Kehadiran anak sering menjadi detik paling membahagiakan buat pasangan suami isteri. Namun bagi Wani Mastura Hashim dan Mohd Fadli Samad, perjalanan membesarkan anak mereka membawa cabaran besar apabila si kecil disahkan menghidap cerebral palsy.
Kelahiran anak pertama yang dinanti hampir lima tahun bertukar menjadi detik paling mencemaskan buat pasangan ini.
Ketika bersalin pada usia 32 tahun, Wani mengalami komplikasi serius sehingga doktor terpaksa melakukan kelahiran kecemasan.
Bayi mereka mengalami kekurangan oksigen ketika dalam kandungan sebelum dikejarkan ke unit rawatan rapi neonatal (NICU) sebaik dilahirkan.
Bayi tersebut turut mengalami sawan selama beberapa hari dan doktor memaklumkan otaknya terjejas akibat kekurangan oksigen. Pada waktu itu, pasangan ini dimaklumkan bahawa anak mereka mungkin akan terlantar sepanjang hayat.
Berita itu tentunya sangat mengejutkan buat pasangan yang sudah lama menanti kehadiran cahaya mata. Namun selepas beberapa hari dalam keadaan kritikal, bayi mereka akhirnya kembali stabil dan mula menunjukkan perkembangan yang lebih baik.
Kini selepas 10 tahun, anak mereka Muhammad Emir Rizqi disahkan menghidap cerebral palsy serta mengalami kelewatan perkembangan. Rizqi tidak boleh bercakap dan memerlukan bantuan sepenuhnya daripada ibu bapanya dalam banyak perkara termasuk makan, bergerak dan penjagaan harian.
Cabaran Besarkan Anak Cerebral Palsy
Perjalanan membesarkan anak dengan cerebral palsy bukan sesuatu yang mudah. Pada awalnya Wani mengakui dia pernah mengalami kemurungan kerana sukar menerima keadaan anaknya.
Malah mereka juga sering berjaga malam kerana sawan boleh berlaku pada bila-bila masa. Selama hampir dua tahun, Rizqi akan menangis setiap malam sehingga menyebabkan ibu bapanya sukar untuk tidur.
Ads
Situasi itu bukan sahaja mencabar emosi, malah menuntut kekuatan fizikal yang besar daripada kedua-dua ibu bapanya. Setiap hari mereka perlu memastikan Rizqi mendapat penjagaan yang rapi serta perhatian sepenuhnya.
Cabaran fizikal turut memberi kesan kepada Wani apabila dia mengalami masalah slipped disc akibat kerap mengangkat dan menguruskan anaknya yang semakin membesar.
Walaupun berdepan pelbagai kesukaran, pasangan ini tidak pernah berhenti berusaha memberikan kehidupan terbaik buat anak mereka yang hidup dengan cerebral palsy.
Pengorbanan Seorang Ayah
Melihat keadaan itu, Fadli akhirnya membuat keputusan besar apabila memilih untuk bersara awal daripada Tentera Laut Diraja Malaysia selepas 21 tahun berkhidmat.
Keputusan itu dibuat bagi membolehkan dia memberi sepenuh perhatian kepada penjagaan anaknya yang menghidap cerebral palsy.
Ads
Sejak itu, kehidupannya banyak tertumpu kepada mengurus rutin harian Rizqi termasuk menghantar ke sekolah khas, membawa ke sesi terapi serta menjalankan latihan berjalan.
Selain itu, mereka juga sering membawa Rizqi melakukan aktiviti luar bagi membantu perkembangan fizikal dan memberikan pengalaman baharu kepada anak mereka.
Walaupun perkembangan anak dengan cerebral palsy biasanya berlaku secara perlahan, setiap perubahan kecil tetap memberi harapan besar kepada keluarga ini.
Ads
Harapan Yang Tidak Pernah Padam
Walaupun doktor pernah meramalkan Rizqi mungkin tidak mampu bergerak sendiri, kini dia sudah boleh berjalan perlahan menggunakan alat bantuan sambil disokong oleh ibu bapanya.
Bagi keluarga ini, setiap langkah kecil adalah satu kejayaan besar.
Bagi Wani, harapannya kini jauh lebih sederhana. Jika suatu hari nanti Rizqi mampu berjalan sendiri, makan dan minum tanpa bantuan, itu sudah cukup membahagiakan mereka.
Bagi pasangan ini, anak mereka bukan sekadar ujian hidup, tetapi juga rezeki yang mengajar mereka tentang kesabaran, pengorbanan dan kasih sayang tanpa syarat.
Kisah keluarga ini menjadi inspirasi kepada ramai ibu bapa bahawa kehidupan bersama anak istimewa seperti cerebral palsy bukan sekadar cabaran, tetapi perjalanan penuh makna yang dipenuhi dengan kekuatan dan kasih sayang yang luar biasa.
Sumber : NST Online
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pemain beregu badminton negara, Thinaah Muralitharan baru-baru ini berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) dengan Kepujian atau BETESL daripada Open University Malaysia (OUM).
OUM menerusi satu perkongsian di aplikasi Facebook memaklumkan, Thinaah bukan sahaja bergelar graduan, malah atlet negara itu juga turut menerima Anugerah Khas Universiti: Ikon Sukan pada majlis konvokesyen universiti yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 26 Oktober, Sabtu lalu.
Anugerah ikon sukan khas universiti itu mengiktiraf pelajar yang telah memberikan sumbangan besar dalam bidang sukan di samping cemerlang dalam akademik.
Dalam pada itu, pada 28 Februari lepas, OUM telah memberikan Thinaah biasiswa yang merangkumi semester dari Januari 2023 hingga Mei 2024.
Sekadar info, Thinaah memulakan pengajiannya di OUM pada Mei 2020, berkongsi mengenai minatnya yang mendalam terhadap bahasa Inggeris sejak kecil.
Ketika ini, Thinaah dan gandingannya, Pearly Tan menduduki ranking ketujuh dunia.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Personaliti televisyen tersohor negara, Ahmad Fedtri Yahya baru-baru ini mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan sebagai Anugerah Ikon Bahasa pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Kebangsaan dan mendapat lima pencalonan di Anugerah Seri Angkasa 2024.
Pengacara program-program ikonik seperti Jejak Rasul, Malaysia Hari Ini, Aduan Jiwa, dan Soal Rakyat itu dicalonkan dalam empat kategori berprestij di Anugerah Seri Angkasa 2024 iaitu Bicarawara TV Terbaik melalui Aduan Jiwa ‘(Gelap Duniaku)’, Montaj TV Terbaik ‘Aduan Jiwa’, dua pencalonan melalui Pengacara TV, Terbaik ‘Jejak Rasul 2023’ dan ‘Aduan Jiwa’, dan Pengulas TV Terbaik ’Aduan Jiwa: Hati Tertinggal di Syria’.
Katanya, beliau tidak menyangka akan dicalonkan dalam empat kategori serentak pada tahun ini. Walau bagaimanapun, Fedtri teruja kerana ini merupakan pencalonan terbanyak buat dirinya.
“Sewaktu mendapat tahu tercalon dalam keempat-empat kategori ini, sejujurnya malam itu saya demam akibat terkejut. Saya kira ini adalah demam kegembiraan. Jadi harapan saya hanyalah untuk tersenarai dalam top lima sahaja dan itu pastinya sudah memadai”
Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan pencalonan ini sebagai motivasi untuk terus memperbaiki mutu karyanya. Selain itu, anak kelahiran Pantai Remis, Perak itu bercita-cita untuk kekal berkarya sepanjang hayat dan berhasrat untuk melakukannya dengan cara pendekatan yang lebih matang di masa akan datang.
“Selagi belum putus nafas, cinta bahasa akan terus bergema’’ ujar Fedtri dengan penuh semangat dan penuh rasa syukur.
Menurutnya lagi, Fedtri sungguh mengagumi Usman Awang sebagai tokoh memperjuangkan bahasa Melayu dan juga Jalaluddin Rumi yang terkenal dalam keindahan bahasa dalam puisi-puisinya.
“Sebenarnya tiada dorongan yang spesifik kerana bagi saya, memang ikhlas dalam berbahasa tetapi jika ditanya, saya memilih kedua-dua tokoh ini sebagai penanda aras bagi saya ketika berbahasa. Harapan saya juga pada masa akan datang adalah agar bahasa Melayu sentiasa diguna pakai dengan betul dan sentiasa disanjung tinggi di kalangan seluruh orang melayu kita,” kongsi Fedtri Yahya.
Menjunjung martabat bahasa yang luhur. Fedtri Yahya boleh diibaratkan sebagai perwira kalam, menggubah mutiara makna dalam setiap lafaz.
Syabas kepada beliau atas penerimaan Anugerah Ikon Bahasa pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Pusat Konvensyen Ipoh, baru-baru ini.
Majlis penganugerahan ini telah disempurnakan dan disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus mengiktiraf dedikasi Fedtri dalam memperkasa bahasa dan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menjulang warisan bahasa sebagai jati diri bangsa.
Menurut Fedtri, pengiktirafan ini adalah kemuncak dari kecintaannya yang mendalam terhadap dunia bahasa, yang sudah bermula sejak kecil.
“Saya memang seorang yang gila bahasa. Sejak kecil lagi, saya akan catat perkataan yang unik dan belajar maksudnya. Minat itu berkembang seiring pencapaian dalam pertandingan dan peperiksaan, sehingga menjadi percintaan saya terhadap bahasa,” katanya.
Beliau yang terkenal dengan bait-bait pantun dalam ucapannya, karyawan berusia 43 tahun itu turut menyeru generasi muda untuk lebih menghargai dan memartabatkan bahasa Melayu dan akan terus memberi sokongan kepada mereka agar sentiasa mencintai bahasa.
Akhir sekali, Fedtri Yahya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan TV3 & Media Prima kerana tidak pernah jemu memberi sokongan dalam usaha murni memartabatkan bahasa dalam era teknologi penuh mencabar.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Susulan konflik yang sedang melanda di Asia Barat, Syarikat penerbangan Malaysia Airlines baru-baru ini memaklumkan pihaknya melanjutkan penggantungan semua penerbangan ke dan dari Doha (DOH), Jeddah (JED) serta Madinah (MED) sehingga 4 Mac 2026.
Keputusan itu dibuat susulan pembatalan penerbangan yang telah dilaksanakan bermula 28 Februari hingga 1 Mac 2026, dalam usaha mengutamakan aspek keselamatan penumpang dan kru penerbangan.
Memetik laporan Bernama, langkah berkenaan diambil berikutan penutupan berterusan ruang udara di beberapa bahagian di Timur Tengah ketika perkembangan keselamatan serantau semakin memuncak.
Kredit foto: Forbes
Selain itu, ketegangan konflik politik di rantau berkenaan dilaporkan meningkat sejak Sabtu susulan tindakan Amerika Syarikat dan sekutunya, Israel yang melancarkan serangan terhadap Iran.
Menurut syarikat induknya, Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), situasi semasa memerlukan penilaian risiko yang teliti memandangkan beberapa laluan udara utama terjejas. Justeru, penggantungan sementara ini dilihat sebagai langkah proaktif sehingga keadaan kembali stabil.
Walau bagaimanapun, MAG juga memaklumkan penerbangan lain termasuk ke dan dari London (LHR) serta Lapangan Terbang Charles de Gaulle (CDG) Paris masih beroperasi mengikut jadual yang ditetapkan. Laluan tersebut menggunakan alternatif yang tidak melalui zon konflik.
Konflik di Asia Barat yang berlaku sejak 28 Februari lalu// Kredit foto: PBS
“Semua penerbangan ini beroperasi menggunakan laluan alternatif jauh dari zon konflik yang terjejas. Penerbangan ke destinasi yang terjejas akan terus digantung sementara menunggu penilaian lanjut mengenai situasi keselamatan,” katanya.
“Penumpang juga dinasihatkan untuk mengemas kini butiran perhubungan mereka menerusi ‘My Booking’ bagi mendapatkan maklumat terkini yang tepat pada masanya,” jelas MAG lagi.
Dalam pada itu, MAG berkata penumpang yang terjejas sedang dimaklumkan secara berperingkat dan diberikan bantuan termasuk pengurusan perjalanan alternatif sekiranya diperlukan. Syarikat penerbangan negara itu turut memberi jaminan bahawa kebajikan serta keselamatan pelanggan kekal menjadi keutamaan utama.
Sementara itu, bagi memastikan penumpang mendapat maklumat terkini, bantuan turut disediakan melalui sokongan Sembang Langsung di laman web rasmi Malaysia Airlines. Selain itu, orang ramai boleh menghubungi pusat hubungan global Malaysia Airlines di talian 1 300 88 3000 (di dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (di luar Malaysia).
Kredit foto: Reuters
Senarai penerbangan yang terjejas adalah seperti berikut:
MH150/1 Mac 2026 (KUL-JED) STD/STA: 05:00/14:40
MH151/1 Mac 2026 (JED-KUL) STD/STA: 16:10/01:10
MH156/1 & 3 Mac 2026 (KUL-JED) STD/STA: 11:00/20:40
MH157/1-3 Mac 2026 (JED-KUL) STD/STA: 22:10/07:10
MH160/1 – 4 Mac 2026 (KUL-DOH) STD/STA: 12:45/20:40
MH161/1 – 4 Mac 2026 (DOH-KUL) STD/STA: 22:30/06:05
MH164/1 – 4 Mac 2026 (KUL-DOH) STD/STA: 18:30/02:15
MH165/1 – 5 Mac 2026 (DOH-KUL) STD/STA: 05:10/12:50
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!