Pelan Pembangunan Pendidikan 2026–2035 yang bakal dilancarkan kerajaan menandakan satu langkah penting dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan negara. Antara perubahan utama yang diperkenalkan ialah penetapan gred C sebagai syarat minimum lulus bagi empat mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.
Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad, sasaran ini bersifat mandatori dan bertujuan memastikan murid di peringkat sekolah rendah dan menengah benar-benar menguasai asas pembelajaran sebelum melangkah ke tahap seterusnya.
Beliau menegaskan bahawa penguasaan minimum ini penting bagi mengelakkan situasi murid terus naik tahap walaupun masih lemah dalam kemahiran asas yang sepatutnya dikuasai lebih awal.
Empat Subjek Teras Sebagai Asas Pembelajaran
Keempat-empat subjek teras yang ditekankan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2026–2035 dipilih kerana peranannya yang kritikal dalam membentuk kemahiran asas murid.
KPM Mansuh Peperiksaan
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris berfungsi sebagai teras komunikasi serta pemahaman akademik, bukan sahaja dalam pembelajaran harian malah dalam kehidupan bermasyarakat. Matematik pula membantu membina pemikiran logik, analitikal dan kemahiran menyelesaikan masalah.
Sejarah memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri murid, memperkukuh kefahaman terhadap identiti nasional serta memberi kesedaran tentang perjalanan dan pembinaan negara.
Ads
Dengan penetapan gred C sebagai penanda aras minimum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berharap murid bukan sekadar mampu menjawab peperiksaan, tetapi benar-benar memahami kandungan pembelajaran secara menyeluruh.
Penekanan Kepada Akademik Dan Kesejahteraan Fizikal
Selain pencapaian akademik, Pelan Pembangunan Pendidikan 2026–2035 turut menekankan pembangunan murid secara holistik.
KPM menetapkan sasaran agar 90 peratus murid Tahap Dua sekolah rendah hingga Tingkatan Lima mencapai piawaian standard dalam penilaian kecergasan fizikal dan kesihatan.
Bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek
Pendekatan ini selari dengan hasrat melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi intelek, fizikal dan emosi, selaras dengan keperluan dunia moden yang menuntut daya tahan mental, disiplin diri dan kesejahteraan menyeluruh.
Ads
Pelan Berasaskan Tujuh Teras Utama
Pelan Pembangunan Pendidikan 2026–2035 dirangka berasaskan tujuh teras utama yang merangkumi petunjuk prestasi jelas serta inisiatif penambahbaikan jangka pendek atau “quick wins”.
Langkah ini bertujuan memastikan hasil awal dapat dicapai sambil membina asas kukuh untuk pelaksanaan jangka panjang yang lebih mampan.
Menurut laporan media, keutamaan di bawah tujuh teras ini adalah untuk memastikan sistem pendidikan negara menjadi lebih inklusif, dinamik dan relevan, selain memaksimumkan potensi setiap murid melalui pengalaman pembelajaran yang bermakna.
Gambae Hiasan. NSTP/SURIANIE MOHD HANIF
Fokus Kepada Kualiti Pengajaran Dan Pemantauan
Mohd Azam turut menegaskan bahawa kejayaan pelan ini tidak seharusnya diukur berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata.
Sebaliknya, ia perlu dinilai melalui kualiti pengajaran dalam bilik darjah, tahap penglibatan murid dalam aktiviti sekolah serta hubungan interaksi harian antara guru dan pelajar.
Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, KPM telah menubuhkan unit khas untuk memantau kemajuan, menyelaras strategi dan memastikan setiap pembaharuan dilaksanakan sehingga ke peringkat sekolah.
Pelan Pembangunan Pendidikan 2026–2035 ini dijangka dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dilihat sebagai usaha jangka panjang untuk melahirkan generasi pelajar yang berilmu, berkemahiran serta seimbang dari segi sahsiah dan kesejahteraan diri.
Amaran hujan lebat Kelantan dan kawasan sekitarnya semakin membimbangkan apabila MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya hingga esok. Kelantan dan Terengganu kini antara negeri yang paling teruk terjejas, dan remaja di kawasan terbabit perlu lebih peka kerana risiko banjir meningkat dengan sangat cepat.
Dalam kenyataan rasmi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa beberapa daerah di Kelantan seperti Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, serta Besut di Terengganu, kini berada di bawah Amaran Bahaya (Merah). Keadaan ini membawa maksud hujan dijangka turun tanpa henti sehingga esok, menyebabkan paras air sungai boleh meningkat secara drastik dalam masa singkat.
Kawasan Berstatus Amaran Bahaya (Merah)
Daerah-daerah berikut kini mencatatkan hujan berterusan tahap paling kritikal:
Tumpat
Pasir Mas
Kota Bharu
Bachok
Pasir Puteh
Besut (Terengganu)
Penduduk kawasan ini diminta bersiap-siaga kerana hujan berterusan boleh menyebabkan limpahan sungai, banjir kilat, hakisan tebing sungai dan gangguan keselamatan awam.
Negeri Lain Turut Menerima Amaran Buruk (Jingga)
Selain Kelantan dan Terengganu, beberapa negeri lain yang turut terjejas berada di bawah Amaran Buruk (Jingga), iaitu:
Perlis
Kedah
Pulau Pinang
Perak (Kerian, Larut, Matang & Selama)
Beberapa daerah tambahan di Kelantan dan Terengganu
Amaran Buruk bermaksud hujan lebat dijangka berterusan, dan kawasan rendah berisiko tinggi dinaiki air. Orang ramai disaran mengelakkan sebarang aktiviti luar, terutama yang melibatkan sungai, tasik atau laluan berbukit.
Foto: Malaysia Dateline
Amaran Waspada (Kuning) Untuk Kawasan Pedalaman
Hulu Perak, Manjung, Gua Musang dan kawasan tanah tinggi serta pedalaman Pahang seperti Cameron Highlands, Lipis, Jerantut dan Kuantan pula berada di bawah Amaran Waspada. Walaupun risiko banjir tidak setinggi kawasan merah dan jingga, keadaan cuaca tidak menentu boleh berubah dengan cepat.
MetMalaysia turut mengingatkan bahawa hujan berterusan di kawasan tinggi boleh menyebabkan kejadian kepala air atau tanah runtuh.
Amaran MetMalaysia Untuk Orang Awam
MetMalaysia menasihatkan orang ramai terutamanya penduduk di kawasan rendah, tepi sungai dan laluan yang sering dinaiki air supaya mengikuti arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. Ini termasuk:
Mengelakkan kawasan berbahaya ketika hujan lebat.
Menyimpan dokumen penting dalam bekas kalis air.
Bersedia untuk pemindahan jika keadaan memerlukan.
Menyimpan lampu suluh, powerbank dan radio kecemasan.
Memastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat.
Penduduk juga disarankan memeriksa kemaskini cuaca setiap dua jam melalui aplikasi MyCuaca atau Telegram MetMalaysia bagi memastikan maklumat yang diterima adalah tepat dan terkini.
Untuk Remaja Di Kawasan Terjejas, Tolong Jangan Ambil Risiko
Untuk remaja khususnya, banjir bukan masa untuk bermain air atau merakam konten media sosial. Arus deras yang nampak cetek boleh membawa serpihan berbahaya, kabel elektrik terdedah, malah haiwan berbisa seperti ular dan lipan yang mencari tempat selamat.
Jika tidak perlu keluar rumah, kekal di dalam rumah. Sentiasa utamakan keselamatan diri dan keluarga. Pastikan telefon sentiasa dicas, maklumkan lokasi kepada ibu bapa atau penjaga, dan elakkan berada di kawasan sungai atau parit.
Musim tengkujuh tahun ini dijangka lebih agresif daripada biasa. Dengan meningkatnya amaran hujan lebat Kelantan dan negeri lain, semua orang perlu kekal waspada.
Tindakan pelajar PPKI kutip sampah setiap hari berjaya mencuri perhatian ramai apabila kisahnya tular di media sosial. Sikap prihatin dan bertanggungjawab yang ditunjukkan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) itu menerima pelbagai pujian daripada netizen yang tersentuh melihat amalan baik yang dilakukan secara sukarela.
Tindakan seorang pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang tanpa jemu mengutip sampah di sekitar kawasan sekolah dan di tepi jalan berjaya mencuri perhatian ramai selepas videonya tular di Threads.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @faizar_roy, beliau mendedahkan bahawa ini bukan kali pertama dia melihat pelajar tersebut melakukan perkara sama. Malah, sejak beberapa hari lalu, dia sering terserempak dengan remaja itu membersihkan kawasan sekitar sekolah tanpa disuruh sesiapa.
“Saya syak ini budak baik yang sama yang saya post minggu lepas. Dia memang buat kerja amal kutip sampah di kawasan sekolah dan kawasan luar tepi jalan. Teruskan buat jasa baik anak muda. Terbaik parent di luar sana dapat mendidik anak seperti ini. Alhamdulillah.”
Bukan Sekali, Malah Sudah Jadi Rutin Harian Pelajar PPKI Kutip Sampah
Menerusi video yang dimuat naik, kelihatan pelajar berkenaan tekun mengutip sampah yang bertaburan di sekitar kawasan sekolah sebelum memasukkannya ke dalam plastik.
Perkongsian itu bukan sahaja mendapat perhatian warga maya, malah ramai yang mengesahkan mereka sendiri sering melihat pelajar tersebut melakukan perkara sama hampir setiap hari.
Lebih menyentuh hati, seorang pengguna memaklumkan bahawa remaja berkenaan merupakan pelajar PPKI dan aktiviti mengutip sampah itu sememangnya sudah menjadi rutin hariannya.
Rutin ini membuktikan bahawa nilai murni seperti menjaga kebersihan boleh dipupuk sejak usia muda. Walaupun dilakukan tanpa mengharapkan pujian, tindakan pelajar tersebut memberi contoh yang sangat baik kepada rakan-rakan sekolah serta masyarakat sekeliling.
Netizen Kongsi Pengalaman Sendiri
Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum dengan sikap prihatin pelajar tersebut terhadap kebersihan persekitaran.
Antara komen yang mencuri perhatian ialah:
“Hari-hari dia kutip sampah. Dia pelajar PPKI. Memang rutin harian dia.”
Seorang lagi pengguna turut berkongsi pengalaman setiap kali mengambil anaknya pulang dari sekolah.
“Selalu tengok adik ni kutip sampah bila ambil anak balik sekolah.”
Selain itu, ramai turut menitipkan doa dan berharap pelajar berkenaan terus istiqamah melakukan kebaikan.
“MasyaAllah, semoga Allah permudahkan urusan adik ini dan terus istiqamah berbuat baik.”
Ramai netizen turut menyatakan bahawa kisah seperti ini wajar diberikan perhatian kerana mampu menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk lebih menghargai kebersihan dan menghormati usaha individu yang melakukan kebaikan tanpa mengharapkan balasan.
Kebaikan Kecil, Impaknya Sangat Besar
Walaupun tindakannya mungkin kelihatan sederhana, sikap bertanggungjawab dan keprihatinan yang ditunjukkan pelajar ini telah memberi inspirasi kepada ramai.
Di sebalik dunia media sosial yang sering dipenuhi pelbagai kandungan sensasi, kisah seperti ini menjadi peringatan bahawa masih ramai individu yang memilih untuk menyumbang kepada masyarakat melalui amalan-amalan kecil yang membawa manfaat kepada semua.
Semoga semangat murni yang ditunjukkan pelajar ini menjadi inspirasi buat lebih ramai orang untuk sama-sama menjaga kebersihan persekitaran, kerana setiap kebaikan, walau sekecil mana sekalipun, tetap memberi makna.
Sumber : Threads @faizar_roy
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, tular satu video yang cukup menyayat hati apabila pelajar sebuah MRSM dibuli dengan sangat teruk oleh rakan sebaya. Bukan sekadar aksi ganas yang dirakam, tetapi juga menunjukkan realiti betapa isu buli dalam kalangan pelajar masih belum berkesudahan.
Menurut seorang lelaki yang dikenali sebagai Afiq Noordin, rakaman ini bukanlah sekadar peringatan tetapi juga membuka semula luka yang pernah beliau rasai bukan sebagai mangsa, tetapi sebagai saksi kepada cerita-cerita yang merobek jiwa.
Dalam perkongsiannya di Facebook pada 7 April, Afiq menggamit ingatan beliau terhadap satu pengalaman cukup mendalam yang terjadi tahun 2024 lalu ketika dijemput ke beberapa sekolah rendah di Melaka untuk bercakap tentang kesedaran isu buli.
Satu Kertas Kosong, Seribu Kisah Luka
Afiq menceritakan bagaimana beliau mengedarkan sekeping kertas kepada setiap murid, dengan satu arahan ringkas untuk menulis pengalaman paling teruk mereka pernah dibuli.
Apa yang berlaku selepas mengedarkan potongan kertas, sangat jauh dari jangkaannya.
Katanya, ada pelajar yang terus terdiam, menggenggam pensel tanpa tahu mahu mula dari mana dan ada pula yang menunduk, menulis laju tanpa henti seolah-olah selama ini mereka hanya tunggu satu ruang kecil untuk meluahkan semua perkara.
“Helai demi helai dikumpulkan. Belum sempat saya mula berbicara, air mata saya sendiri hampir menitis,” tulis Afiq.
“Luluh hati saya. Bayangkan kanak-kanak berusia 9 hingga 12 tahun ini sudah membawa trauma yang berat,” katanya.
Kongsinya lagi, Afiq cuba untuk menenangkan diri tetapi hatinya sudah berkecamuk apabila ada membaca pengakuan seorang murid yang bukan sahaja dipukul di sekolah tetapi di rumah sendiri iaitu tempat yang sepatutnya paling selamat, berubah menjadi medan penderaan.
“Macam mana nak pujuk hati mereka, kalau orang dewasa pun gagal lindungi mereka?”
“Mungkin selama ini mereka pendamkan saja sebab tak tahu nak luah pada siapa. Hanya bila diberi ruang dan kertas kosong barulah mereka bersuara,” jelas Afiq dalam perkongsian yang sama.
Kredit: Facebook Afiq Noordin
“Tak Tahu Nak Rasa Apa Bila Hari-Hari Dipukul” – Mangsa Buli
Tambahnya, beliau turut membuka semula baki surat daripada ‘Suara Mangsa Buli’ yang tidak sempat dibaca pada waktu itu. Menurutnya, setiap helaian adalah kisah sebenar, bukan rekaan dan bukan juga drama.
Dalam pada itu, Afiq turut mengingatkan bahawa perkongsiannya bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kesedaran buli bukan untuk meraih simpati.
“Mungkin di antara coretan mereka, terselit juga kisah silam yang anda pernah lalui dulu,” ujarnya.
Sementara itu, beliau menegaskan agar orang ramai boleh membantu bagi membanteras gejala buli. Selain itu, Afiq turut mengingatkan para ibu bapa untuk mengajar anak-anak untuk berhak bersuara dan tidak berdiam diri mengenai isu ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Menjelang detik bahagia yang semakin hampir, pasangan selebriti dan politik, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Bella Astillah dijangka berkongsi lebih banyak perincian mengenai...