
Pelakon terkenal Korea Selatan, Lee Jae Wook (28) baru-baru ini tampil mencuri perhatian apabila mengumumkan debut pertamanya sebagai penyanyi menerusi album single berjudul ‘SHADOW’. Khabar tersebut menjadi kejutan manis buat para peminat memandangkan beliau kini sedang menjalani khidmat wajib ketenteraan.
Menurut laporan The Chosun, Jae Wook telah menyiapkan album ini istimewa buat para peminatnya sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan sepanjang kerjayanya. Lebih menarik, proses penerbitan album tersebut turut mendapat sentuhan Lim Seul-ong daripada kumpulan vokal popular, 2AM.
Album SHADOW dikhabarkan mengetengahkan kisah mengenai emosi yang masih tertinggal selepas berakhirnya sesebuah hubungan cinta. Menerusi konsep yang lebih matang dan emosional, karya tersebut memperlihatkan sisi baharu Jae Wook yang sebelum ini lebih dikenali sebagai pelakon.

Dalam pada itu, lagu utama yang turut menggunakan judul ‘SHADOW’ menggambarkan perasaan seseorang yang masih belum mampu melepaskan kenangan lama serta bayang-bayang cinta yang terus menghantui dirinya. Lagu itu menggabungkan elemen muzik band yang bertenaga dengan sentuhan melankolik yang mendalam.
Selain itu, album berkenaan turut memuatkan sebuah lagi lagu berjudul ‘A Season Everyone Passes Through’, di mana Jae Wook sendiri terlibat dalam proses penulisan lirik dan penciptaan lagu tersebut.
Menjelang pelancaran rasmi album, pelakon yang popular menerusi drama ‘Extraordinary You’, ‘Alchemy of Souls’, dan ‘Do Do Sol Sol La La Sol’ itu terlebih dahulu berkongsi teaser persembahan langsung untuk lagu SHADOW. Menerusi video berkenaan, Jae Wook dilihat menyanyi sambil diiringi sesi muzik band, sekali gus memberikan gambaran awal tentang identiti muzik yang dibawakannya.
View this post on Instagram
View this post on Instagram
Walaupun hanya menampilkan petikan audio yang singkat, vokal Jae Wook yang sederhana namun penuh penghayatan berjaya menarik perhatian ramai. Ramai peminat turut meluahkan rasa teruja untuk melihat bagaimana pelakon itu akan mengembangkan bakatnya dalam bidang nyanyian pada masa hadapan.
Dalam perkembangan lain, Jae Wook masih aktif menemui penonton menerusi drama ‘Doctor on the Edge’ dengan membawakan watak doktor kesihatan awam, Do Ji. Kemunculan album SHADOW sekali lagi membuktikan bahawa beliau bukan sahaja berbakat dalam bidang lakonan, malah berani meneroka cabang seni yang baharu meskipun sedang menjalani perkhidmatan ketenteraan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!














