
Rupa seorang lelaki yang dahulu agak hodoh bertukar kacak sehingga dia tidak dikenali ibunya sendiri. Perubahan paras rupa buruh binaan, Nopajit Monlin seakan-akan bintang K-Pop Korea menyebabkan jejaka ini menjadi gilaan ramai gadis di Thailand.
Selepas melakukan pembedahan plastik di Korea Selatan, ternyata wajah pemuda ini berubah 100 peratus, jauh lebih kacak berbanding wajah asalnya. Pembedahan plastik memang sangat popular di negara tersebut malah susah untuk mencari wajah asli kerana kebanyakan anak muda memilih melakukan pembedahan di wajah mereka.
Tapi sebelum mengutuknya, ada sebab mengapa pemuda ini melakukan tranformasi pada wajahnya. Sejak lahir, Nopajit Monlin dilahirkan dengan rahang bengkok dan sulit mengunyah makanan.
Kisah hidupnya mulai diperkatakan apabila dia muncul dalam rancangan Let Me In Thailand – Versi Thailand dari sebuah rancangan TV popular di Korea Selatan. Melihat kesukaran dirinya menjamah makanan serta rasa rendah diri yang sentiasa wujud, dirinya terpilih memasuki rancangan tv itu untuk make over wajah.
Di musim ke-3 program popular itu, Nopajit terpilih untuk menjalani pembedahan plastik di Korea Selatan. Disebabkan kelainan paras, wajahnya diubah 100 peratus. Bermula dari rahang, dahi hingga kelopak mata. Kelenjar lidahnya juga disuntik botok untuk membaiki air liur yang keluar berlebihan. Malah noda-noda di wajahnya juga hilang selepas menjalani perawatan.
Untuk memulihkan keseluruhan wajahnya, memerlukan masa tiga bulan. “Drama tangisan” bermula saat ibunya tidak lagi mengenali anak yang dilahirkan kerana perubahan ketara pada wajahnya.
Mereka duduk bersebelahan di dalam sebuah restoran kesukaan mereka tetapi saling tidak bertegur sapa. Saat kamera dihalakan ke arah ibunya, ibunya memaklumkan dia sangat merindui anaknya itu kerana sudah berbulan tidak bertemu.
“Saya sangat merinduinya,” katanya sambil menangis di depan kamera saat ditanya tentang anaknya.
Nopajit kemudian dilihat berjalan menghampiri ibunya dan memperkenalkan dirinya. “Ibu, ingat tak saya, cuba lihat diri saya sekarang,” kata pemuda ini.
Selepas itu, drama tangisan berlangsung lama kerana ibunya seperti tidak mempercayai jejaka kacak itu adalah anaknya. Berkali-kali dia nafikan sehinggalah bekas luka di tangan ditunjukkan dan selepas itu baru dia akuinya.
Dalam program tv tersebut, Nopajit melahirkan rasa syukurnya kerana perubahan atas penampilannya itu. Katanya lagi, tiada lagi orang memandangnya dengan satu pandangan sinis.
“Saya berasa jauh lebih baik. Dahulu masyarakat melihat saya dengan kelainan dan tidak dapat menerima kecacatan ini. Tapi sekarang, saya dapat banyak kenalan baru. Sumber Pos Kota News.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Streamers! Assemble! – Edisi Digital November 2025 Bersama 4 Duta Kempen sooka Gilerrr

Apa persamaan yang wujud di antara mereka berempat? Fresh? YES! Menghiburkan? YES! Konsisten-untuk-memberikan-kandungan-terbaik-kepada-peminat-[koranglah!]-pada-setiap-hari?? YES!
Sempena kempen sooka Gilerrr yang dibawakan oleh platform penstriman sooka, REMAJA bawakan empat penghias wajah sooka bagi menyoroti perkembangan terbaru mereka serta apakah makna istimewa sooka di hati masing-masing.
ketua bahagian New Gen FIEZREEN AHMAD editor & penata gaya FZ AIMMAN perletakan grafik & arahan seni AZNIZA AZIZ teks FATH ABU BAKAR & FZ AIMMAN pem. penyelaras ZOE@ZULAIKHA & SURIA NUR AMIRA fotografi JAZLAN NANGAR pembantu foto ISHRAF HAQIMI suntingan foto HEZRY ROKMAN penerbit video ADLI NORDIN videografi SUFYAN MARHABAN, IKRAM MASDY & EIMAN NURSYAZA suntingan video AMIRUL solekan CHE WAN dandanan ALBIN HASSAN persalinan NEONATE COMPANY & adidas MALAYSIA

AIMAN AMEER
TEKS: FATH ABU BAKAR
Bermula sebagai finalis pencarian Hero Dewi Remaja 2023 (HDR 2023), perjalanan seni Aiman Ameer semakin bersinar di layar kaca. Detik dinobatkan sebagai Hero Remaja musim tersebut bukan berakhir sekadar memperolehi sebuah gelaran tetapi menjadi titik tolak kepada kerjayanya dalam industri hiburan tanah air.
“Saya mula menapak dalam industri hiburan bermula daripada HDR 2023. Saya masih di fasa pertengahan di mana saya terus cuba melonjakkan nama. Alhamdulillah, rezeki saya belum pernah putus dan sentiasa ada untuk saya terus menapak dalam industri menerusi karya-karya yang menunjukkan fleksibiliti saya sebagai seorang pelakon seperti dalam drama bersiri Cinta Untuk Sekali Lagi, Kelas Tahanan Cikgu Hiragi dan terbaharu, Generasi; Perfect 10.
“Di antara bermacam-macam watak yang pernah dibawa oleh saya, dua watak yang paling memberi kesan ialah watak Kerol Malik dalam Kelas Tahanan Cikgu Hiragi dan watak Tengku Mukhriz dalam Generasi: Perfect 10. Sehinggakan jika saya bermain bola sepak di stadium, akan ada peminat yang menjerit nama ‘Mukhriz’ dari jauh.”

MENJADI SEBAHAGIAN DARIPADA KELUARGA sooka
Di sebalik perjalanan seninya yang masih muda, Ameer melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila terpilih sebagai duta rasmi aplikasi sooka iaitu platform penstriman yang semakin mendapat tempat di hati penonton Malaysia.
“Bila menjadi sebahagian daripada keluarga sooka, apa yang saya boleh katakan adalah saya amat bersyukur dan sooka giler apabila terpilih sebagai duta. Tambahan pula sebelum ini pun saya pernah membuat kempen bagi sooka (tahun 2021) sebelum saya mula dikenali dalam program HDR 2023.
“Saya langsung tidak menyangka menjadi duta bagi platform ini. Saya berjanji yang saya tak akan hampakan sooka. Bagi korang yang tidak sempat nak menonton mana-mana drama dan filem hebat di platform Astro, jangan risau kerana sekarang kita ada sooka. Platform ini dapat menyelamatkan korang agar tidak ketinggalan menonton setiap episod yang ada di sana,” katanya.

KIMBERLY CHUAH
TEKS: FATH ABU BAKAR
Sejak muncul sebagai pemenang tempat ketiga pencarian Dewi Remaja 2022, perjalanan seni Kimberly Chuah semakin menonjol di dunia hiburan tanah air. Bukan sahaja aktif berlakon, kepakarannya sebagai pengacara turut menambah dimensi pada kerjayanya.
“Saya sudah mula bergiat aktif sebelum menyertai Dewi Remaja lagi dalam bidang lakonan dan pengacaraan. Namun, perjalanan seni saya semakin berkembang selepas menamatkan saingan dalam Dewi Remaja. Saya mula menerima tawaran karakter yang lebih besar dan memberi impak berbanding sebelum ini,” kata Kimberly.
Antara drama yang mendapat perhatian ramai termasuklah Dr. Pontianak 1 dan Project: Exit. Pada masa yang sama, Kimberly menempatkan diri dalam bidang pengaraan menerusi gandingannya sewaktu segmen Big Stage Alpha Live + pada tahun 2025. Terbaru, Kimberly muncul semula bersama Sharifah Sakinah dalam drama bersiri Dr. Pontianak 2 yang boleh ditonton di platform sooka.

SEBARIS DENGAN SENIOR-SENIOR
Buat anak kelahiran Kuala Lumpur ini, rezeki terpilih sebagai salah seorang duta Sooka merupakan satu penghargaan besar. Bukan sahaja kerana platform itu memudahkan penstrima tetapi juga kerana hubungannya yang rapat dengan Astro sejak awal karier.
“Sebagai anak kelahiran program yang ditayangkan di Astro, saya amat bersyukur apabila dipilih sebagai salah seorang duta sooka. Dewi Remaja merupakan platform yang berjaya boost nama saya dan menerusinya, saya melakukan debut dalam naskah-naskah pelbagai genre di Astro.
“Maka, peluang menjadi salah seorang wajah kempen sooka Giler kali ini sudah tentu menjadi milestone dalam portfolio saya sebagai anak seni. Saya sangat gembira apabila wajah saya berada sebaris dengan senior-senior yang pernah menjadi sebahagian daripada kempen sooka seperti Nadhir Nasar dan Meerqeen,” tambahnya.
“sooka bukan sahaja platform penstriman yang mudah digunakan tetapi sangat relevan dengan gaya hidup remaja moden yang inginkan fleksibiliti menonton tanpa terikat kontrak.
“Sebelum ini kita ada Astro sahaja. sooka menambah nilai kepada pengalaman kita sebagai penonton kerana ia amat straightforward dan boleh distrim di mana-mana sahaja. Selain itu, sooka juga tidak membebankan penggunanya dengan komitmen kontrak. Sekiranya korang rasa ingin cancel, korang boleh melakukannya pada bila-bila masa. Terbukti, ia sangat convenient. Korang tidak perlu lagi menunggu di hadapan kaca televisyen tepat pada masanya atau merekod rancangan kegemaran korang,” jelas Kimberly.

WANI KAYRIE
TEKS: FZ AIMMAN
Wani Kayrie bukanlah nama baharu dalam persada hiburan tanah air. Menempah populariti menerusi naskah seni berkualiti dan tidak sesekali memilih jalan mudah menerusi episod kontroversi, Wani sememangnya merupakan salah seorang selebriti berimej bersih yang mewarnai dunia seni.
Perjalanan kerjaya Wani terukir bersandarkan bakat, kebijaksanaan dan gerak-geri yang dijaga tertib di mata masyarakat sejak bergelar finalis program realiti Kamilah Bintang di Astro Ceria.
Pejam celik, Wani telahpun menimba pelbagai bentuk pengalaman selama 15 tahun; baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa dengan secebis kejujuran terhadap dunia nyanyian. Sehinggalah baru-baru ini, Wani mencipta fenomena dengan lagu-lagu nyanyian baharunya.
“Bermula dari Kamu-Kamu yang bergenre pop dangdut, saya switched ke lagu Aiman Tino. Dari situ, orang ramai mula bercakap semula mengenai ‘Wani Kayrie’ disebabkan arah muzik saya yang telah berubah. Semua itu sebahagian daripada usaha rebranding bagi memasarkan lagi nama saya.
“Tahun 2025 cukup manis buat saya kerana dua buah lagu saya iaitu Yum Yum Ketupat dan Cak Cak Cekuk berjaya membuatkan peminat terus bercakap mengenai karya seni saya. Yum Yum Ketupat sebagai contoh mendaki tangga kedua lagu paling distrim di Spotify ketika musim perayaan dibanjiri dengan lagu-lagu catchy. Bermula dari situ juga, ramai kanak-kanak mula menggemari saya. Sedikit unexpected tetapi inilah hasil daripada usaha keras kami sepasukan.”

KEAJAIBAN LAGU HIT
“Saya tidak menidakkan kepentingan untuk mempunyai sebuah lagu hit. Sebagai penyanyi, saya tidak meletakkan sasaran untuk mana-mana lagu menjadi hit. Selalunya bila kita terlalu berharap benda itu tak akan menjadi, bukan? Cuma untuk Cak Cak Cekuk, saya mempunyai naluri yang mengatakan lagu ini akan melekat di hati orang kerana lirik dan ritmanya,” jelas Wani.
Perubahan arah muzikal Wani juga banyak berpunca daripada keinginan peminat sendiri yang lebih meminati genre rancak daripadanya. Selagi peminat sukakan lagu-lagu rancak, selagi itulah Wani akan melayan keinginan mereka itu.
“Bagi saya, keinginan peminat untuk menghiburkan diri mereka lebih utama berbanding keinginan genre yang saya minati buat masa ini. ‘Wani Kayrie’ pada era ini tidak boleh terlalu ‘cintan-cintun’. Biarlah penyanyi lain yang bawa genre itu,” katanya.
WANI KAYRIE SEBAGAI SEORANG PELAKON
“Saya terbuka sahaja ke arah apa-apa watak yang diberikan asalkan ia masih mematuhi keperibadian saya. Walaupun saya ingin meluaskan pengalaman sebagai seorang pelakon, saya tidak akan memperjudikan masa depan dengan ‘pakai ambil’ apa-apa jenis watak. Saya selesa membawakan watak-watak audience–friendly di mata penonton.
“Contohnya menerusi drama-drama saya yang boleh ditonton dalam aplikasi sooka. Dalam Ratu Tenpin musim 1 dan musim 2, saya bawakan watak pemain boling. Dalam naskah bergenre komedi seram Saka Bapak Kau pula, mereka tertawa dengan watak saya tersebut. Dan akan datang, saya bakal muncul dalam sebuah telemovie berjudul Tangkis sebagai pemain badminton kebangsaan.
“Kalau perasan kebanyakan daripada watak-watak yang saya jayakan ini bertemakan dunia sukan yang dekat dengan hati saya. Yang penting, kesemuanya boleh korang tonton semula menerusi sooka.”
FREE CLASSROOM MENERUSI sooka
Ternyatalah mana mungkin rezeki tersalah alamat. Wani baru-baru ini telahpun diperkenalkan sebagai salah seorang duta kempen sooka Giler; platform penstriman yang cukup dekat dengan jiwanya yang juga bergelar seorang pelanggan apliksi tersebut.
“Jujurnya, saya tidak sempat untuk mengikuti program kegemaran saya di televisyen. Lagipun, saya amat meminati acara sukan terutamanya acara siaran langsung badminton yang melibatkan atlet-atlet kebangsaan. Selain sukan, saya juga menggemari program-program nyanyian realiti yang turut bersiaran secara langsung.
“Kalau nak tahu, saya merupakan seorang pengikut tegar program realiti seperti Big Stage dan Gegar Vaganza. Bukan kerana saya pernah bergelar peserta Big Stage musim pertama, tetapi saya memang gemar memberi sokongan kepada rakan-rakan penyanyi lain. Pada masa yang sama, ternanti-nantikan komen barisan juri profesional. Ia sedikit sebanyak membantu saya untuk memperbaiki skil nyanyian dan penguasaan pentas saya sendiri apabila beraksi. Free classroom, orang kata! (Ketawa).
“Bila melihat kecanggihan dan transformasi format season by season, saya terasalah juga sedikit cemburu apabila melihat pengalaman mereka sekarang. Dulu setakat menyanyi sahaja tetapi sekarang dengan kuasa tular di media sosial, para peserta boleh mengambil peluang yang lebih luar untuk memperkenalkan diri mereka sebagai pendatang baharu. Alangkah best jika masuk musim-musim sekarang. So, I live that dream of mine through watching them on sooka,” titipnya.

EVERTTS GOMES
TEKS: FZ AIMMAN
Menyoroti perjalanan kerjayanya selepas menamatkan saingan dalam program Hero Dewi Remaja (HDR) 2023, momentum diskografi pelakon muda kelahiran Sabah, Evertts Gomes dilihat semakin stabil apabila dia mula membina nama di atas potensi dan bakat yang ada padanya.
Duta kempen sooka Giler ini turut merasai tempias populariti semakin berpihak kepada dirinya dan ia terbukti apabila baru-baru ini, namanya tercalon di dua anugerah berbeza iaitu untuk Asian Content Awards 2025 di mana kemenangan berpihak kepadanya dan untuk Anugerah Bintang Popular (ABP) Berita Harian 37 dalam kategori top 10 Artis Lelaki Baharu Popular.
Lalu rezeki yang semakin deras ini secara tidak langsung membuatkan Evertts semakin serius dan fokus terhadap misi untuk menjadi salah seorang pelakon yang dihormati, satu hari nanti. Seiring dengan peluang yang terbuka luas buatnya itu, Evertts juga mula memahami erti pengorbanan masa bersama rakan-rakan yang sebelum ini selalu berada di sisi.
“Saya sebenarnya tidak menyangka pencalonan tersebut memandangkan ia melibatkan undian peminat. Dan jujurnya, saya merasakan ‘terlalu baru’ untuk saya tercalon kerana saya tahu, ada banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari.
“Sewaktu menerima anugerah di Asian Content Awards 2025, saya menganggap ia sebagai kejayaan pasukan drama Curang Tanpa Niat kerana bagi saya, trofi itu bukan milik saya seorang.
“Apa-apa pun, jika bukan disebabkan oleh peminat yang mengundi dan menonton lakonan saya, saya tidak akan berada di sini. Mana tahu pada masa akan datang, tiba masa untuk bakat saya dihargai hasil undian juri-juri profesional pula,” katanya.
DAMBAKAN NASIHAT SENIOR
Di mata pelakon berusia 27 tahun ini, dia selalu menganggap dirinya sebagai pendatang baharu tanpa mengira berapa lama keberadaannya dalam industri ini. Jika dibandingkan dengan selebriti lain, bagi Evertts projek-projek lakonannya juga belum menyeluruh dari sudut genre.
“Bagi saya, tidak kira berapa lama saya sudah berada dalam industri ini, akan ada pelakon lain yang lebih senior di set penggambaran. Secara peribadinya, saya rasakan saya belum beri sepenuhnya lagi. Saya masih akan meminta nasihat daripada pelakon yang lebih senior seperti Noki (rakan di set penggambaran Thariq Ridzuwan: His Treasure) dan kak Ellie Suriaty yang tidak lokek untuk berkongsi ilmu lakonan dan selok-belok industri.
“Saya pernah terlibat dalam penggambaran sebuah iklan bersama kak Ellie. Walaupun hanya untuk beberapa hari sahaja, we instantly bonded dan saya mudah merasakan beliau sebagai seorang motherly figure yang diperlukan oleh mana-mana pendatang baharu. Beliau mempunyai tempat yang istimewa di hati saya di mana saya akan selalu memperolehi ilmu baharu setiap kali kami berjumpa,” katanya.

TIDAK ‘CRINGE’ MENONTON LAKONANNYA MENERUSI sooka
Fun fact! Sekiranya Evertts tidak meluangkan masa bersama rakan-rakan, dia memilih untuk menetap di rumah dan menonton televisyen menerusi sooka.
Kongsi Evertts, antara drama yang menjadi pilihan di sooka termasuklah Curang Tanpa Niat, Kelas Tahanan Cikgu Hiragi, filem Ombak Rindu, drama Projek: High Council dan filem Kahar: Kapla High Council. Malah, Evertts juga teruja apabila sooka baru-baru ini menawarkan aneka pilihan filem-filem lama terutamanya yang melibatkan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
“Rutin saya pada setiap malam Jumaat sekarang adalah menunggu di hadapan skrin bagi menonton Generasi: Perfect 10 (GP10) menerusi sooka. Ramai kawan-kawan saya yang terlibat dalam drama bersiri itu di samping kak Sharifah Sakinah yang pernah saya kenali di set penggambaran Curang Tanpa Niat.
“Untuk pengetahuan korang, kak Sharifah Sakinah terpaksa membahagikan masa di antara set penggambaran GP10 dan Curang Tanpa Niat kerana kedua-duanya saling bertembung pada waktu yang sama. The way she carries dua watak ‘langit dan bumi’ ini adalah sesuatu yang cukup menyeronokkan untuk saya tonton.
“The furthest I have searched is Crush Pilihan Mama yang merupakan telemovie pertama saya ketika masih bertanding dalam Hero Dewi Remaja 2023. Apabila saya menonton lakonan lama saya, tentulah cringey moments itu ada tetapi ia mengajar saya untuk memperbaiki lakonan sekarang,” jelasnya.
Mengakhiri pertemuan kami di set cover shoot untuk sooka kali ini, keempat-empat orang duta terbaru sooka ini turut mengajak peminatnya untuk menonton iklan-iklan kempen sooka Giler yang bagi mereka cukup kreatif, menyeronokkan dan mempunyai sisi comedic timing yang jarang kita lihat dalam iklan-iklan tempatan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sharnaaz Ahmad Dedah Magik Rompak Tinggalkan Emosi Selepas Pemergian Bapa -“Dua Babak Buat Saya Sebak”

Selepas berjaya melakonkan watak Ghaz dalam filem Blood Brothers: Bara Naga, pelakon popular Sharnaaz Ahmad kembali menghiasi layar perak menerusi sebuah naskhah aksi jenayah berjudul Magik Rompak arahan Adrian Teh.
Menariknya, ini kali pertama Sharnaaz membawakan karakter unik seorang ahli silap mata hebat bernama Hadini.
Walaupun filem tersebut menerima tepukan gemuruh ketika tayangan perdana baru-baru ini, Sharnaaz akui menontonnya semula bukan sesuatu yang mudah buat dirinya.

Pelakon berusia 40 tahun itu mengakui, Magik Rompak meninggalkan kesan mendalam kerana mengingatkannya pada detik kehilangan bapa tercinta, Allahyarham Datuk Basir Ahmad, yang meninggal dunia pada November tahun lalu ketika penggambaran masih berlangsung.
“Filem ini mengamit memori yang sangat perit buat saya. Bapa saya nazak dan meninggal semasa saya menjalani penggambaran filem ini. Semasa mendapat berita arwah bapa sakit, niat saya hanya kerja kerana fikiran memang sudah risaukan bapa.
“Ada dua babak yang membuat saya berasa sedih. Satu ketika babak pembukaan semasa saya berada di atas kontena, waktu itu saya mendapat tahu bapa sedang nazak dan juga babak imbas semula.
“Semua reaksi babak imbas semula itu, seperti rasa kosong dan rasa kehilangan adalah benar kerana penggambaran dibuat dua hari selepas bapa saya meninggal dunia,” katanya.

Sharnaaz juga tidak lupa menzahirkan penghargaan terhadap Adrian Teh yang begitu memahami keadaannya walaupun produksi terpaksa menanggung kerugian besar ketika itu.
“Adrian antara orang yang paling rapat dengan saya sekarang. Saya masih ingat kata-kata dia, ‘kalau aku tak bagi kau balik jumpa bapa, aku akan menyesal sampai bila-bila’. Disebabkan itu, saya sempat ada masa terakhir bersama arwah, walaupun ketika itu bapa sudah tidak sedar.
“Bayangkan, set yang digunakan bernilai hampir RM100,000 sehari termasuk kos kontena, crane, lampu, teknikal dan pelakon tambahan. Tetapi dia rela rugi kerana nilai keluarga lebih besar. Itu buat saya rasa terhutang budi dengan dia sebagai kawan dan pengarah,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Sharnaaz turut berkongsi pengalamannya berlatih selama enam minggu untuk benar-benar mendalami karakter ahli silap mata.

“Bukan saya seorang, semua pelakon utama ada latihan aksi dan magik. Cuma saya dengan Nadhir Nasar paling lama berlatih.
“Pengajar kami sangat sabar sebab tangan saya keras, sedangkan seorang ahli silap mata perlukan tangan yang lembut,” katanya berseloroh.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
CORTIS Cipta Sejarah! Jadi Artis K-Pop Pertama Gegar Pentas NBA Crossover Concert 2026

Bintang K-Pop generasi kini, CORTIS baru-baru ini terus mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila diumumkan sebagai artis K-Pop pertama yang bakal membuat penampilan utama dalam NBA Crossover Concert Series sempena NBA All-Star Weekend 2026 di Los Angeles sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai rookie paling menyerlah dalam industri muzik global.
Menerusi sebuah pengumuman rasmi NBA, acara berprestij tersebut akan berlangsung di Los Angeles Convention Center pada 12, 13 dan 14 Februari 2026. Di mana ia akan menghimpunkan elemen muzik, sukan dan budaya dalam satu platform hiburan berskala besar.
Dalam pada itu, CORTIS juga dijadualkan membuka tirai konsert pada malam pertama, menjadikan mereka antara tumpuan utama sepanjang hujung minggu All-Star itu dan peluang bersejarah ini turut disambut dengan penuh keterujaan oleh kumpulan yang dianggotai oleh James, Juhoon, Martin, Seonghyeon, dan Keonho.

“Ini adalah momen besar bagi kami untuk menjadi kumpulan K-Pop pertama yang tampil di NBA Crossover dan memulakan All-Star Weekend,” kata CORTIS dalam satu kenyataan rasmi.
“Kami sangat bersyukur atas kesempatan ini dan bersemangat untuk tampil di pentas dan berjumpa dengan peminat secara langsung,” jelasnya lagi.
Di samping itu, kejayaan CORTIS ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, memandangkan prestasi memberangsangkan mereka sejak debut pada Ogos lalu. Album sulung kumpulan ini yang berjudul ‘COLOR OUTSIDE THE LINES’, berjaya menembusi carta Billboard 200 di kedudukan ke-15, selain mencatat lebih 100 juta penstriman terkumpul di Spotify dalam tempoh lebih sebulan, membuktikan populariti mereka yang semakin kukuh.


Sementara itu, pihak NBA sendiri menyifatkan CORTIS sebagai artis yang membawa pendekatan segar dan merentas sempadan, selari dengan semangat inovasi NBA Crossover yang menggabungkan pelbagai cabang hiburan dan budaya pop.
Kehadiran CORTIS sebaris dengan nama-nama besar industri muzik antarabangsa turut menjadi bukti pengaruh K-Pop yang semakin diterima dalam arus perdana global.
Pada masa yang sama, konsert tersebut turut menampilkan artis ternama seperti Ludacris, legenda hip hop dari Atlanta dan pemenang Anugerah Grammy, serta Shaboozey yang mencatat kejayaan di carta Billboard Hot 100. Ludacris dijadualkan menjadi penampil utama Konsert Michelob ULTRA Courtside pada malam Jumaat, menambah nilai eksklusif kepada acara tersebut.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

