
Terbaru, pelakon Korea Selatan, Kim Dohoon tampil memohon maaf kepada peminat Aespa serta memberikan penjelasan berhubung dakwaan bahawa dirinya menyentuh tangan Karina secara tidak wajar ketika sidang media program variasi Netflix ‘Agents of Mystery 2’. Isu tersebut timbul selepas rakaman sesi foto bersama para pelakon tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat.
Difahamkan, ketika sesi bergambar berlangsung, kesemua barisan pelakon diminta melakukan ‘pose’ berkonsepkan kerjasama berpasukan dengan saling berpegangan tangan dan membentuk formasi menyerupai bintang serta momen itu pada awalnya dilihat sebagai interaksi profesional biasa antara rakan set produksi.
Namun begitu, selepas video berkenaan dikongsi semula secara meluas di media sosial, terdapat segelintir peminat Karina Aespa yang berpendapat Dohoon kelihatan seperti mengusap atau mempermainkan tangan penyanyi terkenal itu sehingga klip pendek yang dimainkan secara berulang (loop) turut mencetuskan pelbagai spekulasi dan andaian.


Pada masa yang sama, kontroversi tersebut menjadi semakin hangat apabila seorang peminat dilaporkan menghantar mesej kepada Kim Dohoon menerusi aplikasi komunikasi artis iaitu Bubble, dengan pesanan berbunyi, “Jangan sentuh tangan Karina.” Tindakan itu sekaligus menunjukkan tahap sensitiviti segelintir peminat terhadap interaksi melibatkan idola mereka.
Tidak mengambil masa lama, aktor berkenaan segera memberikan klarifikasi. Menurutnya, beliau tidak menyentuh tangan Karina seperti yang didakwa, sebaliknya hanya menggaru jarinya sendiri kerana berasa gatal ketika sesi foto berlangsung. Penjelasan tersebut dibuat bagi meredakan salah faham yang semakin berpanjangan.
Selepas kenyataan itu dikongsikan, ramai pengguna media sosial menonton semula video asal dalam versi penuh dan mendapati gerakan yang dipersoalkan itu berkemungkinan besar hanyalah pergerakan jari secara pantas, bukannya tindakan seperti yang ditularkan.


Sementara itu, di media sosial ramai warga internet memberikan reaksi berbeza-beza terhadap isu tersebut. Ada yang menganggap ia bukan isu besar, ada yang merasakan respons aktor itu sedikit janggal, dan tidak kurang juga yang menyifatkan kontroversi ini sebagai sesuatu yang terlalu dibesar-besarkan.
Malah, segelintir netizen berpendapat klip video yang dimainkan secara loop serta versi slow motion membuatkan situasi itu kelihatan pelik walaupun hakikatnya mungkin sekadar salah faham.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!













