Peringkat akhir pertandingan pengucapan awam #SayaRemajaMalaysia sudah pun melabuhkan tirainya pagi tadi dengan menyaksikan pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Aiena Batrisyia Binti Sulaiman bergelar juara keseluruhan.
Daripada ratusan penyertaan yang dihantar oleh pelajar sekolah menengah rendah dan menengah atas, hanya enam peserta yang disenarai pendek untuk beraksi secara langsung di acara pengumuman pemenang kempen #SayaRemajaMalaysia yang disiarkan di laman Facebook rasmi Majalah Remaja.
Membawakan tajuk ‘Bahasa Penyatu Bangsa’, penyampaian jelas daripada Aiena Batrisya berjaya menambat hati panel juri yang terdiri daripada wakil dari Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Encik Rusdi Abd Rahman, bekas pendebat UiTM Encik Muhammad Hariri Zolkifli serta pelakon dan pengacara Uyaina Arshad.
“Sejujurnya saya tidak menyangka dapat menyandang gelaran juara dalam pertandingan pengucapan awam anjuran Majalah Remaja ini kerana melihatkan kepada barisan peserta hari ini, masing-masing mempunyai kelebihan dan telah melakukan yang terbaik. Alhamdulillah, agaknya sudah tertulis rezeki saya untuk menjadi juara kali ini,” luah Aiena.
Pengalaman menjadi ahli debat dan pidato di sekolah memberikan kelebihan buat pelajar ini kerana sememangnya dia sudah biasa menyertai pertandingan seumpama ini, namun jelasnya walaupun begitu dia tetap berasa gugup setiap kali ingin memulakan persembahan.
“Sejak dari darjah tiga lagi, saya telah diberikan pendedahan oleh ibu dan ayah untuk menyertai pertandingan bercerita. Daripada situ, say amula meningkatkan rasa keyakinan diri, sehinggalah saya menyambung pelajaran di Kolej Tunku Kurshiah, saya kini lebih aktif menjadi wakil pelajar dalam pertandingan pidato dan debat,”
Ads
“Sebenarnya hari ini merupakan hari bertuah saya kerana ada dua pertandingan besar yang saya sertai iaitu pertandingan pengucapan awam bersama Majalah Remaja dan pertandingan pidato anjuran Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Melaka. Lima minit sebelum diumumkan sebagai juara di Facebook Remaja, dalam masa yang sama saya juga telah diumumkan sebagai juara bagi kategori sekolah menengah acara pidato itu. Saya sangat bersyukur kerana ini antara pencapaian tertinggi yang saya peroleh sepanjang bergiat dalam bidang ini,” jelas Aiena lagi.
Bagi Aiena apalah makna kejayaan jika tidak ada individu yang memberikan sepenuhnya dorongan dan sokongan kepadanya. Berkat kejayaannya ini sebenarnya adalah hasil didikan daripada kedua ibu bapa dan para guru yang sentiasa memberikan tunjuk ajar.
Ads
“Kejayaan seorang pelajar mestilah diiringi dengan sokongan ibu bapa, keluarga dan tak lupa juga para guru yang sering memberi tunjuk ajar. Daripada segi penyiapan teks ucapan, itu merupakan gabungan idea guru pidato saya dan ibu yang sentiasa memberi komitmen serta sokongan walaupun hanya bergelar suri rumah,”
“Sebagai wakil remaja Malaysia, saya berharap agar generasi millennial 4.0, teruslah berkecimpung dalam bidang-bidang seperti pengucapan awam dan berpidato kerana suara kita adalah suara masa hadapan untuk menjadi pemimpin pelapis negara,” tambahnya lagi.
Tahniah Remaja ucapkan kepada semua finalis pertandingan pengucapan awam #SayaRemajaMalaysia pada tahun ini. Diharap lebih ramai lagi remaja yang berani menyertai pertandingan-pertandingan seumpama ini pada masa hadapan. Semoga dengan penganjuran kempen ini sedikit sebanyak dapat memupuk semangat dan rasa sayang remaja kepada negara tercinta.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Benih yang baik dicampak ke laut, jadi pulau akhirnya…
Kekangan pembelajaran ketika pandemik Covid-19 tidak mematahkan semangat Chong Jia Xin untuk berjaya dalam pengajiannya. Graduan dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Sistem Komputer) ini cemerlang apabila dia dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pro-Canselor ketika Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang kali ke-17.
Berkongsi mengenai cabaran pengajiannya, “Saya masih ingat lagi, pada waktu itu kami diwajibkan menghadiri kelas secara dalam talian. Ia menyebabkan kekurangan dalam komunikasi secara bersemuka.”
Namun perkara tersebut tidak menjadi satu halangan buat dirinya, sebaliknya Jia Xin menggunakan kaedah tersendiri bagi memahami sesi pembelajaran yang diajar oleh pensyarah. Kongsinya, “Untuk mengatasi masalah itu, saya akan menonton rakaman video kuliah dengan berulang kali dan bertanyakan kepada penyarah jika mempunyai sebarang pertanyaan.”
Jia Xin sangat konsisten dalam pengajiannya, dia bukan sahaja mendapat anugerah dekan setiap semester bahkan dia pernah meraih Anugerah Emas ketika mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) sebelum ini. Dia yang aktif dalam bidang penyelidikan turut pernah meraih pingat Perak dalam 12th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX 2022).
Turut aktif dalam bidang kokurikulum, Jia Xin diberi kepercayaan untuk memegang jawatan seperti Ketua Bahagian Teknologi Kejuruteraan Institusi Jurutera Malaysia Seksyen Pelajar, Naib Presiden, Persatuan Bahasa Mandarin, Ketua Peraturan di UMP IEM’VENTION’21 dan lain-lain lagi.
Anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik ini mendedikasikan anugerah tersebut kepada kedua ibu bapanya yang telah banyak berkorban dan memberikan sokongan untuk melihat dia berjaya. Bapanya yang bekerja sebagai seorang mekanik semestinya bangga dengan pencapaian anak perempuannya itu.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kata “golongan” dan “gulungan” merupakan dua perkataan yang jelas berbeza bukan sahaja dari segi ejaan tetapi juga maksudnya. Walau bagaimanapun, pengguna bahasa Melayu kerap keliru tentang penggunaannya malah ada yang sewenang-wenangnya menggunakan kata “golongan” dan “gulungan” tanpa mengambil kira ketepatan penggunaan mengikut konteks yang betul.
Sehubungan dengan itu, kedua-dua perkataan tersebut berbeza makna kerana didasari oleh kata dasar yang berbeza, iaitu “golong” dan “gulung”. Kata “golongan” terbit daripada kata dasar “golong” yang menerima akhiran “-an”. Imbuhan akhiran “-an” membawa maksud hasil daripada melakukan maksud yang terkandung dalam kata dasar. Oleh itu, kata terbitan “golongan” bermaksud kumpulan atau kelompok, iaitu hasil daripada perbuatan mengelompokkan atau mengasingkan dalam beberapa kumpulan.
Berbeza pula halnya dengan kata “gulungan” yang terbit daripada kata dasar “gulung” yang bermaksud sesuatu yang dijadikan berbentuk bulat torak (bulat panjang seperti bentuk silinder) dengan melingkarkannya. Oleh itu, kata terbitan “gulungan” membawa maksud lipatan berbentuk bulat torak dan apa-apa yang sudah bergulung.
Oleh hal yang demikian, seharusnya kata “golongan” dan “gulungan” digunakan dengan betul mengikut konteks ayat.
Contoh penggunaan kata “golongan” dan “gulungan” dalam ayat.
Golongan remaja merupakan pengguna media sosial yang aktif.
Kita harus menyantuni golongan gelandangan kerana mereka juga insan yang ada hati dan perasaan.
Gulungan tikar yang disandarkan pada dinding itu terjatuh.
Adik menarik gulungan tisu dapur dengan segera untuk mengelap air teh yang tertumpah di atas meja makan.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Dr. Rabahyah binti Tahir.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Mekyun atau nama sebenarnya, Wee Yun Nee merupakan seorang pempengaruh yang cukup popular dalam kalangan warganet di Malaysia. Keletahnya sebagai gadis berbangsa cina yang fasih berbicara dalam dialek negeri Kelantan mencuit hati sesiapa sahaja menonton kandungan yang dimuat naik di media sosial miliknya.
Merupakan graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), gadis berusia 25 tahun ini ialah bekas pelajar dalam jurusan Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik.
Cemerlang sepanjang penganjiannya, Mekyun merupakan graduan kelas pertama dan penerima Anugerah Naib Canselor di pengajian peringkat diploma. Mengulangi kecemerlangan, dia turut mencapai keputusan kelas pertama dan turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor serta Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik untuk pengajian peringkat ijazah sarjana muda.
Baru-baru ini mencipta satu lagi sejarah untuk dirinya. Mekyun telah dipilih untuk menghiasi papan iklan gergasi UTHM di bahagian pintu masuk universiti tersebut. Bukan calang-calang bekas pelajar boleh terpilih, dia ternyata menjadi antara alumni universiti tersebut yang memberikan contoh baik.
Mekyun bersama ibu,ayah dan adik beradiknya di hadapan papan iklan gergasi UTHM.
Dalam satu hantaran di laman Instagram, Mekyun berkongsi sebuah video kegembiraan saat dia bersama keluarganya melawat universiti tersebut. Ujarnya, “Another milestone untuk Mekyun! Mekyun masuk billboard universiti Mekyun gais!!! I’m so proud & honoured to be featured in my uni’s billboard!! Thank you UTHM. Still tengah cubit diri sendiri! Korang dah tengok belum billboard ni?”
Tidak melepaskan peluang bergambar dengan papan iklan tersebut, Mekyun yang cantik berbaju putih dan berseluar palazzo dilihat tersenyum lebar.
Dalam satu hantaran lain pula, dia menambah lagi, “Still tak percaya Mekyun masuk billboard besar ni! So proud of my dear self, achievements and how far I’ve come. This goes out to my family, friends and korang semua. Mekyun sayang sangat dekat korang tau.”
Walaupun popular di media sosial dan berkerjasama dengan pelbagai jenama, gadis Kelantan ini memilih untuk melakar kerjaya profesionalnya dalam dunia korporat. Sejak Mei 2022, dia bergelar Growth Executive di Teleport by AirAsia. Syarikat tersebut merupakan satu cabang peniagaan AirAsia dalam bidang logistik.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.