelajar SK Kampong Layau, Muhammad Fahrin Ammar (11) berkata, pengalaman itu telah mengubah hidupnya.
“Pada mulanya, saya tidak berminat dengan robotik tetapi mula menyukainya selepas menyertai bengkel Petrosains Tech4All dan pertandingan ini. Saya belajar berkomunikasi dengan lebih baik, mengenali kawan baharu dan keyakinan diri pun meningkat. Gembira sangat kerana dapat mewakili Malaysia dan membanggakan keluarga,” katanya yang juga merupakan anak nelayan.
Seorang lagi peserta dari SK Sri Permai, Suzie Kidiee (11) berkongsi bahawa perjalanan robotiknya bermula menerusi galakan guru untuk menyertai program Petrosains Tech4All.
“Sebelum ini, saya merasakan pengaturcaraan mencabar tetapi kini dapat menguasainya selepas menyertai bengkel Petrosains Tech4All dan Petrosains RBTX Challenge 2024, yang membantu membuka potensi untuk berinovasi dan mencipta”
“Saya ingin menjadi seorang guru untuk memberi inspirasi kepada orang lain untuk berinovasi dan mencapai impian mereka,” kata Suzie yang pertama kali menjejakkan kaki ke negara terkenal dengan K-pop itu.
Sumber: Sinar Bestari
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, penuntut pengajian Doktor Falsafah (PhD) Perlindungan Tanaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, Melaka, Afifah Mohamad (25) mencipta sejarah apabila telah menjejakkan di Universiti Oxford, London dan muncul sebagai satu-satunya peserta mewakili Malaysia ke Persidangan Patologi Tumbuhan 2024 yang berlangsung pada September lalu.
Anak jati Pahang yang berasal dari Kampung Bangau Parit, Temerloh ini teruja kerana ini merupakan kali pertama buat dirinya menjejakkan kaki ke salah satu universiti berprestij dunia, lebih lagi diberikan peluang untuk membentangkan kertas kajian mengenai tanaman nanas MD2 dalam persidangan itu.
“Sungguh tak percaya akhirnya anak kampung macam saya berpeluang ke sana bentangkan hasil kajian, memang selama ini berangan-angan macam orang lain tapi akhirnya kini menjadi kenyataan”
“Saya rasa bersyukur dan boleh dikatakan bangga kerana mampu sampai ke peringkat antarabangsa. Pengalaman dan juga ilmu yang saya peroleh inshaAllah akan mendatangkan manfaat kepada masyarakat kembali,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.
Dalam pada itu, Afifah juga difahamkan melakukan pembentangan kajian dalam tempoh 45 minit bersama penyelianya, Profesor Madya Ts Dr Zaiton Sapak.
Beliau juga turut berterima kasih kepada pada pihak biasiswa MyBrainSc, Kementerian Pengajian Tinggi atas penajaan hadir ke persidangan tersebut dan Zaiton yang mendorongnya berpeluang ke universiti tersebut.
Selain itu, Afifah berkata pencapaian itu dikongsi bersama keluarga terutama ayahnya, Mohamad Othman (62) yang banyak memberikan sokongan untuk terus menggapai kecemerlangan dalam bidang akademik selepas ibunya, Ailos Saimi meninggal dunia dunia pada tahun 2020.
Dalam perkembangan yang sama, pemegang Sarjana Muda Sains Teknologi dan Pengurusan Ladang itu menjelaskan tanaman nanas MD2 menjadi pilihan kajiannya kerana potensi dan masa depan tanaman tersebut di negara ini.
Ujarnya lagi, dia memang meminati bidang pertanian dan perladangan sejak bangku sekolah lagi sambil berharap dapat menjadi tenaga pengajar dalam bidang tersebut.
Sumber: Sinar Bestari
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!