Siapa sangka, impian kecil seorang remaja dari Hulu Terengganu untuk belajar bersungguh-sungguh telah membawa namanya ke persada dunia?
Itulah kisah inspirasi Ahmad Nur Iman Ahmad Fauzi, 19, yang diiktiraf sebagai pelajar terbaik negara dan ketiga terbaik dunia dalam subjek Merekod Transaksi Kewangan FA1 bagi peperiksaan ACCA sesi Mac lalu.
Pelajar Asasi Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun itu membuktikan bahawa kejayaan luar biasa bermula dengan langkah kecil yang disulami usaha, doa dan keazaman tinggi.
“Ketika mula-mula buka e-mel daripada Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) untuk melihat keputusan itu, saya baca berkali-kali untuk pastikan saya tidak salah faham,” katanya kepada K-Kampus.
Berbekalkan minat mendalam terhadap subjek pengiraan sejak kecil seperti Matematik dan Matematik Tambahan, Ahmad Nur Iman membawa kejayaan manis ini bukan saja untuk dirinya, tetapi turut membanggakan ibu bapa, pensyarah, universiti serta negeri kelahirannya, Terengganu.
Ads
Dengan pencapaian 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anak muda dari Kampung Telaga, Hulu Terengganu ini memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan dan mula menimba ilmu dalam kelayakan profesional ACCA.
Kunci Kejayaan: Konsisten, Bertanya & Jangan Malu Belajar
Menurutnya, pengurusan masa yang bijak, nota ringkas, latihan soalan lepas dan konsistensi dalam belajar merupakan antara faktor utama kejayaannya.
“Penting juga untuk berani bertanya dan berkongsi ilmu dengan rakan-rakan. Doa dan tawakal juga pelengkap kepada usaha saya sebagai seorang Muslim,” tambahnya.
Ads
Ahmad Nur Iman turut menerima biasiswa daripada Yayasan Terengganu bagi pengajian Asasi Perakaunan, dan kini menyimpan impian untuk menjadi seorang akauntan bertauliah serta bekerja di firma audit antarabangsa atau syarikat korporat terkemuka.
Lebih jauh dari itu, beliau memasang cita-cita untuk memiliki firma perakaunannya sendiri, yang bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan baharu tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
ACCA: Kelayakan Profesional Bertaraf Global
Untuk makluman, ACCA merupakan kelayakan profesional perakaunan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan setara dengan tahap Sarjana Muda di Malaysia. Manakala di United Kingdom, kelayakan ini diiktiraf setaraf peringkat Sarjana (Master’s Degree).
“Selepas melengkapkan semua kertas dan pengalaman kerja, saya layak bergelar Chartered Certified Accountant dan dapat menggunakan huruf ACCA di belakang nama saya.
Ads
“Dengan adanya kelayakan profesional ini, saya ingin memantapkan lagi diri dan memperluaskan pilihan kerjaya di peringkat global,” jelasnya.
Pesan Buat Mahasiswa: Berani & Manfaatkan Peluang
Sebelum mengakhiri perbualan, Ahmad Nur Iman sempat menitipkan pesanan buat rakan-rakan seusia.
“Sentiasa bersemangat, berani mencuba perkara baharu, manfaatkan peluang belajar, aktif dalam kokurikulum dan bina jaringan sosial,” ujarnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Kosmo!
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 akan diumumkan pada 27 Mei ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi satu kenyataan pada 9 Mei lepas berkata, calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan SPM 2023 dari sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi pada tarikh tersebut.
Bagi calon persendirian pula, slip keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri di tempat calon mendaftar menduduki peperiksaan itu.
“Calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan melalui dua kaedah.
Kredit: X Kem Pendidikan
“Pertama, semakan dalam talian menerusi pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM 2023 mulai jam 10 pagi pada 27 Mei 2024 sehingga pukul 6 petang pada 2 Jun 2024.
“Kedua, secara sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM 2023 dengan menaip SPM No. Kad Pengenalan Angka Giliran dan hantar ke 15888, menurut kenyataan itu.
Kredit: X Kem Pendidikan
KPM memaklumkan, sistem ini akan diaktifkan mulai jam 10 pagi pada 27 Mei 2024 sehingga jam 6 petang pada 2 Jun 2024.
“Pihak sekolah hendaklah memastikan pengurusan penyerahan keputusan peperiksaan SPM 2023 kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur,” katanya.
Seramai 395,870 calon telah mendaftar menduduki peperiksaan SPM 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.
KPM mengucapkan tahniah kepada semua calon atas keputusan peperiksaan SPM 2023 dan berharap kejayaan yang diraih menjadi pemangkin untuk terus cemerlang serta menyumbang khidmat bakti kepada negara pada masa hadapan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kemenangan Aniq Kasdan bagi kategori angkat berat 55-kilogram dalam disiplin Snatch dan Clean & Jerk berjaya membuka tirai emas Malaysia dalam Sukan Komanwel 2022 yang berlangsung di Birmingham. Bukan hanya itu, dia mencipta sejarah buat dirinya sendiri.
Aniq menamatkan saingan Snatch dengan angkatan seberat 107-kilogram dalam percubaan pertamanya. Kemudiannya, dia memecahkan rekod Sukan Komanwel dalam saingan Clean & Jerk dengan angkatan 142 kilogram.
Dengan angkatan berat keseluruhan 249-kilogram, ia sekaligus meletakkan Aniq mendahului semua atlet yang bertanding. Di tempat kedua ialah atlet India, Sanket Mahadev Sargar, manakala Dilanka Isuru Kumara Yodage dari Sri Lanka terpaksa berpuas hati berada di tempat ketiga.
Dilahirkan pada 16 Jun 2002, Aniq antara atlet termuda yang mewakili negara di Sukan Komanwel tahun ini pada usia 20 tahun.
Walaupun aktif sebagai atlet negara, pemilik nama penuh Mohamad Aniq bin Kasdan ini merupakan pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi di Universiti Teknologi MARA.
Dia yang merupakan anak kelahiran Johor Darul Takzim merupakan atlet angkat berat pertama Malaysia yang memenangi pingat di Kejohanan Angkat Berat Dunia 2021 yang berlangsung di Tashkent, Uzbekistan apabila dia memenangi perak dalam acara 55 kg lelaki Clean & Jerk.
Sebelum mencipta sejarah di Sukan Komanwel 2022, Aniq terlebih dahulu menggondol pingat gangsa di Kejohanan Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) 2021 yang berlangsung pada pertengahan tahun ini.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Seorang pelajar lelaki, Ahmad Khidir Ahmad Nazri, telah menarik perhatian ramai selepas dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar Cemerlang dalam majlis penganugerahan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee, George Town, Pulau Pinang.
Melalui hantaran yang dimuat naik oleh kakaknya, Fatimah Azzahra, di laman TikTok, dia meluahkan rasa bangga atas kejayaan adiknya yang meraih lima jenis anugerah.
Antara anugerah tersebut adalah sebagai Timbalan Ketua Pengawas, tempat pertama di kelas dan tingkatan, serta terbaik dalam beberapa mata pelajaran.
Apa yang lebih membanggakan, Khidir merupakan satu-satunya pelajar Melayu yang berulang kali naik ke pentas untuk menerima penghargaan pada majlis tersebut, sekali gus membuatkan netizen teruja dan kagum dengan pencapaiannya.
“So proud of you brother! Fly high and higher,” tulis Fatimah Azzahra dalam kapsyen hantaran itu.
Di ruangan komen, ramai netizen turut menzahirkan ucapan tahniah dan berbangga dengan kejayaan Khidir. Pencapaiannya secara tidak langsung memberikan inspirasi dan menaikkan semangat pelajar Melayu untuk terus berjaya dalam bidang pendidikan.
Selain itu, Khidir turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberi doa dan sokongan kepadanya. Dalam kesempatan tersebut, dia menyeru pelajar lain untuk belajar dengan bersungguh-sungguh demi membanggakan keluarga serta guru.
“Terima kasih semua orang atas doa dan teguran. Tolong doakan SPM saya terus cemerlang ya!
“Dan saya doakan calon-calon SPM yang lain berjaya dengan cemerlang juga. Jom kita sama-sama banggakan ibu bapa dan guru,” katanya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.