
Legenda seni bela diri campuran profesional (MMA), Khabib Nurmagomedov baru-baru ini meraih perhatian apabila menolak tawaran lumayan bernilai AS$200 juta (kira-kira RM822 juta) daripada peninju dan personaliti media sosial, Jake Paul untuk kembali bertarung.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik di YouTube Jake Paul, Khabib atau pemilik nama penuh Khabib Abdulmanapovich Nurmagomedov (38) dilihat bertemu Paul bersama rakan perniagaannya, Nakisa Bidarian di belakang pentas sebuah acara Professional Fighters League (PFL) di Dubai. Dalam pertemuan tersebut, Paul cuba memujuk bekas juara UFC tersebut supaya kembali ke gelanggang.
“Bilakah kamu akan kembali? AS$200 juta?” soal Paul ketika cuba mendapatkan persetujuan Khabib untuk kembali beraksi dalam sukan tempur.

Walau bagaimanapun, Khabib yang menamatkan kerjaya profesionalnya dengan rekod sempurna 29 kemenangan tanpa kalah kekal dengan pendiriannya untuk tidak kembali bertarung.
“Mengapa saya perlu kembali? Saya sudah menentang ramai orang. Tiada apa lagi yang perlu saya buktikan,” katanya.
Difahamkan, Paul kemudian menjelaskan bahawa kerjasama antara syarikat promosinya, Most Valuable Promotions (MVP) dan PFL berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada petarung selain membawa perubahan besar terhadap landskap MMA. Namun, penjelasan itu masih belum mampu mengubah keputusan Khabib yang tidak lagi melihat wang sebagai alasan untuk kembali ke gelanggang.
Untuk rekod, Khabib membuat keputusan bersara pada Oktober 2020 selepas menewaskan Justin Gaethje menerusi submission pada pusingan kedua di UFC 254. Persaraan itu berlaku beberapa bulan selepas bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov yang juga jurulatih dan mentornya meninggal dunia pada Julai tahun sama.

Antara sebab utama Khabib kekal dengan keputusan tersebut ialah janjinya kepada ibunya untuk tidak lagi bertarung tanpa kehadiran bapanya. Sejak itu, beliau memilih untuk meneruskan penglibatan dalam MMA menerusi bidang kejurulatihan, termasuk membantu membimbing juara UFC, Islam Makhachev serta sepupunya, Umar Nurmagomedov.
Sementara itu, Paul dijadualkan kembali ke gelanggang tinju untuk berdepan bekas juara dunia kickboxing, Cedric Doumbe di Coca-Cola Arena, Dubai pada 24 Disember depan. Pertarungan tersebut turut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha MVP memperluaskan pengaruhnya dalam dunia sukan tempur.
Sumber: Youtube Jake Paul
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










