
Selepas hampir tujuh tahun menuntut keadilan, ibu kepada mendiang model Belanda, Ivana Esther Robert Smit akhirnya memperoleh kemenangan dalam saman sivil yang difailkannya terhadap pihak berkuasa Malaysia.
Menurut laporan Harian Metro, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Julai 2025 memutuskan bahawa terdapat unsur kecuaian dalam siasatan kes kematian anaknya, dan kerajaan diperintahkan membayar ganti rugi berjumlah RM1.1 juta.

Hakim Roz Mawar Rozain dalam penghakimannya menyatakan bahawa pihak polis telah gagal menjalankan tanggungjawab mereka secara telus dan profesional, terutamanya dalam pengurusan tempat kejadian, pemeliharaan bukti dan pelaksanaan siasatan forensik. Kegagalan ini, menurut beliau, bukan sahaja menyebabkan keadilan terabai, malah turut memperlihatkan kelemahan serius dalam sistem siasatan jenayah negara.
Unsur kecuaian dalam siasatan kes
Saman sivil ini difailkan oleh ibu mendiang, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, pada 20 November 2020. Antara yang dinamakan sebagai defendan termasuk Ketua Polis Negara (KPN), pegawai penyiasat Asisten Superintendan Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.
Lebih mengejutkan, mahkamah turut mendapati bahawa pihak polis tidak mematuhi perintah Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada tahun 2019, yang mengarahkan siasatan semula dijalankan selepas keputusan inkues terdahulu diklasifikasikan sebagai “kemalangan”.

Mahkamah pada ketika itu telah menetapkan bahawa kes kematian Ivana perlu diklasifikasikan semula sebagai “kematian akibat perbuatan individu yang dikenali atau tidak dikenali”.
Dalam kes yang mendapat liputan luas antarabangsa ini, Ivana, yang ketika itu berusia 18 tahun, ditemui mati selepas jatuh dari tingkat 20 sebuah kondominium di Kuala Lumpur. Sebelum kejadian, beliau dikatakan menghadiri satu parti bersama sepasang suami isteri warga asing. Namun, banyak persoalan timbul berhubung keadaan sebenar yang membawa kepada kematiannya, termasuk kegagalan pihak berkuasa mengambil kira bukti forensik seperti laporan toksikologi dan keterangan saksi utama.
Hakim Roz Mawar turut menyifatkan bahawa siasatan yang dilakukan adalah “jauh daripada piawaian yang sepatutnya dijangka daripada seorang pegawai penguat kuasa undang-undang.” Tambahnya lagi, tindakan pihak polis dalam kes ini merupakan satu bentuk “penyalahgunaan kuasa dalam jawatan awam” (misfeasance in public office), yang menunjukkan betapa pentingnya integriti dan ketelusan dalam menjalankan siasatan.
Mahkamah juga mengarahkan:
-
Pegawai penyiasat sedia ada disingkirkan daripada pasukan petugas.
-
Polis menyambung semula siasatan kes.
-
Laporan perkembangan siasatan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap tiga bulan.
Sebagai generasi muda, kita perlu sedar bahawa sistem keadilan bukanlah kebal daripada kesilapan. Tetapi dengan ketegasan, keberanian dan fakta yang jelas, kebenaran tetap boleh ditegakkan, walau mengambil masa bertahun.
BACA LAGI : Rawdah Mohamed Dilahirkan ‘High Fashion’, 7 Fakta Menarik Model Muslimah Ini
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kes Rogol Pelajar : KPM Benarkan Calon SPM Terus Menduduki Peperiksaan
Empat pelajar tingkatan lima yang dipercayai terlibat dalam kes rogol pelajar di Alor Gajah, Melaka, dilaporkan dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 3 November ini.
Menurut laporan Kosmo! Online, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Ketua Polis Melaka, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Hak Pendidikan Tetap Perlu Dijaga”
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menjelaskan bahawa meskipun kes ini masih dalam siasatan dan proses undang-undang sedang dijalankan, pihak kementerian tetap menegakkan prinsip bahawa setiap pelajar mempunyai hak untuk meneruskan pendidikan.

“SPM akan tetap diteruskan dan kita akan pastikan supaya mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan mereka,” katanya ketika mengulas isu kes rogol pelajar Alor Gajah ini.
Beliau menegaskan bahawa tindakan undang-undang tetap dijalankan oleh pihak polis, manakala KPM akan menumpukan kepada aspek disiplin, sokongan sekolah dan kesejahteraan emosi pelajar.
Mangsa Diberi Rawatan & Sokongan Emosi
Fadhlina turut memaklumkan bahawa mangsa kini sedang mendapatkan rawatan serta sokongan emosi di hospital. KPM melalui pasukan kaunselor sekolah dan daerah juga telah digerakkan untuk memberikan sokongan psikososial kepada seluruh warga sekolah.
“Kaunselor akan turun memberikan sokongan penuh kepada warga sekolah dan anak-anak kerana sekolah ini adalah antara sekolah terbaik di Melaka,” jelasnya lagi.
Isu Yang Cetus Perdebatan Awam
Keputusan untuk membenarkan pelajar yang disyaki terlibat dalam kes rogol pelajar Alor Gajah tetap menduduki SPM menimbulkan perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat.
Ada yang menyokong dengan alasan hak pendidikan tidak boleh dinafikan sebelum terbukti bersalah, namun ramai juga yang bimbang keputusan itu akan memberi isyarat salah kepada masyarakat dan mangsa.
Dalam konteks undang-undang, seseorang hanya dianggap bersalah selepas disabitkan di mahkamah. Namun, isu ini juga membuka perbincangan lebih besar tentang etika, keselamatan pelajar dan keseimbangan antara hak tertuduh serta hak mangsa.
Pendidikan Dan Tanggungjawab Sosial
Apa pun keputusan yang dibuat, peristiwa ini menjadi peringatan kepada semua pelajar bahawa tanggungjawab sosial dan moral tidak boleh dipandang ringan.
Sebagai generasi muda, remaja harus memahami bahawa tindakan melampaui batas boleh menghancurkan masa depan — bukan hanya diri sendiri, tetapi juga orang lain.
Dalam masa sama, masyarakat juga perlu memainkan peranan mendidik tentang batas pergaulan, konsep persetujuan (consent) dan hormat terhadap maruah insan lain agar tragedi seperti ini tidak berulang.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bartholomew Marius Pasang Impian Mahu Bantu Ibu Bina Rumah, Pertahan Emas Untuk Sabah Di Para SUKMA 2024
Baru-baru ini, atlet Sabah Bartholomew Marius berjaya mempertahankan pingat emas di Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 memasang impian untuk membantu ibunya membina semula rumah warisan yang ditinggalkan bapa di negeri kelahirannya itu.
Beliau berkata, mimpinya itu bakal terlaksana sekiranya menerima insentif daripada kerajaan negeri Bumi di Bawah Bayu itu bersempena kejayaannya meraih pingat emas dalam acara lontar peluru F33 (kecacatan fizikal) selepas meraih emas pada acara sama pada edisi 2022 lalu.
“Ayah sudah tiada, tapi tinggalkan rumah warisan untuk keluarga, rumah lama, jadi saya mahu tolong mak buat semula rumah itu, saya anak sulung daripada tiga orang adik beradik, jadi mesti saya mahu beri kesenangan kepada mak dan adik-adik”
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sarawak menyaksikan Bartholomew meraih pingat emas selepas melakukan lontaran sejauh 5.94m di hadapan pencabar dari Sarawak Marshall Lu Canner dengan catatan 5.25m dan pingat gangsa menjadi milik Hilman Zafri Zulkifli dari Selangor (5.08m).
Sementara itu, acara lompat jauh T11 (kecacatan fizikal) menyaksikan atlet Pulau Pinang Sulaiman Nor Azizan meraih pingat emas dengan lompatan sejauh 4.13m mengatasi atlet Kedah Mohd Fitry Abd Ghani dengan lompatan 4.05m, manakala pingat gangsa menjadi milik Jeffery Ajang dari Sarawak (3.26m).
Sulaiman menyifatkan kejayaannya hari ini merupakan tuah buatnya kerana beliau tidak sempat melakukan persiapan rapi dan hanya menjalani latihan sebanyak dua kali sebelum temasya berlangsung kerana kesibukannya bekerja sebagai tukang urut di Selangor.
Sumber artikel dan foto: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
MRSM Perkenal Warden Sepenuh Masa, Guru Kini Boleh Fokus Sepenuhnya Dalam Kelas
Bermula tahun hadapan, semua 58 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) akan melalui satu perubahan besar dalam sistem pengurusan asrama apabila warden sepenuh masa akan dilantik daripada kalangan bekas anggota beruniform.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu perkongsian di Threads.
Menurut beliau, pemilihan warden ini bukan sekadar ambil mana-mana individu, sebaliknya melalui proses saringan yang ketat serta latihan khusus bagi memastikan mereka benar-benar memahami Falsafah Pendidikan MARA.
Langkah ini dilihat sebagai satu usaha strategik untuk mengurangkan beban guru yang sebelum ini terpaksa memikul dua tanggungjawab serentak mengajar di dalam kelas dan mengurus pelajar di asrama. Dengan adanya warden sepenuh masa, guru kini boleh memberi fokus sepenuhnya kepada tugas hakiki mereka dalam mendidik dan membentuk kemenjadian pelajar.

Dalam masa sama, kehadiran bekas anggota beruniform sebagai warden dijangka mampu memperkukuhkan aspek disiplin serta pengurusan asrama yang lebih tersusun dan tegas.
Netizen Sambut Baik, Anggap Langkah Tepat
Menariknya, reaksi netizen terhadap pengumuman ini rata-rata positif. Ramai melihat ia sebagai satu langkah tepat dalam memperbaiki ekosistem pendidikan berasrama.
“Satu inisiatif yang wajar dipuji. Pemisahan tugas akademik dan pengurusan asrama adalah kunci kepada kesejahteraan emosi guru dan kemenjadian pelajar yang lebih holistik,” tulis seorang pengguna.
Seorang lagi turut menyokong dengan pandangan bahawa langkah tersebut mampu meningkatkan keberkesanan pengurusan pelajar secara keseluruhan.
“This is a good move and worth supporting. Full time wardens can handle discipline & hostel management better, while teachers can focus on teaching.”
Untuk rekod, usaha ini sebenarnya bukan sesuatu yang datang secara tiba-tiba. Pada Ogos tahun lalu, MRSM telah memulakan projek rintis selama enam bulan dengan menempatkan warden dalam kalangan bekas tentera di beberapa asrama pelajar.
Inisiatif itu diperkenalkan sebagai langkah proaktif bagi menangani isu keganasan dan buli yang menjadi antara kebimbangan utama dalam institusi berasrama.
Hasil daripada projek rintis tersebut, satu kajian menyeluruh sedang dijalankan dengan kerjasama Institut Kajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menilai keberkesanan pendekatan ini sebelum ia diperluaskan ke semua MRSM.
Kalau dilihat secara keseluruhan, langkah ini bukan sekadar ubah struktur tugas, tapi lebih kepada usaha membina persekitaran pembelajaran yang lebih sihat di mana guru boleh fokus mendidik, manakala pengurusan asrama pula dikendalikan secara profesional.
Dan kalau pelaksanaannya konsisten, ini mungkin jadi turning point penting dalam cara institusi berasrama di Malaysia diuruskan.
Sumber : Threads drasyrafwajdi
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

