Ibu mana yang tidak gembira apabila anaknya berjaya menamatkan pengajian setelah berjuang untuk segulung Ijazah. Penyanyi terkenal, Nourul Depp baru-baru ini berkongsi di laman Instagram berita mengenai anak sulungnya, Ayu Nazirah Mohd Faizal telah berjaya menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Mengambil jurusan zoologi, Ayu cemerlang menamatkan pengajian sebagai pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains dan Pengurusan Sumber Haiwan).
“Betapa bangganya mama melihat kamu dalam jubah konvokesyen. Untuk gadis yang paling bertuah di dunia, untuk cinta pertamaku, kamu berhak memperoleh yang terbaik di dalam dunia selepas apa yang kamu lalui.
“Ayu telah melalui banyak perkara sejak berusia lapan tahun lagi. Namun dia berjaya mengharungi segalanya. Lebih kuat dan lebih baik, Jadi tegas tetapi bukan kurang ajar, berbuat baik untuk diri sendiri, berbuat baik kepada orang lain, sentiasa berbuat baik. Pilih menjadi baik dan sopan,” tulis Nourul.
Ads
Untuk pengetahuan pembaca, Ayu juga merupakan seorang penerima Anugerah Dekan ketika menyiapkan pengajiannya di UNIMAS. Bukan sekadar cemerlang di peringkat ijazah, kecemerlangan gadis berusia 24 tahun ini sebenarnya dibuktikan sejak berusia 17 tahun lagi apabila dia memperoleh 2A+ dan 7A di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
Merupakan bekas pelajar Sekolah Tun Fatimah (STF), Johor Bahru yang sememangnya dikenali sebagai sekolah berasrama penuh terulung di negara ini, ternyata Ayu memiliki visi yang jelas tentang apa yang dimahukannya.
Bukan calang-calang sekolah, STF merupakan sebuah institusi pendidikan yang banyak melahirkan tokoh wanita di Malaysia.
Ads
Dalam temubual bersama media, Ayu berkongsi mengenai moto hidupnya, “Saya seorang yang sukakan cabaran dan suka mencuba perkara-perkara baharu dalam hidup. Saya suka mencabar diri. Moto hidup work hard, play hard menjadi pegangan saya dan perkara ini menjadikan diri saya lebih berusaha untuk maju ke hadapan.”
Untuk pengetahuan pembaca, Ayu merupakan zuriat hasil perkahwinan terdahulu Nourul Depp bersama penyanyi & komposer terkenal, Ajai yang dikahwini pada 1996 sebelum berpisah pada 2007.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kumpulan hip-hop Zeppo Youngsterz yang pernah tular kerana video klip mereka meminta sumbangan dana untuk ke pertandingan tarian Body Rock akhirnya berjaya membuktikan bahawa setiap sen yang dihulurkan jelas bermanfaat apabila diumumkan berjaya menduduki tempat pertama pertandingan tersebut.
Dalam rayuan video berdurasi 48 saat di Instagram tersebut, kumpulan hip-hop Zeppo Youngsterz berkata mereka adalah satu-satunya rakyat Malaysia pada peraduan itu, dan akan bersaing dengan krew tarian profesional lain dari Filipina, Jerman, Kanada dan Mexico.
Hasil daripada video klip tersebut, mereka berjaya meraih dana yang mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan yang terdiri dari kos tiket penerbangan, penempatan dan sebagainya. Antara penyumbang terbesar ialah dari Syarikat Tune Protect dan Kementerian Belia dan Sukan sendiri.
Bahkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Adam Adli sendiri turut serta hadir memberi semangat kepada pasukan penari tersebut sebelum mereka berlepas di KLIA1.
Turut komen meraikan kejayaan mereka ialah wakil rakyat Muar, YB Syed Saddiq yang sebelum ini turut menderma dan mempromosikan pengumpulan dana kumpulan tersebut di media sosialnya.
“Hebat! Tahniah dan terima kasih kerana mengibarkan bendera Malaysia setinggi-tingginya,” komennya.
Sekadar info, Zeppo Youngsterz telah ditubuhkan pada 2011 dan dianggotai oleh belia tempatan yang berumur antara 13 hingga 32 tahun. Mereka menggabungkan unsur hip-hop dan seni mempertahankan diri ke dalam rutin mereka.
Pada tahun 2020, mereka telah mewakili Malaysia dalam pertandingan Body Rock Asia di Filipina, di mana mereka menduduki tempat ketiga.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Bukan mudah untuk seseorang artis seni visual muda mendapat peluang mempamerkan kreativiti serta skilnya menerusi pameran solo di galeri tempatan; apatah lagi untuk memperolehi peluang berbuat sedemikian di galeri antarabangsa.
Berdiri di atas bakat sendiri dan dek minat yang mendalam dalam dunia seni visual, gadis keturunan Malaysia yang dikenali sebagai Azzah Sultan baru-baru ini telah dihidangkan peluang untuk mengetengahkan karya seninya di Galeri Trotter & Sholer, New York menerusi pameran solo keduanya.
Bercakap kepada REMAJA sewaktu dihubungi baru-baru ini, Azzah menggambarkan peluang ini telah lama didambakannya sejak minat terhadap dunia artistik berputik pada usia kanak-kanak.
Azzah dibesarkan dalam persekitaran berbeza; dilahirkan di Abu Dhabi dan kemudiannya dibesarkan di beberapa buah negara termasuklah Malaysia, Arab Saudi, Finland, Bahrain sebelum akhirnya berkelana di Amerika Syarikat. Boleh dikatakan sepanjang kehidupannya dihabiskan dengan peluang merantau. Enggan melupakan jati diri, Azzah sebaliknya lebih menghargai budaya serta tradisi yang dimilikinya sebagai seorang yang berjiwa Malaysia.
“Saya berpindah ke New York pada usia 16 tahun sebagai penuntut jurusan Seni Halus di Parsons. Dari situ saya mengembangkan potensi saya sebagai seorang artis seni visual hingga menamatkan pengajian Sarjana dalam jurusan Seni Halus di Washington State University pada tahun 2020.
“Saya kemudiannya kembali ke kota New York dan di sinilah saya berpeluang mengadakan pameran solo pertama saya bersama galeri Trotter and Sholler sewaktu pandemik melanda. Pada waktu sama, saya tidak berhenti daripada mengambil tugas sebagai seorang guru seni dan turut meneruskan residensi bersama Pioneer Works,” kongsinya sewaktu dihubungi.
Azzah menggambarkan keputusannya untuk berkecimpung dalam dunia seni visual ini tidak selalunya indah. Sekiranya di Malaysia, bidang seni halus kadangkala diperlekehkan sebagai bidang ‘tiada kepentingan’, situasi sama tidak jauh berbeza di New York.
Selalunya, remaja hilang segala keyakinan diri untuk memilih seni sebagai cabang kerjaya memandangkan banyak kata-kata negatif di sekeliling yang berbisik jalan yang dipilih ini tidak mungkin dapat menjamin kehidupan yang selesa.
Namun jika korang rajin mencari peluang dan bijak mengatur langkah sebagai seorang artis seni visual, dalam diam rupanya ada banyak dana serta sumber di luar sana yang boleh membantu seseorang mengejar impiannya.
Contoh paling jelas yang dapat REMAJA kongsikan adalah bagaimana Azzah berjaya muncul dengan pameran seni solo keduanya berjudul Batu Belah, Batu Bertangkup sejak 20 Januari lalu.
“Kisah dongeng Batu Belah, Batu Bertangkup adalah antara kisah yang selalu saya dengari ketika kanak-kanak. Dalam kisah sebegini, perhubungan di antara ibu dan anak perempuan sering digambarkan sebagai bermasalah dan tragis. Ibu pula selalu dilabel sebagai watak jahat.
“Namun menerusi pameran Batu Belah, Batu Bertangkup ini, saya telah singkapkan lapisan yang lebih kompleks dalam konteks figura seorang ibu. Ibu di sini saya gambarkan sebagai seorang insan yang terpaksa melalui kepayahan dan trauma yang dirasainya selama ini terserlah menerusi tingkah lakunya.”
“Mak, don’t talk like that” Azzah Sultan 2021-2022, Oil on canvas with hand stitched fabric. 48 x 48 in. Foto : Instagram @sitisultan
“Saya ingin pemerhati merasai betapa terusiknya emosi sang ibu yang bertanggungjawab ke atas anak perempuannya. Permulaan pameran Batu Belah, Batu Bertangkup ini seakan diceritakan dari sudut pandang seorang ibu. Barulah kemudiannya saya mengubah kepada perspektif sang anak pula pada bahagian kedua pameran.
“Pada lukisan terakhir saya yang berjudul Not My Burden To Bear, anak perempuan tadi tersedar bahawa dia tidak berdiri di bawah bayang-bayang ibunya tetapi dia ialah insan yang boleh membuat keputusan sendiri. Dari situlah baru si dia dapat melupakan tragedi lampau dan ‘move on’,” jelas Azzah.
“Don’t forget what I’ve told you” Azzah Sultan 2021-2022, Oil on canvas with hand stitched fabric and found pearls. 48 x 48 in. Foto : Instagram @sitisultan
Bagi Azzah, pemilihan kisah dongeng Melayu sebagai inspirasi utamanya adalah demi membuatkan gadis muda mudah memahaminya.
Mana-mana anak gadis di luar sana mempunyai figura ibu dalam hidup mereka. Azzah enggan lagi membiarkan naratif negatif yang sama setiap kali perhubungan antara ibu dan anak perempuannya dijadikan sebagai inspirasi.
Sebaliknya, menerusi Batu Belah, Batu Bertangkup; Azzah inginkan pemerhati wanitanya merasai betapa hebatnya diri mereka sebagai seorang individu. Si anak bukanlah 100 peratus bayangan siapa gerangan ibunya. Masing-masing ialah insan berbeza. Jika seseorang itu berjaya, ia adalah hasil usahanya. Jika seseorang itu bersalah, ia adalah tanggungjawab yang harus dipikulnya dan bukannya meletakkan kesalahan itu ke atas ibunya.
“Kisah Batu Belah, Batu Bertangkup semakin dilupakan oleh generasi baharu. Oleh itu, ini adalah cara saya untuk mengembalikannya menerusi konteks yang lebih moden dan segar,” simpul Azzah.
Situasi ‘full house’ sewaktu malam pelancaran pameran ini pada 20 Januari 2022. Foto : Instagram @sitisultan
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pada minggu ini, perkataan “lockdown” tiba-tiba menjadi popular. Hal ini berlaku apabila kerajaan mengambil keputusan untuk mengadakan “lockdown” fasa 2 di seluruh negara bermula pada 1 hingga 14 Jun 2021 selama 14 hari.
Persoalannya ialah mengapakah masyarakat tidak mahu menggunakan istilah dalam bahasa Melayu? Tidak adakah istillah “lockdown” dalam bahasa Melayu? Ada sesetengah pengguna pula yang menggunakan akronim “kuncitara” yang dicipta daripada frasa “kunci sementara”. Akronim yang tidak baku ini banyak digunakan oleh masyarakat di Indonesia.
Perkataan yang baku untuk “lockdown” di negara kita ialah “sekatan pergerakan” atau “kawalan pergerakan”. Oleh sebab itulah, kerajaan menggunakan istilah “Perintah Kawalan Pergerakan” (PKP) untuk maksud tindakan mengadakan “lockdown”.
Namun demikian, kerajaan telah melaksanakan beberapa jenis “lockdown” atau “sekatan pergerakan” seperti yang berikut:
1. Perintah Kawalan Pergerakan Penuh
Istilah ini dikenali sebagai “Total Lockdown”. Istilah ini bermaksud satu keadaan apabila orang ramai atau masyarakat awam tidak dibenarkan langsung memasuki atau meninggalkan satu kawasan atau bangunan secara bebas kerana sesuatu wabak atau hal kecemasan. Dengan berdasarkan istilah ini, PKP yang dilaksanakan pada 1 hingga 14 Jun 2021 dapatlah dikatakan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Penuh walaupun pelaksanaannya tidaklah 100 peratus kerana kerajaan mengambil kira pelbagai perkara yang berkaitan dengan ekonomi atau kesihatan.
2. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Istilah ini dibuat berdasarkan istilah “Total lockdowan”. Namun demikian, pelaksanaannya hanya di kawasan tertentu yang mencapai tahap merah. Semua pergerakan keluar masuk disekat.
3, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) PKPB ini lebih longgar. Pergerakan rentas daerah dibenarkan tetapi perintah rentas negeri dilarang. Dalam PKP jenis ini, 70 peratus pekerja dikehendaki bekerja dari rumah.
4. Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Perintah jenis ini pula sangat longgar kerana rakyat dibolehkan merentas negeri dan banyak aktiviti boleh dilaksanakan.
Apabila kerajaan membuat pengumuman untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan penuh atau “Total Lockdown”, rakyat menjadi kelam-kabut. Hal ini terbukti apabila pasar raya menjadi tumpuan mereka untuk membeli pelbagai keperluan. Sepatutnya, rakyat tidak perlu resah kerana kerajaan mengutamakan kesihatan rakyat dan bekalan keperluan harian mencukupi.
Untuk menghadapi bencana COVID-19 ini, setiap rakyat janganlah lupa akan penggunaan bahasa yang betul dan tepat. Marilah kita mengangkat dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul walaupun kita terpaksa menghadapi serangan COVID-19 yang semakin menggila ini.. Gunakanlah istilah “Sekatan Pergerakan” atau SP untuk maksud “lockdown” dan “Sekatan Pergerakan Penuh” atau SPP untuk maksud “Total lockdown”. Ingatlah bahawa Bahasa Jiwa Bangsa. Apabila hilang bahasa, maka lenyaplah bangsa.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Abdul Ghalib bin Yunus
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!