
Francais kafe pemanis mulut terkenal di Sabah, Chunk & Dunk mengesahkan pembukaan cawangan antarabangsa pertamanya di Filipina pada April ini.
Perkembangan tersebut menandakan satu lagi pencapaian besar buat jenama F&B tempatan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pencinta manisan, khususnya di Sabah.
Dikenali dengan sajian ikonik croffle (atau croissant-waffle), Chunk & Dunk terlebih dahulu membina reputasi kukuh di Sabah melalui pembukaan lima buah cawangan dan sebuah lagi di Kuching, Sarawak sebelum memulakan langkah menembusi pasaran Asia Tenggara.

Filipina Jadi Pilihan
Bercakap mengenai perkembangan positif ini, pengasasnya Adam Shamil menyifatkan langkah ke peringkat antarabangsa ini bukan sahaja satu kebanggaan besar buat pasukannya yang selama ini bertungkus-lumus membangunkan jenama tersebut.
Menurutnya, pembukaan cawangan di Eastwood Mall, Quezon City ini bukan sekadar menjadi pencapaian peribadi, malah mencerminkan bahawa jenama tempatan dari Sabah mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Tambahan pula, ia merupakan jenama pertama yang dimiliki oleh anak Sabah untuk berbuat sedemikian.
Secara tidak langsung, ia membuka ruang dan inspirasi kepada lebih banyak usahawan tempatan di Sabah untuk mengejar impian mereka dalam dunia perniagaan.

“Saya kira tuah menyebelahi saya apabila rakan perniagaan yang berasal dari Filipina berkunjung ke salah sebuah cawangan Chunk & Dunk di Sabah.
“Mula dia beli satu kotak croffle, kemudian jumlah itu bertambah sehingga empat kotak. Memang dia sukakan menu kami dan segera menawarkan peluang untuk membuka francais pertama di sana,” kongsinya ketika dihubungi REMAJA.
“Empat bulan berlalu dan kami tidak berhubung lagi selepas itu. Kebetulan pula, Chunk & Dunk membuka sebuah central kitchen bagi meningkatkan produktiviti croissants kami.
“Video mengenai pembukaan ini menjadi tular di Filipina dan sekali lagi, rakan perniagaan saya menghubungi saya semula untuk bertanya jika saya berminat dengan tawaran dahulu.
“Tentulah, saya katanya ya!” kata Adam.
Konsep Unik Jadi Tarikan
Jika diikutkan, terdapat banyak kafe yang menawarkan menu pemanis mulut. Namun, apa yang membuatkan Chunk & Dunk tampil berbeza adalah disebabkan imej dan konsepnya yang unik.
Kafe ini menampilkan tata hias bubble-gum pink yang diinspirasi daripada gaya diner era 50-an sekaligus memberikan suasana ceria dan Instagrammable kepada pengunjung.



Selain visual yang menarik, pelbagai pilihan croffle toppings seperti Bueno Bueno, Lotus Biscoff dan Callebaut 823 Milk Chocolate; Chunk & Dunk turut menjadi daya penarik utama.
Chunk & Dunk turut menyajikan menu ‘shaved ice’ (mirip ABC) dengan pelbagai perisa menarik termasuklah coklat, avocado, Thai Tea, laici dan lain-lain.
Kedua-dua menu ini dijangka ada dalam senarai menu yang ditawarkan di cawangan Filipinan kelak.



Perasmian Di Kota Kinabalu
Selaras dengan pembukaan di Filipina, Chunk & Dunk bakal melakukan majlis menandatangani perjanjian rasmi secara umum di The Oval, Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu pada 22 Mac 2026 bermula jam 12 tengah hari.
Acara berkenaan bakal dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular seperti Stacy dan suaminya, Akim; Yazmin Aziz, Elica Paujin, Dabra Sia dan dihoskan oleh Daphne Iking.

Perancangan Ke Semenanjung Malaysia?
Bagi pelancong dari Semenanjung Malaysia yang pernah berkunjung ke mana-mana cawangan Chunk & Dunk, mereka pasti mengharapkan pembukaan cawangan pertama di ibu negara bakal terjadi tidak lama lagi.
Akan tetapi, perancangan tersebut perlu ditangguhkan buat sementara waktu disebabkan ketiadaan pusat pemprosesan utama di sini selain fokus syarikat untuk menstabilkan operasi perniagaan di Sabah terlebih dahulu.

Bagaimanapun, langkah Chunk & Dunk Sabah menembusi Filipina dilihat sebagai strategi penting untuk memperkenalkan jenama tersebut kepada pasaran yang lebih luas di rantau Asia Tenggara.
“Chunk & Dunk telah berada dalam pasaran selama 22 bulan. Kurang dari dua tahun, kami telahpun membuka beberapa cawangan di Sabah, Sarawak dan tidak lama lagi di Filipina. Kami turut mempunyai hampir 100 orang pekerja setakat ini terdiri daripada warga Borneo.
“Tentulah, saya teringin sekali untuk membuka cawangan di Kuala Lumpur. Doakan ya.”
Tahniah REMAJA ucapkan kepada Adam Shamil dan pasukan Chunk & Dunk yang membuktikan tiada impian yang mustahil untuk dicapai sekiranya berusaha keras serta dilakukan dengan penuh minat dan keazaman.
FOTO: Chunk & Dunk dan Adam Shamil
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!












