
Pelumba Formula Satu (F1), Kimi Antonelli sekali lagi mencuri perhatian baru-baru ini apabila kejayaannya menaiki podium di Grand Prix (GP) Singapura membuka peluang buat dirinya untuk mencipta sejarah sebagai juara dunia termuda dalam sukan permotoran itu.
Menurut laporan F1, pemandu Itali yang kini berusia 20 tahun itu berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga selepas mempamerkan aksi konsisten di Marina Bay Street Circuit. Keputusan tersebut membolehkannya mengumpul kelebihan 102 mata di hadapan rakan sepasukan Mercedes, George Russell (28), yang hanya menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan.
Dalam pada itu, mengulas peluang beliau untuk merangkul kejuaraan dunia musim ini, Antonelli pada awalnya kelihatan terkejut apabila dimaklumkan bahawa gelaran tersebut semakin hampir menjadi miliknya.

“Saya boleh ke? Betul ke? Tak perlulah kita terlalu memikirkannya! Kita cuba berikan prestasi terbaik pada setiap hujung minggu dan selesaikan tugas kita,” katanya.
Bagaimanapun, Antonelli mengakui bahawa impian untuk bergelar juara dunia kini semakin realistik, namun beliau tidak mahu terlalu terbawa-bawa dengan peluang yang ada. Baginya, fokus utama adalah untuk terus memberikan persembahan terbaik serta memastikan setiap perlumbaan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi merealisasikan sasaran tersebut.
Difahamkan, sekiranya berjaya mengekalkan kelebihan mata dalam pusingan seterusnya di Circuit of The Americas, Austin, Texas, Antonelli berpeluang mengesahkan kejuaraan lebih awal. Dengan enam perlumbaan berbaki dan 150 mata maksimum masih tersedia, setiap keputusan selepas ini bakal memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan akhir kejuaraan dunia F1 2026.

Sementara itu, dalam perlumbaan di Singapura, kemenangan menjadi milik Max Verstappen dari Red Bull, manakala Charles Leclerc dari Ferrari menamatkan saingan di tempat kedua. Antonelli pula berjaya mengambil kesempatan pada penghujung perlumbaan apabila Lewis Hamilton dan Lando Norris terlibat dalam perebutan sengit, sekaligus membolehkannya melonjak dari kedudukan keempat ke tempat ketiga.
Lebih menarik, Antonelli turut mengakui bahawa masih terdapat ruang untuk dirinya memperbaiki prestasi, terutama dari segi menyesuaikan diri dengan pakej naik taraf jentera Mercedes. Walaupun pasukan itu menunjukkan perkembangan positif sepanjang hujung minggu perlumbaan, beliau percaya usaha memahami tetapan terbaik jentera perlu diteruskan bagi memastikan prestasi lebih konsisten pada pusingan akan datang.
Perjalanan Antonelli musim ini membuktikan bahawa peluang mencipta sejarah bukan sekadar bergantung pada bakat, tetapi turut menuntut disiplin, ketenangan dan kesungguhan untuk terus belajar. Dengan kejuaraan dunia semakin berada dalam jangkauan, pelumba muda itu kini mempunyai peluang besar untuk mengukir namanya dalam sejarah F1, asalkan beliau mampu mengekalkan momentum dan terus memberikan aksi terbaik di setiap perlumbaan.
Sumber: F1
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










