Semua orang tahu, tiada pelajar yang lebih mewah di sekolah elit perempuan di Negeri Sembilan itu melainkan Wan Nur Athira.
Sejak memasuki Tingkatan Empat pada awal tahun ini, Athira berjaya menarik perhatian semua orang termasuklah cikgu. Bukan disebabkan oleh kecantikan wajah tetapi disebabkan barangan mewah yang Athira terima daripada keluarga.
Jika pelajar lain setakat memakai telefon bimbit Nokia 3310, Athira mampu tersenyum dengan flip phone Samsung-nya yang mempunyai skrin berwarna. Pelajar kedua paling kaya, Intan yang juga duduk di dorm bersebelahan pun sekadar memakai Sony Ericsson K700i. Tak sampai standard Athira.
Namun, segala limpahan harta itu tak pernah menjadikan dia megah di hadapan rakan lain. Mungkin disebabkan keperibadian yang tak suka menunjuk, Athira mudah dirapati oleh rakan sebaya dan juniornya.
Bulan April bertukar ke Mei. Athira, Intan dan pelajar lain sedang bersiap sedia untuk menghadapi musim peperiksaan pertengahan tahun. Untungnya, mereka mempunyai masa seminggu untuk mengulang kaji pelajaran dan Athira mengambil kesempatan itu untuk pulang ke rumahnya yang tak jauh dari situ. Lebih senang nak masuk otak kalau belajar di hadapan TV, getusnya.
Perjalanan pulang 30 minit dari sekolah itu ditemani ayahnya, Datuk Zaman yang baru pulang dari Kuala Lumpur. Athira dan ayahnya memang rapat. Pelik juga apabila beliau lebih selesa ‘mengadu’ masalah peribadi dan masalah pejabat kepada anak perempuan tunggalnya itu berbanding kepada isteri sendiri atau anak lelaki. Mungkin kerana Athira sentiasa sudi menghulurkan telinga untuk mendengar.
“Ayah rasa macam ada orang tak puas hati dengan ayah dekat kawasan rumah kita ni lah. Tak puas hati dengan keluarga kita.”
“Eh, kenapa pula ayah cakap macam tu. Tira tengok semua baik je dengan kita, tak ada pun nak gaduh-gaduh.”
“Iya, mungkin dari luar diorang nampak macam tu tapi dalam hati siapa tahu. Lagipun sejak tukar kereta ni, ayah perasan juga ramai yang menjeling semacam bila ayah pergi surau, bila ayah teman ibu pergi pasar.”
Hhm, Athira tak berani nak cakap lebih kerana kehidupannya sendiri sentiasa di sekolah asrama saja. Tak perasan pula jika ada yang tak berpuas hati dengan keluarganya. Dua malam berturut-turut, dia melihat Datuk Zaman lebih banyak mendiamkan diri dan termenung di luar rumah.
Sehari sebelum pulang semula ke asrama, Datuk Samad kelihatan lebih ceria daripada sebelum ini. “Kenapa tiba-tiba tukar mood pulak tu?” dia bertanya kepada ibu.
“Entahlah, hari tu bukan main gelisah semacam.”
* * * * *
Setahun berlalu dan kini Athira sedang bersiap-sedia untuk menghadapi SPM, 4 bulan dari sekarang. Room mates-nya sudah lali dengan perangai pelajar itu yang suka sangat pulang ke rumah setiap 2 minggu sekali. Kadangkala, setiap minggu pun ada. Untunglah ayah kaya, berpangkat Datuk, sanggup redah highwayuntuk menjemput anak kesayangan.
Ads
Walaupun tidak lagi runsing atau gelisah seperti tahun lalu, Athira selalu perasan Datuk Zaman akan menghilangkan diri seketika setiap kali dia pulang dari asrama. Ditanya kepada ibu dan abang, mereka sendiri pun tak tahu. Pernah juga ibu menegur mengapa pada setiap hujung minggu, suaminya itu tak tahu nak duduk diam di rumah.
Datuk Zaman terus melenting dan mengangkat tangan. Nasib baiklah abang ada di situ untuk menghentikan perbuatan tak masuk akal ayahnya itu. “Aku buat semua ni pun sebab korang semua! Aku penat-penat, kau nak banyak soal pulak!” bentak ayahnya. Sejak peristiwa itu, ibu tak berani lagi untuk menegur ayah.
Petang hari itu juga, Athira tak berpuas hati dan ingin tahu ke mana Datuk Zaman pergi setiap hujung minggu. Dia meminta abang untuk mengekor BMW X5 ayahnya itu dari jarak jauh. Semakin lama mereka di atas jalan, semakin pelik jalan yang dipilih oleh Datuk Zaman.
Kedua-dua buah kereta tiba di sebuah rumah kampung yang terletak di pinggiran kejiranan. Jaraknya tak jauh sangat dari rumah mereka, tetapi disebabkan jalan yang berlopak dan bengkang-bengkok itu, mereka mengambil masa 25 minit untuk sampai.
Datuk Zaman kelihatan seperti serba tahu mengenai rumah itu. Pintu masuk di bahagian dapur pun mudah diteka dan dibuka beliau. Athira bertindak berani untuk mendekati rumah tersebut walaupun ditegah oleh abang. Dari tepi tingkap, dia dapat mendengar perbualan di antara Datuk Samad dan seorang lelaki tua.
“Aku dah pesan dekat engkau, jaga betul-betul.”
“Saya tahu, tapi…”
“Tak ada tapi-tapi kalau engkau dan mula pelihara dia ni. Kau dah gunakan dia untuk lindungi keluarga kau, duit dapat, jawatan tinggi pun kau dah dapat. Mestilah dia nak kau jaga betul-betul. Jangan malas!”
“Saya tahu Tok. Tapi kan saya dah puja. Saya dah dapat pun apa yang saya nak. Takkanlah kena jaga lagi?”
“Wajib! Kalau kau tak boleh carikan pengganti tuannya, kau kena jaga.”
Ads
Semua itu jelas didengari oleh Athira sebelum dia berlari dari situ.
* * * * *
Berbulan-bulan lamanya, dia tidak dapat melupakan apa yang didengarinya itu. Athira cuba memberitahunya kepada abang dan ibu, tetapi mereka tidak percaya sepatah pun yang dikatakanya.
Ibu menganggap Datuk Zaman pergi melawat kawan, abang pula 100 peratus pasti ayahnya ke sana untuk mendapatkan rawatan batin.
Hanya dua minggu tinggal sebelum Athira akan mengambil SPM. Rakannya yang lain termasuk Intan mengajak dia untuk sama-sama melakukan revision di study room. Namun, Athira merasakan seperti ada yang tak kena. Dia perlu balik semula ke rumah walaupun masih banyak chapter yang belum melekat di kepala lagi.
Datuk Zaman cuba dihubungi untuk menjemputnya seperti biasa tetapi panggilan telefon itu tak berjawab. Athira tak puas hati, dia segera ke stesen bas untuk pulang ke rumah walaupun hari sudah hampir senja. Nasibnya baik kerana bas tiba selang 15 minit selepas dia berdiri di situ.
Masa sejam di dalam bas langsung tidak menenangkan fikiran Athira. Apa yang Athira nak hanyalah untuk tiba secepat mungkin. Lariannya ke pintu rumah disambut oleh ibu. “Ibu okay? Abang?”
Ads
“Laa, kenapa Tira tak bagi tahu nak balik..”
“OKAY TAK?” Ibunya terkejut dan terus menjawab mereka okay dan ada je di rumah sepanjang hari. Cuma Datuk Samad yang keluar, ke pejabat mungkin.
Athira menarik nafas lega dan terus ke bilik tidur untuk mandi. Malam itu selepas makan bersama, dia hanya ingin berbaring di atas katil kerana kepala terasa berat selepas memikirkan kemungkinan Datuk Zaman akan mengancam keselamatan ibu dan abang.
Tak lama kemudian, Athira terjaga dari tidur selepas mendengar jeritan seperti suara ibu. Dia terus meluru ke bawah dan mengucap panjang apabila melihat kelibat makhluk kurus kering sedang menindih ibunya. Tak bermaya Datin itu dibuatnya sehingga hampir mati akibat kehilangan darah.
Darah menitik dari bahagian leher ibu akibat digigit mahkluk berangka kurus. Kulit yang ada sekadar melekap saja pada bahagian tulang umpama tidak mempunyai daging. Entah bagaimana Athira boleh bertindak berani untuk memanggil makhluk itu. “Jerangkung! Kau jangan kacau ibu, kalau nak datang sini!”
“Aku nak bebas…”
Athira tak menunggu lama untuk membacakan ayat Kursi yang selalu diamalkan olehnya dan room mates di asrama kerana enggan berdepan dengan gangguan makhluk halus. Dia menutup saja matanya sambil mengulangi ayat itu kerana tak sanggup melihat kelibat Jerangkung yang sedang menuju ke arahnya. Tak lama selepas itu, Athira hanya mendengar dengusan ibunya yang sedang cuba bernafas dalam keadaan lemah. Athira terus mencapai kepala ibu dan menjerit nama abangnya.
* * * * *
Datuk Azman berdiri di tepi sungai ditemani oleh Iman, pengamal perubatan Islam yang telah mendengar kes Athira sekeluarga. Entah apa ritual yang sedang dilakukan mereka, Athira tidak ingin tahu. Dia hanya berdiri dari jauh bersama abangnya untuk melihat mereka menyingkirkan belaan Jerangkung milik Datuk Azman menggunakan kaedah acak.
Athira tidak lagi mahu ibu atau mereka adik-beradik terpaksa menanggung akibat buruk amalan ayahnya itu. Niat untuk melindungi keluarga tak pernah menghalalkan cara.
Jangan lupa untuk menonton drama Suri Ram Episod 5, JERANGKUNG pada jam 11 malam ini di Astro Prima dan Maya HD.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
“Masya Allah, saya rasa diri ini terlalu kerdil. Tiada kata mampu saya luahkan melainkan rasa bersyukur”.
Inilah ungkapan Nur Natasha Azeze binti Shariman Azeze, 18 tahun saat berkongsi perasaan apabila namanya diumumkan sebagai Johan Qariah pertandingan Majlis Menghafaz dan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sembilan di Pusat Dakwah Ismaliah, Paroi Seremban semalam.
Dalam usia cukup muda, percubaan kali pertama dari kategori remaja mencuba ke dewasa, ternyata rezeki kemenangan telah tertulis buatnya semalam sekaligus membawa pulang piala pusingan, sijil dan wang tunai yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Sementara itu, Johan Qari dimenangi oleh Ahmad Basyir Abu Bakar, 37.
Natasha memperdengarkan bacaan semalam dan dinobatkan sebagai johan qariah
Menerima hadiah kemenangan dari Yang DiPertuan Besar Negeri, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir
Dalam pada itu, Natasha berkata, hari ini dia sepatutnya bertolak ke Putrajaya bagi Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2018 yang berlangsung mulai 1- 6 April 2018 namun menangguhkannya seketika bagi membolehkannya menerima anugerah kecemerlangan sekolah yang diadakan esok.
Baru memperoleh keputusan SPM 2017 dengan memperoleh keputusan 7A, pelajar aliran sastera dari SMK Seri Pagi, Senawang ini berkongsi sedikit tips untuk terus dekat dengan al-Quran yang diturunkan semenjak 1400 tahun dahulu.
“Saya teringat pesan Ustaz, kita hendaklah sentiasa dekatkan diri dengan al-Quran. Insya Allah, jika kita sentiasa yakin, rezeki itu tidak akan putus. Jiwa kita akan sentiasa tenang. Tak ada masalah tak boleh diselesaikan jika dekatkan diri dengan al-Quran. Alhamdulillah, inilah yang saya amalkan sejak memasuki sekolah menengah.
“Malah keputusan baik dalam SPM itu juga ada rezeki berkaitan dengan mendekatkan diri dengan al-Quran,” katanya memaklumkan, tiga kali seminggu iaitu Isnin, Rabu dan Khamis dirinya akan mengulang dan melancarkan taranum bersama Ustazah Maimon, guru agama yang menjadi pembimbingnya selain bertanya kepada Ustaz dan Ustazah yang lain sama ada melalui panggilan telefon atau pergi berjumpa mereka sendiri.
Remaja ini mengakui kehidupannya sama seperti remaja lain dan tiada bezanya
Natasha ketika bersekolah di SMK Seri Pagi bersama guru pengawas peperiksaan
Mengambil masa sekurang-kuranganya dua jam bagi setiap pembelajaran, Natasha berkata, bagi pertandingan musabaqah al-Quran, empat aspek amat dititik berat iaitu tarannum, tajwid, fasohah dan suara,” katanya yang akan memastikan selepas solat Maghrib, dirinya akan membuka dan membaca al-Quran dua atau tiga muka surat untuk pelancaran dan fasih.
Mengakui dirinya masih sama seperti remaja lain tetapi Natasha berkata, sejak umurnya 7 tahun, dia telah pergi mengaji sehingga dia khatam kali pertama pada usianya 12 tahun.
Ditanya bagaimana perasaannya untuk bertanding dengan qariah yang lebih dewasa dan mungkin punya pelbagai pengalaman sedangkan dirinya adalah kali pertama, Natasha berkata, dia akan mencuba sebaik mungkin dan selebihnya adalah rezeki Allah.
“Ini pengalaman pertama saya. Malah saya sendiri tak pernah menang apa-apa anugerah pun ketika di peringkat remaja. semua ini rezeki Allah,” katanya yang mengesyorkan agar golongan remaja tidak meninggalkan al-Quran yang mampu menyelesaikan apa juga masalah dihadapi oleh setiap insan.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Admit it guys, rata-rata di antara kita akan meletakkan pelitup muka ke dalam beg, di atas meja, tersangkut pada dagu dan di tepi stereng semasa memandu. Sudah umpama menjadi tabiat.
Tabiat ini secara tak langsung akan menyebabkan kuman lebih mudah tersebar kepada pelitup muka kita dan sekaligus memudaratkan kesihatan.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf, Dato’ Hussamuddin Yaacub dalam sidang media yang dianjurkan, rekaan seakan sampul itu adalah demi memudahkan pengguna untuk membawanya ke masa saja.
“Bagi perempuan, mudah untuk diletakkan ke dalam beg. Bagi lelaki pula, mereka boleh melipatnya dan letakkan ke dalam kocek pakaian. Secara tak langsung, ia membuatkan penjagaan kesihatan diri menjadi lebih efisyen.
“Lagi pula, kesemua sepuluh hygience case yang dipekkan ke dalam kotak pelitup muka ini mempunyai rekaan berbeza dan memudahkan kamu bezakan pelitup muka sendiri dengan kepunyaan orang lain,” tambah beliau.
Pelitup Muka Suci & Bersih
Tentunya, bukan saja rekaan sampul yang menarik perhatian kami tetapi juga proses penghasilan pelitup muka ini oleh pihak Karangkraf Medicare sendiri di premis penghasilan mereka di Shah Alam.
Ini demi menjamin standard ujian parameter EN14683:2019 yang ditetapkan agar ia selamat digunakan.
Keadaan kilang pemprosesan Karangkraf Medicare yang menepati piawaian.
Tambah Dato Hussamuddin, “Tagline ‘Suci dan Bersih’ yang tertera pada kotak ini tepat dengan jaminan yang Karangkraf Medicar berikan dari segi pembuatan.
“Di China misalnya, memang mereka adalah negara pengedar pelitup muka paling popular masa ini. Tetapi mereka tidak memikirkan tentang aspek kebersihan dan keselamatan semasa proses pembuatan.
“Asalkan banyak pek yang terjual, itu sudah cukup untuk China. Kita enggan mengenepikan kualiti pembuatan kerana misi utama adalah untuk menjamin keselamatan pengguna.
“Dengan mencapai tahap penapisan tertinggi iaitu lapisan PFE melebihi 95 peratus, kita berjaya mencapai gred pelitup muka ‘Medical. Dan ia dijual pada harga yang cukup berpatutan agar lebih ramai rakyat Malaysia memperolehi manfaat kesihatan daripadanya,” simpul beliau.
*
*
Bagi korang yang berminat untuk memperolehi pelitup muka Karangkraf Medicare ini, ia didatangkan dalam dua set iaitu set Karangkraf dan set Karangkraf Plus.
Set Karangkraf
Set Karangkraf mempunyai 30 keping pelitup muka dalam sebuah kotak. Bagaimanapun, ia tidak didatangkan dengan hygiene case. Pada hemat kami, ia umpama stok ‘refill’ untuk korang.
Manakala, set Karangkraf Plus pula mempunyai 10 keping pelitup muka yang didatangkan dengan hygience case untuk setiap satu.
Set Karangkraf Plus
Berbaloi kan! Harganya tidaklah terlalu mahal berbanding pelitup muka di pasaran DAN mempunyai jaminan kesihatan.
Bagi korang yang berminat untuk mendapatkan pelitup muka ini secara online, korang boleh layari ke www.karangkrafmall.com.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Rakyat Malaysia pada minggu ini bukan sekadar merayakan sambutan Tahun Baru Cina pada cuti panjang yang baru sahaja berlalu.
Malah semalam, rakyat Malaysia menyambut riang pencalonan Academy Awards atau anugerah Oscars yang diterima oleh Tan Sri Michelle Yeoh menerusi lakonannya dalam filem Everything, Everywhere All At Once.
Pencalonan menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik itu bukan sekadar satu pengiktirafan buatnya selaku pelakon berkaliber setelah sekian lama berada dalam industri perfileman. Pencalonan ini juga memberi seribu satu makna yang lebih mendalam kepada komuniti perfileman Asia.
Filem arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert (atau bak panggilan Michelle kepada mereka, ‘the Daniels’) ini telahpun memperolehi respon positif daripada pengkritik filem serta penonton sejak ia mula ditayangkan pada tahun lalu. Lantas, pencalonan yang diterima Michelle Yeoh menerusi filem ini umpama icing on the cake atas kejayaan yang diperolehi produksi tersebut.
Jom lihat lima sebab mengapa pencalonan Michelle Yeoh ini amat penting dan bermakna dalam sejarah perfileman Barat serta untuk penggiat seni berdarah Asia.
01
Well, lets start with this; Michelle Yeoh kini secara rasminya merupakan pelakon wanita Asia pertama yang dicalonkan bagi trofi Pelakon Wanita Terbaik di anugerah Oscars!
Nama asal watak Evelyn Wang yang dimainkan Tan Sri Michelle Yeoh dalam filem Everything, Everywhere All At Once rupa-rupanya ialah Michelle Wong! Beliau meminta dua orang pengarahnya untuk mengubah nama tersebut kepada Evelyn Wang kerana enggan watak tersebut distereotaip sebagai watak Asia tipikal.
Setelah komuniti penghibur berdarah Asia di Hollywood sekian lama terpaksa berdepan dengan stereotaip karakter serta jalan cerita, pencalonan Michelle Yeoh ini adalah satu langkah ke hadapan dalam industri perfileman antarabangsa.
Tidak mustahil, magis filem dari Korea Selatan, Parasite yang pernah memenangi kategori Filem Terbaik di anugerah Oscars 2020 bakal berulang semula menerusi 11 pencalonan yang diterima oleh Everything, Everywhere All At Once ini.
02
Pihak Akademi dan Hollywood secara amnya telah banyak kali ‘terlepas peluang’ untuk mengiktiraf kehebatan Michelle Yeoh di persada lakonan.
Beberapa filem yang melibatkan sebagai pelakon utama mahupun pelakon pembantu pernah tercalon bagi beberapa kategori di anugerah Oscars sebelum ini. Namun namanya tidak pula dicalonkan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik. Agak pelik memandangkan beliaulah di antara sebab mengapa filem-filem ini digemari oleh penonton.
Antaranya; filem Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000) yang menerima 10 pencalonan termasuk Filem Terbaik dan juga filem Memoirs of A Geisha (2006) yang menerima 6 pencalonan termasuklah Sinematografi Terbaik.
Babak filem Crouching Tiger, Hidden Dragon.Babak filem Memoirs of A Geisha.
03
Sukar untuk dipercayai, tiada seorang pun wanita berdarah Asia yang pernah menerima pencalonan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik di anugerah Oscars. Di antara keempat-empat kategori pelakon di Oscars, kategori ini dianggap sebagai kategori paling dimonopoli oleh golongan berkulit putih.
Fun Fact! Pihak Akademi pernah menganugerahkan seorang pelakon bernama Luise Rainer trofi Pelakon Wanita Terbaik bagi karakter berdarah Asia yang dilakonkannya menerusi filem The Good Earth. Tetapi… Luise Rainer berdarah Jerman-Amerika dan bukannya seorang pelakon berdarah Asia!
04
Apa yang menjadikan pencalonan Oscars lewat malam tadi lebih istimewa adalah apabila filem Everything, Everywhere All At Once menerima pencalonan menerusi tiga orang lagi pelakonnya!
Ini termasuklah Ke Huy Quan (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik), Stephanie Hsu (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik) dan Jamie Lee Curtis (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik).
Ini merupakan pencalonan sulung di anugerah Oscars buat Michelle Yeoh, Stephanie Hsu dan Ke Huy Quan.
FOTO: Instagram @michelleyeoh_official
05
Ini bukan sekadar pencalonan yang memecahkan tembok perkauman terhadap pelakon berdarah Asia. ia juga melawan stereotaip terhadap pelakon wanita berusia (Michelle Yeoh sudahpun memasuki ‘usia 6 series’) dan juga stereotaip terhadap pemberian watak utama dalam sesebuah filem kepada wanita.
Ya, kita semua gembira apabila anak kelahiran Ipoh, Perak ini menjad pelakon Malaysia pertama yang dicalonkan di anugerah Oscars dan berpotensi besar untuk menjadi pelakon Malaysia pertama yang menaiki pentas anugerah Oscars untuk menerima trofi.
Namun harus diingat, ia juga adalah peluang bagi semua pihak untuk mengiktiraf peranan wanita dalam dunia perfileman Hollywood.
Lapuk sudah persepsi kononnya filem yang diterajui oleh pelakon utama wanita tidak akan menarik penonton ke pawagam. Lapuk sudah persepsi kononnya pelakon wanita hanya boleh membawa pulang trofi Oscars jika dia memegang ‘watak air mata’ atau ‘watak yang didera’.
Tan Sri Michelle Yeoh berjaya mengukuhkan kedudukan sebagai pelakon wanita popular di Hollywood menerusi filem Crazy Rich Asians apabila beliau membawakan watak bakal ibu mertua, Eleanor Young dengan cukup berkesan!
Tan Sri Michelle Yeoh tidak menerima skrip filem Everything, Everywhere All At Once semata-mata untuk dirinya sahaja.
Sebaliknya, beliau bersetuju untuk terbabit dalam filem ini kerana ia adalah pulang baginya mengangkat bebanan seluruh industri perfileman yang ternanti-nanti kemunculan seorang pelakon wanita yang mampu mengubah landskap Hollywood agar tiada siapa lagi akan tertindas selepas ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Suga BTS Ramadan menjadi tular selepas Yoongi menyentuh mengenai puasa ketika siaran langsung hari jadinya, membuatkan ARMY Muslim berasa dihargai dengan keprihatinan bintang K-Pop itu.