“Subhanallah, kes baharu COVID-19 meningkat dengan banyaknya hari ini Man”, kata Hasrul kepada Azman. “Ya, kes meningkat pada setiap hari, kita mestilah sentiasa berjaga-jaga Rul, terutamanya sebab sekarang ini sudah ada varian baharu”. “Tetapi, betulkah cara menulis akronim bagi COVID-19 ini, Man?

Untuk menjawab pertanyaan Hasrul ini, elok jika kita teliti penjelasan tentang akronim. Sebahagian pengguna bahasa terkeliru antara akronim dengan singkatan. Malah ada yang beranggapan bahawa akronim dan singkatan boleh bertukar ganti. Namun demikian akronim sebenarnya berbeza dengan singkatan. Akronim merupakan satu daripada bentuk kata tunggal. Akronim dihasilkan melalui percantuman bunyi pertama perkataan atau pun percantuman bahagian-bahagian daripada beberapa perkataan untuk membentuk satu perkataan baharu.

Akronim ialah kata singkatan yang terbentuk dengan menggabungkan huruf awal suku kata atau dengan menggabungkan huruf awal dan suku kata daripada satu rangkai kata, dan ditulis serta dilafazkan sebagai satu perkataan yang utuh. Akronim boleh ditulis dengan tiga cara, iaitu:

IKLAN
  1. Menggabungkan beberapa huruf awal rangka kata yang biasanya terdiri daripada kata nama khas dan ditulis dengan huruf besar keseluruhannya. Contohnya:

IKIM – Institut Kefahaman Islam Malaysia
ADUN – Ahli Dewan Undangan Negeri

  1. Kedua, akronim yang terbentuk daripada gabungan suku kata dengan huruf awal atau gabungan suku kata dengan suku kata. Oleh sebab kata yang terbentuk itu ialah kata nama khas, maka huruf pertama dieja dengan huruf besar.

Contohnya:
Bernama – Berita Nasional Malaysia
Mabbim – Majlis Bahasa Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia

IKLAN
  1. Ketiga, akronim terbentuk dengan gabungan suku kata dengan suku kata, dan ditulis dengan huruf kecil keseluruhannya kerana perkataan yang terbentuk itu bukan kata nama khas. Contohnya:

pawagam – panggung wayang gambar
kugiran – kumpulan gitar rancak

Singkatan ialah perkataan tertentu yang disingkatkan cara penulisannya. Singkatan biasanya ditulis dengan tujuan untuk mempercepat penulisan perkataan. Oleh itu, singkatan sering kali menjadi pilihan untuk menulis pesanan menerusi Sistem Mesej Singkat (SMS), aplikasi WhatsApp, Telegram, Instagram dan lain-lain. Singkatan juga menjadi pilihan pengguna bahasa untuk membuat catatan kerana ringkas dan cepat. Hal ini dapat menjimatkan masa dan ruang. Contoh singkatan yang biasa digunakan ialah “yg” (yang), “dgn” (dengan), “pd” (pada), “drp” (daripada), dan lain-lain.

IKLAN

Oleh itu, pengguna bahasa seharusnya tidak terkeliru lagi dengan perbezaan antara akronim dengan singkatan. Kedua-duanya tidak boleh bertukar ganti. Bagaimanakah pula dengan soalan Hasrul tentang penulisan akronim bagi COVID-19?. Sebenarnya akronim COVID-19 tidak menepati cara penulisannya dalam bahasa Melayu. Berdasarkan penerangan di atas tentang akronim, sepatutnya akronim bagi Corona Virus Desease ialah COVIDE-19. Namun demikian, oleh sebab sudah menjadi nama khas yang ditetapkan dalam dokumen Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization), maka cara menulis ini (COVID-19) perlu digunakan dalam penulisan.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh DR. HAJI AMIR BIN HAJI JUHARI

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI