Belum reda kisah menyayat hati kanak-kanak lelaki Maghribi berusia 5 tahun, Rayan Awram yang berjaya ditemui setelah terjatuh perigi sedalam 32 meter namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian, kini muncul satu lagi laporan tragedi seakan sama yang menimpa seorang kanak-kanak di Afghanistan pula.
Mangsa dikenal pasti sebagai seorang kanak-kanak berusia 9 tahun bernama Haidar yang dilaporkan terjatuh ke dalam sebuah lubang perigi sedalam 24 meter di perkampungan Shokok, wilayah Zabul, Afghanistan sejak hari Selasa lalu.
Usaha menyelamat untuk mencapai kanak-kanak yang tersangkut di celah bawah batu pada kedalaman 10 meter kini sedang dilakukan.
Ads
Lapor media tempatan, Haidar disahkan masih hidup berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV). Kanak-kanak itu dilihat masih menggerakkan tangan dan bahagian atas tubuhnya. Bagaimanapun, pasukan penyelamat sedang kesuntukan masa untuk mengeluarkannya.
Ciap Setiausaha Timbalan Perdana Menteri Afghanistan, Abdullah Azzam menerusi akaun Twitter beliau, batu yang menekap tubuh Haidar sedang cuba untuk dibelah oleh pasukan penyelamat bagi mengeluarkan mangsa.
Ads
Tambahnya lagi, bantuan oksigen, ambulans dan keperluan kecemasan lain telahpun berada di tempat kejadian.
Diharap operasi kali ini akan tamat dengan kadar segera dan Haidar dapat diselamatkan dengan jayanya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Walaupun tidak begitu popular seperti sukan bola sepak, namun sukan ini mempunyai peminatnya sendiri terutamanya dikalangan remaja. Kemunculan acara papan selaju dalam Olimpik tahun ini sebagai salah satu usaha menarik golongan muda menonton Olimpik dan para pemain berharap orang ramai boleh menerima sukan tersebut dalam temasya itu.
Tentu ramai yang bertanya-tanya kenapa sukan papan selaju terpilih dan bukan sukan-sukan yang lain misalnya skuasy dan boling?
Mereka yang mempertikainya mungkin tidak menyedari bahawa sukan papan selaju juga turut melibatkan kecergasan, mental dan pemulihan. Keperluan bermain papan selaju dari segi kelincahan dan kekuatan, tidak sama seperti bola sepak mahupun skuasy dan tenis.
Jadi mari kita kenal 6 ikon paling power dalam sejarah papan selaju ini.
1. Rodney Mullen
Foto Kredit : wealthypersons.com
Digelar ‘godfather’ papan selaju jalanan, Rodney Mullen dianggap salah satu pemain papan selaju terbaik dan paling berpengaruh dalam sejarah.
Dilahirkan John Rodney Mullen pada tahun 1966 di Florida, dia mula bermain papan selaju pada tahun 1974 pada usia 8 tahun dan mula bertanding tiga tahun kemudian. Dia memenangi kejuaraan papan selaju dunia pertamanya pada usia 14 tahun. Mullen mula menjadi profesional pada tahun 1980.
Menjadi antara yang terbaik dalam dunia, gaya papan selajunya yang penuh santai, menjadikan aksi luar biasa yang dilakukannya kelihatan mudah dan sederhana. Mullen sering tersenyum dan ketawa sambil mengeluarkan aksi demi aksi. Dia mempunyai gaya yang kreatif, inventif, yakin dan mudah ketika bermain dalam pertandingan.
Rodney Mullen adalah pencetus revolusi skateboard dengan aksi yang dia sendiri ciptakan, terutamanya Flat-Ground Ollie, Heelflip, Kicklip, dan 360 Flip.
2. Tony Hawk
Foto Kredit : longboardbrand.com
Siapa tak kenal dengan Tony Hawk? Berasal dari San Diego, California. Bayangkan, pada usianya baru sahaja mencecah umur 25 tahun, dia sudahpun menyertai sebanyak 103 pertandingan skateboarding bertaraf profesional dan memenangi 73 daripadanya serta meraih tempat kedua sebanyak 19 kali. Satu rekod yang sukar untuk ditandingi skater lain. Malah, Tony menjadi satu-satunya skater dunia yang mempertahankan gelaran Juara Dunia untuk 12 tahun berturut-turut. Hebat!
Memiliki pengalaman luas dalam dunia skateboarding dan memenangi pelbagai anugerah antaranya Make-A-Wish’s Favorite Male Athlete, Teen Choice Awards’ Choice Male Athlete dan Nickelodeon’s Kid’s Choice Awards’ Favorite Male Athlete, Tony hari ini terlibat dalam dunia perniagaan bernilai bilion dolar berasaskan sukan skateboard yang dicintainya.
Antaranya adalah franchais permainan video serta produk-produk sukan dengan jenama namanya sendiri seperti Birdhouse Skateboards, Hawk Clothing dan Tony Hawk Signature Series.
3. Daewon Song
Foto Kredit : Hypebeast.com
Daewon David Song (lahir pada 19 Februari 1975) adalah pemain papan selaju profesional Amerika kelahiran Korea, yang dikenali dengan kemahiran bermain papan selaju jalanan secara teknikal.
Dia adalah salah satu pemilik syarikat Almost Skateboards, bersama dengan Rodney Mullen, dan juga pemain papan selaju rasmi untuk syarikat itu bersama pemain-pemain lain yang ditaja. Song dinobatkan sebagai “Skater of the Year” pada tahun 2006 oleh majalah Thrasher, sebuah pengiktirafan yang secara meluas dianggap sebagai salah satu penghormatan paling penting dalam dunia papan selaju.
Kreativiti sahaja tidak cukup menggambarkan aksi papan selaju Daewon. Apabila anda menonton sebarang klip, atau video berkaitan Daewon, dapat dilihat Daewon bermain papan selaju dengan gaya yang berbeza dari yang lain. Kemahiran teknikal Daewon tak dinafikan tiada tandingannya dalam melakukan flip trick, grind, spin, dan late flip. Daewon pastinya merupakan antara pemain skateboard paling menarik untuk ditonton.
4. Yuto Horigome
Foto Kredit : (Photo by Martin BERNETTI / AFP) (Photo by MARTIN BERNETTI/AFP via Getty Images)
Yuto Horigome adalah pemain papan selaju profesional Jepun dan kini berada di kedudukan ke-2 dalam carta Pemain Papan Selaju Terbaik Dunia mengikuti Nyjah Huston. Tambahan lagi, Yuto dinamakan “Skater of the Year” pada 2017 dan 2018 di Japan Action Sports Awards.
Yuto Horigome terbaru turut memenangi pingat emas pertama untuk sukan Olimpik Jepun 2020 dan menewaskan atlet kegemaran ramai dari Amerika Syarikat, Nyjah Huston.
Yuto Horigome dilahirkan pada 7 Jan 1999, di Kōtō, Tokyo, Jepun. Dia dibesarkan bersama dua orang adiknya oleh ibu bapanya. Bapa Yuto mengajarnya bermain papan selaju sejak usia muda dan meningkatkan kemahiran meluncurnya di Amazing Square Murasaki Skatepark di Tokyo.
Sebuah syarikat papan selaju Jepun telah menaja Yuto Horigome sejak usia muda lagi. Sebagai seorang yang berbakat dalam sukan ini, Yuto Horigome mula memasuki pertandingan papan selaju seperti The Berrics dan Wild In The Parks, yang dianjurkan oleh Volcom, di mana dia menduduki tempat kedua. Anak kelahiran Jepun ini kemudian direkrut oleh Blind Skateboards pada tahun 2015. Selama bertahun-tahun, dia terus memenangi lebih banyak pertandingan papan selaju yang lain.
5. Paul Rodriguez
Foto Kredit : US.Hola.com
Paul Martin Rodriguez Jr, juga dikenali dengan nama panggilannya P-Rod, adalah pemain papan selaju jalanan profesional campuran Mexico-Amerika. Rodriguez telah memenangi sebanyak lapan pingat di X Games, empat daripadanya emas, dengan kemenangan di tempat pertama terakhir di Los Angeles, Amerika Syarikat pada bulan Julai 2012.
Lahir pada 31 Disember 1984. diusia enam belas tahun, Rodriguez kemudian di bawah naungan City Stars, sebuah syarikat yang diasaskan bersama oleh pemain papan selaju profesional, Kareem Campbell di Los Angeles, A.S. Rodriguez dipaparkan dalam video Transworld Skateboarding pada tahun 2002, bertajuk In Bloom. Video ini memaparkan segmen para pemain papan selaju berbakat yang ditaja yang berada di awal kerjaya masing-masing. Setelah pelancaran video tersebut, Rodriguez mula ditaja oleh Girl Skateboards dan mencapai status profesional pada bulan September 2002.
Menariknya lagi, Rodriguez merupakan salah satu pemain skateboard terawal yang didekati oleh Nike. Selepas pelancaran Nike SB P-ROD 8, Nike menyatakan Rodriguez adalah salah satu dari empat atlet Nike yang telah menghasilkan lapan model kasut khas selain Michael Jordan, Kobe Bryant dan LeBron James.
6. Nyjah Huston
Foto Kredit : www.teamusa.org/news/2021/
Membesar dalam keluarga Rastafari, Nyjah Huston bermain papan selaju dengan adik-beradiknya seawal usia empat tahun. Ini adalah aktiviti yang dipilih oleh bapanya yang juga bermain papan selaju ketika remaja. Pada tahun 2004, keluarga Huston membeli taman papan selaju di kampung halaman mereka di Davis, California, di mana Nyjah menghabiskan setiap hari meniru abang-abangnya dan menjadi prolifik dalam minat barunya.
Pada usia 11 tahun sahaja, dia bermain di X Games, yang ditaja oleh Element Skateboards dan mula menyara keluarganya. Secara ringkas, Nyjah menjadi juara keseluruhan SLS selama 5 musim dan beberapa penamat tempat pertama, 12 pingat X-Games, 5 pingat dalam Kejuaraan Papan Selaju Dunia, pemenang 5 Tampa Pro, dan beberapa kali menyertai Dew Tour, dan semua yang disebutkan hanyalah sebahagian dari kejayaannya. Sebagai tambahan, Nyjah adalah pemain papan selaju dengan bayaran tertinggi di dunia.
Pemain skateboard yang dinobatkan sebagai nombor satu di dunia ini juga menyertai Olimpik 2020 Jepun.
7. Pa’din Musa
Foto Kredit : Pinterest
Nama Pa’din sememangnya tidak perlu lagi diperkenalkan terutama buat pengikut skateboarding Malaysia dan juga di Asia. Sudah beberapa generasi cukup masak dengan nama Pa’din tidak kiralah sama ada daripada pengikut tegar sukan ekstrem ini atau juga penggemar aktiviti underground sama ada muzik atau gaya hidup.
Pa’din Musa, pemenang dua pengat emas X-Games Asia merupakan figura skateboarding yang cukup penting bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh Asia. Kejayaannya membawa nama negara telah memberikan impak yang cukup besar dalam dunia skateboarding tanah air. Dengan pengalaman selama 28 tahun, tidak hairanlah Pa’din mempunyai reputasi cukup besar.
Ketika ini atlet wanita Jepun menguasai sukan papan selaju (skateboard) yang mana pingat emas pertama diperoleh atlet berusia 13 tahun, Momiji Nishiya sekali gus dinobat pemenang termuda dalam sukan tersebut di Olimpik 2020.
Sebelum ini, Netflix juga ada menayangkan kisah inspirasi remaja perempuan dan papan selaju dengan tajuk ‘Skater Girl’ . Filem yang berjaya menghidupkan impian kanak-kanak yang hidup miskin di sebuah kampung di India.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Rasa rindu yang sarat membuatkan air mata Sabariah Labachok @ Abd Rahman tumpah. Rindu teramat sangat kepada anak ketiganya, Nurul Jannah yang sudah menemui sang pencipta sejak lebih seminggu lalu.
“Hari ini sepatutnya adalah hari terakhir Jannah duduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi subjek yang sangat dia minat iaitu Sastera. Tapi Allah lebih menyayanginya,” kata ibu yang terus menyeka air matanya dari mengalir laju.
Sabariah (kanan) dan kakak angkat anaknya iaitu Nor Haslin menunjukkan baju sekolah terakhir dipakai Jannah.
Memaklumkan yang arwah anaknya itu menyasarkan memperoleh keputusan A bagi subjek Sastera, bagi Sabariah dia hanya mampu menerima kejadian ini dengan hati yang redha.
“Sebelum kejadian, Jannah ada beritahu dia telah selesai menduduki peperiksaan bagi enam mata pelajaran dan menunggu dua lagi kertas peperiksaan iaitu Sains dan Sastera.
“Hari ini hari terakhir SPM baginya menjawap soalan malah arwah kata seperti tak sabar mahu menjawap. Rupanya kegembiraannya tidak kesampaian sebaliknya yang ada hanyalah kenangan,” katanya yang terus menyeka air matanya.
Mayat pelajar ini hanya ditemui selepas enam hari lemas dan hilang di laut selepas terpijak pasir jerlus di perairan Tanjung Piai, Pontian
Menceritakan kembali detik akhir anaknya, kata Sabariah, Jannah selalu bertanyakan tarikh 26 November, seolah-olah ada sesuatu yang penting tentang tarikh tersebut.
“Bila ditanya mengapa dengan tarikh itu kerana 26 November itu bukan hari lahirnya pun tapi Jannah sambut dengan senyuman,” katanya sambil menambah bila anaknya dilaporkan hilang dan lemas selepas terpijak pasir jerlus di pulau buatan dekat perairan Tanjung Piai, Pontian Johor , barulah dia faham mengapa anaknya itu beriya bertanya tarikh tersebut.
“Rupanya Jannah nak beritahu semua orang, tarikh itu tarikh dia menemui sang pencipta,” katanya lagi.
Di pulau buatan inilah Jannah terpijak pasir jerlus sebelum tenggelam. Mayatnya ditemui oleh seorang nelayan di hutan paya bakau.
Dalam pada itu Sabariah turut menzahirkan rasa leganya kerana mayat anak ketiga dari lima beradik itu ditemui selepas enam hari hilang bermula Selasa lepas (26 November 2018).
“Selepas enam hari menunggu, saya lega akhirnya anak saya ditemui walaupun dah tidak lagi bernyawa. Saya bersyukur kerana mayatnya ditemui. Sekurang-kurangnya ada pusara untuk saya lawat anak saya bila timbul rasa rindu,” katanya.
Menjelaskan hatinya cukup risau selepas mendapat khabar berita itu, Sabariah berkata, selepas mendapat tahu mengenai kejadian anaknya terjerlus dalam air di pulau buatan itu, hatinya cukup risau namun dia tidak pernah putus berdoa agar anaknya ditemui.
Menurutnya, anaknya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut ada menunjukkan perubahan tingkat laku menjadi sangat pendiam selepas pulang dari asrama.
Menceritakan detik kejadian katanya, arwah pulang dari asrama tiga hari sebelum kejadian sebelum meminta izin untuk ke Tanjung Piai bagi bertemu keluarga angkatnya.
“Saya tak sangka Jannah ke laut untuk ke pulau buatan. Sudah banyak kali saya pesan jangan mandi laut sebab cuaca sekarang tak menentu kadang-kadang hujan, bahaya jika ke laut.
“Panggilan memaklumkan kejadian yang menimpa anak dan rakan mereka yang diterima pada pagi kejadian itu, cukup mengejutkan saya,” katanya.
Operasi gerakan menyelamat dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mengesan mayat Jannah sebelum ini
Sebelum ini, mayat Nurul Jannah ditemui seorang nelayan dalam hutan bakau berhampiran perairan Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) kira-kira jam 10.30 pagi, Sabtu lalu.
Jenazah Nurul Jannah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Piai selepas proses pengecaman mayat dilakukan oleh bapa angkat mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai mangsa.
Sempat bergurau ke kubur
Gurauan hendak ke kubur oleh arwah sebelum kejadian di pulau buatan itu berlaku masih diingati kakak angkat, Nur Haslin Zam Delaila, 25.
Nur Haslin berkata, dia tidak menyangka gurauan itu menjadi nyata selepas dimaklumkan mengenai kehilangan Jannah di pulau buatan akibat terjerlus ke dalam air.
Jelasnya, arwah seorang yang periang dan cukup rapat dengan keluarga angkatnya yang sudah dianggap seperti keluarga kandung.
Arwah Jannah selalu bertanya tarikh 26 November dan ada bergurau mahu ke kubur. Rupanya ada petanda dia mahu pergi menemui sang pencipta
“Sebelum arwah turun ke laut bersama adik dan empat lagi rakan mereka, arwah sempat bergurau beritahu dia hendak pergi ke kubur.
“Saya anggap itu hanya gurauan. Tak sampai sejam arwah ke laut, saya terkejut selepas dimaklumkan tentang kehilangan Jannah,” katanya sebak.
Dalam pada itu, Sabariah memberitahu arwah anaknya bersungguh-sungguh hendak membantu keluarga dengan bekerja sementara menunggu keputusan SPM kelak.
“Saya sekarang tak bekerja. Dulu kerja kilang, tetapi selepas terlibat kemalangan selepas Aidilfitri lalu, saya sukar untuk berjalan.
“Perbelanjaan dibantu oleh ahli keluarga. Saya juga mempunyai seorang anak kurang upaya,” katanya.
Warta pulau buatan sebagai kawasan larangan
Tidak mahu kejadian menimpa anaknya berulang, Sabariah meminta agar pulau buatan diwartakan sebagai kawasan larangan bagi orang awam.
Katanya, ramai orang luar yang berkunjung ke Tanjung Piai tertarik dengan pulau buatan yang terletak di tengah-tengah perairan Tanjung Piai dan dikelilingi dengan kapal-kapal dagang.
“Jadikan kejadian yang menimpa anak saya ini sebagai pengajaran supaya tidak berulang lagi pada masa depan.
“Pulau buatan bukan tempat makan angin. Ramai tidak tahu keadaan struktur pulau itu tidak kukuh,” katanya.
Sumber : SINAR HARIAN
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Jika betul-betul rajin dan berusaha, kejayaan pasti akan menyebelahi korang. InsyaAllah!
Siapa sangka lelaki yang hanya menjual barang-barang rumah dengan harga bajet, seorang bekas pekerja kilang kini menjadi seorang yang sangat berjaya dan jutawan?
Menurut laporan Bloomberg Billionaires Index, Miniso Group Holding Ltd yang berpangkalan di China telah mengaut dana sebanyak USD608 juta daripada tawaran awam awal di New York Thursday menjadikan saham 65% Ketua Pegawai Eksekutif, Ye Guofu yang dipegang bersama isterinya bernilai lebih daripada USD4 bilion.
Di China, 95% daripada produk yang dijual di Miniso bernilai di bawah harga 50 yuan (RM30) menjadikan ianya sebagai lokasi tumpuan belian yang memberikan saingan kepada syarikat barangan bajet dengan seperti Primark UK, Don Quijote Jepun dan Dollar General.
Menguasai hampir 60% pasaran barangan dagang di China, Miniso yang ditubuhkan pada 2013 oleh Guofu sehingga berjaya menjadi jutawan kedai runcit bersama seorang pereka Jepun, Miyake Junya sudah mempunyai lebih kurang 4,200 cawangan di 80 benua negara di benua Asia, Eropah, Australia, Afrika dan Amerika selepas tujuh tahun bertapak.
Inspirasi Kedai Jalanan Jepun
Miniso ditubuhkan dengan mengambil inspirasi daripada kedai jalanan Jepun yang menetapkan harga 100 yen untuk setiap barangan.
Bagi Guofu, frasa ‘semakin tinggi harga, semakin berkualiti produk yang ditawarkan’ hanyalah alasan untuk sesebuah perniagaan menjual produk dengan harga tinggi.
Jadi, dengan matlamat memberi manfaat kepada berjuta-juta penduduk dunia termasuklah golongan bangsawan dan orang kaya, Miniso dikembangkan dengan fokus kepada kualiti berbanding harga.
Bagusnya idea pemilik Miniso ni kan.
Jadi kelebihan yang ada pada diri sendiri dan jangan pernah bandingkan kemampuan korang dengan orang lain. Paling penting, rajin dan selalu berusaha. Betul tak?