Interaksi SUGA BTS & Kanak-Kanak Autisme Buat Pakar Psikiatri Kagum, Tak Sangka Satu Ayat Ringkas Beri Impak Besar

Share

Terbaru, kisah penuh emosi mengenai SUGA dari kumpulan sensasi global BTS sekali lagi menjadi tular selepas seorang pakar psikiatri kanak-kanak, Dr. Cheon Keun Ah, berkongsi pengalaman istimewanya bersama bintang itu dalam program terapi muzik dikenali sebagai MIND.

Menurut Dr.Cheon, selepas SUGA atau nama sebenarnya Min Yoongi (32) tamat menjalani khidmat militarinya, beliau telah melibatkan diri sebagai sukarelawan di Hospital Severance, Seoul sepanjang musim bunga. Dalam tempoh itu, SUGA turut menyumbang sebanyak 5 bilion Korea Won (kira-kira RM17.4 juta) bagi pembinaan pusat rawatan baharu untuk kanak-kanak autisme.

Menurut laporan, Dr. Cheon dan pelantun lagu ‘Daechwita’ itu mula berkolaborasi sejak November tahun lalu dan menghasilkan program MIND yang membawa maksud Music, Interaction, Network, Diversity. Program ini bertujuan membantu kanak-kanak autisme mengembangkan kemahiran sosial dan emosi mereka melalui terapi muzik.

BACA: SUGA BTS Sentuh Hati Masyarakat, Sumbang 5 Bilion Won Bina Pusat Rawatan Autisme Di Seoul

Dalam sebuah video YouTube baru-baru ini, Dr. Cheon turut mendedahkan satu insiden menyentuh hati melibatkan seorang remaja dalam program berkenaan di mana remaja ini telah dirawat olehnya sejak zaman tadika dan merupakan individu dalam spektrum autisme yang tidak tahu bermain sebarang alat muzik.

“Pada peringkat awal program, dia sangat pendiam dan tiada ekspresi. Suatu hari, ketika melihat rakan-rakan lain bermain alat muzik, anak itu berkata perlahan dengan wajah suram, ‘Saya tak tahu main apa-apa pun…’,” kata Dr. Cheon.

Melihat situasi itu, SUGA terus mendekati remaja tersebut dan berkata, “Suara awak pun satu instrumen juga. Nampaknya awak kena menyanyi saja lah.” dan melalui respon itu ia seperti memberi sinar kepada remaja berkenaan.

“Dia tersenyum lebar dan mula menyanyi dengan kuat! Semua orang terkejut dan sangat tersentuh!” jelas Dr. Cheon lagi.

Malah, menurutnya lagi, remaja itu pulang ke rumah dan memberitahu ibunya dengan penuh semangat, “Ibu! Cikgu Min kata suara saya adalah instrumen. Saya nak menyanyi sekarang!”.

Sementara itu, kisah ini nyata mengundang pujian dari kalangan peminat BTS iaitu ARMY dan juga masyarakat yang mengangkat kepekaan dan kelembutan hati SUGA dalam mendekati kanak-kanak istimewa. Momen istimewa itu sekaligus membawa makna besar, dan menjadi bukti bahawa muzik dan kata-kata ikhlas mampu merubah dunia seseorang.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE