
Fenomena filem KUDRAT 1968: High Council nampaknya masih belum menunjukkan tanda-tanda akan reda apabila naskhah terbitan Astro Shaw itu berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM20 juta selepas hampir tiga minggu tayangan.
Pencapaian membanggakan itu sekali gus membuktikan francais High Council terus mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan penonton tempatan, khususnya peminat setia yang dikenali sebagai KUDRATICS.
Sejak mula ditayangkan pada 29 Oktober lalu, filem ini terus mencuri perhatian menerusi jalan cerita penuh konflik, lakonan mantap serta perkembangan dunia High Council yang semakin meluas.
Astro Shaw Terharu Dengan Sokongan Luar Biasa KUDRATICS

Mengulas kejayaan KUDRAT 1968: High Council, Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif, Raja Jastina Raja Arshad meluahkan rasa syukur atas sambutan yang diterima.
Menurutnya, pencapaian RM20 juta itu cukup bermakna kerana membuktikan dunia High Council terus berkembang sebagai sebahagian daripada Astro Shaw Cinematic Universe.
“Alhamdulillah, kami amat bersyukur dengan pencapaian RM20 juta ini. Apa yang lebih bermakna buat kami adalah melihat bagaimana dunia High Council terus berkembang dalam Astro Shaw Cinematic Universe dan mendapat sokongan yang begitu kuat daripada penonton, khususnya KUDRATICS yang sentiasa bersama kami sejak awal,” katanya.
Beliau turut menghargai ribuan peminat yang menghadiri program House of KUDRAT 2.0 serta siri jelajah bertemu peminat di Selatan dan Utara tanah air baru-baru ini.
Malah, ada peminat yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk bertemu barisan pelakon kesayangan mereka.
Jelajah KUDRAT 1968 Bakal Diteruskan Ke Pantai Timur Dan Borneo

Berita baik buat KUDRATICS yang masih belum berkesempatan bertemu barisan pelakon KUDRAT 1968: High Council!
Raja Jastina memaklumkan pihaknya sedang merancang untuk meneruskan siri jelajah bertemu peminat ke Pantai Timur sebelum diperluaskan ke Borneo.
“Dan perjalanan ini belum berakhir. Kami merancang untuk meneruskan jelajah ke Pantai Timur dan insya-Allah, Borneo pula selepas ini.
“Banyak lagi inisiatif menarik sedang dirancang khas buat KUDRATICS sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka. Terima kasih kerana terus menjadi sebahagian daripada fenomena KUDRAT 1968,” ujarnya.
Perkembangan itu pastinya menggembirakan peminat yang ingin menyaksikan sendiri kemunculan barisan pelakon secara lebih dekat.
Konflik Kuasa, Persahabatan Dan Kesetiaan Jadi Taruhan

Untuk rekod, KUDRAT 1968: High Council menampilkan gabungan pelakon muda berbakat seperti Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith.
Di bawah arahan Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff, filem ini membawa penonton menyelami dunia High Council yang sarat dengan perebutan kuasa, konflik persahabatan serta ujian kesetiaan.
Filem ini diterbitkan Astro Shaw dengan kerjasama ZAK Capital, Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures, HM Entertainment dan Golden Screen Cinemas, manakala PASAL Productions mengendalikan produksinya.
Dengan kutipan RM20 juta setakat ini, pastinya ramai tertanya-tanya sejauh mana lagi filem berkenaan mampu melakar kejayaan di pawagam.
Buat yang belum berkesempatan menyaksikannya, KUDRAT 1968: High Council kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Untuk perkembangan lanjut mengenai filem dan siri jelajah, ikuti media sosial rasmi Astro Shaw serta tanda pagar #KUDRAT1968.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.


















