Insurans dan Audiens bahasa Inggeris atau bahasa Melayu?

Share

Bahasa Melayu bersifat dinamik. Oleh itu, bahasa Melayu menerima banyak kata serapan dan kata pinjaman daripada bahasa asing seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Belanda dan sebagainya. Kata serapan ialah kata yang sudah lama terserap dalam bahasa Melayu manakala kata pinjaman merupakan kata yang baharu dijadikan bahasa Melayu.

Kata seperti “insurance” dan “audience” daripada bahasa Inggeris juga diserap masuk dalam bahasa Melayu. Jadi, bagaimanakah ejaan yang betul? Adakah “insuran” atau “insurans”? Adakah “audien” atau “audiens”?

Menurut Buku Canggihnya bahasa Melayu Sistem Ejaan Rumi Kemas Kini dan Buku Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu, huruf gugus konsonan “nce” yang melambangkan gugus “ns” yang hadir di akhir kata dalam bahasa sumber disesuaikan menjadi huruf gugus konsonan “ns” dalam bahasa Melayu.

Contoh:
Bahasa Inggeris Bahasa Melayu
insurance insurans
audience audiens
science sains
ambulance ambulans

Berdasarkan contoh di atas, huruf gugus konsonan “nce” dalam kata “insurance” dan “audience” disesuaikan menjadi huruf gugus konsonan “ns”. Oleh itu, ejaan “insurance” dan “audience”

dalam bahasa Inggeris diubah menjadi “insurans” dan “audiens” dalam bahasa Melayu.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja dan Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Dr. Rabahyah binti Tahir

IKLAN