
Susulan kes kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini, beberapa pentadbir sekolah dan guru telah direhatkan daripada tugas buat sementara waktu bagi membantu siasatan.
Menerusi sebuah kenyataan yang dimuat naik di Facebook Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius kejadian berkenaan dan akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh serta telus.
“Beberapa pentadbir dan guru sekolah berkenaan telah diberikan pelepasan tugas sementara bagi membantu siasatan. Saya turut mengarahkan Jemaah Nazir hadir ke sekolah esok untuk meneliti aspek pengurusan dan pematuhan tatacara keselamatan,” katanya.

“Saya menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa. Berikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan. Semoga keluarga mangsa terus diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan akan dibenarkan pulang pada Jumaat, 20 November 2026, sebagai langkah menjaga kesejahteraan serta kebajikan warga sekolah susulan kejadian tersebut.
Beliau turut memaklumkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian didapati berfungsi dengan baik dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan.

Pada masa sama, Jemaah Nazir telah diarahkan untuk turun ke sekolah berkenaan bagi meneliti aspek pengurusan serta pematuhan terhadap prosedur keselamatan yang ditetapkan.
Sementara itu, KPM turut menegaskan bahawa sebarang kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan tidak akan dikompromi sekiranya perkara berkenaan dibuktikan menerusi hasil siasatan pihak berkuasa.
Sumber: Facebook Datuk Seri Fadhlina Sidek
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!






