
Bahasa Melayu bersifat dinamik. Oleh itu, bahasa Melayu menerima banyak kata serapan dan kata pinjaman daripada bahasa asing seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Belanda dan sebagainya. Kata serapan ialah kata yang sudah lama terserap dalam bahasa Melayu manakala kata pinjaman merupakan kata yang baharu dijadikan bahasa Melayu.
Kata seperti “insurance” dan “audience” daripada bahasa Inggeris juga diserap masuk dalam bahasa Melayu. Jadi, bagaimanakah ejaan yang betul? Adakah “insuran” atau “insurans”? Adakah “audien” atau “audiens”?
Menurut Buku Canggihnya bahasa Melayu Sistem Ejaan Rumi Kemas Kini dan Buku Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu, huruf gugus konsonan “nce” yang melambangkan gugus “ns” yang hadir di akhir kata dalam bahasa sumber disesuaikan menjadi huruf gugus konsonan “ns” dalam bahasa Melayu.
Contoh:
Bahasa Inggeris Bahasa Melayu
insurance insurans
audience audiens
science sains
ambulance ambulans
Berdasarkan contoh di atas, huruf gugus konsonan “nce” dalam kata “insurance” dan “audience” disesuaikan menjadi huruf gugus konsonan “ns”. Oleh itu, ejaan “insurance” dan “audience” dalam bahasa Inggeris diubah menjadi “insurans” dan “audiens” dalam bahasa Melayu.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja dan Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Dr. Rabahyah binti Tahir
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Cemerlang! Pelajar SMK Wangsa Maju Seksyen 2 Dinobatkan Sebagai Naib Juara Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia

Bukan mudah membuka bicara, bukan mudah berhujah penuh ilmu, bukan mudah berucap pintar jika tiada latihan yang jitu. Kejayaan pasti hadir untuk mereka yang berusaha. Seperti Aisy Basri bin Mohd Bakri, remaja berusia 17 tahun ini merupakan seorang pelajar yang gigih berusaha serta cintakan bahasa kebangsaan.
Terpilih sebagai salah seorang daripada enam peserta akhir pertandingan Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Maju Seksyen 2, Kuala Lumpur ini hadir penuh semangat menyampaikan hujah-hujah bernas untuk diamati ramai.

Paling menarik, mengambil semangat cintakan negara, Aisy Basri tampil tampan dalam persalinan baju melayu rona hitam siap dengan pemakaian sampin, tanjak dan juga pending. Dia nampak bagaikan pahlawan Melayu sambil menyampaikan pengucapan awam bertajuk Peranan Remaja Dalam Membentuk Masyarakat Berpendidikan.
“Alhamdulillah saya bersyukur walaupun mendapat tempat kedua, ini boleh jadi pembakar semangat untuk saya menyertai pertandingan lain. Sebenarnya ayah yang banyak memberi galakan, dia banyak memberikan semangat dan menolong saya berlatih. Tidak kurang juga pihak sekolah dan rakan-rakan turut memberikan semangat untuk menyertai pertandingan,” ujarnya saat ditemu bual REMAJA.
Mengambil sikap tidak gentar untuk mencuba, Aisy Basri ada mesej penting untuk disampaikan kepada para pelajar lain agar selalu mencabar kebolehan diri. Ujarnya, “Cuba sahaja, jangan takut! Yakin yang diri anda boleh.”
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar SM Teknik Tuanku Jaafar Dinobatkan Sebagai Juara Pertandingan Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia

Kejayaan seorang anak pasti ada orang tua yang memberi sokongan. Ayahnya, Mohd Bakri merupakan figura yang banyak berjasa bagi memastikan kejayaan Aisy. Dalam satu hantaran di laman Instagram miliknya, dia yang juga merupakan seorang guru menitip kata-kata semangat untuk anaknya.
“Pertaruhan anakanda tersayang, Aisy Basri bin Mohd Bakri membuahkan kejayaan. Semua berkat kesungguhan dan doa restu semua. Semoga hadiah lumayan bernilai RM800, piala, sijil dan buku, serta platform ini menjadikan abang lebih bersemangat dalam memburu kejayaan masa depan. Banggakan kami wahai heroku!” tulisnya.

Pertandingan Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia merupakan anjuran REMAJA dan Ideaktiv dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai rakan strategik. Selain Aisy yang berada di kedudukan kedua, johan pertandingan ini jatuh kepada Ammar Hazim Mohd Syafawi dari SM Teknik Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan manakala tempat ketiga jatuh kepada Nur Fatin Darwisyah dari SMK Temenggong Ahmad, Tangkak, Johor.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Usia 18 Tahun Hanyalah Angka, Amir Daniel Mampu Tersenyum Bersama Pingat Gangsa Judo

Amir Daniel Abdul Majeed ialah satu nama yang harus mula diberikan perhatian oleh persatuan sukan di Malaysia setelah atlet berusia 18 tahun itu menghadiahkan pingat gangsa untuk negara dalam sukan judo.
Beraksi di temasya Sukan Komanwel sulungnya di Birmingham, Amir yang juga merupakan penuntu Kolej Matrikulasi Pulau Pinang telah meraih gangsa dalam kategori 73 kilogram lelaki selepas lawannya, Dato Matsoukatov dari Cyprus dibatalkan penyertaannya. Ini susulan lawannya melanggar peraturan pertandingan.

Bercakap kepada pemberita Malaysia di Arena Coventry, jurulatih pasukan judo negara, Md Nashriq Md Nassir menzahirkan rasa bangga mereka dengan pencapaian Amir Daniel serta menyifatkan kejayaan ini adalah hadiah kepada segala usaha keras yang dilakukan oleh anak didiknya itu.
“Kejayaan ini juga hasil usaha semua pihak yang terlibat demi memartabatkan sukan judo di Malaysia,” ujarnya.
Terdahulu, Amir Daniel telah mengenepikan atlet Samoa, Willian Tai Tin 10-0 dalam saingan 16 atlet terbaik. Begitupun di peringkat suku akhir, dia tunduk di tangan atlet Australia, Jake Bensted menerusi satu penalti.
Kekalahan tersebut tidak mudah mematahkan semangat Amir Daniel apabila bangkit menumpaskan Narciso Matos dari Mozambique 10-0 pada saingan repechage lalu melayakkan diri ke perlawanan penentuan pingat gangsa menentang Matsoukatov.

ARTIKEL BERKAITAN : Ng Tze Yong Cipta Kejutan Bantu Malaysia Menang Emas Badminton Berpasukan Campuran – REMAJA
Untuk pengetahuan, ini merupakan pencapaian terbaik skuad judo kebangsaan di peringkat Sukan Komanwel sejak mereka menyertai temasya itu buat kali pertama pada edisi 2014 di Glasglow, United Kingdom.
Pada waktu itu, Malaysia hanya diwakili tiga orang atlet dan hanya mampu memberikan saingan pada pusingan awal sebelum tersingkir.
ARTIKEL BERKAITAN : Azeem Fahmi Cipta Rekod Baharu 100m Malaysia, Catat Masa 10.09 Saat – REMAJA
TAHNIAH Malaysia!
Sumber : BERNAMA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tenang Di Bawah Tekanan, Penunggang Muda Negara Ini Ukir Sejarah Emas Sukan SEA

Usia 17 tahun bukan penghalang untuk mencipta sejarah di pentas antarabangsa. Itulah yang dibuktikan oleh penunggang muda negara, Megan Min Ern Ding, apabila tampil penuh ketenangan untuk menghadiahkan pingat emas acara dressage gaya bebas individu di Sukan SEA Thailand 2025.
Lebih mengagumkan, kejayaan tersebut hadir selepas Megan hampir terlepas saingan akibat isu logistik melibatkan kudanya, Gaudi Vita. Namun, berbekalkan fokus dan persiapan rapi, Megan berjaya mengatasi segala rintangan demi melakar detik manis buat negara.
Beraksi di Arena Grimm Grand Prix, Chonburi, Megan mencatat 76.252 mata, sekali gus muncul juara daripada lapan peserta yang bertanding. Lebih istimewa, catatan itu turut memecahkan rekod Sukan SEA, menjadikan kemenangan ini satu pencapaian luar biasa buat atlet muda tersebut.

Pengurus pasukan ekuestrian negara, Datuk Yap Mou Soon, menyifatkan ketenangan Megan sebagai kunci utama kejayaannya, terutamanya apabila beraksi di gelanggang lawan.
“Dia membuat persiapan rapi dan walaupun berada di bawah tekanan tinggi, dikelilingi pesaing tuan rumah, dia kekal tenang dan menunggang dengan sangat baik.
“Sejak semalam dia sudah mendahului saingan dengan sekitar 72 mata dan hari ini meningkat kepada 76 mata untuk menjuarai pertandingan,” katanya.
Menurut Yap, kutipan mata yang diraih Megan turut memadam rekod lama Sukan SEA yang sebelum ini dipegang oleh Qabil Ambak.
“Rekod Sukan SEA sebelum ini ialah 72 mata milik Qabil Ambak. Megan mencatat 76 mata, jadi ia rekod baharu,” katanya.
Namun, di sebalik kejayaan gemilang itu, perjalanan Megan dan pasukan sebenarnya dipenuhi detik mencemaskan. Gaudi Vita hampir tidak dapat dihantar ke Thailand susulan masalah penerbangan berpunca daripada faktor suhu.
“Kami berdepan banyak cabaran. Kuda hampir tidak dapat dihantar dan Megan hampir terlepas pertandingan kerana penerbangan kuda,” katanya.

Situasi tersebut memaksa keluarga Megan bertindak pantas demi memastikan kuda berkenaan tiba tepat pada waktunya.
“Kami hampir berputus asa, tetapi ibu bapanya bekerja keras menguruskan penerbangan dan akhirnya kuda tiba sehari kemudian. Mujur semuanya sempat,” katanya.
Kebimbangan tidak berakhir di situ apabila Gaudi Vita ditahan sementara sebaik tiba di Thailand untuk menjalani pemeriksaan veterinar.
“Kuda diletakkan dalam status tahanan ketika pemeriksaan dan kami bimbang jika tidak dibenarkan bertanding. Mujur semuanya berjalan lancar,” katanya.
Selepas mendapat kelulusan, Megan akhirnya turun ke arena dan mempamerkan tunggangan penuh berwibawa, meninggalkan jurang mata yang besar ke atas pesaing lain dan ia satu pencapaian yang jarang berlaku di pentas Sukan SEA.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: BH Online
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

