
Tiada pinjaman PTPTN. Tiada bantuan tetap. Hanya semangat, doa, dan tekad seorang anak muda. Inilah permulaan perjalanan Siti Hanisah Rizal, 24 tahun, ketika meniti kehidupan di kampus Universiti Utara Malaysia (UUM).
Setiap balang chocojar yang dijualnya bukan sekadar pencarian rezeki, ia juga lambang ketabahan seorang anak yatim yang menolak untuk menyerah pada takdir.
“Saya mula berniaga sejak semester empat. Dahulu hanya jual mi segera dan ramen. Tapi saya ingin mencuba sesuatu yang lebih baik, lalu lahirlah chocojar ini. Dari dapur asrama yang kecil, saya belajar tentang rezeki, kesabaran dan usaha,” katanya.

Di sebalik kejayaannya, tersimpan cerita sedih kehilangan. Anak kepada pasangan Allahyarham Rizal Mulot dan Allahyarhamah Maimon Adam ini menjadi tulang belakang kepada tiga adik yang masih muda iaitu Nur Najiah Raihana (21), Muhammad Adam Muqriz (19) dan Siti Rawdah Hanim (17).
Kedua-dua ibu bapa pergi dijemput Ilahi akibat kanser pada 2018 dan 2020, meninggalkan Hanisah membawa tanggungjawab yang berat di usia muda.
Ketika rakan-rakan lain menikmati kehidupan kampus, Hanisah menempuh hari-hari dengan kegigihan. Minatnya terhadap Pengurusan Risiko dan Insurans bukan sekadar akademik, ia cerminan pengalaman hidupnya sendiri.

“Saya belajar bahawa hidup ini sendiri adalah pengurusan risiko. Kita merancang, tetapi Allah jua yang menentukan segalanya,” katanya lembut, namun penuh pengertian.
Tidak hanya cemerlang dalam kelas, Hanisah turut mengukir kenangan dalam kepimpinan dan bakti masyarakat. Menjadi Naib Presiden kelab akademik dan terlibat dalam program CSR melawat rumah anak yatim, menghubungkan dirinya kembali dengan realiti hidup yang pernah dilaluinya, pahit, getir, tetapi membentuk kekuatan jiwa yang luar biasa.
Kini, setelah menggenggam segulung ijazah, Hanisah menapak ke dunia profesional sebagai ejen insuran takaful sepenuh masa di Prudential BSN Southkey, Johor Bahru. Cita-citanya jelas, iaitu untuk membantu lebih ramai insan memahami nilai perlindungan dan merancang masa depan dengan bijak.

Kisahnya adalah bukti bahawa kehilangan bukan noktah, tetapi titik permulaan kepada kekuatan baru. Dengan air mata, doa, dan keazaman, Siti Hanisah membuktikan bahawa tiada jalan yang terlalu sukar bagi mereka yang berpegang kepada harapan dan pertolongan Allah.
Pada Majlis Konvokesyen UUM ke-38, Hanisah menerima ijazahnya dengan penuh syukur daripada Pro-Canselor, Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah, di Dewan Mu’adzam Shah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: UUM News
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!













