
Baru-baru ini, seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu Kampus Dungun telah meraih pencapaian yang membanggakan apabila muncul sebagai salah seorang pelajar terbaik di Malaysia dan dunia dalam peperiksaan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook rasmi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahmad Nur Iman Ahmad Fauzi atas kejayaan tersebut.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada Saudara Ahmad Nur Iman Ahmad Fauzi, pelajar dari UiTM Terengganu Kampus Dungun atas kejayaan cemerlang merangkul Top ACCA FIA (The Association Chartered Certified Accountants – Foundation in Accountancy), tempat pertama di Malaysia dan ketiga di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, anak jati dari Kampung Telaga, Hulu Terengganu itu bukan sahaja membanggakan keluarga dan institusi, malah Nur Iman juga telah mengharumkan nama negeri Terengganu di persada dunia.
Dalam pada itu, Nur Iman difahamkan telah meraih tempat pertama terbaik di Malaysia dan ketiga terbaik di dunia bagi subjek Recording Financial Transactions (FA1).
Sementara itu, beliau juga berharap agar pencapaian yang diraih oleh Nur Iman turut mampu memberi inspirasi kepada semua pelajar agar terus berusaha mengejar kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
Kejayaan ini membuktikan keberkesanan program malah memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, berkualiti dan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.