Siapa sangka, impian kecil seorang remaja dari Hulu Terengganu untuk belajar bersungguh-sungguh telah membawa namanya ke persada dunia?
Itulah kisah inspirasi Ahmad Nur Iman Ahmad Fauzi, 19, yang diiktiraf sebagai pelajar terbaik negara dan ketiga terbaik dunia dalam subjek Merekod Transaksi Kewangan FA1 bagi peperiksaan ACCA sesi Mac lalu.
Pelajar Asasi Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun itu membuktikan bahawa kejayaan luar biasa bermula dengan langkah kecil yang disulami usaha, doa dan keazaman tinggi.
“Ketika mula-mula buka e-mel daripada Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) untuk melihat keputusan itu, saya baca berkali-kali untuk pastikan saya tidak salah faham,” katanya kepada K-Kampus.
Berbekalkan minat mendalam terhadap subjek pengiraan sejak kecil seperti Matematik dan Matematik Tambahan, Ahmad Nur Iman membawa kejayaan manis ini bukan saja untuk dirinya, tetapi turut membanggakan ibu bapa, pensyarah, universiti serta negeri kelahirannya, Terengganu.
Ads
Dengan pencapaian 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anak muda dari Kampung Telaga, Hulu Terengganu ini memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan dan mula menimba ilmu dalam kelayakan profesional ACCA.
Kunci Kejayaan: Konsisten, Bertanya & Jangan Malu Belajar
Menurutnya, pengurusan masa yang bijak, nota ringkas, latihan soalan lepas dan konsistensi dalam belajar merupakan antara faktor utama kejayaannya.
“Penting juga untuk berani bertanya dan berkongsi ilmu dengan rakan-rakan. Doa dan tawakal juga pelengkap kepada usaha saya sebagai seorang Muslim,” tambahnya.
Ads
Ahmad Nur Iman turut menerima biasiswa daripada Yayasan Terengganu bagi pengajian Asasi Perakaunan, dan kini menyimpan impian untuk menjadi seorang akauntan bertauliah serta bekerja di firma audit antarabangsa atau syarikat korporat terkemuka.
Lebih jauh dari itu, beliau memasang cita-cita untuk memiliki firma perakaunannya sendiri, yang bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan baharu tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
ACCA: Kelayakan Profesional Bertaraf Global
Untuk makluman, ACCA merupakan kelayakan profesional perakaunan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan setara dengan tahap Sarjana Muda di Malaysia. Manakala di United Kingdom, kelayakan ini diiktiraf setaraf peringkat Sarjana (Master’s Degree).
“Selepas melengkapkan semua kertas dan pengalaman kerja, saya layak bergelar Chartered Certified Accountant dan dapat menggunakan huruf ACCA di belakang nama saya.
“Dengan adanya kelayakan profesional ini, saya ingin memantapkan lagi diri dan memperluaskan pilihan kerjaya di peringkat global,” jelasnya.
Pesan Buat Mahasiswa: Berani & Manfaatkan Peluang
Sebelum mengakhiri perbualan, Ahmad Nur Iman sempat menitipkan pesanan buat rakan-rakan seusia.
“Sentiasa bersemangat, berani mencuba perkara baharu, manfaatkan peluang belajar, aktif dalam kokurikulum dan bina jaringan sosial,” ujarnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Kosmo!
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Di mana ada kemahuan, tentunya di situ jugalah ada jalannya.
Begitulah perumpaan tepat bagi menggambarkan pengalaman mahasiswi kurang upaya (OKU) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) setelah tujuh tahun melanjutkan pengajiannya.
Anisya Anis Sariff, 27 yang memilih jurusan Psikologi dan Pembangunan Sumber Manusia telahpun mencatatkan nilai gred purata (CGPA) 3.77 lantas dinobatkan sebagai penerima Anugerah Dekan dalam Majlis Konvokesyen ke-66 UTM Skudai, semalam.
Namun dari sosok luaran dan senyuman lebar yang tertampal pada wajahnya semalam, tidak ramai yang mengetahui kepayahan yang perlu dilaluinya untuk tiba di saat ini.
Sebagai seorang pengidap penyakit Bipolar Disorder, Anis tidak sesekali ingin menjadikan perkara itu sebagai penghalang untuknya tidak mengejar impian. Tambahan pula, dia bertuah apabila sentiasa mendapat sokongan daripada ibu bapa, rakan-rakan, pensyarah dan tunangnya.
“Kalau ikutkan, penyakit saya akan menjadikan saya sering murung, mengalami delusi dan berhalusinasi. Alhamdulillah, saya dapat menanganinya dengan mendisplinkan diri untuk mengambil ubat yang disyorkan pakar selain mengikuti sesi terapi.
“Sebenarnya saya juga berasa sebak. Sebelum ini saya pernah berhenti belajar selama setahun, sebelum menyambung semula pengajian di Turkiye.
“(Jadi) secara keseluruhannya, saya belajar di UTM selama lima tahun dan dua tahun lagi di luar negara (Turkiye) sebelum menamatkan pengajian,” katanya kepada pemberita.
Musim majlis konvokesyen nyata sedang rancak berlangsung ketika mana Malaysia turut sibuk membincangkan perihal politik negara. Terdahulu, REMAJA melaporkan mengenai pemilihan atlet kebangsaan kurang upaya, Latif Romly sebagai penerima Ijazah Kehormat Sarjana Sains Kemanusiaan daripada Universiti Malaysia Perlis.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) kekal dengan reputasi cemerlang sebagai pusat pendidikan akauntan apabila tiga penuntutnya baru-baru ini merangkul pencapaian luar biasa dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).
Menerusi perkongsian UiTM di laman Facebook rasminya, Muhammad Adam Azmi, pelajar dari UiTM Kampus Dungun mengungguli subjek Management Information (MA1 – ACCA FIA) dengan pencapaian pertama di Malaysia dan ketiga di dunia, manakala Farah Nadia Yusof pula mencatat kejayaan sama bagi subjek Audit and Assurance (AA – ACCA). Dalam masa sama, Julea Qiestyna Abu Zar terus mengharumkan nama institusi apabila meraih tempat kedua terbaik di dunia bagi subjek Advanced Performance Management (APM – ACCA).
Untuk pengetahuan, sebelum ini Julea Qiestyna pernah mencipta sensasi apabila memperoleh markah kedua tertinggi di dunia dalam keputusan peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) pada April 2023, sekaligus membuktikan konsistensi beliau sebagai antara pelajar terbaik di peringkat antarabangsa.
Difahamkan, pencapaian luar biasa ini ketiga-tiga pelajar ini turut disokong oleh pelbagai tajaan pendidikan termasuk Biasiswa Yayasan Terengganu, Yayasan Arsyad Ayub serta YTP MARA yang memainkan peranan penting dalam membantu perjalanan akademik mereka.
Selain itu, kejayaan mereka tidak dapat dipisahkan daripada komitmen tinggi para pensyarah yang bertindak sebagai pembimbing utama dalam memastikan kecemerlangan akademik dicapai pada tahap tertinggi.
Antara tenaga pengajar yang terlibat termasuk En. Syafiq Abdul Haris Halmi, PM Dr Ayuni, Pn Nurul Nadiah serta Dr Adibah Jamaludin yang masing-masing memberikan sokongan dan tunjuk ajar berterusan sepanjang tempoh pengajian.
Lebih membanggakan, pencapaian ini sekali lagi mengukuhkan kedudukan UiTM sebagai antara institusi terkemuka dalam melahirkan akauntan bertauliah bertaraf global yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Kejayaan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan universiti, malah diharap mampu menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang profesional masing-masing.
Sumber: Facebook Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sekali lagi, berita baik bagi Institusi Pengajian Tinggi negara, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) baru-baru ini diiktiraf sebagai universiti ke-146 terbaik dunia di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024.
Pencapaian UMPSA ini meletakkan universiti itu berada di kedudukan ke-3 di Malaysia, sekaligus menjadikan ia universiti nombor satu terbaik di bawah Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Menurut Naib Canselor UMPSA, Prof. Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, UMPSA adalah sebuah universiti yang berteraskan kejuruteraan dan teknologi dan kini telah pun berusia 22 tahun.
Kredit: UMPSA News
“Indikator yang menjadi kekuatan UMPSA adalah kualiti penyelidikan”
“Pencapaian ini turut membuktikan bahawa UMPSA berada di landasan yang tepat selari dengan Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 dalam memacu kecemerlangan agar setanding dengan universiti terkemuka di dunia amnya dan di Malaysia khasnya,” katanya.
Tambahnya, UMPSA memberikan tumpuan kepada penyelidikan gunaan dan projek dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti-aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan.
Dalam pada itu, THE Young University Rankings 2024membuat penilaian berdasarkan kualiti penyelidikan (30%), pengajaran (29.5%), persekitaran penyelidikan (29%), pandangan antarabangsa (7.5%) dan pendapatan industri (4%).
Kredit: NST Asset
Beliau berkata, prestasi cemerlang UMPSA ini juga mungkin tidak dapat direalisasikan tanpa komitmen utuh dari warga universiti dan kerjasama strategik yang produktif bersama pihak industri, agensi, sektor awam, serta tidak ketinggalan, dan alumni.
“UMPSA sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Sementara itu, UMPSA menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi dan program pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Termaju (Advanced TVET).
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!