Terbaru, Malaysia menutup tirai acara memanah compound berpasukan lelaki Sukan SEA 2025 dengan penuh bergaya apabila trio negara bangkit menewaskan tuan rumah Thailand untuk meraih pingat emas, semalam.
Dalam suasana pertandingan yang mencabar akibat angin kencang, gandingan Mohd Juwaidi Mazuki, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli dan Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki tetap mengekalkan fokus tinggi di Lapang Sasar Memanah, Sports Authority of Thailand, Bangkok.
Selain itu, ketahanan mental serta disiplin teknikal yang ditampilkan membolehkan skuad negara mencatat kemenangan 232-228, sekaligus mematahkan cabaran sengit pasukan tuan rumah di pentas final.
Ads
Menurut salah seorang atlet negara, Muhammad Aiman Syafiq, mengakui kejayaan tersebut cukup istimewa buat dirinya yang membuat penampilan sulung di temasya berprestij itu dan menyifatkan pencapaian tersebut sebagai detik cukup bermakna dalam kerjayanya.
Lebih lagi apabila penampilan sulungnya di Sukan SEA berjaya berakhir dengan kejayaan meraih pingat emas hasil sokongan serta pengalaman rakan sepasukan yang lebih senior.
Ads
Pada masa yang sama, Thailand yang mempertaruhkan Sippakorn Kohkaew, Peerapat Pattanapongkiat dan Ratandanai Wongtana memberi saingan hebat, namun ketepatan panahan atlet Malaysia pada saat kritikal menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.
Ads
Sementara itu, kejayaan meraih emas ini turut membawa makna tersendiri apabila ia menebus kekecewaan edisi lalu, selepas skuad negara sekadar membawa pulang pingat perak pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.
Dalam perkembangan lain, Vietnam muncul pemenang pingat gangsa bagi acara sama selepas menewaskan Indonesia dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pasukan beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani (27) -Goh Sze Fei (27) baru-baru ini terlepas gelaran juara Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di China yang diadakan malam semalam.
Pasangan nombor tujuh dunia itu terpaksa akur tewas kepada Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada aksi final di Hangzhou, China.
Namun, duo Nur Izzuddin-Sze Fei wajar diberikan pujian kerana mereka yang memaksa pasangan Denmark itu bekerja keras sehingga ke permainan penentuan.
Dalam pada itu, pada aksi di Gimnasium Olimpik Hangzhou itu, Astrup-Rasmussen bermula positif apabila menang set pertama 21-17. Tersentak keputusan itu, Nur Izzuddin-Sze Fei bangkit pada permainan kedua menerusi kemenangan 21-17 untuk membawa perlawanan ke aksi penentuan.
Walau bagaimanapun, momentum tersebut gagal diteruskan apabila mereka terpaksa akur tewas kepada pasangan nombor tiga dunia itu 21-11 dalam masa 64 minit permainan. Keputusan berkenaan melebarkan lagi jurang kemenangan Astrup-Rasmussen kepada 8-2 ke atas Nur Izzuddin-Sze Fei.
Menerusi kemenangan itu, mereka meraih wang tunai AS$210,000 (RM934,553), manakala pasangan negara membawa pulang AS$100,000 (RM445,025).
Sebagai rekod, Izzuddin-Sze Fei pernah mencipta sejarah muncul beregu lelaki pertama negara mara ke final sejak WTF diperkenalkan pada 2018 bagi menggantikan Siri Super Final.
Walaupun terlepas gelaran juara, Nur Izzuddin-Sze Fei dijangka mengambil alih status beregu nombor satu negara dari Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang memegang gelaran itu sejak lima tahun lalu.
Nur Izzuddin-Sze Fei yang berstatus ketujuh dunia dijangka melonjak empat anak tangga ke ke tempat ketiga – tertinggi sepanjang karier mereka. Kedudukan tersebut menjelang kemas kini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa ini.
Lonjakan tersebut dibantu hasil kejayaan mereka melangkah ke pentas final WTF itu dan sebagai rekod Aaron-Wooi Yik ketika ini berstatus kelima dunia. Nur Izzuddin-Sze Fei sebelum ini meraih tiga gelaran Jelajah Dunia iaitu menerusi Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik.
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Taylor’s University melancarkan dua program pertama di Malaysia, iaitu Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Ruang Interaktif (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Pengurusan Pembinaan Digital Mampan, bagi melahirkan graduan future-ready bagi memenuhi permintaan kemahiran digital, pada masa hadapan.
Ditawarkan di bawah Fakulti Inovasi dan Teknologi, program ini diperkenal bagi memupuk pelajar dengan kemahiran insaniah (soft skills) seperti pemikiran kritis, komunikasi berkesan, kreativiti serta kebolehsuaian untuk meningkatkan kejayaan dalam persekitaran kerja, selain daripada pengetahuan luas yang diperoleh.
Dekan Eksekutif Fakulti Inovasi & Teknologi Universiti Taylor, Profesor Dr David Asirvatham, berkata program inovatif itu dilengkapi dengan pusat pembelajaran realiti lanjutan (XR) bertaraf dunia, Teknologi Masa Depan Dalam Talian Maya Taylor & Realiti Lanjutan (VORTEX XR Lab).
“Kemudahan XR yang mengintegrasikan realiti tambahan (AR), realiti maya (VR), dan realiti campuran (MR) dengan pelaburan lebih RM1.2 juta mempunyai akses kepada peralatan realiti lanjutan kehidupan sebenar terkini dan kemahiran khusus, berguna untuk penciptaan kandungan pengajaran dan pembelajaran serta untuk idea, mereka bentuk dan membuat prototaip pengalaman mengasyikkan.
“Selaras dengan usaha XR universiti yang berterusan, perjalanannya untuk mengubah kurikulum dan pedagoginya dengan membenamkan kemahiran dan modul teknologi ke dalam darjah, dan pertumbuhan keseluruhan imersif teknologi,” ujarnya.
Sekadar informasi, makmal VORTEX XR menyokong semua fakulti daripada hospitaliti dan seni bina kepada reka bentuk, undang-undang, komunikasi, perubatan, seni masakan dan lain-lain.
Sarjana Muda Reka Bentuk Spatial Interaktif (Kepujian)
Sarjana Muda Reka Bentuk Spatial Interaktif diperkenal untuk memenuhi permintaan semasa dengan kemajuan teknologi. Pelajar akan mempelajari asas teori reka bentuk spatial bersama teknologi serta kandungan automasi untuk persekitaran dalaman dan luaran.
Program ini menawarkan dua pengkhususan iaitu Reka Bentuk Rumah Pintar dan Reka Bentuk Persekitaran Pintar. Pelajar mempunyai tiga pilihan pembelajaran untuk dipilih – latihan amali konvensional, pengalaman pembelajaran berasaskan kerja dengan rakan industri seperti FrameMotion Studio Sdn Bhd, Virtual X Malaysia, Kementerian XR, HONOR dan IMT Smart Home.
Selain mod teknousahawan yang memberi peluang kepada pelajar untuk memulakan perniagaan dengan bimbingan oleh inkubator permulaan usahawan Universiti Taylor, BizPod.
Pengkhususan Reka Bentuk Rumah Pintar menghasilkan pereka bentuk untuk mencipta ruang kediaman pintar yang diperibadikan yang boleh beroperasi secara automatik, memenuhi keperluan dan gaya hidup individu.
Manakala pengkhususan Reka Bentuk Persekitaran Pintar mereka bentuk pengalaman untuk mengubah cara kita berinteraksi dengan produk dan menggunakan maklumat menggunakan teknologi spatial.
Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Pengurusan Pembinaan Digital Lestari
Bagi pengajian ini pula bertujuan untuk menyediakan graduan dalam menangani cabaran dalam kemampanan dan transformasi digital dalam industri pembinaan. Program ini diketuai bersama oleh pemimpin industri dan rakan kongsi seperti Eco World Development Group Berhad dan Green Quarter Sdn Bhd.
Pelajar akan mempunyai dua pilihan pembelajaran untuk dipilih – latihan amali konvensional atau pengalaman pembelajaran berasaskan kerja selama setahun dengan rakan kongsi industri untuk menyediakan graduan bagi industri Seni Bina, Kejuruteraan dan Pembinaan tempatan serta global.
Program ini menawarkan dua pengkhususan, Pembinaan Hijau dan Pembinaan Pintar. Pengkhususan untuk program baharu ini juga adalah sejajar dengan Pelan Strategik Pembinaan 4.0.
Bersama dengan membantu pelajar menerima Revolusi Perindustrian Keempat, program ini juga menggabungkan teknologi digital seperti pengimbasan laser, dron, kecerdasan buatan, AR serta percetakan 3D.
Untuk makluman pembaca REMAJA, program baharu Taylor’s University akan dibuka untuk pengambilan pelajar pertamanya pada Mac 2023, dan mempunyai dua pengambilan setiap tahun pada bulan Mac dan Ogos.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Apakah yang dimaksudkan dengan “Jamak”? Dalam bidang linguistik “jamak” bererti “banyak”, contohnya perkataan “kuih-muih”. Perkataan ini merujuk kepada “banyak jenis kuih” kerana adanya penggandaan berentak dalam “kuih-muih”. Dalam sesuatu ayat, jenis kata yang membawa maksud jamak, tidak boleh diulang penggunaannya. Mari kita lihat beberapa ayat contoh di bawah:
Ribuan penonton membanjiri majlis itu.
Penonton membanjiri majlis itu.
Ribuan penonton mengunjungi majlis itu.
Merujuk kepada tiga ayat di atas, hanya ayat (b) dan (c) yang tepat. Jika kita perhatikan ayat contoh (a), kata ‘ribuan’ menunjukkan bilangan lebih daripada satu. Pada masa yang sama, kata ‘membanjiri’ dalam ayat (a) merujuk makna ‘datang banyak-banyak’. Maka, penggunaan kedua-dua kata tersebut dalam ayat (a) dianggap lewah atau berlebihan. Mari kita teliti ayat dibawah:
Baju-baju yang dijual itu mahal-mahal belaka.
Baju yang dijual itu mahal belaka.
Contoh ayat (a) tidak gramatis, manakala ayat (b) ialah ayat yang tepat. Kata nama ganda “baju-baju” dan kata adjektif ganda ‘mahal-mahal’, seperti dalam ayat (a), tidak boleh ditulis dalam ayat yang sama kerana dianggap lewah.
Pada masa yang sama, kekeliruan juga timbul semasa penggandaan kata “guru besar”. Antara berikut, manakah penggandaan yang tepat?
Guru-guru besar.
Guru besar-guru besar.
Guru besar-besar.
Jika diteliti tiga contoh perkataan di atas, hanya (a) dan (c) yang tepat. ‘Guru-guru besar’ membawa makna bilangan guru besar (jawatan) yang ramai. Manakala, ‘guru besar-besar’ pula merujuk jumlah guru yang lebih daripada satu dan berbadan besar. Bagi perkataan (a), penggandaan hanya berlaku pada unsur pertama sahaja untuk membawa makna guru besar yang ramai. Manakala, perkataan (c) merujuk kepada guru yang mempunyai badan yang besar.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh NOR FAZILAH BINTI NOOR DIN.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!