
Murid: Cikgu, boleh saya tanya sesuatu?
Guru: Boleh.
Murid: Kita dapat lihat pada paparan media ejaan “maha” dalam frasa Yang Maha
Kuasa dieja dengan huruf besar, mengapa pula perkataan mahasiswa dan mahaguru dieja dengan huruf kecil pada pangkal katanya?
Persoalan ini sering diajukan murid, malah pengguna bahasa lain juga kurang pengetahuan mengenainya. Menjawab kepada persoalan murid tersebut, bagaimana untuk kita membezakan penulisan “maha” dan “Maha”?
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kata maha bermaksud “amat”, tersangat atau “paling”. Kata “Maha” perlu ditulis dengan huruf besar pada pangkalnya (misalnya Yang Maha Kuasa, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang) untuk merujuk kepada sifat atau gelaran khas bagi Allah. Manakala, kata “maha” yang ditulis dengan huruf kecil pada pangkal kata, boleh bergabung dengan kata nama am seperti;
maha + karya = mahakarya
maha + siswa = mahasiswa
maha + guru = mahaguru
Selain itu, penulisan sesuatu kata yang merujuk kepada Allah SWT mestilah tepat. Kita perlu menggunakan kata singkatan yang dibesarkan huruf awalnya dan disertakan dengan sempang sebelum singkatan tersebut. Misalnya dalam contoh di bawah:
- Aku panjatkan doa pada-Mu.
- Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur.
- Marilah kita memohon rahmat-Nya.
- Maha Suci-Mu.
Dalam keempat-empat ayat, singkatan ‘Mu’ dan ‘Nya’ perlu ditulis dengan huruf besar pada pangkal kata dan disertakan dengan tanda sempang sebelum singkatan kerana kata ‘Mu’ dan ‘Nya’ menggambarkan perwakilan Allah SWT.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Nor Fazilah binti Noor Din.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dibesarkan Dengan Didikan Agama, Pelajar Maahad Ini Hafaz 30 Juzuk Al-Quran Dalam Masa Sehari

Usia yang masih muda bukan penghalang untuk mencipta pencapaian luar biasa. Itulah yang dibuktikan oleh seorang pelajar Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor (MTM), Kota Bharu, Kelantan, Ahmad Fikri Abdul Hisham, apabila berjaya menamatkan Syahadah Hafazan al-Quran kategori 30 juzuk hanya dalam tempoh sehari.
Lebih mengagumkan, remaja berusia 16 tahun itu bukan sahaja menamatkan hafazan dengan lancar, malah meraih pangkat Mumtaz tanpa sebarang kesalahan, sekali gus mencetuskan rasa kagum dalam kalangan masyarakat.

Kehebatan Ahmad Fikri pantas mencuri perhatian warga maya apabila berita tersebut tular di pelbagai platform media sosial. Rata-rata netizen meluahkan rasa teruja, terharu dan bangga, menyifatkan pencapaian itu sebagai sesuatu yang luar jangka bagi anak muda seusianya.
Di sebalik kejayaan luar biasa itu, terselit kisah didikan keluarga yang berteraskan ilmu dan nilai agama. Ahmad Fikri merupakan anak kelahiran Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, hasil didikan pasangan pendidik iaitu Abdul Hisham Daud, 54, seorang guru agama dan Rohaizah Mat Naing, 49, guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA).
Tinjauan Remaja di media sosial mendapati ribuan komen positif membanjiri ruangan komen, dengan ramai menyifatkan Ahmad Fikri wajar diangkat sebagai ikon anak Kelantan serta contoh terbaik generasi muda yang membesar dengan al-Quran sebagai teras kehidupan.

Antara komen yang mencuri perhatian ialah daripada Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan yang menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil komitmen berterusan ibu bapa, guru serta Yayasan Islam Kelantan (YIK) dalam melahirkan generasi huffaz yang cemerlang.
“Tahniah diucapkan kepada Ahmad Fikri Abdul Hisham. Setinggi-tinggi tahniah juga kepada ibu bapa, para guru serta YIK atas usaha berterusan melahirkan generasi huffaz yang unggul. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga Kelantan,” katanya.
Sesungguhnya, kisah Ahmad Fikri membuktikan bahawa apabila ilmu, disiplin dan keikhlasan disatukan, usia bukan ukuran untuk mencapai kejayaan luar biasa.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
10 Pantai Tercantik Di Dunia, Pulau Mabul Di Sabah Masuk Dalam Senarai Tak?

Berseronok di pantai menjadi pilihan ramai orang. Bukan saja berasa tenang tetapi bunyian ombak yang menghempas pantai selain banyaknya aktiviti boleh dilakukan menjadikan pantai antara tarikan pelancongan.
Di Malaysia terutama di Sabah, pantainya cukup indah dan begitu dikenali. Begitu juga di Terengganu dan banyak lagi. Namun cuba semak, 10 senarai pantai tercantik di dunia ini, mana tahu jadi pilihan untuk berbulan madu nanti.
#10. Ko Phi Phi Don Island

Pantai ini adalah yang terbesar di kepulauan Ko Phi Phi. Ia adalah sebahagian daripada Thailand tetapi untuk pergi ke sini seseorang perlu mengambil perjalanan feri selama 90 minit dari tanah besar atau pulau Phuket.
Buat masa ini pulau ini bagaikan magnet bagi pelancong. Dari keindahan alam semulajadinya, pulau batu kapur ini menawarkan pelbagai aktiviti seperti snorkeling dan selam skuba bagi mereka yang ingin meneroka kehidupan marinnya. Aktiviti fizikal lain termasuk memanjat tebing. Untuk lebih santai, bersantai di pantai dan mencuba makanan tempatan serta membeli-belah di banyak kedai-kedai pelancongan akan membuat perjalanan anda berbaloi.
#9. Aharen Beach on Tokashiki Island, Japan

Pantai ini sangat terkenal kerana keindahan pasir putih berkilauannya. Airnya begitu jelas sehingga anda mampu melihat ikan berenang-renang dengan begitu banyak. Keseronokan di sini tidak berakhir di mana pelancong boleh meneroka alam luar pulau termasuk gua-gua yang luar biasa. Ada juga aktiviti kayak dengan panduan dari juru berpengalamannya.. Terdapat juga pulau-pulau lain yang berdekatan yang boleh diterokai selepas menaiki bot.
#8. Tulum Beach in Mexico

Pantai ini ibarat akuarium gergasi yang menawarkan snorkeling dengan pemandangan yang sangat indah di lautannya. Tarikan-tarikan lain di sini termasuklah tinggalan Mayan yang telah diawet ditebing setinggi 45 kaki yang mengadap laut. Boleh juga berjemuran sambil bermalasan di bawah sinar matahari. Bagi yang suka aktiviti lebih lasak boleh meneroka gunung sedia ada di Sac Actun.
Banyak hotel berkualiti yang menawarkan masakan tempatan dan antarabangsa, pelancong boleh menjadikan pantai ini sebagai pilihan utama. Terdapat juga pelancongan kebudayaan dan bertema untuk mendidik dan menghiburkan pelawat. Bagi mereka yang berminat dengan hidupan liar, Tulum Monkey Sanctuary dan Dolphineris Tulum boleh dikunjungi.
#7. White Haven Beach, Australia

Pasir putih yang berkilauan di Whitehaven Beach di Australia adalah 98% silika putih. Walau bagaimanapun, ini bukanlah satu-satunya sebab mengapa pantai ini harus menjadi salah satu daripada senarai pelancongan. Ia adalah sebahagian daripada Great Barrier Reef dan hanya boleh diakses menggunakan helikopter, kapal laut atau bot dengan setiap perjalanan yang menawarkan pemandangan yang unik.
Sebagai sebahagian daripada taman terlindung, keindahan tempat itu dapat dinikmati dari keselesaan perjalanan kapal persiaran yang boleh dirancang lebih awal perjalanannya. Aktiviti-aktiviti lain termasuk snorkeling di luar terumbu karang dengan kehidupan marinnya yang kaya, bergerak dalam katamaran berkelajuan tinggi atau berjalan kaki di Hill Inlet.
#6. Omaha Beach in Normandy, France

Inilah tempat di mana detik muktamad terakhir Perang Dunia Kedua terjadi. Terletak di Selat Inggeris, dari sini pasukan Tentera Bersekutu melawan tentera Jerman dari Perancis.
Cara terbaik untuk mendapat gambaran peristiwa yang pernah terjadi, pengunjung boleh mengupah jurupandu. Pengunjung akan dibawa ke Tanah Perkuburan dan Memorial Amerika yang mana lawatan ini sangat menarik serta menjadi panduan buat generasi muda.
#5. Grace Bay, Providenciales Island

Kebanyakan resort Providenciales dan hotel di sekitar pantai ini memang terkenal. Hampir semua hotel mewah terdapat di sini. Ia juga menempatkan bank dan kedai menjual cenderamata. Namun satu hal yang kurang di sini ialah tempat ini tiada kemudahan pengangkutan awam.
Sekiranya anda ingin ke pantai, perlu menggunakan basikal, berjalan kaki, menyewa kenderaan sewa atau pergi dengan teksi. Keindahan Grace Bay adalah adalah ia sangat mudah diakses dengan hanya menggunakan navigasi sahaja atau berjalan kerana saiznya yang agak kecil. Tetapi cahaya mata harinya sangat disukai pengunjung yang menjemur diri setiap hari.
#4. Morro de Sao Paulo, Brazil

Pantai ini dipenuhi dengan banyak restoran, kedai dan pelbagai agensi. Satu perkara yang luar biasa di sini ialah tiada kereta dibenarkan melalui bahagian pulau ini. Satu-satunya cara pengangkutan adalah menggunakan kereta sorong yang membawa bagasi pelancong.
Terdapat dua cara anda boleh akses pulau ini: Pertama, boleh bermula dari Catamaran dengan dua jam perjalanan dan keduanya, menaiki bot selama 40 minit. Atau ambil bas dengan masa perjalanan sejam setengah dan diikuti menaiki bot laju selama 12 minit.
Sebaik sahaja anda turun dari bot, anda perlu membayar cukai pelancong sebanyak USD. Sesuai dilawati ketika musim panas kerana pantainya dipenuhi pelancong. Boleh lakukan aktviti selam, snorkeling, melayari atau melawat rumah cahaya untuk pemandangan yang menakjubkan.
#3. Myrtos Beach, Kefalonia

Pantai ini dianggap sebagai salah satu pantai paling terkenal di Greece. Ia dikelilingi oleh tebing hijau megah dan lantainya diperbuat daripada batu kecil kecil. Perairan laut mengubah warna dari biru gelap menjadi biru dan biru gelap serta pemandangan Pantai Myrtos yang memukau setiap hari.
Pantai ini boleh dengan dilawati dengan mudah melalui bot persendirian atau menunggang motosikal serta menggunakan pengangkutan awam. Di pantai ini, anda akan melihat pemandangan matahari terbenam yang paling romantis.
#2. Half Moon Bay, Jamaica

Nikmati aktiviti seperti menunggang kuda, snorkling atau bersantai di pantai air jernih. Jamaica terkenal dengan budaya reggaenya dan anda menonton dan menari sepuasnya.
Pantai ini sentiasa tenang dan damai pada waktu petang. Anda boleh menjauhkan diri dari kesibukan dan kesibukan kerja dan berehat di pantai ini.
#1. Navagio Beach, Greece

Pantai ini sejarahnya bermula dari kapal karam yang selalu disyaki menyeludup rokok secara haram. Ia juga dikenali sebagai teluk penyeludup yang merupakan pantai paling terkenal di Greece. Ia hanya boleh diakses dengan bot. Kapal tersebut karam pada tahun 1980 apabila dilanda cuaca buruk.
Jika anda merancang untuk pergi ke sana, pastikan anda membawa barangan keperluan kerana anda tidak akan menemui apa-apa kemudahan di sana. Juga, ingat payung wajib p dibawa kerana teriknya cukup terasa.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Enggan Rai Populariti Sementara, Azfar Heri Kongsi ‘Struggle’ Di Sebalik Kejayaan

AZFARHERI
Raikan Kemenangan
Foto IDEAKTIV oleh Azfarina Sulaiman & Niza Suhaimi
Penyelaras & Teks Ain Norman Arahan FZ Aimman Penata Gaya Ruziana Zainal
Video Sherfiqa Solekan & Dandanan Ayang Kamell
Lokasi Four Points By Sheraton, Chinatown Kuala Lumpur
Persalinan COACH & LEVI’s Malaysia
“Eh, mana (orang) yang lain?”
Berdiri tunggal seorang diri, kehadiran Azfar Heri tanpa pembantu peribadi yang seakan sudah menjadi kawajiban dalam kalangan personaliti remaja tempatan disambut team Remaja di kaki bangunan hotel Four Points by Sheraton Kuala Lumpur, Chinatown awal Ramadan lalu.
Trafik sedikit sesak katanya, menjadikan diri yang sedang berpuasa ini sedikit letih. Begitupun, semangat untuk menjalankan sesi penggambaran cover pertamanya membuatkan Azfar kekal bertenaga. Tiada sekelumit resahan hadir dari bibir. Terdetik di hati penulis, mungkin inilah faktor yang membolehkan Azfar kekal diminati warganet sehingga ke hari ini.
Pendakian drastik pemilik nama Azfar Heri ini sebagai seorang personaliti media sosial sepanjang tahun lalu tidak boleh disangkal. Dengan pengikut seramai 1 juta orang di Instagram dan lebih 700 ribu lagi di laman Twitter, pastinya kelibat remaja berusia 23 tahun ini tidak pernah terlepas daripada ‘melalui’ halaman timeline warganet di Malaysia.

Peningkatan jumlah pengikut itu juga sekali gus membolehkan Azfar tergolong dalam carta lima akaun Twitter yang mencatatkan peningkatan pengikut tertinggi di Malaysia pada tahun lalu.
Not bad for a guy who started all of this by uploading a recipe video on Instagram Story, right?
“Saya memang minat memasak! Mulanya, hanya rakan terdekat yang memberikan komen positif terhadap video masakan saya itu dan mencadangkan agar saya menyenaraikannya dalam segmen butang ‘highlight’ di Instagram.
“Saya kemudiannya menukar strategi dengan memuat naik video masak berdurasi seminit pula. Seingat saya, daripada situlah video masakan saya jadi viral apabila ramai orang awam mula kongsikannya di Twitter.
“Kebetulan pula waktu itu sudah menghampiri bulan Ramadan, bertambah bersemangatlah saya berkongsi resipi-resipi lain di media sosial,” kata Azfar membuka bicara ketika bertemu empat mata dengan penulis. Dia kemudiannya mencipta akaun YouTube dan mula memikirkan selain resipi masakan demi mempelbagaikan lagi graf content.

Tegas Mendidik Adik
Mungkin ramai yang tidak tahu, Azfar kini merupakan seorang pelajar tahun akhir jurusan multimedia di Universiti Kuala Lumpur. Menjadi seorang pelajar bergelar personaliti media sosial nyata bukanlah satu perkara yang mudah; apatah lagi jika seseorang itu mengambil berat akan soal pelajarannya seperti Azfar.
“Sejak PKP tahun lalu, saya hanya menghadiri kelas secara atas talian. Adakalanya agak sukar untuk saya terkejar-kejar menyiapkan tugasan oleh pensyarah. Dan untuk itu, saya bersyukur kerana mempunyai rakan sekuliah yang sangat membantu dan para pensyarah yang memahami.
“Jika tidak bergelar Azfar Heri seperti yang kamu kenali sekarang, saya mungkin akan memilih kerjaya sebagai seorang video editor. (ketawa) Itupun kerana minat mendalam.”
Dari perawakan luaran, karakternya jelas merupakan seorang yang periang. Gelak tawa sering menjadi penyeri dan trademark dalam video yang dimuat naik. Begitupun, hanya segelintir tahu tanggungjawab besar Azfar Heri yang sebenar terhadap keluarganya telah menjadikan sebagai seorang yang tegas ketika mendidik adik-adik di bawah jagaannya.

“Saya dibesarkan oleh ibu tunggal dan mempunyai empat orang adik-beradik. Menggalas tanggungjawab sebagai anak sulung, sudah tentu ia merupakan satu tugas besar buat saya; tambahan pula apabila kami dikurniakan rezeki memiliki seorang adik istimewa.”
“Of course, tugas yang digalas oleh saya ini punya cabaran. Pada usia muda, saya perlu memikirkan cara terbaik menjaga keperluan keluarga. Ada masanya, saya juga terduduk termenung. Namun, kekuatan saya datang daripada ibu saya sendiri. Apabila melihat beliau mengigihkan usaha dan keringat menjaga kami empat beradik seorang diri, saya akan mendapat suntikan semangat untuk turut berdiri dengannya. Kami harus menjadi kuat demi keluarga,” luahnya ketika sedang menyarungkan persalinan jenama Coach, Levi’s Malaysia & kaca mata oleh Safilo Group dalam pekarangan kamar hotel.

Nyala by Azfar Heri
Biarpun namanya kian memuncak, Azfar enggan mendabik dada serta meraikan kemenangan trend seketika. Itulah yang mendorongnya bagi sentiasa memikirkan jalan menggembangkan lagi pengaruh ke bidang perniagaan pula.
Azfar mula menjinakkan diri dalam dunia perniagaan menerusi jenama Nyala by Azfar Heri. Mengakui ini adalah salah satu ‘backup’ plan untuk kerjayanya, perniagaan lilin terapi ini mula diusahakan pada akhir tahun lalu dan memperoleh respon yang cukup memberangsangkan!
“Alhamdulillah atas perjalanan baharu ini yang dipermudahkan Ilahi. Kita tidak tahu sampai bila nama kita berada di atas. InsyaAllah, Nyala by Azfar Heri ini merupakan cabang kerjaya jangka panjang yang sedang saya usahakan.
“Rakan sayalah yang mencadangkan agar memperkenalkan lilin terapi kerana mereka sudah ‘masak’ dengan citarasa saya terhadap variasi lilin. Buat masa ini, saya pernah melancarkan lima jenis aroma dan sambutan yang diterima agak mengejutkan. Setiap kali dilancarkan, akan sold out. Saya hanya mampu memanjatkan syukur kepadaNya dan juga berterima kasih kepada rakan saya yang banyak memberikan nasihat bagi menjalankan perniagaan ini.

“Besar harapan saya agar satu hari nanti dapat mewujudkan concept store bagi jenama lilin, Nyala by Azfar Heri. Mungkin sekali sebuah stor di setiap negeri.
“Bila saya menjual lilin aromaterapi seperti ini, customer’s experience itu jauh bezanya bila mereka dapat menghidu bauan lilin terlebih dahulu. Kalau jual secara online seperti sekarang, mereka mungkin tidak dapat feel bauan yang kami sediakan. Doakanlah agar impian saya ini tercapai, insyaAllah.”

Tradisi Aidilfitri Masih Terasa
Dua tahun berturut-turut, negara berdukacita apabila sambutan Aidilfitri terhalang oleh merebaknya wabak COVID-19. Buat Azfar, kemeriahan mungkin sedikit suram namun tradisi keraian ini masih akan terasa.
“Seperti tahun-tahun lalu, setiap kali Ramadan memang saya akan masak sendiri di rumah. Setibanya minggu terakhir persediaan Aidilfitri pula, saya bertukar sibuk mengemas rumah. Raya tahun ini, saya tak tahulah dapat balik ke kampung atau tidak (sebelum pengumuman PKP diumumkan), tapi saya tetap bersemangat menyambut Aidilfitri kerana masih ada saudara-mara yang menetap di sekitar Kuala Lumpur.
“Saya ini adalah di antara insan yang sudah terbiasa berhari raya dengan keluarga yang besar. Ibu saya saja mempunyai 11 orang adik-beradik! (Ketawa) Jadi, bayangkan sajalah kemeriahannya. Cabaran PKP ini memaksa kami redha sekadar membuat panggilan video sajalah bagi melepaskan rindu pada pagi Raya kelak.

“Di Melaka selalunya saya tidak akan ‘menang tangan’ melayan. Bergelut jadinya. (ketawa) Bila di KL ini, kesibukan itu hanya bertahan hingga ke petang Syawal pertama saja. Apapun, hari ini masih wajar diraikan sebagai simbolik umat Islam setelah sebulan berpuasa.
“Saya tetap menyediakan baju raya sedondon untuk kami sekeluarga. Selain itu, juadah wajib seperti sambal ayam sos dan ketupat pasti akan saya sediakan,” ujar Azfar menutup perbualan sambil mengucapkan Salam Lebaran buat semua yang mengenalinya dan sentiasa memberikan sokongan tidak terbelah bahagi.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

