Larangan akaun media sosial bawah 16 tahun menjadi perhatian apabila kerajaan menegaskan bahawa kanak-kanak tidak dibenarkan membuka akaun media sosial sendiri tanpa pemantauan orang dewasa.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa langkah ini bertujuan melindungi golongan muda daripada ancaman keselamatan siber yang semakin meningkat.
Risiko seperti gangguan dalam talian, penipuan dan pembangsa siber kini menjadi kebimbangan utama apabila kanak-kanak terlibat secara aktif di media sosial.
Seiring dengan perkembangan teknologi dan penggunaan telefon pintar yang semakin meluas dalam kalangan kanak-kanak, kerajaan melihat keperluan untuk memperkenalkan garis panduan yang lebih jelas bagi melindungi mereka di ruang digital.
Menurut Fahmi, perkara paling penting bukan sekadar soal umur, tetapi siapa yang mengawal akaun tersebut. Kanak-kanak tidak digalakkan mengurus akaun media sosial sendiri tanpa pemantauan.

Walau bagaimanapun, larangan ini tidak bermaksud kanak-kanak langsung tidak boleh mempunyai akaun di platform tersebut.
Akaun yang diwujudkan dan dikendalikan oleh ibu bapa bagi pihak anak masih dibenarkan. Dengan cara ini, ibu bapa boleh memantau segala aktiviti dalam talian anak mereka, termasuk mesej yang diterima atau interaksi dengan individu yang tidak dikenali.
Jika terdapat mesej mencurigakan atau individu cuba mendekati kanak-kanak dengan niat tidak baik, ibu bapa boleh mengesan situasi tersebut lebih awal dan mengambil tindakan.
Pendekatan Regulatory Sandbox
Bagi memastikan pelaksanaan dasar ini lebih berkesan, kerajaan juga menggunakan pendekatan regulatory sandbox bersama syarikat platform media sosial.
Melalui pendekatan ini, pelbagai mekanisme kawalan umur dan sistem keselamatan boleh diuji terlebih dahulu sebelum dilaksanakan secara meluas.
Pendekatan ini menunjukkan bahawa pelaksanaan larangan ini dilakukan dengan kerjasama industri teknologi, bukannya secara unilateral.
Kerajaan mahu memastikan sebarang sistem sekatan umur yang diperkenalkan benar-benar praktikal dan boleh berfungsi dengan baik tanpa menjejaskan pengalaman pengguna.

Cadangan Pengesahan Umur Menggunakan MyKad
Malaysia juga sedang mempertimbangkan penggunaan MyKad sebagai kaedah pengesahan identiti dan umur pengguna bagi pendaftaran akaun media sosial.
Berbanding sistem sedia ada yang hanya bergantung kepada deklarasi umur secara manual, penggunaan dokumen rasmi boleh membantu memastikan pengguna benar-benar mematuhi syarat umur yang ditetapkan.
Walaupun tidak dibenarkan membuka akaun sendiri, kanak-kanak masih boleh mengakses kandungan digital seperti menonton video atau melihat bahan hiburan dalam talian.
Namun perbezaannya ialah mereka tidak boleh mempunyai akaun aktif yang membolehkan interaksi seperti menghantar mesej peribadi, meninggalkan komen atau berhubung secara langsung dengan pengguna lain.
Peranan Ibu Bapa Sangat Penting

Dalam masa yang sama, kerajaan menegaskan bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memantau penggunaan teknologi oleh anak-anak.
Anda mungkin berminat dengan
Memberi telefon pintar tanpa kawalan masa atau pemantauan boleh membuka ruang kepada pelbagai risiko yang sukar dijangka.
Dengan adanya pendekatan ini, ibu bapa diharapkan lebih peka terhadap aktiviti digital anak-anak dan memahami bahawa keselamatan dalam talian memerlukan penglibatan semua pihak.
Sumber : Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
“Saya juga ada anak, memang sayu bila tengok keadaan jasad anak-anak kecil termasuk bayi dalam Proton Iswara yang terbabas ke Sungai Korok.”
Itu luahan jujur Mohammad Hasri Haslan, anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, ketika berkongsi detik pilu yang dilalui dalam satu operasi menyelamat yang sangat meninggalkan kesan di hati.
Menurut Hasri, pengalaman membantu mengeluarkan enam sekeluarga termasuk seorang bayi berusia enam bulan dari dalam kereta yang ditemui di dasar sungai semalam merupakan antara operasi paling menyayat hati sepanjang dia bertugas.

“Saya sangat sedih dan tersentuh hati ketika melihat jasad dikeluarkan dari kereta sebelum dibawa ke tebing.
“Jasad pertama yang dikeluarkan adalah kanak-kanak perempuan, diikuti bayi lelaki, kanak-kanak lelaki dan seterusnya ibu dan bapa mereka,” katanya.
Walaupun sukar menggambarkan perasaan sebenar ketika itu, Hasri berkata dia perlu tetap kuat menjalankan tanggungjawab sebagai anggota penyelamat.
BACA: Tragedi Sungai Korok: Enam Sekeluarga Ditemui Meninggal Dalam Kereta Tenggelam

Saling Berpelukan Di Tempat Duduk Belakang
Semalam, misteri kehilangan satu keluarga sejak Sabtu lalu akhirnya terjawab dengan penemuan kereta jenis Proton Iswara di dasar Sungai Korok, Kedah, bersama enam jasad yang berada dalam keadaan saling berpelukan di tempat duduk belakang.
Mangsa dikenal pasti sebagai Mohamad Azim Izat Ishak, 32, bersama isteri Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan bayi lelaki berusia enam bulan, Tuah Haydar.

Menurut laporan, kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Jerlun selepas bermalam di rumah adik Mohamad Azim di Taman Sri Aman. Nahas dipercayai berlaku apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu terjunam ke dalam sungai.
Penemuan tragis ini turut mengundang rasa sedih netizen di seluruh negara, apatah lagi apabila mengetahui keenam-enam mangsa dijumpai dalam keadaan berpelukan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Kosmo!
∞
Terbaru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan satu bentuk penilaian pembelajaran baharu sebagai sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan negara, melibatkan murid Tahun 4 dan pelajar Tingkatan 3 dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Pengumuman tersebut dimaklumkan ketika Datuk Seri Anwar berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035, pada Selasa, yang menandakan permulaan fasa baru dalam penilaian pembelajaran di sekolah.
Menurutnya, Pengukuran Pembelajaran bagi murid Tahun 4 akan mula dilaksanakan pada tahun ini dan melibatkan empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
BACA: Kerajaan Selaras Umur Kemasukan Sekolah Bermula 2027: Prasekolah 5 Tahun, Darjah Satu 6 Tahun

Sementara itu, Pengukuran Pembelajaran bagi pelajar Tingkatan 3 pula dijadualkan bermula pada tahun 2027 dengan melibatkan lima mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
“Kedua-dua pengukuran ini akan ditadbir oleh Lembaga Peperiksaan (LP) secara berpusat. Nama lain bagi pengukuran ini adalah Matriks Pembelajaran Malaysia,” katanya.
Di samping itu, beliau turut menjelaskan, pelaksanaan penilaian baru ini merupakan sebahagian daripada usaha reformasi pendidikan negara yang bersifat menyeluruh dan berani, sejajar dengan aspirasi RPN 2026–2035.
BACA: KPT Ambil Alih Tingkatan Enam & Matrikulasi Bermula 2026, Status Prauniversiti Berubah
BACA: Pendidikan Percuma OKU IPTA: Langkah Berani & Inklusif Kerajaan Demi Masa Depan Lebih Adil


Tambahnya, reformasi tersebut memberi penekanan kepada pengukuhan jati diri dan kenegaraan, mempertingkat intervensi pendidikan pada peringkat awal kanak-kanak, serta memartabatkan peranan guru sebagai tunjang sistem pendidikan.
Pada masa yang sama, Rancangan Pendidikan Negara turut memberi penekanan kepada usaha memperkasa sistem pendidikan tinggi supaya menjadi lebih terangkum dan adil, termasuk dengan membuka akses yang lebih luas kepada pelajar daripada golongan miskin, pelajar berkeperluan khas serta bakat terbaik negara tanpa mengira latar belakang.
Selain itu, ikhtiar tersebut dilihat bukan sekadar tertumpu kepada perubahan struktur atau dasar pendidikan semata-mata, sebaliknya bertujuan melahirkan generasi yang berakar kukuh pada nilai dan jati diri, yakin terhadap identiti nasional, cekal dalam menghadapi perubahan semasa, serta berkeupayaan mengangkat masa depan Malaysia berteraskan ilmu, adab dan ihsan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Kemalangan tragis melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) terus mengundang rasa pilu apabila 15 nyawa terkorban dan ramai lagi cedera dalam kejadian yang berlaku kelmarin.
Namun, di sebalik kesedihan itu, timbul pula persoalan, adakah punca utama kemalangan benar-benar berpunca daripada kecuaian pemandu, atau ada sesuatu yang lebih besar sedang diabaikan?
BACA: UPSI Berduka: “Saya Nampak Mereka Meronta-Ronta & Ada Yang Tiba-Tiba Senyap, Waktu Itu Saya Tahu Mereka Dah Tiada” -Pelajar Terselamat

Menurut aktivis keselamatan jalan raya JRTB, Mohd Fadzil Abdul Aziz, masyarakat tidak boleh terus meletakkan kesalahan hanya di bahu pemandu ataupun masalah teknikal kenderaan.
“Banyak bahagian di JRTB mengalami penyelenggaraan yang lemah, dengan selekoh yang memerlukan pemanduan lancar tanpa kecacatan struktur.
“Malangnya, pihak berkuasa sering menampal jalan yang rosak, menjadikannya tidak stabil dan berbahaya, terutamanya apabila digabungkan dengan tanda jalan yang pudar atau hilang,” jelasnya.
Beliau berkata, jalan curam di laluan Jeli ke Gerik mampu menyebabkan kenderaan meluncur sehingga 80 kilometer sejam tanpa menekan pedal minyak.
BACA: UPSI Berduka: “Ada Yang Tersepit, Ada Yang Menangis, Ada Yang Ajar Rakan Mengucap Walaupun Dah Meninggal Dunia”

Jelasnya lagi, keadaan jalan yang berliku, tidak rata dan kurang pencahayaan di waktu malam sering kali menjadi penyumbang utama kepada kemalangan, lebih-lebih lagi ketika hujan.
“Adalah tidak adil untuk menyalahkan hanya pemandu tanpa mempertimbangkan faktor lain, termasuk keadaan jalan,” tegas beliau.
Satu lagi isu yang dibangkitkan beliau adalah kekurangan papan tanda had laju di beberapa lokasi penting, yang boleh menyebabkan pemandu tidak menyedari risiko-risiko tersembunyi di laluan berkenaan.
Tambah membimbangkan, kawasan ini juga terletak dalam laluan hidupan liar seperti gajah dan harimau.

“Kejadian kemalangan membabitkan seekor anak gajah pada 11 Mei lalu menjadi bukti wujudnya rantaian tragedi yang bukan hanya berpunca daripada kecuaian manusia,” katanya lagi.
Justeru, beliau menyeru agar pihak berkuasa tampil segera melakukan penyelenggaraan menyeluruhdemi keselamatan pengguna jalan, sebelum lebih banyak nyawa menjadi korban di JRTB.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Metro Online
∞