
Susulan kejadian seorang atlet mengalami insiden membuang air besar ketika menyertai acara perlumbaan kecergasan terkenal, HYROX di Beijing baru-baru ini, pihak penganjur tampil mengambil tindakan segera dengan melakukan perubahan terhadap peraturan serta prosedur pengendalian acara.
Menerusi sebuah perkongsian di Instagram milik pengasas HYROX, Moritz Fuerste tampil menyampaikan permohonan maaf kepada semua pihak yang terkesan secara langsung mahupun tidak langsung susulan insiden berkenaan. Beliau turut mengakui terdapat kelemahan dari segi tindakan pihak penganjur ketika perlumbaan sedang berlangsung.
“HYROX telah melakukan kesilapan kerana tidak bertindak serta-merta ketika perlumbaan berlangsung. Saya memohon maaf kepada semua yang terkesan secara langsung atau tidak langsung, termasuk mereka yang merasakan kami tidak mengendalikan situasi ini dengan sewajarnya,” katanya.


Menurut bekas atlet Olimpik itu, pihaknya tidak mengambil ringan perkara yang berlaku dan sudah mula menilai semula prosedur operasi bagi memastikan kebajikan serta keselamatan peserta lebih terjamin pada acara akan datang.
“Kami telah mula menambah baik operasi acara dan membuat perubahan segera terhadap buku peraturan, dengan peraturan serta prosedur baharu kini sudah ditetapkan bagi mengelakkan situasi seperti ini berulang,” jelasnya lagi.
Difahamkan, insiden tersebut berlaku ketika atlet Australia, Joanna Wietrzyk, yang juga pemegang rekod dunia wanita HYROX, bertanding dalam kategori wanita individu di Beijing pada Sabtu lalu. Atlet berusia 24 tahun itu dilaporkan mengalami masalah cirit-birit dan inkontinens ketika perlumbaan, namun tetap meneruskan saingan sehingga berjaya menamatkan acara di tempat pertama dengan catatan masa satu jam, satu minit dan 23 saat.
Perkara itu kemudian menjadi perhatian selepas rakaman kejadian tersebar di media sosial, selain mencetuskan perdebatan dalam kalangan komuniti kecergasan mengenai aspek ‘sportsmanship’, kebersihan laluan perlumbaan dan penguatkuasaan peraturan terhadap peserta.

Antara persoalan yang timbul adalah sama ada perlumbaan sepatutnya dihentikan sementara bagi membolehkan kawasan terjejas dibersihkan, khususnya apabila peserta lain masih menggunakan laluan dan peralatan yang sama. Perbandingan turut dibuat dengan situasi peserta yang sebelum ini dikenakan penalti kerana melakukan kesalahan kecil seperti menumpahkan air di luar kawasan yang ditetapkan.
Sementara itu, sehingga kini, Joanna tidak memberikan sebarang kenyataan panjang mengenai insiden berkenaan selain satu Instagram Story yang kemudiannya dipadam, dengan atlet tersebut dilaporkan mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diterimanya.
Untuk info, HYROX merupakan acara perlumbaan yang menggabungkan elemen larian dan ‘functional fitness’ kini berkembang menjadi acara kecergasan bertaraf global sejak ia diperkenalkan pada 2017.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!








