Siapa orang Negeri Sembilan yang membaca artikel ini?

Jangan pula bersangka ianya agak “kejam” tetapi negeri yang terkenal menjunjung adat perpatih ini amat menitik beratkan adat yang sudah turun temurun diamalkan.

Sebagai satu-satunya negeri yang mengamalkan adat Pepatih yang menumpukan perhatian lebih kepada golongan perempuan, sudah tentulah negeri yang kaya dengan adat ini dijunjung sepenuhnya.

Bagi korang yang ingin tahu dan belum tahu, di Negeri Sembilan ada 12 suku iaitu biduanda (suku inilah yang membolehkan individu dilantik sebagai pemimpin), Batu Hampar, Paya Kumbuh, Mungkal, Tiga Nenek, Seri Melenggang, Seri Lemak, Batu Belang, Tanah Datar, Anak Acheh, Anak  Melaka dan terakhir sekali Tiga Batu.

Bagi korang yang nak tahu kenapa gadis Negeri Sembilan dilarang bertemu sesama suku diamalkan, ini sebab-sebabnya. Hikz, Admin pun orang Negeri Sembilan, lahir di Negeri Sembilan tapi bukan adat Pepatih kerana nenek orang luar yang merantau, hahaha.

Jom baca kenapa dilarang kahwin sesama suku di Negeri Sembilan.

Kenapa Orang NS Tak Dibenarkan Kahwin Sesama Suku? Tak Sangka Ini Sebabnya
Inilah Muzium DiRaja Seri Menanti, antara tempat boleh dilawati kalau ke Negeri Sembilan

Walaupun sistem Adat Perpatih menyediakan sedikit ruang kepada anak adat (keturunan) suku tertentu berkahwin sesama suku, pada prinsipnya sistem adat yang dianuti oleh masyarakat Negeri Sembilan itu tidak membenarkan perkahwinan di kalangan sesama anak suku – “Sama Suku Tidak Boleh Berkahwin”. Contoh, lelaki dari Suku Tiga Nenek tidak boleh berkahwin dengan wanita dari Suku Tiga Nenek.

Perkahwinan yang dibenarkan oleh sistem Adat Perpatih adalah di kalangan pasangan yang berlainan suku atau lain suku.

Masyarakat Adat Perpatih menganggap mereka di kalangan suku yang sama umpama adik-beradik. Ini adalah kerana anggota sesuatu suku itu berasal daripada seorang nenek moyang (nasab dalam adat perpatih mengikut nasab ibu) yang mulanya membentuk keluarga, kemudian rumpun, perut dan apabila keturunan berkembang melalui perjalanan masa mewujudkan suku.

Masyarakat Adat Perpatih mempunyai rasional mereka sendiri mengenai larangan berkahwin sesama suku. Antaranya; Larangan berkahwin sesama suku memperkasa institusi kekeluargaan kerana setiap anggotanya yang mengetahui ikatan kekeluargaan tentunya mengambil tahu dan menjadi pelindung kepada masyarakat sukunya.

Sementara itu, golongan lelaki pada setiap masa memandang dan mengganggap anggota perempuan yang sesuku dengan mereka sama ada sebagai ibu, kakak, adik atau anak yang wajib dihormati, dijaga, dilindungi dan disayangi.

Mungkin di atas faktor inilah menyebabkan tiadanya kejadian sumbang di kalangan jiran sekampung dalam masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan.

Catatan ini bertujuan untuk berkongsi maklumat dengan pembaca mengenai hukuman yang ditetapkan Adat Perpatih terhadap pasangan yang berkahwin sesama suku.

Perkahwinan sesama suku terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama diklasifikasikan sebagai perkahwinan ’Sumbang Sewaris’. Yang kedua, ‘Sumbang Sekadim’.

IKLAN

Hukuman yang dikenakan terhadap pasangan yang berkahwin sesama suku dinamakan ‘ Hukum Kahar ‘.

Masyarakat Adat Perpatih memandang pelaku kahwin sesama suku ibarat haiwan dan tidak layak wujud dalam masyarakat. Pelaku dan pasangan akan dipulaukan dan disisihkan daripada segenap sudut kehidupan seharian masyarakat.

(a) Sumbang Sewaris

Definasi: Sumbang sewaris adalah berkahwin sesama suku.

Hukuman: Pasangan dihalau oleh ahli-ahli sukunya, tidak dibenarkan duduk di dalam sukunya dan juga tidak diterima oleh suku-suku lain di wilayah atau luak (daerah) berkenaan. Digambarkan bahawa betapa jijiknya pasangan itu di mata masyarakat adat sehingga bekas tempat duduk mereka akan dibasuh.

Lelaki yang melakukan kesalahan hilang hak memegang jawatan ( menjunjung saka) yang terdapat dalam sistem Adat Perpatih. Seandainya pelaku itu memegang jawatan semasa melakukan kesalahan, jawatannya akan dilucutkan dengan serta merta.

Pelaku kesalahan perempuan akan kehilangan hak ke atas segala harta pusaka suku.
Pasangan terlibat diperbilangkan sebagai, “Laksana buah beluluk, Tercampak ke laut tidak dimakan ikan, Tercampak ke darat tidak dimakan ayam.

Cantiknya sistem Adat Perpatih adalah kerana walaupun tegas tetapi masih ada jalan pulang kepada pesalah adat yang ‘ingin pulang ke pangkuan adat’. Bagaimanapun, pelaku kesalahan adat perlu melalui dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan terlebih dahulu. Dikatakan bahawa syarat asas pengampunan pesalah adat tidak seragam antara luak (daerah).

IKLAN
Kenapa Orang NS Tak Dibenarkan Kahwin Sesama Suku? Tak Sangka Ini Sebabnya
Bongek, salah satu nama tempat di Rembau yang ada di Negeri Sembilan

Ada luak yang mensyaratkan pesalah adat yang kematian pasangan atau bercerai sahaja boleh diampunkan. Sebaliknya, ada juga daerah yang tidak mensyaratkan peraturan sedemikian berat.

Penerimaan sistem adat/masyarakat terhadap pelaku kesalahan adat yang ingin kembali ke pangkuan adat bergantung kepada keizinan anggota kelompok kekerabatan dan direstui oleh Ketua-Ketua adat. Setelah ada persetujuan yang terhasil dari majlis berkampung dan bermuafakat, pelaku kesalahan adat perlu melakukan syarat-syarat yang ditetapkan dalam majlis yang diawasi oleh Datuk Lembaga (Ketua Suku) suku berkenaan.

Syarat-syarat yang perlu dilaksanakan ialah: 

Menyediakan 50 gantang beras, wang tunai RM14.00 dan mengadakan seekor kerbau atau lembu untuk majlis kenduri.

Menjemput Ketua-Ketua Adat dengan penuh istiadat ke majlis kenduri.
Pelaku kesalahan adat (berkahwin sesama suku) mengisytiharkan kesalahan yang telah dilakukan dan membayangkan keinginan untuk kembali ke pangkuan suku serta bergabung semula dalam ikatan keluarga seperti mana dahulu.

Selepas mengakui kesalahan dan meminta maaf kepada orang ramai, pelaku kesalahan adat ‘ menyembah’ semua anggota suku yang hadir untuk meminta maaf. Majlis kenduri tersebut adalah gelanggang bagi menghebahkan kepada masyarakat sesuku dan seluak bahawa pasangan pelaku kesalahan adat telah kembali ke pangkal jalan ( surut ke pangkal jalan), serta mengakui di samping menebus kesalahan (nya/mereka). Majlis itu adalah satu cara memohon maaf secara terbuka.

Pelaku kesalahan adat yang telah ‘diampunkan’, dibenarkan balik ke tempat asal dan diberi kedudukkan seperti sebelum berlakunya kesilapan setelah istiadat dilakukan dengan jayanya.

Kenapa Orang NS Tak Dibenarkan Kahwin Sesama Suku? Tak Sangka Ini Sebabnya
Inilah senarai 12 suku yang ada di Negeri Sembilan. Hanya mereka dari suku Biduanda yang layak dipilih sebagai pemimpin berbanding suku lain

(b) Sumbang Sekadim

IKLAN

Definasi: Sumbang Sekadim adalah melakukan perkahwinan di kalangan sama suku dengan ‘ahli seperut ‘. Ahli seperut bermaksud lebih kurang, “Ikatan kekeluargaan di kalangan ahli suku yang sama pada kedudukkan selepas keluarga kandung.” Dalam masyarakat Negeri Sembilan, ahli seperut kebiasaannya ialah jiran di sebelah rumah dan lokasi tanah/dusun/sawah pusaka di kalangan ahli seperut kebiasaannya bersebelahan atau berhampiran.

Sama sesuku di kalangan masyarakat adat boleh berlaku kepada masyarakat adat yang berlainan kampung. Bagaimanapun, sama ‘ seperut’ cuma berlaku di kalangan masyarakat adat sekampung sahaja..

Hukuman Kerana Sumbang Sekadim:

Kesalahan kerana berkahwin sesuku di bawah kategori ‘Sumbang Sekadim’ adalah kesalahan besar dalam sistem Adat Perpatih. Ini boleh difahami dengan mudah kerana ikatan kekeluargaan mengikut struktur Adat Perpatih seperti yang diterangkan pada perenggan di atas.

Hukumannya ialah:
Segala harta benda pasangan dirampas.
Diceritakan bahawa pernah berlaku di zaman dahulu mengenai satu pasangan yang melakukan kesalahan kategori ini dikenakan hukuman bunuh. Mereka ditangkap, dimasukkan ke dalam bakul dan dibenamkan ke dalam sungai. Kubur mereka dikenali sebagai Jerat Sumbang.
Ungkapan di kalangan masyarakat Adat Perpatih kepada mereka yang melakukan Sumbang Sekadim ialah: Hidup tidak terpelihara, Mati Tak Ditanam, Harta Diambil, Tuan dibunuh.
Terdapat juga perbilangan yang berbunyi, “ Ke laut tumpah karam, Ke darat sial terbakar”.

Kenapa Orang NS Tak Dibenarkan Kahwin Sesama Suku? Tak Sangka Ini Sebabnya
Negeri Sembilan sangat terkenal kerana adanya Pantai Port Dickson yang menjadi tumpuan pelancong saban minggu

ULASAN:

Kejadian berkahwin sama sesuku jarang berlaku. Sepanjang hidup saya yang kini melebihi 50 tahun, belum ada lagi berlaku perkahwinan sama suku di kampong saya di Rembau, Negeri Sembilan. (Perkahwinan sama suku tetapi berlainan sub-suku di kalangan Suku Biduanda Lela Maharaja dengan Suku Biduanda Sedia Raja seperti yang saya kisahkan dalam catatan terdahulu ‘Kahwin Sama Suku ‘ dibenarkan oleh sistem Adat Perpatih).

Secara umumnya, masyarakat adat di Rembau adalah masyarakat yang masih kuat berpegang kepada Adat Perpatih berbanding masyarakat adat di daerah (luak) lain.

Namun demikian, ada amalan dan anjuran dalam sistem Adat Perpatih telah diabaikan kerana sikap ketidakpedulian dan kejahilan pengikutnya. Sebagai contoh, ikatan kekeluargaan ‘ahli seperut’ hampir menemui ‘jalan mati’. Kebanyakkan generasi hari ini dan termasuk juga generasi saya (50-an) tidak lagi mengenali dan ambil-peduli ‘ahli seperut’ sendiri walaupun sekampung.

Ironinya, dalam keresahan institusi Adat Perpatih kerana terhakisnya sesetengah amalan-amalan yang menunjangi kelangsungan adat tersebut, masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan masih akur kepada larangan berkahwin sesuku. Hakikatnya, hampir tidak berlaku perkahwinan sesama suku di kalangan masyarakat Adat Perpatih Negeri Sembilan sehingga ke hari ini.

Kes sepasang pelaku kesalahan ‘Sumbang Sekadim’ dihukum bunuh dengan cara memasukkan pasangan malang itu ke dalam bakul dan membenamkan mereka di dalam air sehingga mati tidak boleh diterima oleh masyarakat hari ini.

Bagaimanapun, perbuatan kejam zaman itu bolehlah dikiaskan dengan kesetiaan membabi buta Hang Tuah sehingga sanggup membunuh sahabatnya Hang Jebat yang ingin membela ketiadak-adilan Sultan. Kalaulah hukuman adat tersebut masih wujud lagi sehingga ke hari ini, sudah pasti pelaksanaanya tidak dibenarkan oleh undang-undang negara.

Sumber : FB Minangkabau Negeri 9 Malaysia

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI